Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Mac 08, 2014

Dia... Jejaka Pendiam - Bab 6


PINTU bilik pejabat yang tertera nama DR. OTHMAN BIN ZAINUL itu dibuka dari dalam. Seorang pelajar keluar dari bilik itu sambil menangis teresak-esak. Di belakangnya, seorang rakannya sedang berusaha memujuk dan menenangkannya.

            “Dahlah, tak payahlah menangis.”

            “Macam mana aku tak menangis kalau projek kita kena reject?”

            “Tak apalah, sekurang-kurangnya Dr. O beri peluang untuk kita baiki semula.”

            “Ini semua kau punya pasallah! Kau yang cadangkan kita buat bahagian sendiri-sendiri,” marah pelajar itu.

            “Eh, aku pulak? Dah kau pun tak bantah, kan?”

            Pertengkaran dua sahabat itu membuatkan Eisya dan Danish yang sedang menunggu di luar bilik itu terkedu. Mereka berbalas pandangan.

            “Ha, Eisya, Danish, buat apa berdiri kat luar? Masuklah,” pelawa Dr. O.

            Serentak Eisya dan Danish berpaling ke arah pensyarah mereka itu. Perlahan-lahan kedua-duanya menapak ke dalam bilik pejabat Dr. O. Selepas dipelawa, masing-masing melabuhkan punggung.

            “Awak berdua tahu kenapa saya panggil awak berdua?” soal Dr. O.

            Eisya memandang Danish. Danish memandang Eisya. Kemudian, kedua-duanya memandang Dr. O lalu menggeleng.

            Dia sendiri terkejut apabila Dr. O menyuruhnya datang ke bilik pejabat pensyarah itu pagi tadi. Lebih mengejutkannya apabila melihat Danish turut berada di situ. Sangkanya, dia tidak perlu bertemu dengan Danish lagi. Ternyata harapannya itu meleset.

            “Awak berdua ni ada masalah ke?” tanya Dr. O lagi. Kedua-dua wajah pelajar di hadapannya itu diamati. Nampak sangat yang mereka berasa kekok antara satu sama lain.

            “Tak ada,” jawab Eisya laju. Kenapa pulak Dr. O fikir mereka ada masalah?

            “Betul awak berdua tak ada masalah?” ulang Dr. O inginkan kepastian.

            Eisya dan Danish diam.

            Melihatkan kebisuan mereka, Dr. O menyambung, “Kalau awak berdua tak ada masalah, boleh awak berdua jelaskan kepada saya kenapa tugasan awak berdua teruk sangat?”

            Dr. O mencampak sekeping cakera padat di hadapan mereka.

            Design setiap slide tak sama, warna cacar marba, nampak sangat buat kerja asing-asing,” tegas Dr. O.

            Eisya tunduk merenung lantai. Dia tahu ini semua salah dia. Dia yang mencadangkan kepada Danish agar mereka membuat tugasan itu secara berasingan. Dia buat begitu sebab dia tidak mahu duduk berdua dengan Danish.

Rasanya jika mereka berdua buat tugasan itu bersama-sama pun, pastinya tiada apa-apa yang berbeza pun. Danish tetap tidak akan bercakap sangat. Jadi, lebih baik mereka buat kerja asing-asing.

“Terus terang, saya kecewa dengan awak berdua. Saya mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada awak berdua. Tapi ternyata awak berdua mensia-siakan peluang yang saya beri.”

Dr. O diam sejenak sebelum menyambung, “Saya nak awak berdua buat balik tugasan ni dan hantar semula pada saya. Kali ni, saya nak awak berdua bekerjasama sebagai satu pasukan. Duduk berbincang dan bekerja bersama-sama.”

Dia yakin mereka berdua ada kelebihan masing-masing. Jika mereka bijak mengimbangkan kelebihan yang mereka ada, dia pasti tugasan mereka akan menjadi jauh lebih baik.

Eisya melepaskan keluhan. Nampaknya dia sudah tiada pilihan lain lagi. Mahu tidak mahu, dia tetap perlu menghabiskan masa dengan Danish sehingga tugasan mereka siap. Sekurang-kurangnya seminggu!

 

 

 

“ISY, apalah Dr. O ni! Kita dah buat cantik-cantik pun kena komen teruk jugak. Bukannya teruk sangat pun,” rungut Eisya sejurus mereka keluar dari bilik Dr. O. Punyalah penat dia bersengkang mata demi menyiapkan tugasan itu tapi sudahnya kena buat semula!

            Eisya memandang Danish yang hanya diam dari tadi. Baru dia sedar yang dia cuma bercakap seorang diri. Berbeza dengan dirinya, Danish menerima komen itu dengan tenang.

So, bila kita nak start buat amendment ni?” tanya Eisya.

“Sabtu dan Ahad saya tak boleh,” balas Danish.

“Kenapa pulak?” Eisya mempamerkan riak tak puas hati.

Kalau nak diikutkan, Sabtu dan Ahad sajalah waktu yang mereka ada memandangkan hari lain mereka perlu menghadiri kelas. Tambahan pula, jadual kelas mereka tidak sama. Lagipun, mereka sudah kesuntukan masa. Mahu tak mahu, mereka harus korbankan cuti hari minggu untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Danish tidak menjawab.

Melihatkan itu, Eisya bertanya lagi. “Habis tu, bila nak buatnya?”

“Emm...” Danish berfikir sejenak sebelum bersuara, “Bagi nombor telefon.”

“Ha?” Spontan perkataan itu terkeluar daripada mulutnya.

Adakah dia tersalah dengar? Danish meminta nombor telefonnya? Nak buat apa? Eisya teragak-agak. Perlu ke?

“Kenapa? Awak takut pakwe awak marah ya?” Danish cuba menebak.

“Saya mana ada pakwelah!” marah Eisya.

Entah mengapa soalan Danish itu seolah-olah menyindirnya. Mentang-mentanglah dia hanya memakai baju-T dan seluar jean. Alat mekap pun tak mampu nak beli.

“Garang macam mak tiri, memanglah tak ada siapa nak,” jawab Danish perlahan tapi masih dapat didengari oleh Eisya.

Mata Eisya membulat. “Apa awak cakap?”

Bukannya dia tak dengar tapi dia sengaja nak tengok sama ada Danish berani atau tidak mengulangi ayatnya tadi.

“Saya cakap awak ni garang macam mak tiri,” ulang Danish dengan berani.

Sungguhpun nada suara Danish masih lembut tetapi kata-kata itu tetap merentap tangkai hatinya. Tak pernah lagi ada orang yang kata dia garang macam mak tiri.

Amboi, sesedap hati dia aje kata orang garang macam mak tiri. Siapa kata mak tiri tu semua garang? Entah-entah dia ni ada mak tiri yang garang tak?

            “Berilah nombor telefon, mak tiri.” Danish sudah mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket dan bersedia untuk mencatat nombor telefon Eisya.

            Nak tak nak, Eisya menyebut juga nombor telefon bimbitnya lambat-lambat. Harap-harap Danish tak ‘jual’ nombor telefonnya. Alah, kalau ‘jual’ pun, tak ada siapa yang nak beli kut.

            Tidak lama kemudian, Danish membuat missed call di telefon bimbitnya. Eisya melihat telefon bimbitnya. Nombor telefon Danish disimpan dalam contact.

            “Kalau ada apa-apa nanti, saya beritahu ya, mak tiri.” Danish turut menyimpan nombor telefon Eisya dalam telefon bimbitnya dengan nama ‘mak tiri’.

            “Ee, suka-suka hati aje panggil orang mak tiri. Sejak bila pulak saya kahwin dengan ayah awak?” marah Eisya. Panggilan itu dirasakan terlalu tua untuknya. Tak sesuai.

            “Janganlah marah, mak tiri,” Danish memujuk.

            Tengok tu, panggil orang mak tiri lagi! Eisya ingin memarahi Danish namun rasa marahnya hilang apabila melihat senyuman Danish.

             “Saya ada hal, saya pergi dulu ya. Apa-apa nanti SMS. Bye, mak tiri!” ujar Danish lantas terus berlalu sebelum Eisya sempat menahan.

            Eisya melepaskan keluhan geram. Entah apa-apalah si Danish ni. Tak pasal-pasal dia mendapat gelaran ‘mak tiri’ pula hari itu.

 

 

 

“MAK TIRI?” Fauziah tergelak selepas mendengar cerita Eisya.

            “Gelaklah, gelak. Kau ni memang suka gelakkan aku, kan?” Eisya geram melihat Fauziah yang tidak henti ketawa dari tadi. Dia sangka Fauziah akan bersimpati dengannya sebaliknya dia pula yang digelakkan.

            “Kelakar juga si Danish tu ya,” ujar Fauziah bersama sisa tawa yang masih ada.

            “Apa yang kelakarnya?” tanya Eisya. Entah apa yang melucukan temannya ini sampai ketawa tidak henti.

            “Yalah, orang lain punyalah panggil makwe dia orang dengan panggilan sayang, darling, honey, b... tup, tup, dia panggil kau mak tiri?” Fauziah tergelak lagi.

            Excuse me, bila masa pulak aku jadi makwe dia?” Eisya membantah.

            “Alah, anggap ajelah tu panggilan manja dia untuk kau.” Fauziah semakin galak mengusik.

            “Banyaklah kau punya panggilan manja!” marah Eisya.

            “Hah, tengok! Kan betul kata Danish, kau memang garang macam mak tiri,” giat Fauziah.

            “Amboi, kau ni kawan siapa sebenarnya? Dahlah, lepas ni aku tak nak cerita apa-apa lagi kat kau.” Eisya menarik muka.

            “Eleh, merajuklah pula.”

            Eisya masih berpura-pura merajuk.

            “Tadi kau kata nak makan, kan? Jom!” ajak Fauziah. Sengaja mengumpan Eisya.

            “Aku baru teringat. Nasib baik kau ingatkan aku. Aku SMS Syella kejap.” Eisya mencapai telefon bimbitnya mahu menghubungi Syella untuk mengajaknya makan bersama. Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Dia membaca SMS itu.

            “Syella keluar. Dengan Irwan kut. Kita makan berdua ajelah.” Eisya memberitahu Fauziah tentang kandungan SMS yang dikirim oleh Syella.

Walaupun Syella tidak menyatakan dengan siapa dia keluar tetapi Eisya seolah-olah sudah dapat mengagak. Mungkin mereka sudah berbaik-baik semula. Fikir Eisya.

Peristiwa dia ternampak Syella makan bersama Irwan hari tu dan kejadian pagi tadi dibiarkan berlalu. Biarlah Syella dengan kehidupannya. Dia sudah besar. Pandai-pandailah dia menjaga diri. Dia malas nak masuk campur.

Cuma dia agak terkilan apabila Syella tidak berterus terang dengannya. Dia bukannya ingin menyibuk tentang kehidupan Syella. Cukuplah sekadar Syella memberitahu dia keluar dengan siapa dan di mana. Bukan apa, kalau terjadi apa-apa kepada temannya itu, mudahlah dia mahu mencari.

Tapi nampak gayanya, Syella memilih untuk berahsia dengannya. Jadi, takkan pula dia nak terhegeh-hegeh bertanya?

Tiada ulasan: