Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Februari 20, 2012

Kugiran SMART (Bab 15)

“OI, Sham, buat apa?” tegur Iqbal ketika dia, Azrizal dan Shafik bertandang ke rumah Shamsul petang itu.

Memandangkan mereka bertiga sudah biasa ke situ, jadi mereka bertiga diberi kelonggaran untuk menerjah ke bilik Shamsul tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

Shamsul yang sedang mengadap komputer riba menoleh. “Aku tengah isi borang nak masuk universiti ni. Kau orang dah isi borang UPU ke?” tanya Shamsul. Kemudian, dia kembali mengadap komputer riba.

“Borang apa tu?” Iqbal bertanya kembali. Dia blur. Dia langsung tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

“Borang nak masuk universitilah,” balas Shamsul.

“Oo... belum. Tak wajib, kan?” Iqbal menghampiri Shamsul dan melihat skrin komputer riba Shamsul yang memaparkan borang UPU secara online.

“Memanglah tak wajib tapi takkan kau tak nak masuk universiti?”

“Buat apa? Malaslah.” Iqbal melabuhkan punggung di atas katil Shamsul. “Riz, Chap, kau orang dah isi borang UPU?”

“Aku tak ambil tahu pun,” balas Azrizal. Dia sudah membuat keputusan tidak akan menyambung pelajaran ke mana-mana kolej atau universiti. Dia sudah ada matlamat dan hala tuju dalam hidupnya. Justeru, dia akan fokus ke arah itu sahaja.

“Aku pun tak isi,” kata Shafik pula.

“Isy, apalah kau orang ni. Rugi tau kalau tak masuk universiti masa muda-muda ni,” kata Shamsul. Dia punyalah berkobar-kobar nak masuk universiti, boleh pula mereka bersikap acuh tidak acuh.

“Kau minta universiti mana?” tanya Azrizal. Kalau Shamsul masuk universiti, pasti kumpulan muzik mereka sukar untuk bergerak ke sana dan ke sini nanti sedangkan kumpulan muzik mereka baru sahaja hendak membina nama dan mengumpul pengikut.

“Aku minta yang dekat-dekat ni saja. Tapi ayah aku suruh aku sambung belajar di luar negara,” ujar Shamsul tanpa berselindung.

“Luar negara? Kalau kau pergi luar negara, macam mana dengan band kita?” Azrizal sudah cuak. Kalau Shamsul melanjutkan pengajian ke luar negara, lagilah sukar mereka hendak aktif. Tambahan pula, Shamsul memegang posisi yang penting yakni vokalis.

Salah satu identiti kumpulan muzik yang perlu dikekalkan ialah suara vokalis selain muzik kumpulan itu sendiri. Tetapi selalunya, identiti yang satu itulah yang paling sukar hendak dikekalkan.

Azrizal mula terfikir akan kemungkinan lain yang akan mereka hadapi jika Shamsul melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bukan mudah hendak mencari pengganti Shamsul. Kalau Shamsul pemain gitar atau dram, tidak adalah dia risau sangat kerana posisi itu boleh diganti dengan pemain sementara.

Mengingatkan saat-saat uji bakat yang pernah dijalankan dahulu pun, Azrizal sudah lelah. Mencari penyanyi yang sesuai dan serasi dengan mereka memang bukan perkara yang mudah. Apatah lagi Shamsul mempunyai kelebihan bermain alat muzik selain menyanyi.

“Alah, aku minta saja. Belum tentu lagi dapat.” Shamsul tidak menaruh harapan tinggi. Kalau dapat, dapatlah. Kalau tidak dapat pun, tidak mengapa.

“Ayah kau tak suruh kau ambil kursus perniagaan ke? Biasanya kan kalau ayah ahli perniagaan, mesti dia akan suruh anak dia mewarisi perniagaan juga, kan?” celah Shafik. Itulah yang selalu dia dengar, apatah lagi jika anak tunggal.

“Ayah aku tak macam tulah. Dia berikan kebebasan pada aku. Kalau tak, tak adalah aku pening kepala nak pilih isi borang online ni,” adu Shamsul.

“Apa yang susah sangat? Kau isilah sajalah kursus yang kau minat,” saran Shafik. Dia turut mengambil tempat di sebelah Iqbal sambil matanya melihat ke arah skrin komputer riba Shamsul.

“Masalahnya, ada lapan pilihan tau yang perlu diisi,” beritahu Shamsul.

“Lapan? Banyaknya!” Azrizal mula mengerti apa yang difikirkan oleh Shamsul. Kalau dia pun, pasti pening hendak pilih kursus yang diminati. Jangan kata lapan, satu pun dia tidak dapat fikir.

“Itulah, kalau main isi saja memanglah boleh tapi buatnya aku dapat kursus yang aku tak suka?” Shamsul menerangkan kemungkinan yang akan berlaku jika dia tidak berhati-hati mengisi borang UPU itu. “Aku tak nak jadi macam sepupu aku dulu. Dia main isi saja. Lepas tu, dia dapat kursus yang dia tak minat. Tak sampai tiga semester, dia berhenti sebab tak dapat bawa.”

“Jadi, kau nak ambil kursus apa?” tanya Azrizal sambil membaca pilihan kursus yang boleh dibuat oleh Shamsul di skrin komputer riba Shamsul.

“Aku ingat aku nak ambil kursus muziklah,” balas Shamsul. Sejak kecil, itu sahaja bidang yang dia minat. Jadi, dia membuat keputusan untuk mendalami bidang tersebut. Secara tidak langsung, dia dapat meluaskan pengetahuan dan mempelajari selok-belok di belakang tabir seperti kejuruteraan bunyi selain menyanyi dan bermain alat muzik.

“Ada kursus muzik ke?” Tiba-tiba Iqbal mencelah. Dia mula berminat.

“Adalah.”

“Aku pun nak ambil jugalah kalau macam tu,” tiba-tiba Iqbal mencelah. “Kita belajar di universiti yang sama, nak? Kalau ada kawan, barulah syok nak belajar.”

“Tak naklah aku sama dengan kau,” bantah Shamsul.

“Kenapa pula?”

“Bosan aku tengok muka kau.” Shamsul tergelak.

“Eleh, nanti kau rindu pada aku, baru kau tahu,” balas Iqbal. Dia diam sejenak sebelum teringat akan sesuatu. “Eh, Sham, apa cerita lagu kita dalam YouTube hari tu? Tak ada orang komen ke?” ungkit Iqbal.

“Ya tak yalah, aku pun dah lupa.” Azrizal juga hampir terlupa akan lagu itu.

“Sham, bukalah sekejap,” pinta Shafik.

“Tunggu sekejap.” Shamsul menurut. Dia mengecilkan tetingkap borang UPU online itu lantas membuka satu tetingkap baru dan menaip laman sosial YouTube. Kemudian, dia menaip tajuk lagu yang mereka tulis dahulu.

“Eh, dah ada orang komenlah!” umum Shamsul.
Mendengarkan itu, Azrizal, Shafik dan Iqbal yang tadinya sedang bersenang-lenang di atas katil Shamsul bingkas bangkit dan mendekati Shamsul. Masing-masing sudah tidak sabar hendak membaca komen-komen yang diterima. Entah komen positif atau sebaliknya. Jantung masing-masing mula berdebar-debar.





“APA dia orang komen?” tanya Azrizal. Antara mereka berempat, dialah yang paling berdebar sekali menantikan maklum balas daripada pendengar muzik memandangkan lagu itu adalah ideanya.

Mata Shafik membulat melihat jumlah komen yang tertera di situ. “21 komen? Banyak juga tu!”

“Kita tengok daripada komen pertama.” Shamsul menghala tetikus pada view all comments di bawah video yang bertajuk ‘Lelaki Seperti Aku by Kugiran SMART’ itu. Sesaat kemudian, muncul komen-komen memenuhi skrin komputer riba itu. Nama orang yang memberi komen dan waktu komen itu ditulis juga tercatat di situ.

Ketiga-tiganya mendekatkan muka pada skrin komputer riba itu. Seperti hendak masuk ke dalam komputer riba sahaja lagaknya. Mereka langsung tidak kisah jika mata mereka rosak akibat mengadap skrin komputer terlalu dekat. Yang pentingnya, mulut mereka tidak rosak untuk tersenyum lebar sampai ke telinga tatkala membaca komen-komen yang tertera pada video yang dimuat naik dalam laman sosial YouTube itu.


Lawaklah lagu ni. Tapi suara bagus.
nana90 2 hours ago

Boleh tahanlah.
babyana 3 hours ago

Wah, nak sain! =)
akusempoi 1 days ago

Best!
cik cute 1 days ago

Sedaplah suara dia.
akubudaksengal 3 days ago


Kembang hidung mereka dibuatnya. Tidak sangka ada juga orang yang menyukai lagu parodi mereka itu. Sedikit sebanyak komen-komen positif itu membuatkan mereka semakin tambah bersemangat untuk menghasilkan karya sendiri dan melakukan yang lebih baik. Mungkin selepas ini peminat mereka akan bertambah dan nama mereka akan lebih dikenali. Peminat? Wah, betulkah mereka sudah ada peminat?

Baru sahaja angan-angan mereka hendak berkembang, tiba-tiba senyuman di bibir mereka mati sejurus terpandangkan komen-komen yang seterusnya. Serta-merta angan-angan yang setinggi langit tadi jatuh menjunam ke bawah dan berderai menjadi serpihan lalu hilang daripada pandangan.


Kualiti bunyinya masih rendahlah.
dayana7 5 days ago

Perasan gila! Kalau hensem, kenapa tak letak muka?
mulutakusukahatiaku 6 days ago

Rosak lagu artis kesayangan aku.
lia 6 days ago

Perasan bagus betul!
miahmad 7 days ago


“Amboi, sedapnya dia komen kita perasan. Lagu ni kan memang lagu perasan. Dah terang-terang kita tulis kat situ. Dia orang ni tak pandai baca agaknya.” Shafik agak emosional apabila membaca komen-komen itu.

“Relakslah. Biasalah tu, ada yang suka, ada yang tak suka,” ujar Iqbal tenang.

“Tapi komen dia orang menyakitkan hati sajalah.” Shafik tetap tidak berpuas hati. “Sham, kau ke tepi. Biar aku balas balik komen-komen dia orang ni.”

“Tak payahlah, Chap.” Shamsul kurang bersetuju dengan cadangan Shafik. Dia khuatir Shafik akan menulis yang bukan-bukan memandangkan dia sedang berada dalam keadaan marah.

“Habis tu, takkan nak biarkan saja dia orang kutuk kita sesuka hati?” Shafik semakin berang.

“Biarlah dia orang nak kata apa-apa pun. Kalau kau balas komen-komen dia orang, nanti semakin teruk pula jadinya,” balas Shamsul.

“Tapi kalau orang lain baca nanti, macam mana?” jawab Shafik, masih tidak mahu mengalah.

“Alah, Chap, biar sajalah. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang dengar. Lagipun, bukan semuanya tak suka, kan?” tutur Iqbal pula.

“Tak apalah, Chap. Kita pun buat lagu ni untuk suka-suka saja. Untuk perkenalkan band kita. Sekadar nak uji pasaran. Bila dah ada pengikut nanti, bolehlah kita upload lagu kita sendiri pula,” ujar Azrizal. Dia cuba mengawal perasaannya walaupun ada antara komen itu yang menyakitkan hati. Namun itu tandanya kumpulan muzik mereka mula mendapat perhatian.

“Kita nak upload lagu apa lepas ni?” tanya Shafik. Kemarahannya mula reda sedikit apabila mendengar nasihat kawan-kawannya itu.

“Apa kata kita upload lagu yang kita letak dalam Facebook hari tu? Aku rasa kalau letak dalam YouTube, lebih cepat dapat respons daripada dalam Facebook,” Azrizal memberikan cadangan.

“Tapi kualiti lagu tu tak berapa baguslah. Bunyi muziknya tak berapa jelas. Kita rakam semulalah guna mikrofon. Okey tak?” Shamsul pula memberikan pendapat.

“Okey juga tu. Kau orang macam mana?” Azrizal meminta pendapat Shafik dan Iqbal pula.

Shafik dan Iqbal juga bersetuju. Justeru, mereka menghabiskan sepanjang petang itu untuk merakamkan semula lagu yang dicipta oleh Azrizal dahulu. Kali ini mereka akan membuktikan kemampuan mereka yang sebenar. Biar orang yang mengutuk mereka itu membuka mata dan terkedu!

Tiada ulasan: