Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Oktober 06, 2013

Cerpen: Anak



“MAMA!”

            Suara itu menangkap pendengarannya sejurus dia melangkah keluar dari komuter di stesen Subang Jaya. Dia berpaling ke arah suara itu. Seorang kanak-kanak perempuan tersenyum girang tatkala melihatnya. Ajaibnya, segala penat lelahnya mencari rezeki sepanjang hari seolah-olah hilang. Automatik badannya yang kepenatan menjadi segar.

            Namun, dia hanya mampu melihat kanak-kanak perempuan itu memeluk seorang wanita lain yang muncul dari arah belakangnya. Wanita itu kemudiannya mengucup dahi kanak-kanak perempuan itu. Sewaktu dia berselisih dengan dua beranak itu, kanak-kanak perempuan itu petah menceritakan sesuatu yang berlaku di sekolahnya pada hari itu.

Tiba-tiba hatinya dijerut rasa cemburu. Betapa dia cemburu menyaksikan adegan itu. Bilakah dia juga dapat merasai perasaan bergelar seorang ibu? Dapat memeluk dan mengucup seseorang yang lahir daripada rahimnya sendiri. Mendengar setiap celoteh yang dilontarkan oleh si anak.

            “Kenapa muram aje ni? Masalah kat tempat kerja lagi?” soal si suami apabila dia melabuhkan punggung di dalam kereta. Setiap hari suaminya itu akan menghantar dan menjemputnya dari stesen komuter yang tidak jauh dari rumah mereka.

            Dia cuma menggeleng. “Taklah, penat aje.”

            “Tulah, kan abang dah cakap jangan kerja kuat sangat,” nasihat si suami sambil memandu kereta keluar dari kawasan komuter itu.

            Dia sempat mengeling ke luar tingkap. Seolah-olah tahu akan kehadiran wanita dan kanak-kanak perempuan tadi. Dia terlihat wanita dan kanak-kanak perempuan tadi masih bercerita sambil ketawa bahagia. Hatinya sebak.

           

 

MALAM itu sebelum tidur, dia membelek-belek majalah Mingguan Wanita yang dibelinya petang tadi. Matanya melekat pada suatu artikel yang mengisahkan pengalaman seorang wanita yang dimadukan oleh suaminya dengan alasan masih belum mempunyai anak.

            Cerita artikel itu membuatkan ingatannya terlontar jauh mengingati perbualannya bersama rakan-rakan sekerjanya siang tadi.

“Apa benda yang kecoh-kecoh ni? Ada apa-apa berita baik ke?” Dia bertanya tatkala melihat sekumpulan rakan sekerjanya sedang berkumpul di meja Kak Yati.

“Memang berita baik pun,” ujar salah seorang daripada mereka sambil memandang Kak Yati dengan penuh makna. “Kak Yati mengandung lagi.”

            Dia turut teruja mendengar berita itu. “Wah! Betul ke, kak?”

Kak Yati cuma tersenyum, tanda mengiakan berita itu. Wajahnya jelas tampak bahagia.

“Tahniah!” ucapnya sambil memeluk Kak Yati yang sudah dianggap seperti kakak itu.

            “Terima kasih. Ain bila lagi? Akak dah nak dapat anak kedua dah ni tapi Ain masih macam ni lagi.”

            Dia tersenyum pahit. Cuba menyembunyikan perasaan sayunya tatkala soalan itu diajukan kepadanya.

            “Ain merancang ke?”

            “Tak adalah, kak. Belum ada rezeki lagi,” jawab Ain. Jawapan yang sering diberikan kepada sesiapa yang bertanya. Kalaulah dia ada kuasa, sudah lama dia mempunyai anak. Tapi mengapa mereka seperti tidak memahami? Bukankah itu semua ketentuan Ilahi?

            “Jangan lama-lama, Ain. Nanti umur dah 30-an, dah susah nak dapat anak tau,” nasihat Kak Rozziana pula yang baru seminggu kembali bekerja selepas habis berpantang anak kedua.

            Sedaya mungkin dia cuba menahan rasa. Kalaulah dia tahu topik anak yang sedang mereka bualkan, sudah pasti dia tidak akan menyertai perbualan ini. Namun hatinya lebih terluka apabila ada antara rakan-rakan sekerjanya membuat andaian yang bukan-bukan terhadap dirinya.

            “Dah nak setahun kau kahwin, Ain. Patutnya kau dah mengandung tau. Kawan aku yang baru kahwin sebulan lepas pun dah mengandung tau,” celah salah seorang rakan sekerjanya yang turut berada di situ.

            “Yalah, Ain. Lambatlah kau ni. Ke kau ada masalah? Dah buat pemeriksaan doktor?” tanya rakannya yang lain pula.

            “Lebih baik kau cepat, Ain. Jangan nanti suami kau cari lain dengan alasan nak anak. Masa tu nanti, baru kau menyesal,” tambah mereka lagi.

            Ya, Allah! Lemah sungguh rasa lututnya. Bila-bila masa sahaja air matanya boleh gugur. Mengapa sampai begitu sekali tanggapan mereka? Tidakkah mereka tahu yang kata-kata mereka amat melukakan hatinya?

            Sabar, Ain. Biarkanlah mereka. Maafkan mereka. Mereka tidak tahu masalah kau. Lagipun, mereka yang bercakap itu pun belum berkahwin dan merasai apa yang kau lalui sekarang. Dia cuba memujuk hatinya sendiri. Namun gagal. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata.

            Lantaran itu, dia meminta diri untuk pergi ke tandas. Namun sebelum sempat kakinya menapak ke tandas, air matanya sudah gugur...

           


 

“SAYANG, kenapa menangis ni?” Teguran suaminya menyedarkannya daripada lamunan.

Apabila menyedari kehadiran si suami, cepat-cepat dia menyapu air mata yang mengalir di pipi. Dia tidak mahu suaminya tahu perkara yang sedang difikirkannya. Biarlah dia seorang yang menghadapinya.

“Tak... tak ada apa-apa,” bohongnya.

“Abang tahu, Ain takkan menangis kalau tak ada apa-apa yang melukakan hati Ain, kan? Ceritalah kat abang,” pujuk si suami lembut.

Serta-merta air matanya makin deras. Dia mula teresak-esak. Si suami yang melihat tergamam. Lantas terus mengambil tempat di sebelahnya. Bahunya dipeluk dan digosok-gosok perlahan.

“Kenapa ni, hmmm?”

Dia melepaskan tangisan semahu-mahunya. Entah mengapa dia berasa terlalu sedih apabila memikirkan perkara itu. Mungkin jika orang sekeliling tidak sibuk-sibuk tentang hal itu, hatinya tidak akan terluka seteruk ini. Jiwanya tidak akan tertekan sebegini hebat.

Apabila tangisannya sudah reda, dia menguatkan hati untuk bertanya kepada suaminya, “Abang, bila kita nak ada anak?”

Si suami terdiam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu. Dia juga tahu isterinya sedang tertekan. Sebagai suami, dia perlu memberi sokongan agar isterinya tidak berfikir yang bukan-bukan. “InsyaAllah, bila Allah beri rezeki nanti, adalah ya.”

“Apa kata kita cuba cara bayi tabung uji tu? Tak pun, kita ambil anak angkat aje.” Bibirnya laju mencadangkan pelbagai cara untuk mereka mendapatkan anak. Mungkin betul mereka mempunyai masalah tanpa mereka sedari. “Atau...”

“Syyy...”

Dia terdiam apabila jari suaminya melekap pada bibirnya. Seketika kemudian, tubuhnya dipeluk erat oleh si suami. Dia memejamkan mata. Mencari ketenangan dalam dakapan si suami.

“Abang faham perasaan sayang. Tapi sayang kena kuat ya. Mungkin belum masanya untuk kita jadi ibu dan ayah.” Si suami memujuk.

“Tapi Ain takut... Ain takut kalau abang tinggalkan Ain sebab Ain tak mampu nak beri anak kepada abang.”

Pelukan segera dileraikan.

“Sayang... kenapa cakap macam tu?”

Dia tunduk. Tidak berani menentang renungan tajam si suami. Adakalanya dia jadi takut juga apabila memikirkan kemungkinan itu.

Dagunya disentuh. Kemudian, diangkat menatap pandangan si suami. Dengan perasaan serba salah, dia memandang wajah si suami.

“Bukan ke abang pernah berjanji dengan Ain yang abang akan menyayangi Ain sampai ke akhir hayat abang? Ain lupa?”

“Ain tak lupa tapi...”

Sebelum sempat dia meneruskan ayat, si suami pantas mencelah, “Ain tak percayakan abang? Ain dengar ni, abang janji abang takkan tinggalkan Ain walau apa pun yang berlaku. Okey?” Janji si suami sambil mengusap rambutnya perlahan.

“Abang janji?”

“Abang janji... Dah, tidur. Esok nak kerja, kan?”

Dia mengangguk.

Si suami menepuk-nepuk bantal dan mengarahkannya berbaring. Dia akur lalu merebahkan tubuh. Seketika kemudian, dahinya terasa dikucup. Dia berasa damai...

 


 

“WELCOME to Bandung, sayang!” ucap si suami lalu mengucup ubun-ubunnya sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara.

            “Abang, susah-susah aje. Tak perlulah sampai ke Bandung kalau nak bercuti pun. Kat Langkawi aje kan dah okey?” Dia tersipu-sipu apabila ada mata-mata yang memandang mereka berdua.

            “Alah, sekali-sekala. Lagipun, hari tu kan kita dah pernah pergi Langkawi. Jadi, untuk second honeymoon ni, biarlah jauh sikit. Abang nak Ain relaks,” balas si suami sambil tangannya masih memeluk bahunya. Seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

            Matanya membulat. Terkejut. “Second honeymoon?”

            “Yalah, habis Ain ingat buat apa abang susah-susah rancang percutian ni?” Si suami mengenyitkan mata nakal.

            “Ada-ada ajelah abang ni. Dulu kita pergi honeymoon pun, tak dapat anak juga.” Wajahnya berubah muram. Dia tidak mahu menaruh sebarang harapan. Kelak hatinya juga yang kecewa.

            “Abang cili mulut tu nanti. Yang penting, kita usaha, kan? Selebihnya, biar Allah aje yang tentukan. Dah, jom kita cari Pak Joshie. Boleh kita berehat kat hotel. Mana tahu, untung-untung kita dapat baby made in Bandung,” si suami masih tidak berhenti mengusik.

            Hatinya sedikit terubat apabila melihat wajah ceria si suami. Ya, betul kata suaminya. Yang penting, mereka berusaha. Seharusnya dia bersyukur kerana suaminya tetap setia di sampingnya menempuh dugaan ini bersana-sama. Mudah-mudahan ada rezeki mereka kali ini.

Tiada ulasan: