Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Februari 23, 2012

Kugiran SMART (Bab 16)

JAM di dinding menunjukkan hampir pukul 10.00 malam ketika Azrizal pulang ke rumah. Selepas mengunci pintu rumah, dia terus melangkah ke biliknya. Seperti kebiasaan, rumah itu hanya dijadikan tempat untuk tidur dan mandi.

Walaupun rumah itu ada dapur, tetapi tiada apa-apa untuk dimakan. Walaupun rumah itu ada ruang tamu, tetapi jarang didatangi tetamu. Walaupun rumah itu masih ada dua buah bilik lain, tetapi bilik-bilik itu seolah-olah tidak wujud.

Ketika melangkah ke biliknya, Azrizal melintasi dapur. Tiba-tiba dia berasa pelik. Langkahnya terhenti di depan dapur. Kemudian, perlahan-lahan dia menghampiri meja makan di dapur. Dia menggosok matanya beberapa kali. Sangkanya, dia tersalah lihat akibat mengantuk. Tetapi apa yang dilihatnya memang realiti.

Di atas meja makan itu terhidang semangkuk besar nasi putih, pinggan-pinggan yang berisi lauk-pauk dan sejag jus oren. Melihat pada ais yang sudah cair di dalam jag itu, Azrizal mengagak yang minuman itu mungkin sudah disediakan beberapa jam lalu. Dua pinggan dan dua biji gelas kosong juga sudah tersedia. Hanya menanti untuk dijamu.

“Siapa pula yang masak semua ni? Takkan mak pula? Tak mungkinlah,” omel Azrizal sendirian. Habis tu, takkan hantu pula? Dah hampir 18 tahun aku tinggal kat sini, takkan baru sekarang dia nak muncul?

“Hai, takkan tengok saja?” Suara itu kedengaran dari belakang.

Azrizal tersentak. Segera dia berpaling ke arah suara yang menegur. Rupa-rupanya ayah saudaranya, Farizul.

“Ayah su!” Azrizal terkejut melihat ayah saudaranya itu berada di situ. Gembira benar dia dapat berjumpa dengan ayah saudaranya itu. Manakan tidak, ayah saudaranya itu sudah dianggap sebagai kawan baik. Teman rapatnya selain Shafik dan Iqbal. “Bila ayah su sampai? Tak beritahu Riz pun nak datang.”

“Dah banyak kali ayah su telefon rumah tapi tak ada siapa jawab pun. Jadi, ayah su teruslah ke sini. Mujur mak Riz pernah beri kunci rumah ni pada ayah su. Riz sihat?” Farizul juga gembira dapat berjumpa dengan anak saudaranya itu.

“Sihat, ayah su. Bila ayah su sampai?” tanya Azrizal. Melihat daripada pakaian Farizul yang berbaju Melayu dan bersongkok itu, pastinya ayah saudaranya itu baru lepas menunaikan solat.

“Petang tadi. Riz pergi mana? Aina pun tak ada.”

“Riz lepak rumah kawan. Aina pergi bercuti di rumah Kak Ainul,” beritahu Azrizal. Kalau dia tidak bercerita dengan lanjut pun, dia yakin ayah saudaranya itu mengerti.

“Riz tinggal seorang sajalah ni?”

“Dah biasa, ayah su.”

Farizul sememangnya mengerti akan keadaan keluarga Azrizal. Justeru, dia tidak bertanya lagi. “Ha, Riz dah makan ke belum ni?”

“Dah, Riz makan di rumah kawan tadi. Ayah su mesti belum makan lagi, kan?” Azrizal pula bertanya. Melihat makanan yang terhidang di atas meja, dia dapat menjangka pasti ayah saudaranya itu belum makan lagi.

“Ayah su tunggu Riz nak makan sekali,” balas Farizul.

“La, kasihannya ayah su. Tak apalah, biar Riz teman ayah su makan ya.” Azrizal menarik kerusi.

Farizul memandang lauk ayam masak merah dan sayur kailan yang terhidang di atas meja makan itu. “Lauk pun dah sejuk agaknya.”

“Tak apa, biar Riz tolong panaskan. Ayah su duduklah.” Azrizal mula menyalakan api dapur. Kalau disuruh masak lauk, memanglah dia tidak pandai. Tetapi kalau setakat panaskan lauk, dia pandailah.

“Tak apalah, biar ayah su yang buat. Riz pergilah mandi. Mesti Riz penat kan baru balik,” kata Farizul.

“Tak adalah, ayah su. Riz okey. Lagipun ayah su kan datang dari jauh. Biar Riz layan ayah su,” balas Azrizal lalu mengambil pinggan berisi ayam masak merah di atas meja dan memasukkan lauk itu ke dalam periuk yang sudah dipanaskan di atas dapur gas.

Apabila Azrizal sudah berkata begitu, Farizul membiarkan sahaja Azrizal melakukan kerja itu.



“OKEY, dah siap.” Azrizal meletakkan semula pinggan-pinggan lauk yang sudah dipanaskan tadi di atas meja makan. Nasi di dalam mangkuk dicedok ke dalam pinggan Farizul sebelum diisi ke dalam pinggannya sendiri.

“Terima kasih, Riz,” ucap Farizul. Kemudian, dia menuangkan air dari dalam jag ke dalam gelas. Satu untuk dirinya dan satu lagi untuk Azrizal.

Azrizal meneguk air di dalam gelas itu sehingga habis. Walaupun rasa minuman jus oren itu sudah tawar akibat ais yang sudah mencair, tetapi dia rasa itulah minuman yang paling sedap sekali di dunia. Maklumlah tekak sedang dahaga.

Azrizal memandang ayah saudaranya yang sedang makan dengan penuh berselera. Biasanya ayah saudaranya itu jarang mahu datang ke situ lantaran hubungan yang tidak berapa baik dengan ayahnya. Jadi, dia pasti ada perkara penting yang membuatkan ayah saudaranya ke situ.

“Ayah su datang sini ni ada apa-apa ke?”

Farizul tersenyum. “Haah, ayah su ada perkara yang nak dibincangkan dengan mak dan ayah Riz.”

“Perkara apa?” tanya Azrizal, ingin tahu.

“Hal orang dewasa,” balas Farizul ringkas.

“Hal orang dewasa?” Azrizal berfikir sejenak. Kemudian, dia mula terfikirkan akan perkara itu. “Ha, jangan-jangan ayah su nak kahwin tak?” tebak Azrizal.

Farizul tersenyum lagi. Senyumannya itu seolah-olah membenarkan apa yang bermain dalam benak Azrizal.

Mulut Azrizal melopong. Seperti tidak percaya ayah saudaranya yang sudah lama membujang itu akhirnya akan berkahwin pada usia yang hampir menjangkau 40 tahun. “Betul ke ni, ayah su?”

“Betullah. Riz ingat ayah su tak laku ke?” seloroh Farizul.

“Tahniah, ayah su!” teriak Azrizal lantas memeluk ayah saudaranya itu sehingga ayah saudaranya itu terkejut. Dia begitu gembira mendengar berita itu. Sudah lama dia mendoakan semoga ayah saudaranya itu menemui jodohnya. Sekurang-kurangnya ayah saudaranya itu tidak kesunyian tinggal seorang diri di kampung.

Azrizal meleraikan pelukannya. “Tapi ayah su nak kahwin dengan siapa?”

“Dengan perempuanlah. Takkan dengan lelaki pula?”

Jawapan Farizul itu membuatkan Azrizal geram. “Kalau itu, Riz pun tahulah, ayah su.” Azrizal malas mahu bertanya lagi. Tetapi perasaan teruja yang melanda hatinya membuatkan dia mahu bertanya lebih banyak lagi. “Bila ayah su nak kenalkan bakal mak cik Riz tu dengan Riz?”

“Esok Riz ada masa tak?”

“Esok?” Azrizal berfikir sejenak. Kebiasaannya, dia akan menghabiskan masa melepak dengan Shafik, Iqbal dan Shamsul. Kalau tidak bermain muzik di rumah Shamsul, mereka akan melepak di pusat beli-belah. Sekali-sekala mereka menonton wayang atau sekadar berjalan-jalan untuk mencari idea baru. “Biasanya, Riz lepak rumah kawan saja. Tapi kalau untuk ayah su, Riz sentiasa ada masa.”

“Okey, kalau macam tu, esok ayah su bawa Riz jumpa bakal mak cik Riz,” janji Farizul.

“Hah? Bakal mak cik Riz tu orang Kuantan ke?” Azrizal mula berasa hairan. Bagaimana ayah saudaranya yang tinggal di Johor Bahru boleh bertemu jodoh dengan orang Kuantan pula? Bila masa mereka berkenalan?



AZRIZAL sedang nyenyak tidur di biliknya apabila tiba-tiba dia merasakan ada cahaya yang mengganggu lenanya. Lalu dia mencapai bantal di sisinya dan menekup mukanya. Dia sukar lena dalam keadaan yang terang-benderang.

Farizul menggeleng melihat gelagat Azrizal itu lantas mengalihkan bantal yang menutupi muka Azrizal. “Riz, bangun!”

Perlahan-lahan Azrizal membuka matanya. Dia melihat Farizul sedang berdiri di hadapannya. Dia menyelak langsir tingkap biliknya dan menjenguk ke luar. Keadaan di luar masih gelap. Maknanya, hari masih belum siang. “Apa ni, ayah su? Kan gelap lagi tu.”

“Dah subuhlah. Bangun,” tegur Farizul.

“Alah, sekejap lagilah. Orang mengantuk ni,” jawab Azrizal lantas menutup mukanya dengan bantal semula.

Farizul mula geram melihat sikap Azrizal yang acuh tidak acuh tentang solat itu. Jangan-jangan selama ini anak saudaranya itu langsung tidak solat. “Hei, budak ni. Apa yang liat sangat nak bangun ni? Riz, bangun sekarang!”

Azrizal duduk tegak apabila mendengar suara tegas ayah saudaranya itu. Namun apabila Farizul menghilang ke biliknya, dia kembali lena.



PAGI itu, Azrizal dan Farizul bersarapan di warung mamak yang terletak tidak jauh dari rumah Azrizal.

“Ayah su janji dengan bakal mak cik Riz tu pukul berapa?” tanya Azrizal ketika mereka menunggu pesanan makanan mereka sampai.

“Dalam tengah hari nanti,” balas Farizul sambil melihat digit jam yang tertera pada telefon bimbitnya. Waktu itu baru pukul 8.30 pagi.

“Tengah hari? Lambat lagilah, ayah su. Kenapa ayah su kejutkan Riz awal sangat? Riz mengantuklah,” rungut Azrizal. Sudah beberapa kali dia menggosok matanya namun matanya tetap juga berasa kuyu.

“Lepas subuh, tak elok tidur. Rezeki tak masuk nanti,” nasihat Farizul. Agaknya kalau dia tidak datang ke situ, alamatnya memang sampai tengah harilah Azrizal tidur.

“Ayah su, bakal mak cik Riz tu cantik tak?” Azrizal cuba menghilangkan rasa mengantuknya dengan bertanyakan bermacam-macam soalan kepada ayah saudaranya itu.

“Cantik,” jawab Farizul tanpa teragak-agak.

“Lemah lembut?”

Farizul mengangguk.

“Dah berapa lama ayah su kenal dia? Ayah su tak pernah cerita pun yang ayah su tengah bercinta.” Azrizal menyatakan kehairanannya. Selama ini dia menyangka yang ayah saudaranya itu tidak akan berkahwin seumur hidup selepas dikecewakan oleh seorang wanita tidak lama dahulu.

“Mana ada kita orang bercinta,” ujar Farizul.

“Habis tu, bukan ayah su kata ayah su nak kahwin?” Azrizal semakin hairan.

“Kita orang akan bercinta tapi lepas kahwin.” Farizul tersenyum.

“Apa ayah su cakap ni? Riz tak fahamlah.”

“Ayah su jumpa dia masa kat kampung. Dia anak saudara Mak Siti, jiran sebelah rumah ayah su kat kampung. Ayah su pun tak reti nak terangkan pada Riz. Tapi bila ayah su tengok dia saja, ayah su dah terpikat. Jadi, ayah su buat keputusan untuk lamar dia sebagai isteri,” Farizul membuka cerita.

“Dia setuju?” Azrizal mula tertanya-tanya sendiri, bagaimana dua orang yang tidak pernah saling mengenali tiba-tiba membuat keputusan untuk berkahwin. Entah mengapa dia berasakan tindakan itu seakan-akan terburu-buru. Kalau tidak serasi nanti, macam mana? Takkan hendak bercerai pula?

“Mulanya, dia macam susah sikit nak terima. Mungkin dia terkejut agaknya. Dia mintak fikir dulu. Tak lama lepas tu, Mak Siti datang jumpa ayah su dan beritahu yang anak saudaranya tu setuju. Jadi, ayah su pun tak naklah tangguh-tangguh lagi. Benda baik lebih elok dipercepatkan. Lagipun ayah su kan dah lama membujang,” ujar Farizul separuh berseloroh.

Azrizal ingin bertanya lagi apabila seorang pekerja di warung mamak itu datang membawa roti canai dan teh tarik yang dipesan oleh mereka.

“Jadi, macam mana dengan band Riz? Riz kata hari tu dah jumpa vokalis yang sesuai, kan?” tanya Farizul sebelum menyuapkan roti canai ke mulut.

Wajah Azrizal berubah ceria dan bersemangat apabila soalan tentang kumpulan muziknya itu diajukan. “Ayah su nak tahu, kita orang sekarang tengah cuba-cuba buat lagu sendiri dan upload dalam YouTube.”

“Baguslah tu. Riz dan kawan-kawan Riz dikira bertuah tau sebab zaman sekarang dah maju. Banyak teknologi dan cara mudah untuk dikenali. Tapi Riz kena ingat, bila semua perkara dah jadi mudah, persaingan pun semakin banyak,” nasihat Farizul yang sememangnya sudah melalui pengalaman sebegitu.

Pada mulanya, dia juga tidak begitu menggalakkan Azrizal untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang muzik, namun apabila dia melihat kesungguhan dan bakat Azrizal, dia yakin anak saudaranya itu boleh pergi jauh dalam bidang tersebut. Justeru, dia tidak teragak-agak untuk memberi galakan dan berkongsi pengalaman dengan Azrizal.

Berbeza dengan ibu bapa Azrizal yang tidak begitu merestui minat Azrizal itu, dia pula merasakan perkara itu sebaliknya. Sekurang-kurangnya Azrizal dan kawan-kawannya tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

“Oh, ya, Riz. Ayah su ada satu tawaran kerja untuk Riz.”

“Kerja? Malaslah,” Azrizal menolak sejurus mendengar perkataan kerja.

“Kalau ayah su mintak Riz main kugiran masa kenduri kahwin ayah su nanti pun Riz tak nak juga ke?” Farizul mengangkat kening. Dia pasti Azrizal tidak akan menolak peluang keemasan itu.

Azrizal memandang ayah saudaranya itu seperti tidak percaya. Ayah saudaranya itu mahu dia bermain muzik dalam majlis kenduri kahwin?

“Tapi sesuai ke?” Azrizal kurang yakin dengan tawaran itu.

“Itu terpulanglah pada kreativiti Riz dan kawan-kawan Riz.” Farizul tersenyum penuh makna.

Azrizal terkedu. Otaknya mula ligat berfikir. Bagaimana dia hendak menyesuaikan genre muzik kumpulan mereka dengan suasana majlis kenduri kahwin?

Tiada ulasan: