EISYA memandang
Danish yang masih merenung skrin komputer riba yang memaparkan rekaan laman
webnya. Eleh, kutuk akulah tu! Macamlah aku tak tahu. Detak hati kecil Eisya.
“Buruk, kan? Dahlah, tak payahlah
tengok lama-lama,” marah Eisya. Tanpa menunggu balasan Danish, dia menghalakan
tetikus untuk menutup tetingkap laman web itu namun dihalang oleh Danish.
“Mana ada buruk. Okeylah ni,” komen
Danish.
“Eleh, yalah tu. Tak payahlah awak
nak jaga hati saya. Saya tak kecik hati pun kalau awak nak kutuk design saya,” sahut Eisya walaupun
sebenarnya dia sudah berasa malu dengan Danish.
“Design
ni subjektif tau. Pada saya, design
awak ni tak adalah teruk sangat pun.” Danish diam seketika sambil berfikir. “Apa
kata kita gabungkan design saya
dengan design awak ni?”
“Macam mana?”
Danish mengusik-usik dagunya.
Berfikir. Tidak sampai lima minit, dia kembali bersuara.
“Ha, saya dah dapat idea! Kita buat
macam ni.” Danish mencapai tetikus dan mula menggabungkan rekaan mereka berdua
sambil diperhati oleh Eisya.
Mata Eisya tidak berkelip
memerhatikan Danish mengubah suai rekaan mereka berdua menjadi satu. Sangat
cepat dan pantas! Ternyata Danish amat mahir menggunakan software tersebut. Kalau dia yang buat, alamatnya memang
terkial-kiallah jawabnya.
Tak sangka orang yang selalu tak
datang kelas seperti Danish lebih mahir menggunakan software itu. Bukan macam dia. Harap kehadiran saja penuh tapi kadang-kadang
dia bukannya beri perhatian di dalam kelas sangat pun. Mungkin disebabkan
itulah dia perlu mengambil masa yang lama untuk menguasai software tersebut.
Sebenarnya dia tidak berapa menggemari
kerja-kerja yang melibatkan rekaan dan software
begini kerana dia tidak begitu kreatif. Namun apabila melihat Danish tekun
menyiapkan rekaan itu, dia jadi bersemangat pula. Serba sedikit tanggapannya
terhadap Danish sebelum ini berubah. Danish tidaklah seteruk seperti yang
dikatakan oleh kawan-kawannya yang lain.
“Sementara awak buat design ni, apa kata saya siapkan teks
untuk letak dalam web kita ni nanti?” cadang Eisya. Hatinya berasa tidak sedap
pula apabila membiarkan Danish membuat rekaan itu seorang diri. Walaupun Danish
tak cakap apa-apa tapi manalah tahu dalam hati dia sudah menyumpah-nyumpah. Kata
kerja berpasangan, kan?
“Boleh juga. Saya pun tak pandai
sangat bab karang-mengarang ayat ni,” aku Danish.
“Okey, kalau macam tu, awak buat design, saya buat teks dia,” ujar Eisya
lalu tangannya mula laju melakar teks yang akan dimasukkan dalam laman web rekaan
mereka itu nanti.
Mereka tekun membuat kerja masing-masing hingga
tidak sedar hari sudah menginjak petang.
DANISH
melihat digit yang tertera pada komputer riba di hadapannya. Waktu sudah
menghampiri pukul 7.00 malam.
“Dah nak maghrib ni, kita berhenti
sampai sinilah dulu,” ujar Danish.
“Okey, saya pun dah penat.” Eisya
bersetuju. Perutnya juga sudah berbunyi minta diisi. Pasti Fauziah sudah
menunggunya di bilik untuk pergi makan malam bersama di dewan makan. Nanti
bising pula Fauziah jika dia lambat.
“Saya bahagikan tugaslah. Awak buat slide 1 sampai 5, saya buat slide 6 sampai 10. Okey?” Eisya
memberikan cadangan. Rasanya cara begini lebih mudah dan menjimatkan masa. Dia
juga tidak perlu duduk bersama Danish sepanjang masa.
“Okey.” Danish bersetuju saja.
“Okey, jadi kita jumpa balik minggu
depan untuk compile slide
masing-masing,” kata Eisya sambil mengemaskan barang-barangnya.
“Baik,” jawab Danish.
Mereka berpisah membawa haluan
masing-masing.
EISYA menggeliat
seraya menutup mulutnya yang menguap. Dia tersenyum puas memandang skrin
komputer ribanya. Setelah bertungkus lumus beberapa hari, akhirnya tugasannya
bersama Danish siap juga.
Esok
dia akan berjumpa dengan Danish untuk menggabungkan bahagian yang dibuat dengan
bahagian yang dibuat oleh Danish. Kemudian, mereka akan menghantar projek ini
kepada Dr. O. Dan selepas ini dia tidak perlu berjumpa dengan Danish lagi. Ah,
leganya!
Tiba-tiba
perutnya berasa lapar pula. Dia memandang stok makanan yang diletakkan di atas
rak bersama buku-bukunya. Cuma ada biskut kering. Ah, mana kenyang kalau cuma makan
biskut? Mi segera pula sudah kehabisan stok. Dia langsung tidak teringat untuk
membeli stok makanan yang baru. Itulah, sibuk sangat buat kerja.
Eisya
mengalihkan pandangan kepada Fauziah yang sedang khusyuk menyiapkan tugasannya
di atas katil. Agak-agak Fauziah nak tak temankan dia makan ya? Fauziah ada
mengajaknya makan tetapi dia menolak kerana mahu menyiapkan kerja.
“Gee,
jom makan. Laparlah,” rengek Eisya dengan manja. Sengaja mahu memancing simpati
Fauziah. Mudah-mudahan Fauziah sudi menemaninya keluar makan.
Fauziah mengangkat muka. Keningnya berkerut.
“Makan?
Apa tu?” katanya seakan-akan menyindir.
Eisya mencebik.
“Jomlah
temankan aku makan. Lapar...” ujar Eisya separuh merayu.
“Ooo...
tahu pula lapar ya? Tadi orang ajak makan, tak nak. Ingatkan dah kenyang
mengadap laptop tu,” balas Fauziah, sinis.
“Tadi tak lapar. Ni dah lapar.
Jomlah.” Eisya melembutkan suaranya dengan harapan hati Fauziah akan turut
lembut. Perutnya sudah pedih. Terasa mencucuk-cucuk. Walaupun dia tidak
mengalami penyakit gastrik tetapi apabila dia lapar, memang pedih juga
perutnya.
Fauziah tersenyum kecil. “Yalah. Tunggu
aku siapkan kerja ni sikit dulu.”
Eisya tersenyum. Bukan susah nak
pujuk Fauziah. Buat aksi manja-manja sikit, cairlah dia.
“Okey!”
“PERLAHANLAH sikit makan tu, macam orang tak makan beberapa hari,” tegur Fauziah
apabila melihat Eisya menikmati makanannya dengan gelojoh. Tidak manis bagi
seorang gadis. Kalau nampak dek bakal mak mertua, memang awal-awal dah kena reject. Sebelum bakal mak mertua reject, entah-entah bakal suami yang reject dulu!
Eisya tidak menghiraukan teguran
Fauziah. Dia terus menjamah nasi yang dimakan bersama tomyam dan telur dadar
itu dengan penuh berselera. Kalau diikutkan, memang sudah satu hari dia tidak makan
nasi. Selepas ini dia berjanji dengan dirinya sendiri yang dia tidak akan skip waktu makan lagi. Azab betul!
Dia
sedang mengunyah nasi yang dicampur dengan kuah tomyam dan telur dadar yang
dipotong apabila tiba-tiba makanan itu tertelan di kerongkongnya tanpa disuruh.
Dia hampir tercekik. Tangannya pantas mencapai minuman lalu meneguknya.
“Ha,
itulah, gelojoh sangat,” tegur Fauziah.
Kata-kata
Fauziah hanya ibarat angin yang lalu di telinganya. Sebaliknya, pasangan yang
baru mengambil tempat di meja berhampiran dengan mereka lebih menarik
perhatiannya.
Fauziah
yang berasa pelik dengan kelakuan Eisya yang seperti disampuk itu menyoal, “Kau
tengok apa, Sya?”
Dia
turut memandang ke arah yang dilihat oleh Eisya dengan perasaan ingin tahu.
“Sya,
kenapa?” tanyanya lagi apabila Eisya tidak menjawab pertanyaannya.
“Tulah Danish,” balas Eisya seraya
pandangannya masih melekat pada pasangan itu.
“Mana?” Pandangan Fauziah melilau.
Terlalu ramai orang di situ.
“Tu.” Tunjuk Eisya kepada seorang
pemuda yang memakai snow cap bersama
seorang gadis di sebelahnya.
“Boleh tahan juga ya. Tapi dia
dengan siapa tu?” tanya Fauziah apabila terlihat Danish dengan seorang
perempuan. Takkan makwe dia kut? Kesian Eisya. Tak ada peluanglah jawabnya.
“Manalah aku tahu.” Eisya kembali
menjamah makanannya. Berpura-pura tidak berminat untuk mengambil tahu. Lantak dialah
nak keluar dengan siapa-siapa pun. Bukan urusan aku pun.
“Makwe dia tak?” tebak Fauziah,
sengaja mahu melihat reaksi Eisya.
Eisya menjungkit bahu. “Mungkin.”
“Kau tak cemburu ke?” Fauziah
mengusik.
Eisya hampir tersedak mendengar soalan
Fauziah itu. Pantas dia menafikan. “Gila! Buat apa aku nak cemburu pula? Dia
bukannya siapa-siapa dengan aku.”
“Eleh, ya ke ni?” Fauziah tergelak
kecil.
Eisya memandang Fauziah dengan
pandangan yang kurang senang. Dia tidak suka digosipkan dengan siapa-siapa. Apatah
lagi dengan Danish yang langsung tidak ada mulut itu.
Eisya
mencuri-curi pandang ke arah Danish. Tidak mahu tertangkap oleh Fauziah. Cantik
juga perempuan yang bersama Danish itu. Agaknya, apa hubungan mereka ya? Betul
ke perempuan itu makwe dia? Ada juga perempuan yang nak kat lelaki yang tak
banyak bercakap tu ya.
1 ulasan:
pendeknya..xtaw nk komen ap...
Catat Ulasan