Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Januari 28, 2012

CERPEN : Pilihan Hati

Pasti Tuhan ada alasan mengapa perasaan itu dianugerahkan kepada kita



INAI di jari direnung. Semua persiapan sudah dibuat. Semua kad jemputan sudah diedarkan. Khemah di depan rumah juga sudah didirikan. Hanya tinggal untuk melangsungkan majlis sahaja.

Tiga bulan lalu, hari inilah yang paling dinanti-nantikannya. Setiap hari dia berdoa mudah-mudahan majlis pada hari ini akan berjalan dengan lancar dan selamat. Dia tidak pernah meragui pilihan hatinya. Namun mengapa hatinya berasa waswas dengan tiba-tiba? Benarkah pilihan hatinya ini tepat?

Ah, ini semua Shima punya pasal! Kalau bukan disebabkan cerita teman baiknya itu, pasti dia tidak dilanda perasaan berbelah bagi begini.

Sebenarnya dia sendiri berasa terkejut apabila Shima memberitahu tentang khabar lelaki itu yang kini kembali solo. Apa yang menghairankannya ialah ini bukanlah kali pertama lelaki itu ditinggalkan oleh teman wanitanya. Sudah lebih daripada tiga kali!

Baginya, Luqman seorang lelaki yang cukup serba serbi. Kacak, tinggi, punya kerjaya yang baik, peramah… Pendek kata, Luqman mempunyai ciri-ciri teman lelaki yang diidamkan oleh setiap wanita. Tetapi dia tidak faham mengapa wanita-wanita itu meninggalkan lelaki sebaik Luqman.

Ah, mengapa pula dia perlu memikirkan tentang Luqman? Bukankah itu semua pilihan Luqman sendiri? Kalaulah Luqman memilihnya dari dulu lagi, nescaya dia tidak akan ditinggalkan.

“Astagfirullah al-Azim… Apa yang kau fikirkan ni, Alia? Ingat sikit, kau tu dah nak kahwin! Kau dah buat pilihan. Jangan nak buat hal.” Alia memarahi dirinya sendiri. Dia tidak patut goyah pada saat-saat begini. Mungkin semua ini hanya mainan perasaan ketika dia sedang berdebar meniti hari bahagia. Bak kata seorang temannya yang sudah berkahwin, pada waktu-waktu beginilah hati kita akan diuji dengan berbagai-bagai perasaan. Tetapi bagaimana jika kata-kata Shima benar?





“LIA, betul ke kau nak kahwin dengan Hairul?” tanya Shima tiba-tiba ketika malam berinai semalam.

“Betullah. Kenapa pula tak betul?” balas Alia sambil tersenyum manis.

“Kau tak rasa terburu-buru ke?” tanya Shima lagi.

Alia cuma tersenyum. Dia tahu Shima masih tidak percaya yang dia akan berkahwin juga akhirnya. Ah, jangan kata Shima, dia sendiri pun masih tidak percaya. Seolah-olah dia hanya bermimpi. Masakan tidak, wanita yang tidak pernah bercinta ketika alam persekolahan hingga ke alam universiti sepertinya akan berkahwin dahulu daripada teman-temannya yang bercinta bagai nak rak ketika belajar di universiti dahulu.

“Aku rasa tak. Lagipun, dah tiga tahun kita orang bercinta kan.” Alia tetap tersenyum.

“Tapi macam mana kalau ada lelaki lain yang lebih baik untuk kau?” duga Shima.

“Maksud kau?” Alia mula tidak senang dengan kata-kata teman baiknya itu. Adakah Shima cuba menyampaikan sesuatu kepadanya?

“Kalau aku cakap, kau jangan marah tau.” Shima kelihatan teragak-agak. Bimbang perasaan si teman akan terluka. “Aku rasa Hairul tu tak sesuai dengan kaulah.”

“Sebab dia gemuk?” tebak Alia.

Shima terdiam. Dia mula berasa bersalah. “Kau marah ke, Lia?”

Alia tidak menjawab. Sememangnya Shima bukan orang pertama yang berpendapat sebegitu. Bukannya dia tidak tahu ramai yang mengatakan dia dengan Hairul tidak sepadan hanya kerana saiz fizikal mereka berbeza.

Ya, dia mengaku pada mulanya, dia juga berasa malu untuk berdampingan dengan Hairul di tempat awam. Setiap kali mereka berjalan beriringan, pasti ada mata yang memandang dengan wajah yang sukar ditafsirkannya. Walaupun mereka tidak berpegangan tangan, tetapi dia pasti orang yang melihat dapat membaca hubungan mereka. Namun lama-kelamaan, dia sudah tidak peduli dengan pandangan orang lain. Bukan pandangan orang yang beri dia kebahagiaan. Yang penting, dia dan Hairul bahagia ketika bersama.

Hairul sentiasa berada di sisinya dan sedia mendengar segala luahan hatinya apabila dia menghadapi masalah di tempat kerja. Hairul juga banyak memberi nasihat dan teguran jika dia melakukan kesalahan.

Dia juga berasa bersyukur kerana keluarganya sangat memahami dan tidak memandang soal rupa atau harta. Keluarganya menerima Hairul seadanya.

“Okeylah, kita tolak soal rupa. Macam mana pula dengan kerja dia? Berapa sangat gaji dia kerja kerani tu untuk sara hidup kau?” Shima masih tidak berputus asa untuk menguji pendirian Alia.

“Aku kan masih bekerja.” Alia tidak merasakan perkara itu sebagai masalah besar memandangkan dia masih bekerja dan mampu menyara hidupnya sendiri. Tambahan pula, dia bukanlah wanita yang gila membeli-belah menghabiskan duit suami seperti sesetengah wanita. Asal cukup makan dan pakai, dia sudah bersyukur.

Malah, sebelum melamarnya, Hairul sudah menyiapkan segala-galanya. Rumah, kereta dan sebagainya untuk keperluan mereka selepas berumah tangga. Walaupun bukanlah rumah mewah atau kereta besar, tetapi semua itu sudah memadai baginya.

“Itulah yang aku nak cakap ni. Semalam Luqman jumpa aku. Dia tanya pasal kau.” Akhirnya Shima meluahkan arah sebenar topik perbualan itu.

Alia tidak bersuara. Dia menunggu Shima meneruskan ceritanya.

“Dia kata dia menyesal dia tak pilih kau. Bila aku beritahu yang kau nak kahwin, macam-macam yang dia tanya. Siapa bakal suami kau, kerja apa, semualah. Aku pun ceritalah pasal Hairul. Lepas tu, dia kata kalau kau dengan dia, dia akan pastikan yang kau tak perlu bekerja. Semua keperluan kau, dia akan sediakan.” Shima menceritakan semua yang dikatakan oleh Luqman tanpa meninggalkan satu perkara pun. Dia mahu Alia menilai semula keputusannya untuk berkahwin.

“Aku rasa kau dengan dia memang padanlah, Lia. Dua-dua sama cantik dan dua-dua sama saiz,” Shima menambah.

“Aku dah nak kahwin esok, Shima,” tegas Alia meskipun sedikit sebanyak dia terkesan juga dengan cerita Shima itu. Mengapa dia perlu tahu tentang Luqman tatkala hatinya sudah terisi?

“Tapi kau belum berkahwin. Masih ada masa untuk kau batalkan semua ni. Mungkin jodoh kau memang dengan Luqman,” pujuk Shima.

Alia memandang Shima. Dia bungkam.





“SAH!”

Pelukan erat di bahunya mengejutkan lamunannya. Jauh benar dia mengelamun sehingga tidak sedar yang dia kini sudah selamat bergelar isteri orang. Ya, isteri kepada Hairul Abdul Rahim. Dia yakin pilihan hatinya ini tepat.

Meskipun Hairul tidak sekacak Luqman, tidak punya kerjaya sebaik Luqman, tidak digilai ramai wanita, tetapi dia yakin Hairul mampu melengkapkan hidupnya. Dia tahu Hairul serba kekurangan jika dibandingkan dengan Luqman, tetapi dia juga bukanlah sempurna sangat.

Dia tidak mahir memasak, tidak pandai bergaya, tidak mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau semua ciri yang diidamkan oleh seorang lelaki untuk mencari calon isteri, tetapi Hairul tetap memilihnya sebagai isteri. Haruskah dia meminta lebih lagi?

3 ulasan:

RinsyaRyc berkata...

wah! bestnya ... betul-3 .. kesempurnaan tidak perlu dikejar sbb mungkin apa yg ada pada kita itu membuat kita lebih bahagia .. mcm hairul, x hensem mana, x kaya mana , asl kan dia mampu jaga kita, setia pda kita, tu pun dah cukup .. thanks cik writer .. GUd Job! ^___^

szalbiah iszmail berkata...

crita2 yg kak ilmar tulis semuanya ada pengajaran, ada mesej yg nak di sampaikan...szal pun nak ikut contoh kak ilmar lh...teruskan menulis ya kak...^^

Ilmar Imia berkata...

Lega sebab korang dapat tangkap mesej yang nak disampaikan dalam cerita ni. Hehe~ Thanks sudi baca :)