Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Februari 27, 2012

Belum Ada Jodoh 19

WAKTU menunjukkan hampir pukul 9.00 malam ketika dia tiba di stesen komuter Kajang. Selepas melalui kaunter pemeriksaan tiket, dia terus mendapatkan motosikalnya yang ditinggalkan semenjak pagi tadi. Menjadi kebiasaannya meninggalkan motosikal itu di situ setiap kali apabila dia ingin ke luar Kajang. Meskipun dia boleh sahaja ke mana-mana dengan menaiki motosikal itu, namun dia tidak berani menunggang motosikal itu luar dari kawasan Kajang. Dia masih fobia selepas kejadian yang menimpanya hampir dua tahun yang lalu.

Topi keledar disarungkan ke kepala. Enjin motosikal dihidupkan. Dia mahu cepat sampai ke rumah. Rasa penat yang menjalar di seluruh tubuhnya membuatkan dia terasa ingin tidur sahaja. Sudah tidak berdaya rasanya berlama-lama di luar. Mujur perjalanan dari stesen komuter itu ke rumahnya hanya mengambil masa selama 20 minit.
Selepas memarkir motosikalnya di laman rumah, dia melangkah ke dalam rumah. Suasana di rumah itu sunyi sepi.

Mungkin Mak Mi, Pak Cik Rahim dan Qila keluar agaknya. Fikirnya sendiri. Dia membawa langkah kakinya ke bilik tidur. Terus sahaja dia merebahkan tubuhnya ke katil. Dia mahu melelapkan mata. Namun sejurus kemudian, dia teringat untuk menghubungi Afia. Mahu memberitahu gadis itu yang dia sudah sampai ke rumah. Entah Afia sudah sampai ke kolejnya atau belum. Justeru, laju sahaja jari-jemarinya menaip pesanan ringkas pada telefon bimbitnya.


Saya baru aje sampai rumah. Awak dah sampai kolej ke belum?


Tanpa perlu menunggu lama, suatu pesanan ringkas menjengah peti simpanan mesejnya tidak sampai lima saat kemudian. Pesanan ringkas itu segera dibaca.


Saya tengah tunggu bas kat PKNS, nak balik Puncak.


Asyraf melihat jam. Sudah hampir pukul 10.00 malam. Risau juga dia apabila memikirkan keselamatan Afia pada waktu malam begini. Dia tahu Afia perlu menunggu bas di stesen komuter Shah Alam untuk ke kompleks PKNS. Di kompleks PKNS pula, Afia perlu menunggu bas lain pula untuk pulang ke kolej. Alangkah bagusnya jika dia dapat menghantar Afia pulang hingga ke kolejnya. Namun, dia sedar yang dia masih belum berani untuk berbuat demikian. Menunggang motosikal di dalam kawasan Kajang pun dia masih takut-takut, inikan pula Shah Alam.


Ramai orang tak kat situ?


Dia berdoa mudah-mudahan tiada apa-apa kejadian buruk yang menimpa Afia. Jika tidak, pasti dia akan diselubungi rasa bersalah seumur hidup. Dia yang mengajak Afia keluar tetapi Afia perlu datang sendiri ke KL Sentral. Tidak seperti gadis lain yang pastinya pergi berjemput dan pulang berhantar. Walaupun dia tahu Afia mampu berdikari tetapi Afia tetap seorang gadis.


Ramai. Awak janganlah bimbang. Saya okey.


Hatinya sedikit lega mendengarkan itu. Sekurang-kurangnya, Afia tidak bersendirian di perhentian bas itu.


Okey, take care. Saya seronok keluar dengan awak hari ni (^_^)


Entah mengapa dia tidak malu untuk mengakui isi hatinya kepada gadis itu. Seboleh-bolehnya, dia mahu gadis itu tahu apa yang dirasakannya pada saat ini. Bukan lagi rasa gembira tetapi bahagia. Dia berharap Afia juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Selepas hatinya tertawan, dia tidak pernah lupa memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar jodohnya dengan Afia dipermudahkan.


Saya pun. Thanks sebab belanja saya dan bagi saya komik percuma :)


Ternyata jawapan balas Afia itu menambahkan lagi rasa bahagia yang sudah bercambah dalam hatinya. Belum pernah lagi dia berasa bahagia sebegini.


Bas dah sampai, nanti saya mesej awak balik ya.


Afia sempat mengirimkan pesanan ringkas sebelum dia menaiki bas. Mungkin kerana bimbang dia tidak dapat membalas pesanan ringkas Asyraf apabila sudah bersesak di dalam bas.


Okey, elok-elok jalan.


Rasa mengantuk dan penat yang berbaur sudah tidak dapat ditahan. Matanya terus terlelap selepas mengirim pesanan ringkas itu.



PUKUL 2.00 pagi. Afia terjaga daripada tidur apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia menggosok-gosok matanya. Adakah dia sedang bermimpi? Rasanya tidak kerana lampu telefon bimbitnya bernyala-nyala seiring dengan bunyi lagu yang kedengaran. Mujur bunyinya tidak kuat. Dia mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di sebelah bantal. Nama Asyraf tertera pada skrin telefon bimbitnya. Dahi Afia berkerut.

“Kenapa pula dia telefon aku pagi-pagi ni?” Afia teragak-agak hendak menjawab panggilan telefon itu. Bimbang Asyraf akan mendengar suaranya yang baru bangun daripada tidur. Namun jika tidak dijawab dikhuatiri akan mengganggu lena teman-teman sebiliknya pula.

“Helo, Afia. Awak kat mana? Awak dah sampai kolej ke belum? Awak tak apa-apa, bukan?” Bertubi-tubi soalan diajukan oleh Asyraf sejurus dia menjawab panggilan telefon itu. Jelas nada kebimbangan dalam suara itu.

“Dah,” jawab Afia, cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran seperti baru bangun tidur. “Maaflah, saya baru sedar yang kredit saya dah habis masa nak mesej awak tadi.”

Kedengaran Asyraf menarik nafas lega. “Oo... saya ingatkan awak ada apa-apa tadi. Risau juga saya dibuatnya. Maaflah kacau awak tidur. Awak sambunglah tidur balik ya.”

“Maaf, buat awak risau.” Afia berasa terharu apabila Asyraf mengambil berat akan dirinya. Bicara lembut Asyraf menyentuh hatinya. Pertama kali dia berasa begitu disayangi.

“Afia...” bisik Asyraf romantik.

“Hm?”

“Suara awak seksi...”

Afia terdiam. Entah kata-kata itu suatu pujian atau sindiran. Ah! Tiba-tiba dia berasa malu.

Tiada ulasan: