PINTU kereta Proton
Persona silver itu dihempas kuat sebaik-baik sahaja dia melabuhkan punggung di
sebelah tempat duduk pemandu. Sengaja ingin menunjukkan perasaan marahnya.
Namun belum pun sempat dia mengenakan tali pinggang keselamatan, kereta yang
dipandu oleh teman lelakinya itu sudah meluncur laju meninggalkan pusat
beli-belah One Utama itu. Hampir sahaja kepalanya terhantuk pada dashboard kereta itu.
Dia menoleh ke arah teman lelakinya.
Geram. “Amboi, marah nampak! Siapa yang patut marah sebenarnya ni?” sinisnya.
Namun, soalannya itu tidak mendapat respons daripada teman lelakinya.
Melihatkan itu, kemarahannya semakin membara. “Saya bercakap dengan awak ni,
kenapa awak diam?”
“Boleh tak awak
jangan serabutkan kepala otak saya ni lagi? Saya ni dahlah penat bekerja, nak
terkejar-kejar ambil awak lagi. Kalau hari-hari macam ni, teruklah saya,”
rungut Hezry.
Iyleeya tersentak. “Okey, kalau awak rasa
saya ni menyusahkan, lain kali awak tak payahlah ambil saya lagi. Tak payah
pedulikan saya lagi.” Iyleeya memeluk tubuh. Nadanya seakan-akan merajuk. Kecik
hatinya apabila Hezry menganggapnya sebagai beban. Apa guna ada teman lelaki
jika tidak boleh menjemput dan menghantarnya ke mana-mana?
“Tengok tu. Saya cakap sikit, awak
merajuk. Saya tegur sikit, awak tarik muncung. Saya ni kan bekerja.” Hezry cuba
mengawal kemarahannya.
“Jadi, kerja awak tu lebih penting
daripada sayalah ya?” Iyleeya tidak berpuas hati dengan alasan teman lelakinya
itu.
“Cubalah awak faham sikit keadaan saya.
Saya ni kan bekerja dengan orang. Syarikat tu bukannya syarikat bapak saya yang
saya boleh masuk dan keluar ikut sesuka hati,” luah Hezry.
“Habis tu, takkan awak sanggup biarkan saya
berhimpit kat dalam bas tu?” Iyleeya masih tidak mahu mengalah. Baginya, tugas
menjemput dan menghantarnya ke mana-mana sudah menjadi tanggungjawab Hezry
sebagai teman lelakinya. Apa guna ada teman lelaki jika tugas yang senang itu
pun tidak dapat dilakukannya?
“La, buat apa awak nak susah-susah naik
bas? Teksi kan berlambak kat One Utama tu?” ujar Hezry separuh menyindir.
Adakalanya dia malas hendak melayan kerenah Iyleeya yang terlebih manja itu.
Mata Iyleeya membulat mendengar kata-kata
Hezry. Sangkanya, Hezry akan memujuknya. Jadi, tidak perlulah dia menaiki
teksi. Bukannya Hezry tidak tahu yang dia tidak suka menaiki pengangkutan awam
terutamanya teksi. Dia berasa tidak selamat ekoran banyak kes jenayah yang
membabitkan pemandu teksi.
“Sanggup awak biarkan saya naik teksi?”
soal Iyleeya, sekadar menduga.
“Kalau awak tak nak naik teksi, lebih baik
awak ambil lesen memandu. Nak pergi mana-mana pun senang. Tak adalah
menyusahkan orang,” ujar Hezry lagi. Emosinya kurang baik pada hari itu
gara-gara tidak tidur semalaman.
“Oo… sekarang baru awak nak cakap saya ni
menyusahkan awak?” Iyleeya berasa terkedu mendengar kata-kata Hezry. Sebelum
ini tidak pernah pula Hezry merungut apabila diminta menghantar dan
menjemputnya di mana-mana. Ke kolej, ke kompleks membeli-belah, ke salon, ke
bank. I will be your driver foreverlah
kononnya, kan?
Namun sejak akhir-akhir ini, Hezry sering
sahaja datang lewat daripada waktu yang diberitahu. Tadi pun sudah hampir tiga
jam dia menunggu. Manalah dia tidak marah. Sudahlah barang di tangannya banyak.
Setakat Damansara Perdana tu, bukannya jauh sangat pun.
Iyleeya merenung wajah Hezry yang
kelihatan tekun memandu. Benarkah teman lelakinya itu sibuk dengan kerja atau
teman lelakinya itu sudah mempunyai perempuan lain?

SETIBANYA di hadapan pagar rumahnya di kawasan perumahan
Bayu Damansara, Kota Damansara, Iyleeya terus keluar tanpa sepatah kata. Sekali
lagi pintu kereta Proton Persona milik Hezry itu dihempas kuat sebagai tanda
yang dia masih marah. Sejurus itu, Hezry terus memecut keretanya berlalu dari
situ. Iyleeya berasa hampa kerana Hezry tidak berusaha memujuknya seperti
selalu.
Ee, bencinya! Iyleeya menghentak-hentakkan
kakinya. Geram benar dia dengan sikap Hezry yang tidak mempedulikannya. Tak
apa, tak apa. Awak ingat awak seorang saja ke yang boleh buat tak peduli? Saya
pun bolehlah! Jangan harap saya nak telefon awak selagi awak tak minta maaf
dengan saya. Kita tengok siapa yang akan mengalah dulu.
Iyleeya berpaling untuk masuk ke dalam
pagar rumah apabila tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Jangan-jangan Hezry
tak? Tahu pun takut. Iyleeya segera mencari telefon bimbitnya di dalam beg
tangan. Namun, air muka yang tadinya berseri-seri kerana menyangka si buah hati
yang akan memujuk berubah kelat apabila melihat nama si pemanggil. Walaupun
hampa, namun panggilan itu tetap dijawabnya.
“Ha, nak apa?” soalnya sebelum sempat si
pemanggil berkata apa-apa, apatah lagi memberi salam.
“Leeya, kau kat mana tu? Aku bosanlah. Jom
lepak,” balas si pemanggil.
Iyleeya melihat jam di tangannya. Baru
pukul 6.00 petang. Sempat lagi jika hendak keluar. Dia pun tidak berbuat
apa-apa. Sejak tamat pengajian di universiti hampir sebulan yang lalu, hidupnya
hanya makan, tidur, menonton televisyen, jalan-jalan dan berdating dengan
Hezry. Itu pun jika Hezry mempunyai masa untuknya. Jika tidak, terpaksalah dia
menghabiskan masanya seorang diri seperti tadi.
“Nak lepak kat mana?” soalnya.
“Mana-manalah. One Utama ke.”
“Alah, aku baru saja balik dari sana.
Tempat lainlah.”
“The Curve?”
“Okey tapi kau kena ambil akulah.” Iyleeya
mengenakan syarat seperti selalu kerana dia memang tidak suka menaiki
pengangkutan awam. Terpaksa menunggu lama dan berhimpit dengan orang yang tidak
dikenalinya. Tambahan pula, pengangkutan awam seperti bas dan teksi tidak masuk
ke kawasan perumahannya.
“Alah, kau ni asal nak keluar saja, nak
kena berjemput. Lecehlah. Kau naiklah teksi,” cadang si teman.
“Kau yang ajak aku keluar, bukan? Kalau
kau tak nak ambil aku, tak apa. Tak payahlah keluar.”
“Yalah, yalah. Aku ambil kau. Kau kat mana
ni?”
“Kat rumah.”
“Okey, sekejap lagi aku sampai.”

SELEPAS 15 minit menunggu, sebuah kereta MyVi berwarna
putih berhenti di hadapan rumah Iyleeya. Iyleeya yang sudah sedia menunggu di
ruang tamu rumahnya tadi bergegas keluar sebaik-baik sahaja terlihat kereta itu
dan terus masuk ke perut MyVi milik temannya itu.
“Kau
buat apa kat One Utama tadi?” tanya Atikah sambil memandu keretanya keluar dari
kawasan perumahan tersebut.
“Jalan-jalan,”
balas Iyleeya.
“Dengan
Hezry?”
“Taklah.
Aku seorang saja.”
“Naik
apa?”
“Naik
keretalah. Hezry hantar.”
“Lepas
tu, kau balik naik apa?”
“Dia
ambillah.”
“Bertuah betul kau dapat pakwe macam Hezry
tu. Tapi Leeya, sampai bila kau nak macam ni? Pergi berjemput, balik pun
berhantar. Kau tak nak ambil lesen kereta ke? Baik kau ambil sekarang, masa
tengah tak ada apa-apa ni. Dah kerja nanti, susah pula nak ambil,” Atikah sudah
mula memberi ceramah tidak berbayarnya.
Dah mula dah perempuan ni. Iyleeya
mengomel dalam hati. Dia berasa bosan apabila sering dileteri tentang perkara
yang sama berulang kali. Lebih-lebih lagi perkara yang tidak disukainya yakni
memandu. Sudah memang dia tiada keinginan untuk mengambil lesen apatah lagi
memandu. “Kenapa pula aku kena ambil lesen?”
“Yalah supaya senang kau nak pergi ke
mana-mana. Kau tu bukannya muda lagi. Umur dah 24 tahun tapi masih tak ada lesen
memandu. Tengok aku, habis sekolah saja terus ambil lesen. Adik aku yang baru
umur 18 tahun tu pun dah ada lesen kau tahu?”
“Adik kau, adik kaulah. Aku, aku. Lagipun
buat apa aku nak bersusah payah ambil lesen? Hezry kan ada. Dia boleh ambil dan
hantar aku,” balas Iyleeya. Isy, kenapalah semua orang sibuk sangat pasal lesen
ni? Suka hati akulah nak ambil atau tak. Bukannya wajib pun.
“Hezry? Sampai bila dia boleh jadi drebar
kau? Sekarang ni bolehlah lagi. Esok-esok bila dah tua? Aku gerenti lama-lama
nanti mesti dia pun malas nak layan kerenah kau. Mana ada lelaki yang sanggup
jadi drebar seumur hidup?” Atikah menekan pedal brek perlahan-lahan dan menekan
pedal klac sepenuhnya tatkala melihat lampu isyarat menunjukkan lampu merah.
Brek tangan ditarik dan tuil gear ditolak ke tahap neutral.
“Ayah aku! Dari dulu sampai sekarang, ayah
aku masih setia ambil dan hantar mak aku ke mana-mana saja tahu,” ujar Iyleeya.
Terselit perasaan kagum kerana ayahnya tidak pernah sekalipun merungut apabila
terpaksa menghantar dan menjemput ibunya ke mana-mana. Malah, ayahnya pasti
berasa susah hati jika membiarkan isteri kesayangannya itu menaiki pengangkutan
awam.
“Kau yakin ke Hezry tu boleh jadi drebar
yang setia macam ayah kau? Zaman sekarang kalau tak ada lesen memandu, susah
tahu Leeya. Buatnya masa tu tiba-tiba Hezry kena pergi outstation ke dan kau pula ada kecemasan nak kena pakai kereta.
Macam mana?”
“Lampu hijau dah tu,” ujar Iyleeya dengan
harapan Atikah tidak meneruskan ceramahnya yang membosankan itu.
Menyedari itu, Atikah pantas melepaskan
brek tangan dan masuk gear satu sebelum menekan sedikit pedal pemecut dan
sekali gus melepaskan pedal klac perlahan-lahan. Apabila keretanya mula
bergerak dengan perlahan, dia melepaskan pedal klac sepenuhnya. Segala-galanya dilakukan
dengan pantas. Sambil mengawal stereng, mulutnya masih tetap lancar melontarkan
hujah-hujahnya mengenai kepentingan memiliki lesen memandu kepada Iyleeya.
Adakalanya Iyleeya berasa kagum dengan
kecekapan Atikah memandu sambil berceloteh tidak sudah. Yalah, mata kena
pandang ke hadapan, cermin pandang belakang dan sisi, tangan kena kawal
stereng, brek tangan dan signal, manakala kaki pula kena sentiasa bersedia
dengan pedal pemecut, pedal klac dan pedal brek. Kadang-kadang pula Atikah
masih boleh melayan lagu yang berkumandang di radio keretanya.
Mungkin itulah yang dikata orang, practise make perfect. Pengalaman enam
tahun memandu sudah cukup membuatkan Atikah cekap mengendalikan kenderaan empat
roda itu. Kadang-kadang Iyleeya berfikir sendiri, mampukah dia melakukannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan