Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Februari 28, 2014

Dia... Jejaka Pendiam - Bab 5


BUNYI alarm telefon bimbitnya mengejutkannya daripada lena. Perlahan-lahan dia mencapai telefon bimbit tersebut lantas mematikan alarm. Seketika kemudian, dia kembali memejamkan mata. Rasa mengantuk masih menguasai dirinya.

            Namun beberapa saat kemudian, bunyi SMS masuk pula mengganggu lenanya.

            “Isy, siapa pula yang mesej pagi-pagi ni!” Eisya merungut sendiri. Namun dalam keadaan separa sedar, tangannya masih melihat mampu mencapai telefon bimbit yang tadinya diletakkan di sisi katil.

            Dengan mata yang berat untuk dibuka, dia gagahkan juga untuk membaca mesej yang diterima. Nama Syella mengisi pandangan matanya.

            “Sya, hari ni aku lambat. Kau pergilah dulu ya. Tak payah tunggu aku.”

            Dalam keadaan mamai, Eisya membaca mesej yang dikirimkan oleh Syella. Lambat apa? Kan awal lagi ni?

            Telefon bimbit diletakkan ke tepi. Dia kembali menyambung tidur. Namun tiba-tiba sahaja dia tersedar. Dia melihat digit yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.

Alamak! Dia pun sudah lambat sebenarnya. Apalagi, bergegas dia mencapai tuala dan perkakas mandi lantas segera berlalu ke bilik mandi. Harap-harap tak ramailah orang kat bilik mandi.

Cukup dengan menggosok gigi dan mandi ala kadar, Eisya pantas bersiap. Mujur juga dia bukan gadis yang mementingkan penampilan diri. Asalkan menutup aurat, itu pun sudah cukup baginya. Hanya berbaju-T lengan panjang, jean dan tudung ringkas, sekejap saja dia sudah bersiap.

Sebelum mengunci pintu bilik, sempat dia mencampak baju kotor ke dalam bakul yang diletakkan di tepi pintu. Kemudian, pantas dia menuruni tangga. Nasib baiklah biliknya hanya terletak di tingkat dua. Kalau tak, memang jenuh juga dia nak turun naik tangga setiap hari.

Sejurus melepasi pagar asrama, dia terlihat kereta yang amat dikenalinya cantik terparkir di situ. Apabila menyedari kehadirannya, si pemandu melambai lalu keluar dari kereta.

“Wan, apa kau buat kat asrama perempuan ni? Bukan kelas dah start ke sekarang?” tanya Eisya, kemudian dia melihat digit yang tertera pada telefon bimbitnya. Ke dia yang salah tengok jam? Dia punyalah berkejar kerana takut terlewat ke kelas, tapi si Irwan ni boleh pula bersenang-lenang kat depan kolej ni.

“Syella suruh tunggu dia,” jelas Irwan.

“Hah? Syella suruh kau tunggu dia?” Eisya mula sangsi. Bukan tadi Syella bagi mesej suruh dia pergi dulu ke? Tapi kenapa suruh Irwan tunggu pula?

“Alang-alang ni, sekali ajelah. Naik kereta aku,” pelawa Irwan.

Eisya teragak-agak nak terima pelawaan Irwan. Nanti apa pula kata Syella? Kacau daunlah pula.

“Tak apalah, aku jalan kaki aje.” Eisya menolak. Segan pula dia nak tumpang kereta Irwan. Lagipun, bukannya jauh sangat pun kelas mereka. Lambat-lambat jalan pun nanti sampai juga. Bukannya dia tak biasa berjalan kaki.

“Alah, tak payah nak segan-segan. Jomlah,” ujar Irwan seolah-olah tahu apa yang bermain dalam benaknya.

Belum sempat Eisya memberikan jawapan, Syella muncul. Wajahnya jelas terkejut tatkala melihat Eisya di situ. Namun, sedaya mungkin dia cuba memaniskan wajah.

“Eh, kau orang pun tak pergi kelas lagi?” Syella pura-pura bertanya.

Wajah Irwan sudah terkulat-kulat. Tidak mengerti akan tindakan Syella itu.

“La, bukan ke kau yang suruh Irwan tunggu kau? Aku pun bangun lambat tadi. Tak sempat nak balas mesej kau,” jelas Eisya tanpa sedikit pun perasaan syak wasangka.

“Taklah... mana ada!” nafi Syella.

Dahi Eisya berkerut. Aik? Lain pula jawapannya. Seorang kata orang ni suruh tunggu, seorang lagi pula kata sebaliknya. Mana satu yang betul ni?

 

 

 

SEJURUS kereta Irwan berhenti di dalam kotak parkir, Syella tergesa-gesa keluar dan berlalu ke kelas tanpa menghiraukan Irwan dan Eisya. Kelakuan Syella itu mengundang tanda tanya dalam kepala Eisya.

            Eisya benar-benar tidak faham dengan sikap temannya itu akhir-akhir ini. Syella seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Adakah Syella marah kerana dia menumpang kereta Irwan?

            “Wan, Syella marah aku ke?” Sempat Eisya bertanya tatkala dia dan Irwan beriringan ke kelas. Syella sudah jauh di hadapan. Irwan juga tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengejar.

            “Taklah,” balas Irwan.

            “Habis tu, kenapa tiba-tiba aje dia naik angin?” Eisya benar-benar rasa bersalah saat itu. Dia tak suka apabila dirinya menjadi punca pergaduhan orang lain.

            “Alah, biasalah. Nanti okeylah tu.”

            Apa yang biasa? Isy, tak faham sungguhlah! Keluh Eisya dalam hati.

           

 

 

SELEPAS tamat kelas, Syella terus mengemaskan barang-barangnya dan beredar dari kelas tanpa menunggu Irwan seperti biasa. Irwan yang mengejar di belakang langsung tidak dihiraukannya.

            “Syella!” panggil Irwan.

            Namun, Syella tetap meneruskan langkahnya. Malah, semakin laju. Melihatkan itu, Irwan menarik beg yang digalas oleh Syella. Langkah Syella terhenti.

“Kenapa awak tiba-tiba naik angin ni? Saya ada buat salah ke?” tanya Irwan. Sangkanya, marah Syella sudah reda. Tapi ternyata Syella masih menyimpan kejadian tadi dalam hati.

“Ya, memang awak salah. Kenapa awak cakap kat Eisya yang saya suruh awak tunggu saya tadi?” marah Syella namun masih dalam intonasi yang terkawal. Dia tidak mahu kawan-kawan mereka yang masih berada di sekitar kelas mendengar pertengkaran mereka. Sudahlah mereka digosipkan bercinta, nanti apa pula gosip yang tersebar apabila pertengkaran mereka menjadi tontonan ramai.

“La, salah ke?” Irwan pelik. Takkan pasal itu pun Syella nak marah sampai merajuk dengannya satu hari? Lagipun, Eisya tu pun bukannya orang lain dengan mereka.

Jawapan Irwan yang selamba itu membuatkan Syella bengang. Takkanlah itu pun tak boleh fikir? Takkan itu pun dia nak kena cakap? Pandai-pandailah fikir sendiri!

“Isy, susahlah cakap dengan awak ni!” ujar Syella geram. Dia kembali mengatur langkah. Semakin lama dia bercakap dengan Irwan, semakin membara rasa sakit hatinya. Susah nak bercakap dengan orang yang tak faham ni.

Irwan turut menyaingi langkahnya. Masih tidak berpuas hati.

 

 

 

EISYA terpinga-pinga melihat Syella berlalu begitu sahaja. Usah kata nak tegur, pandang pun tak.

Sah! Syella marahkannya. Aduh, Eisya! Apa yang kau dah buat ni? Tak pasal-pasal dia orang bergaduh. Eisya memarahi dirinya sendiri.

Sepatutnya dia menolak pelawaan Irwan untuk menumpang keretanya tadi. Tapi manalah dia tahu yang Syella akan bad mood begitu. Lagipun Irwan yang beria-ia mengajaknya. Dia sendiri pun serba salah dibuatnya.

Kalau dia tak tumpang kereta Irwan, mesti Irwan ingat dia tak sudi nak naik keretanya. Yalah, kereta Irwan biasa-biasa sahaja. Hanya kereta Kancil. Walaupun sebenarnya dia tak kisah langsung pasal tu.

Bila dia dah tumpang, ini pula yang jadi. Sumpah, dia sendiri tidak menyangka yang Syella akan ‘mengamuk’ sebegitu. Kalau dia tahu, nescaya dia takkan naik kereta Irwan.

Tapi kalau difikirkan semula, tak ada salah pun. Syella juga yang cakap dia dan Irwan cuma berkawan. Jadi, kenapa pula Syella nak marah-marah? Lainlah kalau Irwan tu pakwe dia atau Syella memang ada hati pada Irwan? Jadi, dia cemburu kalau ada perempuan lain yang rapat dengan Irwan?

Hai, entahlah! Pandai-pandailah kau orang. Eisya lekas-lekas mengemas bukunya. Bersiap-siap untuk keluar dari kelas itu. Lebih baik dia balik ke bilik daripada sibuk-sibuk memikirkan hal orang lain.

Namun, langkah kakinya terhenti apabila namanya dipanggil oleh Dr. O.

            “Farisha, jumpa saya kat ofis.”

            Gulp! Eisya menelan air liur. Jumpa Dr. O kat ofis? Apa hal pula Dr. O panggil aku pergi ofis? Eisya tertanya sendiri. Biasanya, pelajar yang bermasalah saja yang ‘dijemput’ ke bilik pensyarah. Adakah dia salah seorang daripadanya? 

Tiada ulasan: