Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 30, 2010

Belum Ada Jodoh 13

BUNYI telefon yang bertalu-talu itu mengejutkannya daripada lena.

“Isy, siapa pulalah yang telefon ni? Orang nak tidur pun tak senang.” Dalam keadaan mamai, Afia merungut. Rasanya dia baru sahaja hendak melelapkan mata selepas semalaman melayan ‘pakwe-pakwe’nya di Internet. Itu pun mujur talian Internet diputuskan oleh pihak kolej selepas pukul 7.00 pagi. Kalau tidak, memang tidak tidurlah dia jawabnya.

Dia mengiring membelakangi telefon bimbit yang diletak di tepi bantal setiap kali ketika tidur. Dia sengaja mengabaikan bunyi itu. Berpura-pura tidak mendengar. Namun, telefon bimbit itu terus bernyanyi. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia menjawab. Tanpa melihat nama si pemanggil, dia terus mencapai telefon bimbit itu lalu terus menjawabnya dalam keadaan mamai.

“Afia!” suara itu terus menyergah sebaik-baik sahaja talian bersambung.

Afia menjarakkan sedikit telefon bimbit itu dari telinganya. Dia melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbit itu. Yusri! Segera dia teringat akan ajakan Yusri semalam. Serta-merta matanya menjadi segar. Dia bangkit duduk di atas katil. Alamak! Apa aku nak cakap ni? Desis hatinya.

Afia berasa serba salah terhadap Yusri. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelakkan diri daripada keluar berdua-duaan dengan Yusri. Entah mengapa hatinya menjadi tidak tenteram apabila bersama Yusri. Mungkin kerana dia tidak mahu usikan Ezlyn dan Noni menjadi realiti. Yusri bukan lelaki pilihannya.

“Afia!” Suara itu memanggil lagi.

Dengan rasa malas, Afia terpaksa juga menjawab, “Ha?”

“Kau baru bangun ke? Dah pukul berapa ni? Ee, anak dara apalah kau ni. Patutlah kau tak ada pakwe sampai sekarang,” bebel Yusri.

Berdesing telinga Afia apabila mendengar kata-kata Yusri itu. Amboi, sedapnya mengata aku! Apa kena-mengena bangun lambat dengan tak ada pakwe? Ingat aku tak boleh hidup tanpa lelaki ke?

Pantang benar dia apabila orang mengaitkan tabiatnya yang suka bangun lambat itu sebagai penyebab dia tidak mempunyai teman lelaki. Baginya, waktu bujang beginilah dia hendak merasa hidup tunggang terbalik begitu. Sesuka hati hendak bangun pukul berapa, sesuka hati hendak tidur pukul berapa, sesuka hati hendak berbuat apa-apa tanpa perlu memikirkan apa yang orang lain hendak kata.

Nanti apabila sudah berkahwin, pasti semuanya akan menjadi terkongkong. Banyak perkara yang perlu dijaga. Justeru, sebelum tiba waktu itu, dia mahu menikmati kehidupan bujang dan solonya puas-puas. Namun tiba-tiba sahaja Yusri menegur sikapnya yang suka bangun lambat itu. Kalau dia bangun lambat pun, apa Yusri peduli? Yusri bukannya sesiapa dengannya. Inilah salah satu sebab mengapa dia tidak berapa menyukai Yusri. Suka mengkritik orang tanpa berlapik. Macamlah dia sempurna sangat!
“Afia, kau dengar tak ni?” panggil Yusri.

“Apa?” suara Afia sedikit meninggi. Sikap Yusri dirasakan menjengkelkan. Baginya, Yusri tidak berhak mempersoalkan kehidupannya. Dia bukannya melakukan perkara yang tidak baik.

“Jom keluar,” ajak Yusri.

“Malas!” jawab Afia pendek. Selepas apa yang Yusri katakan tadi, jangan haraplah dia hendak keluar dengannya. Yusri langsung tidak tahu menjaga perasaan orang lain.

“Aku tak kira! Kau kena temankan aku juga,” desak Yusri.

Belum sempat Afia membalas, dia terdengar bunyi pintu rumahnya dihempas kuat. ‘Siapa pula tu?’ tanyanya sendiri.

Sorry, Yus. Aku kena pergi.” Afia terus mematikan talian sebelum sempat Yusri berkata apa-apa. Memang dia sengaja berbuat begitu. Malas hendak mendengar Yusri berleter. Macam perempuan. Perempuan pun boleh kalah dengannya.



AFIA mengintai ke ruang tamu. Ezlyn muncul sambil mulutnya riuh membebel sendirian. Afia tidak dapat menangkap butir yang dituturkan oleh Ezlyn. Namun yang pastinya, Ezlyn sedang marah.

“Hai, awal balik?” tegur Afia memandangkan selalunya Ezlyn akan tiba di kolej pada Ahad malam tetapi sekarang baru petang Sabtu Ezlyn sudah terpacak di kolej. Mimpi apalah agaknya? Afia membuntuti Ezlyn ke biliknya.

“Kau tahu tak, aku tengah sakit hati ni,” adu Ezlyn seraya melabuhkan punggung di atas katil Noni. Melepaskan penat.

“Kenapa?” tanya Afia walaupun dia seakan-akan sudah dapat mengagak apa yang sedang berlaku. Seperti siaran di Astro yang sering berulang-ulang.

“Apa lagi, bergaduhlah.”

“Gaduh sebab apa?” Afia sekadar berbasa-basi padahal dia sudah malas hendak mengambil tahu tentang hubungan Ezlyn dengan teman lelakinya. Atas sebab apa lagi mereka hendak bergaduh? Pastilah kerana cemburu! Tetapi yang dia hairan, walaupun mereka sering bergaduh, hubungan mereka tetap bertahan sampai empat tahun.

“Dia tak bagi aku balik sini awal. Dia kata aku ada lelaki lain, sebab tu aku tak sabar-sabar sangat nak balik kolej padahal kita kan tengah banyak kerja ni. Tak lama lagi nak kena hantar laporan akhir,” keluh Ezlyn.

“Kau tak beritahu dia ke?”

“Dah, aku dah beritahu. Lepas tu, dia marah-marah aku. Ee, susah betullah dapat pakwe yang tak memahami ni. Tension!” ujar Ezlyn, separuh menjerit. Sakit betul hatinya apabila dituduh yang bukan-bukan oleh teman lelakinya sendiri.

Afia diam dan membiarkan Ezlyn meluahkan perasaannya. Walaupun dia tahu Ezlyn menerima teman lelakinya itu dahulu kerana kasihan lantaran teman lelaki itu tidak pernah berputus asa untuk merebut hatinya, tetapi dia yakin sekarang yang Ezlyn sudah mula sayangkan teman lelakinya itu. Mungkin benar kata sesetengah orang yang perasaan cinta itu dapat dipupuk.

Tambahan pula, teman lelaki Ezlyn sudah banyak berkorban untuk temannya itu. Masakan hati temannya itu tidak terusik? Adakalanya dia juga berasa cemburu kerana berasakan hidup Ezlyn sangat bertuah kerana mempunyai teman lelaki yang sangat mengambil berat akan dirinya. Cuma satu yang dia tidak suka mengenai teman lelaki Ezlyn. Lelaki itu terlalu kuat cemburu dan seakan-akan mengongkong kehidupan Ezlyn.

Ezlyn pernah bercerita yang mereka pernah bergaduh hanya kerana Ezlyn memandang lelaki lain ketika mereka sedang makan di sebuah restoran padahal menurut Ezlyn, dia dan lelaki itu cuma bertembung pandangan secara tidak sengaja. Tetapi teman lelaki Ezlyn mula naik angin dan memarahi lelaki itu secara terang-terangan sehingga Ezlyn berasa malu.

Dan sekarang Ezlyn terpaksa akur dengan kemahuan teman lelakinya yang mahu mereka berjumpa pada setiap minggu walaupun dia tidak rela. Malah, teman lelaki Ezlyn sendiri yang akan menjemputnya dari asrama pada petang Jumaat selepas waktu kerja dan menghantarnya pulang ke asrama pada malam Ahad.

Walaupun Ezlyn tinggal di Kuala Lumpur, namun Afia dapat merasakan betapa penatnya Ezlyn berulang-alik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur pada setiap minggu. Apatah lagi, mereka juga perlu menyiapkan tugasan akhir mereka pada semester ini. Hanya kali ini Ezlyn meminta teman lelakinya menghantarnya ke asrama lebih awal daripada biasa kerana mereka masih mempunyai banyak kerja yang perlu diselesaikan.

“Relakslah. Kau dah makan?” Afia mengubah topik.

“Sebab aku cakap nak balik awal tulah yang kita orang tak jadi nak pergi makan tadi. Sepanjang perjalanan, dia diam saja selepas aku minta dia hantar aku ke asrama lebih awal. Masa aku nak naik ke bilik tadi pun, dia tetap diam. Tak ada langsung ucapan-ucapan manis macam selalu setiap kali kita orang nak berpisah,” luah Ezlyn. Dia diam sejenak sebelum bertanya, “Kau dah makan ke?”

“Belum.”

Hendak makan apa kalau baru bangun tidur?

“Jom kita pergi makan,” ajak Ezlyn.

“Nak makan kat mana? Sekarang dah pukul berapa, dewan makan dah tutup kut.”

“Kita makan kat luarlah. Kompleks PKNS ke. Boleh jalan-jalan sekali, lepaskan tension,” cadang Ezlyn.

“Tapi aku nak mandi dulu.”

Mata Ezlyn membulat. “Kau tak mandi lagi?”

Afia cuma tersengih.



KETIKA mereka sedang enak menjamu selera di Restoran FC yang terletak di dalam Kompleks PKNS, telefon bimbit Afia berbunyi. Suapannya terhenti. Afia mengeluarkan telefon bimbit itu dari dalam saku seluarnya. Dahinya berkerut apabila melihat nombor yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu. Kemudian, dia memasukkan semula telefon bimbit itu ke dalam saku seluar tanpa menjawabnya.

Seketika kemudian, telefon bimbit itu berhenti berbunyi. Namun tidak lama selepas itu, telefon bimbit itu kembali berbunyi. Afia membiarkan sahaja telefon bimbit itu terus bernyanyi. Nasib baiklah telefon bimbit pada zaman sekarang sudah canggih. Tiada lagi bunyi tut tut yang kedengaran, sebaliknya bunyi lagu yang sebenar. Lebih-lebih lagi jika lagu itu adalah lagu kegemaran si pemilik telefon bimbit.

“Siapa?” Ezlyn yang duduk bertentangan dengan Afia bertanya.

“Entah. Orang gila kut,” balas Afia sambil menumpukan perhatian pada Laksa Penang di hadapannya.

“Hai, orang gila pun pandai buat panggilan telefon ke?” sindir Ezlyn.

“Ni orang gila zaman moden.”

Tidak lama kemudian, telefon bimbit itu berhenti bernyanyi. Sangka Afia, si pemanggil sudah penat mendail memandangkan sudah berkali-kali panggilannya tidak berjawab. Namun, ternyata si pemanggil itu masih tidak berputus asa seperti lagu ‘Cuba Lagi’ nyanyian Malique dan Lah yang sedang berulang-ulang menyapa gegendang telinga mereka itu.


Kucuba berkali-kali
Masih tak menjadi-jadi
Tapi ku tak patah hati
Tiap kali gagal kucuba lagi



“Bisinglah, Afia. Jawab sajalah.” Ezlyn mula rimas dengan bunyi itu. Walaupun bunyi nadanya tidak terlalu kuat tetapi tetap mengganggu pendengarannya.

“Kau jawabkanlah,” ujar Afia selamba seraya menghulurkan telefon bimbitnya itu kepada Ezlyn.

“Isy, aku pula!” Ezlyn enggan.

“Habis tu, biar sajalah. Lama-lama nanti, dia diamlah.”

“Kau ni, entah-entah orang tu ada perkara penting nak cakap dengan kau ke. Kalau tak, tak adalah dia telefon kau banyak kali,” tegur Ezlyn.

“Perkara penting apanya? Entah siapa-siapa,” balas Afia.

“Ee, jawab sajalah. Bukannya kredit kau yang habis pun.” Ezlyn masak benar dengan sikap Afia yang kedekut kredit itu. Kadang-kadang hendak mengirim pesanan ringkas yang berharga 10 sen pun dia berkira. Jika orang mengirim pesanan ringkas yang berbentuk ayat penyata, jangan haraplah dia hendak balas walaupun sekadar sepatah perkataan seperti ‘okey’. Pula itu, jika ada nombor yang tidak dikenali menelefon, bukannya dia hendak jawab.

“Malaslah. Salah nombor kut.” Afia yakin dengan andaiannya itu.

“Mana kau tahu salah nombor? Jawab pun tak,” bangkang Ezlyn.

“Alah, dah selalu sangat. Tu yang aku malas nak layan nombor yang aku tak kenal. Mula-mula, memanglah kata tersalah nombor. Lepas tu, mula tanya nama dan ayat-ayat nak berkenalan. Dah tahu sangat,” cerita Afia. Memang sudah terlalu kerap perkara sebegitu menimpa dirinya. Jadi jalan yang terbaik, tidak usah jawab. Kalau betul orang itu hendak bercakap dengannya, pandai-pandailah orang itu mengirimkan pesanan ringkas dan memperkenalkan diri.

Sejurus kemudian, suatu pesanan ringkas menjengah ke telefon bimbitnya. Seperti tahu-tahu sahaja apa yang berada dalam fikiran Afia. Lambat-lambat Afia mencapai telefon bimbitnya yang sudah berhenti bernyanyi itu. Pada skrinnya tertera 11 panggilan yang tidak berjawab dan satu pesanan ringkas. Afia mengalihkan pandangannya ke skrin telefon bimbitnya. Hampir hendak tersembul biji matanya tatkala membaca pesanan ringkas itu.


Hai, Afia. Tengah buat apa tu? Kenapa tak nak jawab call saya?~Syukri


Tanpa membuang masa, pantas jari-jemarinya menekan-nekan kekunci telefon bimbit itu untuk menjawab pesanan ringkas itu. ‘Ni tak boleh jadi ni. Mana pula dia dapat nombor telefon aku ni?’ Setelah mengarang ayat, dia terus menekan butang ‘hantar’. Sambil menantikan balasan Syukri, Afia kembali menjamah makanannya tetapi tidak sepenuh hati. Fikirannya mula terganggu.

“Afia, aku nak pergi tandas sekejap ya,” ujar Ezlyn lantas terus melangkah ke tandas berhampiran.

Tidak berapa lama selepas Ezlyn beredar, satu kiriman pesanan ringkas tertera pada skrin telefon bimbitnya. Pantas Afia membacanya demi menjawab persoalan yang sedang bermain di benaknya.


Kawan awak yang bagi.


Afia berasa tidak sedap hati dengan jawapan Syukri. Walaupun dia sudah dapat menebak siapa kawan yang dimaksudkan oleh Syukri, tetapi dia tetap juga hendak bertanya. Bimbang dia tersalah tuduh pula nanti.


Kawan yang mana?


Makanan yang masih berbaki di dalam mangkuk sudah tidak dihiraukan. Seleranya terbantut. Entah siapalah yang memandai-mandai memberikan nombor telefonnya kepada Syukri.


Yang selalu dengan awak itulah.


Sah! Benar seperti yang disangkakannya. Namun, dia perlu mendapatkan jawapan yang tepat.


Yang mana satu? Yang berambut panjang atau yang selalu pakai tudung hitam tu?


Afia menyedut minumannya sehingga habis, sebagai bekalan tenaga untuk menyembur api kemarahannya sebentar lagi.

Ezlyn memang gemar memakai tudung hitam. Walaupun ada orang yang mengatakan dia memakai tudung yang sama pada setiap hari, namun sebenarnya Ezlyn mempunyai berpuluh-puluh helai tudung hitam di dalam almarinya. Katanya, dia tidak boleh memakai tudung warna lain kerana kepalanya akan berasa pening. Entahkan betul, entahkan tidak kerana jika difikirkan secara logik, bukankah tudung sekolah di Malaysia ini berwarna putih?

Noni pula lebih selesa membiarkan rambut panjangnya yang melepasi bahu itu bebas lepas. Yalah, orang berambut cantik. Lurus dan hitam. Jika rambut serabai atau menggerbang, pasti sudah lama Noni memakai tudung. Mungkin bukan semua perempuan bertudung itu tidak mempunyai rambut yang cantik tetapi dia pernah mendengar cerita tentang seorang teman sekelasnya yang menanggalkan tudung apabila rambutnya sudah cantik. Pelik, bukan?

Dahulu, dia juga berasa cemburu melihat rambut Noni. Sangkanya, rambut Noni itu sudah semula jadi begitu. Namun rupa-rupanya Noni rajin menggunakan seterika rambut bagi meluruskan rambutnya hampir setiap pagi.


Yang selalu pakai tudung hitam tu.


“Lyn!” Hatinya berteriak geram. Oo… patutlah, nak lari ya?



“BANG, saya nak pesan nasi goreng USA,” Yusri berkata kepada pekerja yang berada berdekatan dengan mereka.
“Nasi goreng USA? Satu?”

“Satu saja. Bukan untuk saya tau. Untuk dia.” Yusri menunjuk ke arah Noni. Pekerja itu seakan terkejut, kemudian tersengih.

“Isy, jahat betullah kau ni!” Noni memukul lengan Yusri sejurus pekerja itu menghilang ke dalam.

“Au, sakitlah!” Yusri menggosok-gosok lengannya.

“Padan muka!” marah Noni.

“Dahlah, jom balik. Aku penatlah,” ajak Afia sebaik-baik sahaja mereka selesai makan di DML. Di fikirannya sudah terbayang-bayang bantal dan tilam di biliknya.

“Nantilah, tunggulah aku,” ujar Yusri sambil menghabiskan nasi goreng USA keduanya yang baru sahaja tiba.

“Cepatlah makan.” Afia sudah tidak larat mahu menunggu. Dia benar-benar keletihan. Matanya juga sudah mahu tertutup. Jika menunggu lebih lama, tidak mustahil dia boleh tertidur di situ.

Afia bingkas bangkit menuju ke kaunter bayaran sebaik-baik sahaja Yusri selesai menghabiskan nasinya diikuti oleh Ezlyn dan Noni. Melihatkan itu, Yusri terkial-kial menghabiskan minumannya pula sebelum menyertai mereka bertiga di kaunter bayaran.

Selesai membayar, Afia menunggu kawan-kawannya di pintu pagar belakang kolej mereka. Dia tidak mahu berlama-lama di situ, apatah lagi apabila menyedari Syukri asyik merenungnya. Namun, Ezlyn dan Noni pula seolah-olah sengaja berlengah-lengah di situ. Geram betul dia apabila melihat Ezlyn dan Noni masih rancak berbual-bual dengan Syukri. Entah apa yang dibualkannya pun dia tidak tahu, malah dia tidak mahu ambil tahu.

Namun, pada waktu itulah Ezlyn memberikan nombor telefonnya kepada Syukri tanpa pengetahuannya.



AFIA mendengus mengingati kejadian yang berlaku di gerai itu pada dua hari lepas. Afia semakin geram apabila mengingati perkara itu. Sanggup Ezlyn memberikan nombor telefonnya kepada orang yang tidak dikenalinya. Kalau betul pun Syukri sukakannya, mengapa lelaki itu tidak meminta nombor telefonnya daripada dia sendiri? Mengapa perlu menggunakan orang tengah? Tidak gentleman langsung! Beginikah sikap lelaki yang mahu menguratnya? Jangan haraplah dia hendak terpikat!

“Alah, Afia... kau kawan sajalah dulu dengan dia ya,” pujuk Ezlyn sambil menggosok-gosok lengannya yang lebam gara-gara dicubit oleh Afia tadi. Teruk dia dikerjakan oleh Afia hanya kerana dia memberikan nombor telefon Afia kepada Syukri padahal niatnya baik. Ingin menyatukan dua hati.

“Sakit ke?” Afia mula berasa serba salah. Entah apa yang merasuknya tadi sehingga dia tega melakukan sebegitu kepada Ezlyn. Sampai ke Tasik Shah Alam dia mengejar Ezlyn. Orang ramai yang memandang gelagat mereka yang berkejar-kejaran seperti pasangan kekasih itu langsung tidak diendahkannya. Yang dia tahu, dia perlu mendapatkan penjelasan daripada Ezlyn.

“Sakitlah,” Ezlyn berpura-pura merajuk. Boleh tahan juga mereka berlari sehingga ke tasik yang terletak bersebelahan dengan Kompleks PKNS itu.

“Maaflah, tapi memang salah kau pun. Yang kau pergi bagi nombor telefon aku pada dia tu, kenapa? Bukannya nak tanya aku dulu. Main bagi saja,” rungut Afia. Pandangannya dihala ke arah tasik yang tenang itu. Sekumpulan angsa sedang berenang di tasik itu. Terdapat juga beberapa pasangan yang sedang bersiar-siar di situ. Ada juga yang sedang berasmaradana tanpa segan silu.

“Kalau aku tanya pun, macamlah kau nak bagi,” Ezlyn menjelaskan rasional atas tindakannya.

“Memanglah aku takkan bagi! Aku tak suka tau. Pula tu, dia asyik telefon aku saja. Aku rimas tau!” marah Afia. Dia benar-benar berasa terganggu dengan panggilan telefon daripada Syukri itu.

“Dah kau tak jawab,” balas Ezlyn.

“Kalau aku jawab pun, bukannya aku faham apa yang dia cakap,” terang Afia. Loghat Sabah Syukri yang pekat itu membuatkan dia tidak berminat mahu berbual-bual dengan Syukri, apatah lagi menjalinkan hubungan yang lebih.

Dia tidak kisah berkawan dengan sesiapa atau dari mana asalnya seseorang itu, tua atau muda, miskin atau kaya, tetapi jika orang itu ingin menjalinkan hubungan yang lebih daripada itu, dia terpaksa bersikap kejam. Dia bukan mencari lelaki yang kaya atau bergaji besar. Jauh lagi berpendidikan tinggi atau ada ‘doktor’ di hadapan namanya. Bukan juga lelaki yang sering memberi hadiah atau bunga. Tak, dia tidak mahu semua itu. Dia cuma mahukan seorang lelaki yang biasa-biasa sahaja. Apa yang paling penting baginya ialah keserasian. Dan Syukri bukan lelaki itu.

“Kalau tak faham, belajarlah,” saran Ezlyn.

“Tak kuasalah aku. Belajar bahasa Inggeris pun aku malas,” balas Afia. Sememangnya dia tiada keinginan untuk mengenali Syukri dengan lebih rapat. Jika tidak, tanpa perlu disuruh pun, dia dengan rela hati akan mempelajari bahasa dan budaya Sabah. Bukankah dahulu dia pernah menonton dokumentari tentang negeri Sarawak gara-gara terlalu meminati Noh Phrofile, vokalis kumpulan Hujan yang berasal dari Miri, Sarawak itu? Habis semua tentang Sarawak dikajinya sedangkan dahulu dia tidak berapa berminat dengan mata pelajaran Geografi.

“Habis tu, sampai bila kau nak macam ni? Dah ada orang suka tu, janganlah sia-siakan. Berkawan sajalah dulu. Kalau kau rasa tak serasi, baru buat keputusan.” Nada Ezlyn mula serius. “Sebagai kawan, aku nak tengok kau bahagia. Lagipun, bukannya tak ada orang yang nak pada kau. Kau tu yang terlalu menutup pintu hati kau. Aku pun tak faham, entah apalah yang kau takutkan sangat dengan lelaki. Setahu aku, kau bersekolah campur dahulu. Jadi, aku rasa itu bukan suatu masalah bagi kau untuk bergaul dengan lelaki.”

“Entahlah, Lyn. Susah aku nak cakap. Mungkin belum ada jodoh agaknya,” keluh Afia. Fikirannya melayang mengingati seraut wajah Faiz. Mampukah dia bertemu dengan lelaki seperti Faiz? Atau setidak-tidaknya, lelaki yang lebih baik daripada Faiz.

Tiada ulasan: