Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Jun 10, 2013

CERPEN BERKEMBAR


ALANG-ALANG MENYELUK PEKASAM

 

SELEPAS mengucapkan terima kasih, Amani melangkah turun dari kereta Kancil itu. Langkahnya longlai. Dia melihat kertas di tangannya lalu melepaskan keluhan. Gagal lagi. Masuk kali ini sudah empat kali dia gagal dalam ujian menaiki bukit.

Kali pertama dia berjaya namun gagal apabila ujian parking sisi. Kali kedua dan ketiga dia gagal mengawal keseimbangan antara pedal minyak dan pedal klac. Kali ini juga sama. Entah mengapa nasibnya malang sungguh. Mungkin kerana dia gagal membuang perasaan gemuruh, maka semuanya menjadi kelam-kabut.

Pada mulanya, segala-galanya berjalan dengan lancar. Khusus teori dan ujian komputer, kedua-duanya tiada masalah. Malah, dia lulus dengan cemerlang dalam ujian komputer. Namun apabila tiba ujian amali, entah mengapa nasibnya berubah. Mujur dia sudah lulus dalam ujian memandu di jalan raya setelah dua kali mendudukinya.

“Dah empat kali, Amani. Empat kali tau! Berapa banyak lagi duit yang kamu nak habiskan hah?” marah Encik Daniel, ayah Amani. Ternyata dia tidak dapat membendung kemarahan apabila mengetahui Amani gagal dalam ujian memandu lagi.

Amani hanya tunduk. Tidak berani menentang wajah ayahnya itu. Dia tahu dia salah kerana sudah membazirkan wang beribu-ribu ringgit gara-gara gagal dalam ujian memandu. Namun bukan dia yang sengaja hendak gagal, sudah bukan rezekinya. Kalau boleh, dia juga tidak mahu gagal walaupun sekali.  

“Ayah rasa kamu takkan ada harapan untuk lulus ujian memandu tu. Sebelum kamu habiskan beribu-ribu duit lagi, ayah rasa lebih baik kamu berhenti sajalah,” saran Encik Daniel.

“Tapi, ayah...” Amani tidak bersetuju namun Encik Daniel pantas memotong kata-katanya.

“Melainkan kalau kamu ada duit sendiri...” sindir Encik Daniel sebelum beredar ke biliknya.

Amani tersentak. Manalah dia ada duit sendiri. Dia baru sahaja menamatkan persekolahan. Dia mengambil ujian memandu ini pun kerana ingin mengisi masa sementara menunggu keputusan SPM. Dia memandang ibunya. “Mak...”

“Amani yakin Amani nak teruskan?” tanya Puan Aleya yang tadinya cuma mendiamkan diri. Meskipun sudah berkali-kali Amani gagal dalam ujian memandu tetapi dia tidak pernah marah. Sebaliknya, dia sentiasa berdoa agar Amani lulus setiap kali Amani menduduki ujian tersebut.

Tanpa teragak-agak, Amani mengangguk. “Mestilah Amani nak teruskan sampai Amani berjaya, mak. Tapi masalahnya, Amani tak ada duit. Nak bayar duit kelas tambahan lagi.”

“Baguslah kalau Amani berfikir macam tu. Mak suka dengan semangat Amani, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Pasal duit tu, Amani jangan bimbang. Tahulah mak nak uruskan. Cuma kali ni, mak harap Amani dapat buat betul-betul. Kasihan pada ayah. Ayah penat cari duit,” nasihat Puan Aleya.

“Amani janji, mak. Amani akan buat betul-betul. Amani takkan kecewakan mak dan ayah lagi,” janji Amani.

Dan kerana janji itu, Amani bertekad akan berlatih memandu dengan bersungguh-sungguh. Dia menumpukan sepenuh perhatian ketika guru memandunya, Cikgu Andy memberi tunjuk ajar. Cikgu Andy juga memberi tip agar dia tidak berasa gugup ketika ujian nanti.

Tiba hari ujian, Amani cuba mempraktikkan segala ilmu yang diajar oleh Cikgu Andy. Wajah ibu dan ayahnya bermain dalam fikirannya. Dengan lafaz bismillah, dia memasukkan gear, melepaskan pedal klac sedikit demi sedikit dan pada waktu yang sama menekan pedal minyak. Kereta Kancil itu mula bergerak menaiki bukit...

Amani tidak dapat menahan kesedihannya lagi. Air mata yang cuba ditahan gugur juga akhirnya. Dia mendail nombor telefon rumahnya untuk memberitahu berita itu kepada kedua-dua ibu bapanya.

“Mak, Amani berjaya! Amani lulus!” jerit Amani girang.  

 

 

 

RAHSIA ZARA

 

MATANYA melilau ke kiri dan ke kanan. Setelah yakin tiada sesiapa yang melihatnya, dia pantas membuka langkah menuju ke arah sebuah kereta yang diletakkan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk para guru dan staf sekolah.

Dari jauh dia sudah nampak kereta Viva berwarna biru yang terparkir di bahagian tepi tempat letak kereta itu. Langkahnya semakin hampir. Tatkala tangannya baru sahaja ingin membuka pintu kereta di tempat duduk sebelah pemandu, tiba-tiba ada suatu suara yang menegahnya, “Zara!”

Dia tersentak. Kakinya terpaku ke tanah. Darahnya menyirap. Dia berkira-kira sama ada mahu menoleh atau tidak. Kalaulah dia ada kuasa, sudah lama dia bertukar menjadi halimunan supaya dirinya tidak dilihat oleh sesiapa.

“Zara,” panggil suara itu lagi.

Dengan rasa terpaksa, perlahan-lahan dia menoleh ke arah pemilik suara itu. Dia cuba mengukir senyuman kepada temannya itu namun dapat dirasakan kehambarannya.

“Awak buat apa kat kereta pengetua ni?” tanya Syanie hairan.

“Sa... saya... err...” Zara mula gagap. Adakah rahsia yang cuba dijaga selama ini akan terbongkar? Apa yang harus dia beritahu kepada Syanie? Tidak! Syanie tidak boleh tahu. Bahkan satu sekolah tidak boleh tahu tentang hal yang satu itu.

“Tadi pengetua minta tolong saya angkatkan buku,” Zara mencipta alasan. Mujur otaknya dapat memikirkan alasan itu. Dia pasti Syanie tidak akan bertanya lagi.

Penjelasan Zara itu menimbulkan perasaan sangsi dalam hati Syanie. Bilangan pelajar di sekolah itu bukannya sedikit, mustahil pengetua akan meminta bantuan Zara jika pengetua tidak mengenali Zara. Lagipun, agak tidak logik pengetua membiarkan Zara membuka kereta beliau sendirian.

“Mana pengetua?” tanya Syanie sambil melihat sekeliling tempat letak kereta itu.

“Pengetua dah balik ke biliknya. Awak tak nak balik ke?” tanya Zara apabila melihat Syanie masih tidak berganjak dari situ. Zara tahu yang dia harus membawa Syanie pergi dari situ dengan segera. Bila-bila masa sahaja pengetua akan muncul. Kalau Syanie berjumpa dengan pengetua, pasti rahsia yang cuba disimpan selama ini akan terbongkar.

“Saya memang nak balik tapi saya ternampak awak di sini. Sebab itu saya ke sini. Marilah kita balik bersama-sama,” kata Syanie. Sungguhpun dia masih berasa sangsi dengan alasan Zara, namun dia cuba untuk mempercayai kata-kata Zara.

“Eh, tak mengapalah! Saya kena pulangkan kunci kereta pengetua, nanti awak tertinggal bas pula.” Sekali lagi Zara mencipta alasan. Harap-harapnya Syanie akan terus pulang. Namun ternyata sangkaannya meleset.

“Tak mengapa, saya boleh tunggu,” balas Syanie.

Zara mula kalut. Kedegilan Syanie benar-benar menguji benteng kesabarannya. Namun dia masih cuba mengawal perasaannya. 

“Awak baliklah dulu,” Zara masih cuba memujuk. Namun Syanie berkeras mahu menunggunya untuk pulang bersama-sama.

Zara tiada pilihan lain. Demi menjaga rahsianya, dia akur dengan kehendak Syanie. Mereka mula melangkah beriringan untuk meninggalkan tempat letak kereta itu.

“Zara, nak pergi mana pula tu? Bukan ke mak suruh kamu tunggu di dalam kereta?” Tiba-tiba suara pengetua menyapa gegendang telinga dua sahabat itu.

Langkah Zara terhenti. Gulp! Dia memandang Syanie yang sedang memandangnya dengan pandangan yang tajam. Habislah, rahsia sudah terbongkar!

“Mak? Mengapa pengetua membahasakan dirinya mak dengan awak? Apa hubungan awak dengan pengetua?” soal Syanie bertubi-tubi. Mungkin tidak berpuas hati kerana Zara tidak pernah berterus terang dengannya mengenai perkara itu.

Zara menelan air liur. Fikirannya ligat merencana ayat. Adakah dia perlu mereka cerita lagi atau berterus terang sahaja? Dia memandang wajah pengetua, seakan-akan meminta bantuan. Pengetua memberi isyarat agar dia menceritakan perkara yang sebenar.

“Maafkan saya, Syanie. Sebenarnya pengetua ini adalah mak saya,” jelas Zara. Namun penjelasannya tidak mendapat respons daripada Syanie. Melihatkan Syanie hanya mendiamkan diri, Zara lantas bertanya, “Awak marahkan saya ke?”

Wajah Syanie yang tadinya tegang tiba-tiba berubah. Malah, dia menguntum senyuman. “Taklah, kenapa pula saya nak marah? Setiap orang mempunyai rahsia, bukan?”

Zara menarik nafas lega. Mereka berdua kemudian saling berbalas senyuman.

 

Tiada ulasan: