Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Januari 01, 2011

Belum Ada Jodoh 14

“SELEPAS berbincang, kami berpendapat ada sesetengah babak dalam manuskrip ini yang perlu diubah,” terang pengurus penerbitan Komikku, Encik Wahid sambil menunjukkan beberapa lakaran yang telah dihantar oleh Asyraf beberapa minggu yang lalu.

Asyraf menyambut huluran itu lalu menelitinya satu per satu lakaran yang ditandai dengan pensel itu. Kemudian, dia memandang Encik Wahid lantas bertanya, “Boleh saya tahu, kenapa babak ini perlu diubah?”

Sebagai penulis dan pelukis bagi komik tersebut, pastilah dia mahu seratus peratus idea asalnya diterima. Jika cerita itu diolah bagi disesuaikan dengan polisi sesebuah syarikat penerbitan, dia berasa seolah-olah dia menulis dan melukis demi memenuhi kehendak penerbit dan bukannya atas daya kreativitinya sendiri. Namun begitu, dia juga memahami bahawa setiap syarikat penerbitan mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi.

Ketika menghantar proposal manuskrip komik ini, dia sudah diberitahu dan diberi penerangan mengenai garis panduan dan kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi. Pada mulanya, dia memang kurang berpuas hati dengan sesetengah syarat yang dikenakan tetapi apabila mengenangkan hanya syarikat penerbitan ini yang berani menerbitkan komiknya, dia terpaksa akur. Mungkin pihak penerbit lebih mengetahui mengenai pasaran.

“Babak ini perlu diubah kerana kami berpendapat babak ini terlalu agresif dan tak berapa sesuai untuk bacaan kanak-kanak,” terang Encik Wahid.

Asyraf tekun mendengar penerangan Encik Wahid mengenai babak-babak yang perlu diubah. Seperti yang diterangkan oleh Encik Wahid ketika kali pertama dia ke situ untuk menghantar manuskrip komiknya, sasaran pembaca komik mereka adalah remaja, namun isi kandungannya juga perlu sesuai untuk semua peringkat usia. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul juga ditekankan bagi memungkinkan komik tersebut memasuki pasaran sekolah dan perpustakaan selain di kedai-kedai buku.

Dia tahu dia tidak patut merungut atau bersikap keras kepala. Bukannya senang hendak mencapai kejayaan dan bukan mudah untuk dia berada hingga ke tahap sekarang. Sudah banyak pengalaman yang dilaluinya. Takkanlah apabila disuruh membuat sedikit pembetulan, dia harus mengalah?



CAWAN berisi air kopi itu diletakkan di atas meja. Selepas berehat seketika, dia kembali menyambung kerja-kerja melukisnya. Pulang sahaja dari pejabat Komikku petang tadi, dia terus memulakan kerja-kerja memperbaiki seperti yang disarankan oleh Encik Wahid. Dia hanya berhenti untuk mandi dan solat. Makan malam yang disediakan oleh Mak Mi pun tidak dijamahnya.

Walaupun dia diberi masa selama dua minggu untuk memperbaiki lakaran-lakaran itu, namun dia tidak mahu menangguhkannya lebih lama. Bimbang semangatnya akan luntur. Jadi, sementara semangatnya sedang berkobar-kobar ini, dia mahu menyiapkannya secepat mungkin. Tambahan pula, dia baru sahaja mendapat idea tatkala dalam perjalanan pulang ketika berada di dalam komuter tadi. Lebih cepat dia menyiapkan kerja itu, lebih cepatlah komiknya dapat diterbitkan.

Beberapa minit kemudian, dia masih tekun melukis semula bahagian yang perlu diperbaiki. Namun setengah jam kemudian, dia berasa seperti kekurangan sesuatu. Pensel di tangannya diletak lalu telefon bimbitnya dicapai.

Digit jam pada skrin telefon bimbitnya menunjukkan hampir pukul 9.00 malam. Baru dia teringat, hari ini dia belum menghantar ucapan selamat malam kepada Afia lagi. Dia mencari-cari ucapan selamat malam yang kreatif dalam telefon bimbitnya. Namun sayangnya, kesemua ucapan itu sudah digunakannya. Jadi, alasan apa lagi yang dapat dia gunakan untuk menghantar pesanan ringkas kepada Afia?

Tiada ulasan: