“AHMAD DANISH HAIKAL.”
Nama
itu meniti di bibirnya seraya pandangan matanya tertancap pada wajah di
hadapannya itu. Wajah itu diamati. Tidaklah hensem mana pun. Kulitnya juga
tidak berapa cerah tapi masih dalam kategori sedap mata memandang. Rambutnya
pula ditutupi dengan snow cap yang
dipakainya.
Dia
masih teragak-agak untuk menghampiri pelajar lelaki itu. Ketika dia mendapat
tahu bahawa tuan punya nama itu akan menjadi pasangannya untuk subjek Multimedia
Production sepanjang semester itu, dia berkeras tidak mahu. Bermacam-macam
alasan yang diberikan agar Dr. Othman atau lebih mesra dipanggil Dr. O
membenarkan dia memilih pasangannya sendiri. Namun siapalah dia untuk membantah
pensyarah yang amat dikenali dengan sikap tegasnya itu.
Kata
Dr. O, dia dikira bertuah dapat bekerjasama dengan orang yang dia tidak kenal
atau rapat kerana dia dapat mengenali orang lain dan tidak terikat dengan
kawan-kawan yang sama saja setiap semester.
Menurut
Dr. O lagi, hal ini dapat melatih dirinya bekerja dengan orang yang tidak
dikenali kerana apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan nanti, mereka tidak
boleh memilih dengan siapa mereka mahu bekerja.
Sebenarnya,
dia tidak kisah sangat bekerja dengan sesiapa pun asalkan orang itu okey dan
boleh buat kerja. Namun apa yang dia dengari tentang manusia yang bernama Ahmad
Danish Haikal ini adalah sebaliknya.
Menurut
rakan-rakannya yang pernah bekerja sekumpulan dengan Danish, pelajar lelaki itu
kerap tidak hadir ke kelas. Atas sebab apa, tiada sesiapa pun yang tahu. Menurut
mereka lagi, dahulunya Danish tidak begitu. Namun sejak semester lepas,
sikapnya berubah menjadi pendiam dan suka mengasingkan diri. Mungkin disebabkan
kematian ayahnya.
Memandangkan
pelajar lelaki itu sering tidak hadir, ramai yang tidak mahu sekumpulan
dengannya. Ada atau tiada, sama saja.
Jika
bukan kerana tugasan, dia juga tidak terfikir untuk mencari pelajar lelaki itu.
Tambahan pula, dia bukanlah orang yang suka mengambil tahu akan perihal orang.
Habis kelas saja, dia terus balik ke asrama. Mungkin disebabkan itu dia tidak
berapa mengenali rakan-rakan sekelasnya walaupun sudah lima semester.
Mujur
teman baiknya, Irwan, mengenali Danish. Apabila Irwan memberitahu bahawa Danish
berada di kafeteria itu, dia membuat keputusan untuk bersemuka dengan Danish. Yalah,
jika dia tidak mengambil kesempatan itu, entah bila pula dia dapat berjumpa
dengan Danish sedangkan tarikh akhir untuk menghantar projek mereka semakin
hampir.
Dia
tidak tahu sama ada Danish mengetahui atau tidak yang mereka adalah pasangan
untuk tugasan itu kerana hingga ke hari itu, Danish tidak pernah mencarinya. Tapi
kalau difikir secara logik, macam mana Danish tu nak tahu yang mereka perlu
bekerja berpasangan jika dia selalu tak datang kelas? Jadi, nak tak nak,
terpaksalah dia menebalkan muka untuk menjejaki Danish.
Pandangan
mata Eisya masih tertancap pada Danish yang sedang menjamah makanan seorang
diri. Agak-agak dia marah tak kalau aku kacau dia makan ni? Fikirnya sendiri.
Namun dalam tertanya-tanya itu, kakinya melangkah juga menghampiri pelajar
lelaki itu.
Dia
tercegat di hadapan pelajar lelaki itu tetapi pelajar lelaki itu seolah-olah
tidak menyedari kehadirannya. Dia berasa seperti tunggul pula apabila pelajar
lelaki itu langsung tidak mengangkat muka. Nampak gayanya, terpaksalah dia
bersuara.
“Awak
ni Danish, kan?”
Mahu
tidak mahu, terpaksalah Eisya memulakan langkah dahulu. Jika tidak, sampai
sudahlah tugasan mereka tidak siap. Jika tugasan mereka tidak siap, dia juga
yang susah. Tidak pasal-pasal, dia harus mengulang subjek pada semester depan
pula nanti!
Pelajar
lelaki yang dikenali sebagai Danish itu mengangkat muka. Wajahnya tenang saja.
Pandangan
mereka bertaut seketika sebelum Danish menjawab, “Ya, saya.”
“Saya
Eisya. Err... Dr. O ada beritahu awak apa-apa tak pasal saya?” Eisya
memperkenalkan diri.
Gelengan
Danish membuatkan Eisya menarik nafas lalu dilepas kuat. Nampak gayanya,
terpaksalah dia menerangkan dari mula.
“Boleh
saya duduk sini?” Eisya menunjuk kerusi di hadapan Danish.
Danish
cuma mengangguk.
Eisya
menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. “Awak tahu tak yang projek akhir
subjek Mutimedia Production tu kena buat secara berpasangan?”
Danish
menggeleng.
Isy,
asyik angguk dan geleng aje. Dah tak boleh bercakap ke? Eisya mengomel dalam
hati.
“Memandangkan
semua budak kelas kita dah ada partner,
jadi Dr. O suruh saya jadi partner awak
untuk projek tu.”
“Ooo...”
Danish tetap beku seperti tadi. Langsung tiada senyuman pada wajahnya.
Oooo?
Itu saja? Eisya menunggu kata-kata balasan daripada Danish. Mungkin Danish ada
sesuatu yang nak dicakapkan namun setelah dua minit berlalu, Danish masih tidak
bersuara dan hanya memandangnya. Memang cuma ‘ooo’ saja.
“Kita
kena bincang pasal projek tu,” kata Eisya sebaik-baik saja dia teringat akan
tujuan dia menemui Danish di situ.
“Okey,”
jawab Danish sepatah.
Seperti
tadi, hanya sepatah perkataan yang keluar daripada mulut Danish. Eisya mula
nampak bibit-bibit kesukaran untuk bekerjasama dengan Danish. Sepatah ditanya,
sepatah juga yang dijawab. Tapi itu lebih baik daripada dia cuma mengangguk dan
menggeleng saja!
Aduh,
entah macam manalah dia nak bekerjasama dengan Danish sepanjang semester ini!
KERUSI
itu ditarik kasar. Dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi itu. Wajahnya jelas
mempamerkan riak tidak puas hati. Tindakannya itu menimbulkan tanda tanya
kepada dua rakannya yang dari tadi memerhatikan dia dan Danish.
“Hai, marah nampak. Apa cerita?”
tanya Irwan.
Eisya tidak menjawab pertanyaan
Irwan, sebaliknya dia menyedut minuman yang ditinggalkan tadi sampai habis. Mudah-mudahan
minuman itu dapat menyejukkan hatinya yang sedang mendidih tatkala itu.
Irwan memandang Syella, Syella hanya
menjungkit bahu.
“Sya,
boleh tahan jugak si Danish tu kan?” ujar Syella, sengaja ingin mengusik.
Manalah tahu dapat menceriakan suasana.
Eisya menolak gelas yang sudah
kosong itu.
“Boleh
tahan, tapi sayang bisu,” sahut Eisya geram.
“Hah? Bisu?” Syella kehairanan.
Tidak mengerti dengan kata-kata Eisya. Bukankah tadi dia lihat elok saja Danish
bercakap dengan Eisya?
“Kenapa?
Dia tak okey ke?” tanya Irwan. Setahunya, Danish tidaklah seteruk mana. Dia
kenal Danish.
“Okey apa, sepatah aku tanya,
sepatah dia jawab. Bosan aku,” adu Eisya.
Geram
benar hatinya apabila mengingati pertemuan dia dengan Danish tadi. Danish lebih
senang membiarkan dia mendominasi perbualan sedangkan pemuda itu lebih banyak
mendiamkan diri hingga membuatkan dia bosan.
Nama
pun kerja berpasangan, jadi dia mengharapkan Danish dapat memberikan idea atau
pendapat. Jika Danish hanya mengikut idea dan pendapatnya, lebih baik dia tidak
perlu ada pasangan. Buat sorang-sorang lagi baik!
“Alah, dia memang pendiam. Tapi
lama-lama nanti, okeylah tu. Bukan semua orang terus mesra waktu jumpa pertama
kali. Kau bagilah dia masa.” Irwan cuba menyedapkan hati Eisya.
“Entahlah...” keluh Eisya. Sudahlah
dia jenis manusia yang lambat mesra dengan orang, dapat pula pasangan yang
pendiam macam Danish itu. Manalah nak ada keserasian. Entah macam manalah
mereka berdua hendak bekerjasama dengan baik.
“Dahlah,
tak payahlah cerita pasal dia,” ujar Eisya setelah diam seketika. Buat apa
bercakap pasal perkara yang tak menyenangkan? Buat menambah dosa saja. “Korang
punya projek macam mana? Okey?”
“Mestilah okey, tengoklah partner aku siapa,” ujar Irwan seraya
menjeling ke arah Syella.
Syella
cuma tersenyum nipis. Bimbang Eisya tersinggung.
“Eleh, berlagak.” Eisya mencebik.
Kalau tak disebabkan Dr. O menetapkan projek itu perlu dibuat secara
berpasangan, pasti dia tidak terkapai-kapai begini memandangkan dia sudah
mempunyai kumpulan tetap iaitu Irwan dan Syella.
Namun kata Dr. O, tiga orang itu
terlalu ramai. Justeru, salah seorang daripada mereka perlu berkorban dan orang
itu adalah dia. Dan memandangkan semua rakan sekelasnya sudah ada pasangan
masing-masing, Dr. O membuat keputusan agar dia berpasangan dengan Danish
lantaran Danish juga tidak mempunyai pasangan.
Eisya
memandang Irwan dan Syella. Tiba-tiba saja dia berasa cemburu melihat mereka
berdua. Mereka berdua sudah saling mengenali, jadi pastilah tiada masalah untuk
bekerjasama.
Tambahan
pula, dia sememangnya tahu yang Irwan menaruh hati pada Syella dan Syella juga
seolah-olah turut menyukai Irwan. Mereka berdua memang nampak macam pasangan
yang serasi. Namun entah mengapa Syella menegaskan yang mereka berdua cuma
berkawan baik.
Mungkin
Syella masih mahu membuat pilihan. Yalah, orang cantik, banyak sangat pilihan.
Bukan macam dia. Langsung tidak diberi pilihan. Namun dia sebenarnya berasa kagum
kerana mereka berdua masih boleh bekerjasama dengan baik, malah bergelak ketawa
seperti sekarang.
Ah,
cemburunya dia melihat mereka! Tidak seperti dia dengan Danish. Kaku dan sunyi.
Mungkin dia tidak patut menyalahkan Danish seratus peratus kerana dia sendiri
pun bukanlah orang yang ramah. Tetapi sekurang-kurangnya dia sudah berusaha
untuk mewujudkan perbualan dengan Danish, namun Danish masih tetap begitu.
Hanya bercakap perkara-perkara yang penting saja.
Danish,
Danish. Kenapalah orang yang pendiam macam kau yang jadi pasangan aku?
“ANGGAP
ajelah ini semua takdir. Mana tahu dia jodoh kau ke, kan? Daripada pasangan
kerja terus jadi pasangan hidup,” usik Fauziah atau lebih akrab dipanggil Gee
merangkap teman sebilik Eisya apabila Eisya menceritakan perihal Danish kepadanya.
Sejurus kemudian, sebiji bantal melayang dan mengenai muka Fauziah.
“Banyaklah jodoh kau! Tak nak aku
berjodoh dengan orang yang pendiam macam tu. Nanti sunyi sepi rumah tangga aku
tau,” bantah Eisya.
Fauziah tergelak.
“Pendiamlah
bagus, tak banyak cakap. Nanti tak adalah rimas. Asyik pot pet pot pet 24 jam.”
Fauziah masih giat mengusik.
“Tak naklah, aku nak orang yang
bertentangan dengan aku,” luah Eisya.
Dari
mula lagi dia sudah dapat merasakan yang dia dengan Danish pasti tidak akan
ngam. Dia tidak suka orang pendiam kerana dia tidak pandai berbual dengan orang
yang pendiam. Saat ini dia cuma berdoa tugasan yang dibuat bersama Danish dapat
disiapkan dengan secepat mungkin supaya dia tidak perlu lagi berjumpa dengan
Danish.
“Yalah, aku tahu taste kau macam mana,” ujar Fauziah
sambil memeluk bantal yang dibaling oleh Eisya tadi.
Eisya tersengih. “Tahu tak apa.”
“Tapi kalau betul-betul dia jodoh
kau, kau kenalah terima!” usik Fauziah lagi lantas terus berlari keluar dari
bilik itu sambil tergelak. Suka benar dia dapat menyakat Eisya.
Tindakan Fauziah yang tidak
disangka-sangka itu membuatkan Eisya tergamam. Sudahnya dia hanya menggeleng
melihat telatah teman sebiliknya itu.
Dia
dan Fauziah sudah lama tinggal sebilik. Masing-masing sudah memahami antara
satu sama lain. Justeru, dia tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata
Fauziah.
Aku dengan Danish? Hai,
macam-macamlah kau, Gee. Eisya tersenyum sendiri.
Esok
dia dan Danish sudah berjanji akan berjumpa lagi untuk membincangkan tugasan
mereka. Memikirkan itu, dia mengeluh lagi. Apalah yang dia mahu cakapkan dengan
Danish agaknya?
2 ulasan:
best best ! akak,, mcm mn buku SMART ke-2? saya ternanty2 ,, ^_^
Terima kasih, Ryha.
Buku SMART ke-2 akak dah terbitkan. Boleh baca maklumat lanjut kat sini ya, http://taipancelotehku.blogspot.com/2012/08/cerita-bulan-puasa.html :)
Catat Ulasan