Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Februari 09, 2012

Kugiran SMART (Bab 14)

TING! Bunyi gelas berlaga dan suara riuh-rendah sekumpulan remaja memecahkan suasana sepi di restoran makanan segera A&W itu. Kegembiraan dan kepuasan jelas terpancar pada wajah mereka. Ternyata hari itu merupakan hari yang menamatkan segala penantian mereka semenjak tiga bulan lalu. Terasa segala penat-lelah selama sebelas tahun di bangku sekolah berbaloi.

Azrizal turut berasa lega dengan keputusan peperiksaannya. Sia-sia sahaja dia berasa takut dan gementar. Bagaimana dia tidak takut dan gementar jika pagi itu dia bermimpi yang dia gagal dalam peperiksaan itu. Mujur mimpi itu tidak menjadi kenyataan. Walaupun keputusannya tidaklah cemerlang seperti keputusan Athira atau Shamsul, tetapi dia bersyukur kerana dia lulus dalam semua mata pelajaran.

Dia berlagak ceria. Cuba menyembunyikan perasaan kecewanya. Bukan kerana keputusan peperiksaannya yang biasa-biasa itu tetapi kerana Laily tidak datang. Perkara itu membuatkan firasatnya kuat mengatakan ada sesuatu yang menimpa Laily. Tetapi apa?

Mustahil Laily tidak dapat menghubunginya. Bukankah Laily ada menyimpan e-melnya? Selama ini juga mereka berhubung menerusi e-mel dan Yahoo Messenger selain My Space. Atau Laily juga sudah tidak menggunakan My Space memandangkan sekarang semua orang sibuk dengan Facebook?

Tetapi jika Laily mempunyai akaun Facebook, mengapa gadis itu tidak memberitahunya? Apalah salahnya jika mesejnya dalam My Space dibalas? Dia cuma mahu bertanyakan khabar dan mengetahui keadaan gadis itu. Adakah dia baik-baik sahaja di Kuala Lumpur sana? Tidakkah gadis itu merinduinya sepertimana dia merindukan gadis itu?

Ingin sahaja dia bertanya kepada Melissa lantaran Melissa rapat dengan gadis itu tetapi dia segan. Dia tidak mahu Melissa mengesyaki yang dia ada apa-apa hubungan istimewa dengan Laily. Lagipun, takkan dia mahu bertanya di hadapan Athira? Mahu mengamuk Athira dibuatnya! Bukannya dia tidak tahu yang Athira cukup tidak suka apabila dia menyebut nama Laily. Cemburunya bukan main.

“Lepas ni, kau orang nak sambung belajar di mana?”

Soalan itu membawa tumpuan Azrizal kepada kawan-kawannya yang sedang enak menjamu selera. Namun dia tidak berminat untuk menjawab soalan itu. Malah, dia langsung tidak terfikir untuk menyambung pengajian lagi. Dia mahu fokus dengan apa yang sedang diusahakan sekarang.



“KAU, Fatin? Mesti kau dah tak sambung belajar, kan? Yalah, orang dah jadi model.”

Fatin cuma tersenyum. Ada perasaan bangga kerana rakan-rakannya mengaguminya. Sudahlah jadi model, ada teman lelaki yang kacak lagi. Dia sempat menjeling Athira dan Azrizal untuk membaca reaksi mereka. Namun ternyata Azrizal langsung tidak memandang ke arahnya, sebaliknya Azrizal rancak bersembang dengan kawan-kawan lelaki mereka yang lain.

“Aku dapat tawaran untuk jadi model di luar negara,” ujar Fatin. Sengaja dikuatkan suaranya supaya semua bekas rakan sekelasnya mendengar. Biar mereka tahu yang dia kini lebih berjaya daripada mereka.

“Wah, hebatnya kau!” puji salah seorang rakan sekelasnya.

“Tapi aku tak pernah nampak pun muka kau dalam surat khabar atau majalah. Kau jadi model apa?”

Pertanyaan salah seorang rakan sekelasnya itu membuatkan Fatin tersentap. Namun dia cuba mempamerkan raut wajah selamba. Biar mereka beranggapan yang dia tidak terkesan langsung dengan kata-kata itu. Dapat mencuri perhatian dan tumpuan mereka pun dia sudah berpuas hati.

“Aku tak buat iklan surat khabar atau majalahlah. Aku buat iklan catwalk saja buat masa ni. Tapi mungkin tak lama lagi, aku akan jadi pelakon pula,” ujar Fatin sambil menjeling manja kepada teman lelakinya di sebelah.

Athira yang duduk di sebelah Azrizal berpura-pura tidak mendengar akan perbualan itu. Perasaan menyampahnya kepada Fatin semakin bertambah. Bukan dia cemburu akan kejayaan Fatin, tetapi dia tidak suka akan sikap Fatin yang boleh dianggap sebagai suka menunjuk-nunjuk itu.

Sejak kejadian itu, Fatin tidak pernah langsung meminta maaf daripadanya. Seolah-olah dia tidak bersalah langsung. Athira merasakan Fatin sekarang bukan Fatin yang dikenalinya dahulu. Perwatakan Fatin sekarang sangat berbeza. Mungkin juga dia tidak pernah mengenali diri Fatin yang sebenar memandangkan selama ini Fatin hanya berpura-pura sahaja dengannya.

Adakalanya dia tidak faham mengapa manusia perlu berpura-pura baik dengan seseorang itu sedangkan hati mereka tidak suka. Baginya, lebih baik mereka tidak berkawan terus dengan orang itu daripada memaksa diri berlakon baik di depan orang itu sepanjang masa. Tidakkah mereka berasa penat hidup dalam kepura-puraan?

Dia pula bukan orang yang pandai berpura-pura. Jika dia tidak suka akan seseorang itu, raut wajahnya akan jelas menunjukkan tidak suka. Seperti sekarang.

Kalau diikutkan hati, dia tidak ingin melihat muka Fatin lagi, apatah lagi duduk semeja begini. Apabila melihat muka Fatin sahaja, dia pasti akan teringat kejadian yang menyakitkan hatinya itu. Dia tidak mahu hatinya disakiti lagi. Tetapi sedaya mungkin, dia cuba bersabar.

Tidak elok pula rasanya dia menolak cadangan kawan-kawannya untuk minum bersama memandangkan sudah lama mereka tidak berjumpa. Namun yang menarik perhatiannya kini bukan Fatin, tetapi Shamsul.

Hatinya tertanya-tanya sendiri apabila melihat Shamsul, Azrizal, Shafik dan Iqbal boleh duduk semeja dan bergelak ketawa bersama. Seolah-olah hubungan mereka akrab sekali. Sejak bila pula Shamsul baik dengan tiga sekawan itu?



“MACAM MANA keputusan kau? Mesti gempak, kan? Kalau tak, tak adalah kau ceria macam ni, kan?” usik Laily ketika Melissa menelefonnya malam itu.

Sejak dia berpindah ke Kuala Lumpur selepas tamat peperiksaan SPM, hanya Melissa yang masih berhubungan dengannya. Dia memang tidak mempunyai ramai kawan rapat. Hanya Melissa kawan rapat yang dia ada.

“Tak adalah. Biasa saja,” balas Melissa. Apa-apa pun, dia sangat bersyukur kerana keputusannya masih dikira baik.

“Ramai tak yang datang tadi?” tanya Laily, ingin tahu. Dia juga berasa rindu untuk berkunjung ke sekolah lama mereka dahulu tetapi dia tidak dapat datang kerana ayahnya bekerja di luar daerah sehingga hujung minggu nanti. Apabila dia menyuarakan mahu menaiki bas sendiri ke Kuantan, ayahnya pula tidak benarkan. Jadi, terpaksalah dia menunggu ayahnya balik.

“Semua budak kelas kita ada. Kau sorang saja yang tak ada.”

“Ada sesiapa tanya pasal aku tak?” seloroh Laily. Sebenarnya dia nak tanya, ada tak Azrizal bertanyakan dirinya tetapi dia malu. Bimbang Melissa mengusiknya ada apa-apa dengan Azrizal. Walaupun dia kelihatan rapat dengan Azrizal beberapa bulan sebelum SPM, tetapi hanya sebagai kawan. Dia sendiri tahu akan hubungan Azrizal dengan Athira.

“Mestilah ada. Semua orang tanya kenapa kau tak datang,” jawab Melissa.

“Ya ke?” Laily sengaja bertanya kembali. Adakah semua orang yang dimaksudkan oleh Melissa itu termasuk Azrizal?

“Yalah. Rugi tau kau tak datang. Kita orang sempatlah lepak-lepak dan sembang-sembang ramai-ramai tadi. Dah lama tak jumpa kan. Semua dah berubah tau. Ada yang dah pandai bergaya, ada yang dah pakai kereta. Kau nak tahu? Fatin sekarang dah jadi model tau. Pakwe dia pun kacak sangat!” Melissa terus bercerita mengenai perkembangan dan perubahan bekas-bekas rakan sekelas mereka tanpa mengetahui yang Laily tidak berminat ingin mengetahui tentang kawan-kawan mereka yang lain.

Laily cuma ingin mengetahui tentang Azrizal. Entah apa khabar Azrizal sekarang ya? Bagaimana agaknya kehidupan Azrizal selepas dia berpindah ke Kuala Lumpur? Adakah Azrizal masih mengejar impiannya untuk menjadi pemuzik? Bagaimana pula dengan keputusan peperiksaan Azrizal? Adakah Azrizal masih ingat kepadanya?

Selepas mereka sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur, dia sudah bertekad akan melupakan Azrizal. Dia tidak mahu mengganggu hubungan Azrizal dan Athira. Dia juga tahu yang dia tidak harus menyimpan perasaan terhadap Azrizal. Justeru, dia berusaha menahan diri daripada menghubungi Azrizal. Dia tidak mahu Athira salah sangka akan hubungannya dengan Azrizal.

Meskipun dia dan Azrizal hanya sekadar berkawan, tetapi dia perlu memikirkan perasaan Athira. Pasti Athira tidak suka jika dia dan Azrizal terlalu rapat. Kalau dia berada di tempat Athira, pasti dia juga tidak suka teman lelakinya rapat dengan perempuan lain selain dirinya.

Mujur juga rumahnya di Kuala Lumpur tidak mempunyai perkhidmatan talian Internet. Jadi, akaun Yahoo Messenger dan My Space yang digunakan untuk berhubungan dengan Azrizal ketika bersekolah dahulu langsung tidak dibukanya. Itulah satu-satunya cara mereka berhubung. Jika kedua-duanya tiada, maka terputuslah hubungan antara mereka.

Sebenarnya dia teringin juga hendak tahu apakah reaksi Azrizal apabila mendapat tahu yang dia sudah berpindah ke Kuala Lumpur. Adakah Azrizal sedih? Atau tidak kisah langsung?



Nota: Insya-Allah, kalau ada rezeki, 'Kugiran SMART' akan menemui anda dalam versi novel...

Tiada ulasan: