Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, April 06, 2014

Dia... Jejaka Pendiam - Bab 8


EISYA termenung sambil melihat ke luar tingkap biliknya menikmati keindahan langit malam. Apa yang diberitahu oleh Irwan tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Sungguh, dia sendiri seperti tidak percaya tetapi bukti yang ditunjukkan oleh Irwan tadi memaksanya untuk percaya.

            Dulu dia selalu menyangka Irwan saja yang perasan dengan layanan yang diberi oleh Syella. Tapi sekarang dia berasa bersalah pula kerana menyangka Irwan yang bukan-bukan. Kalau Syella tidak memberi harapan, dia yakin Irwan tidak akan berperasaan sebegitu. Tiba-tiba dia berasa kasihan dengan Irwan.

            Baginya, Irwan seorang lelaki yang baik. Selalu menjaga solat, bertanggungjawab, bersifat melindungi dan segala sifat baik yang lain. Dia tidak sanggup melihat Irwan dikecewakan oleh kawan baiknya sendiri. Kalau betul Syella tidak pernah sukakan Irwan, mengapa diberi harapan kepada lelaki itu?

            Namun dia juga tahu yang dia tidak berhak menilai Syella selagi dia tidak mendengar daripada mulut Syella sendiri. Tidak adil rasanya jika dia menuduh Syella tanpa memberi peluang kepada Syella untuk menjelaskan segala-galanya.

            Namun seperti kata Irwan, dia juga sebenarnya merasakan perubahan sikap Syella. Syella sekarang sudah jarang meluangkan masa bersama mereka.

“Apa yang kau menungkan tu, Sya?” tegur Fauziah.

Eisya mengalih pandangan kepada Fauziah. Fauziah sedang bersiap-siap untuk keluar.

“Aku tengah fikir pasal Syella. Sejak akhir-akhir ni, dia macam kerap sangat balik lambat,” balas Eisya sambil memerhatikan Fauziah bersiap.

“Alah, tak payahlah kau risaukan sangat pasal Syella tu. Dia dah besar, tahulah dia fikir mana baik mana buruk,” jawab Fauziah sambil membetulkan tudung di depan cermin.

“Harap-harapnya, macam tulah. Eh, kau nak pergi mana malam-malam ni?” Eisya melihat jam pada skrin telefon bimbitnya. Kebiasaannya jika mahu ke mana-mana, Fauziah akan mengajaknya bersama.

“Aku ada group discussion kat perpustakaan, nak siapkan assignment. Aku pergi dulu tau.” Selepas berpuas hati dengan penampilannya, Fauziah mencapai beg dan bukunya lalu meninggalkan Eisya seorang diri.

Assignment?”

Entah mengapa perkataan itu mengingatkan Eisya kepada Danish.

 

 

 

TELEFON BIMBIT di atas meja ditenung buat sekian kali. Masih tiada apa-apa mesej atau panggilan yang masuk. Sudah dua hari berlalu namun Danish langsung tidak menghubunginya.

Eisya mula bimbang. Bimbang mereka tidak dapat menyiapkan projek yang diberi. Mana tak bimbang, projek ini menuntut 40 markah daripada keseluruhan markah subjek. Dia bukanlah pandai sangat, justeru dia cuma menaruh harapan pada projek-projek sebegini untuk mendapatkan markah.

“Macam mana ni? Takkan aku yang nak mesej dia dulu? Nanti orang kata aku macam perigi cari timba pula. Eh, tapi aku bukan nak mengurat dia pun.” Eisya bermonolog sendirian.

“Tapi kalau aku tak mesej dia, entah bila projek kita orang nak siap. Kalau projek ni tak siap, aku juga yang susah nanti.” Eisya mencapai telefon bimbitnya dan mencari nama Danish dalam senarai nombor telefon simpanannya.

Pada mulanya, dia ingin menelefon Danish namun kemudian dia berubah fikiran. Lebih baik dia menghantar mesej saja. Jika Danish tidak membalas mesejnya pun tak adalah dia berasa malu sangat. Sekurang-kurangnya Danish membaca mesejnya.

Selepas menekan butang ‘hantar’, Eisya menunggu seketika. Lima minit, sepuluh minit, setengah jam... Namun Danish masih tidak membalas mesejnya. Mana pula dia pergi? Atau dia sengaja tak nak balas mesej aku? Eisya mendengus geram.

Tiada ulasan: