MATANYA
ralit memandang skrin komputer riba yang memaparkan video klip dari laman
YouTube sambil tangannya mencapai kentang goreng di dalam piring yang
diletakkan di sebelah komputer riba itu lalu dikunyah perlahan.
Habis
satu, satu lagi disuap ke mulut. Tup, tup, sedar-sedar saja piring itu sudah kosong.
Dia melihat piring tersebut. La, sudah habis rupanya. Nampak sangat sudah lama
dia menunggu.
Dia
mencapai gelas yang berisi tembikai laici dan menjamahnya. Sesekali matanya
meliar ke sekeliling. Takut-takut dia tidak menyedari akan kedatangan orang
yang ditunggu. Namun masih tiada tanda-tanda orang yang ditunggu akan muncul.
Dia kemudian kembali memberi tumpuan kepada komputer riba di hadapannya.
“Budak
ni reti tengok jam ke tak? Dah pukul berapa ni, tak sampai-sampai lagi?” rungut
Eisya. Dia benci betul dibiarkan menunggu begini. Tidak pasal-pasal, waktunya
terbuang begitu saja. Kalau dia tahu macam ni, lebih baik dia tidak payah
datang awal tadi.
Namun
dia bukanlah jenis manusia yang suka membuat orang menunggu. Dia seorang yang
menepati masa. Justeru, dia tidak suka dengan orang yang tidak menepati masa.
Mujur dia masih dapat melayari Internet untuk mengisi masa.
Sedang
dia merungut seorang diri, orang yang ditunggu pun muncul.
“Ha, lambat!” marah Eisya sebaik-baik saja Danish muncul di hadapannya.
“Sorry...” ucap Danish pendek lalu
melabuhkan punggung di kerusi sebelah Eisya.
“Sorry naik lorilah. Awak tengok ni,
habis sepiring kentang goreng saya bedal baru awak sampai. Nampak tak betapa
lamanya saya tunggu awak? Lain kali kalau nak datang lambat ke apa ke,
beritahulah. Ini senyap aje. Bazir masa saya aje,” bebel Eisya.
Entah
mengapa apabila dengan Danish saja, dia jadi kuat membebel begitu. Biasanya nak
bercakap sepatah perkataan dengan orang yang dia tidak biasa pun susah. Mungkin
sebab Danish pendiam, jadi dia tahu Danish tidak akan membalas kata-katanya.
“Macam
mana saya nak beritahu awak kalau nombor telefon awak pun saya tak ada?” tanya
Danish tenang.
Eisya
terdiam. Betul juga cakap Danish. Mereka mana ada menyimpan nombor telefon
masing-masing. Dia tak teringat langsung nak mintak nombor telefon Danish dan
Danish juga tak pernah meminta nombor telefonnya.
Rasanya
tiada sebab untuk dia menyimpan nombor telefon Danish. Bukankah mereka boleh
berjumpa di kelas pada bila-bila masa saja? Itu pun kalau Danish rajin datang
ke kelas. Kalau tak?
“Nah.”
Danish menghulurkan sebatang kunci yang berwarna silver kepada Eisya.
Dahi
Eisya berkerut. “Kunci apa ni?”
“Ni
pendrivelah,” balas Danish.
“Ooo...”
sahut Eisya. Demi menutupi rasa malu, Eisya mengambil pendrive yang disangka kunci itu tanpa memandang muka Danish lalu
dicucuk pada komputer ribanya.
“Awak
tengoklah dulu, saya nak pergi beli air kejap ya,” ujar Danish lalu beredar ke
kaunter minuman.
Tanpa
menghiraukan Danish, Eisya melihat hasil kerja Danish menerusi softcopy yang terkandung dalam pendrive yang diberi oleh Danish tadi. Bagi
tugasan berpasangan, mereka perlu mereka sebuah laman web yang mempromosikan apa-apa
saja produk yang mereka suka dengan menggunakan software Swiss.
Walaupun
Dr. O seorang yang tegas tapi Dr. O tidak pernah menyekat kreativiti mereka
dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan. Justeru, mereka lebih bebas
dan tidak berasa tertekan. Tapi apabila membuat kerja dengan orang yang tidak
biasa, adakalanya pasti mengundang tekanan. Mujur Danish tidak banyak kerenah.
Setakat inilah.
Tanpa
perlu mencari kerana dalam pendrive
itu cuma ada satu folder yang dinamai
dengan nama ‘projek1’. Tetikus dihalakan pada folder yang berformat Swiss itu lalu diklik supaya paparannya
menjadi lebih jelas.
Eisya
terpaku melihat rekaan laman web yang direka oleh Danish.
Wow!
Dia ke yang buat laman web ni? Cantik gila! Puji Eisya dalam hati. Serius
cantik. Kalau macam inilah hasil kerja dia, tak hairanlah dia mampu bertahan
sampai sekarang walaupun selalu tak datang kelas.
Eisya
melempar pandangan kepada Danish yang sedang membeli minuman. Tiba-tiba hati
jahatnya berbisik. Tapi betul ke dia yang buat laman web ni? Entah-entah dia
upah orang untuk buat, bukannya aku tahu pun, kan? Kalau tak, kenapa dia tak nak
buat kat depan aku semalam?
“MACAM
mana?” Danish kembali dengan segelas air kosong dan piring berisi potongan epal
hijau.
Eisya terkedu apabila melihat Danish
hanya membeli air kosong dan epal hijau. Berjimat ke dia ni?
“Okey,”
jawab Eisya pendek.
Sengaja
dia tidak memuji hasil kerja Danish di depannya. Manalah tahu kalau-kalau
Danish berlagak pula nanti kan. Lagipun, dia sendiri belum pasti sama ada
rekaan itu dibuat oleh Danish sendiri atau orang yang diupah oleh Danish. Hanya
ada satu cara untuk memastikannya.
“Macam
mana awak buat efek ni ya?” tanya Eisya dengan niat mahu menguji Danish.
“Mana?”
“Yang
ni.”
“Oo...
yang ni? Senang aje.”
Tidak
sampai beberapa saat, Danish menunjukkan cara-cara membuat efek yang dipinta
oleh Eisya. Eisya terkesima. Tiba-tiba terbit rasa kagum terhadap Danish. Kini,
barulah dia percaya rekaan laman web itu dibuat sendiri oleh Danish.
“Eh,
makanlah.” Danish menyua piring berisi potongan epal hijau itu kepada Eisya.
“Saya
tak suka epal hijau,” kata Eisya.
“Rasa
dia masam, kan?” Danish mencapai sepotong lagi epal hijau dalam piring itu lalu
disua ke mulut.
Dahi
Eisya berkerut. Banyak cakap pula mamat ni hari ni. Tapi kalau dah tahu masam,
kenapa makan jugak?
“Mana
awak punya design? Saya nak tengok.”
Danish menarik kerusinya merapati Eisya supaya mereka dapat melihat skrin
komputer riba itu bersama-sama.
Eisya
berasa tidak selesa apabila merasakan jarak antara mereka terlalu dekat. Dia
ingin menjarakkan diri daripada Danish tetapi dia bimbang Danish akan terasa.
Sudahnya dia terkaku di situ.
“Mana?”
tanya Danish lagi.
Eisya
tersentak. Alamak! Selepas melihat laman web yang direka oleh Danish tadi, dia
berasa malu pula nak tunjuk laman web yang direkanya.
Itulah
kau, Eisya. Asyik nak kutuk orang aje, sekali orang yang kau kutuk tu lebih
hebat daripada kau! Marah Eisya kepada dirinya sendiri.
“Err...
saya rasa lebih baik kita guna design
awak ajelah,” Eisya mencari alasan. Okey, dia mengaku kalah!
“La,
kenapa pula? Tak bestlah macam tu,”
balas Danish.
Eisya
terdiam. Nak tunjuk ke tak ni? Nak tunjuk, malu. Tapi kalau tak tunjuk, nanti
dia ingat aku tak buat kerja pula.
“Tapi
kalau tak cantik, awak jangan gelak tau,” Eisya memberi amaran.
“Kenapa
pula saya nak gelak?” tanya Danish hairan.
Eisya
tidak menjawab. Dengan teragak-agak, dia menunjukkan rekaan laman web yang
disimpan dalam komputer ribanya itu sambil memerhatikan reaksi Danish.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan