Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 17, 2010

Belum Ada Jodoh 8

SELEPAS hampir satu jam menunggu, akhirnya mereka dapat menarik nafas lega apabila bas yang seterusnya tiba di perhentian bas kampus itu. Tanpa membuang masa, Afia, Ezlyn, Noni dan Yusri mengambil tempat masing-masing di dalam bas. Sekurang-kurangnya dapat jugalah penyaman udara bas itu menyejukkan hati mereka yang terbakar dek kelewatan Yusri tadi.

Seperti biasa, Ezlyn dan Noni akan duduk bersama manakala Afia pula lebih memilih untuk duduk seorang diri daripada duduk bersama Yusri memandangkan masih banyak tempat duduk yang kosong. Bukanlah dia tidak menyukai Yusri tetapi dia sedaya mungkin akan menjaga pergaulannya dengan lelaki yang bukan muhrimnya.

Selain itu, dia juga tidak mahu dilihat terlalu berkepit dengan Yusri kerana dikhuatiri mereka akan dilabel sebagai pasangan kekasih pula nanti. Maklumlah, pelajar-pelajar di sini pantang melihat perempuan dan lelaki berbaik sedikit, pasti mereka akan mengatakan lelaki dan perempuan itu bercinta. Lebih-lebih lagi kerana ramai pelajar batch mereka yang bercinta sesama sendiri. Justeru, Afia akan memastikan yang dirinya tidak dijadikan bahan gosip seperti itu.

Mujur hari itu hari bekerja. Jadi, tidak banyak pelajar yang menaiki bas pada waktu-waktu begitu. Pada semester akhir ini pula, mereka tidak perlu menghadiri sebarang kelas. Dalam seminggu, mereka hanya perlu berjumpa sekali sahaja dengan penasihat projek masing-masing bagi melaporkan perkembangan projek mereka di samping mendapatkan tunjuk ajar.

Pada hari Khamis pula mereka perlu berada di organisasi yang dipilih bagi mengkaji dan mempelajari proses-proses bidang yang dipilih sama ada kewartawanan, perhubungan awam, penyiaran, pengiklanan ataupun penerbitan. Berbeza dengan latihan praktikal yang mana mereka tidak perlu menyumbangkan tenaga untuk organisasi tersebut tetapi cuma memerhati dan melihat sendiri cara organisasi itu beroperasi.

Pada akhir semester nanti pula, mereka dikehendaki menyediakan sebuah laporan mengenai pengalaman mereka di organisasi tersebut. Walaupun bunyinya kedengaran mudah tetapi projek akhir itu jugalah yang mampu membuatkan mereka gagal menamatkan pengajian memandangkan mereka perlu bergantung sepenuhnya pada projek akhir itu. Jika mudah, tidak adalah pelajar yang mengulang subjek itu.

Bas yang dinaiki oleh mereka meluncur melalui TTDI dan kemudian membelok ke Giant, Seksyen 13. Mereka berempat sempat melelapkan mata sehinggalah Afia mengejutkan mereka apabila bas itu berhenti di Seksyen 2, tempat persinggahan bagi bas-bas menunggu waktu perjalanan seterusnya atau berhenti rehat untuk seketika.

“Ramainya orang. Kena berdirilah nampak gayanya,” rungut Noni.

“Nasiblah. Pagi-pagi macam ni kan memang ramai orang,” ujar Afia.

“Kita makan dululah,” cadang Yusri.

“Nak makan apanya? Kita kan dah lambat ni,” Ezlyn membantah cadangan Yusri. Sudahlah mereka lambat kerana dia, ada hati hendak makan pula lagi tu.

“Tapi aku laparlah. Nanti aku pengsan, siapa nak angkat aku?” ugut Yusri.

Afia, Ezlyn dan Noni berbalas pandangan. Siapalah yang larat hendak mengangkat badan Yusri yang agak berisi itu?



“SIAPA yang nak beratur ni?” tanya Noni sejurus mereka menapak di restoran makanan segera, Mc Donalds di KL Sentral. Mereka sepakat untuk makan di KL Sentral sahaja. Sekurang-kurangnya LRT tetap ada. Tidak perlu menunggu lama seperti menunggu bas atau komuter.

“Hai, sendiri nak makan, sendiri beraturlah. Kau orang ingat kau orang anak raja ke, nak kena layan?” sindir Yusri.

Yusri memang begitu. Dia bukan jenis lelaki yang suka memberi layanan istimewa kepada perempuan. Baginya, lelaki dan perempuan sama sahaja. Kenapa lelaki perlu bersusah payah untuk perempuan? Kenapa bila lelaki dan perempuan keluar bersama, lelaki yang perlu membukakan pintu kereta untuk perempuan? Kenapa bila lelaki dan perempuan keluar bersama, lelaki yang perlu membayar bilnya? Kenapa lelaki yang perlu memberi bunga dan coklat kepada perempuan? Perempuan beri apa pula kepada lelaki?

“Teruklah kau ni. Tak gentleman langsung,” marah Noni. “Nasib baik pakwe aku tak macam kau tau.”

“Nasib baik pakwe kau tu bukan aku tau,” balas Yusri, tidak mahu mengalah.

“Dahlah tu. Kita beli sendiri sajalah.” Afia rimas dengan perbalahan itu. Dia tidak kisah jika terpaksa beratur sendiri. Dia bukan seperti Noni. Mungkin Noni sudah biasa dilayan oleh teman lelakinya tetapi dia perlu ingat yang Yusri bukan teman lelakinya. Jadi, jangan haraplah Yusri akan memberikan layanan istimewa kepadanya.

Adakalanya dia cemburu melihat Ezlyn dan Noni yang mempunyai teman lelaki. Ada orang yang mengambil berat tentang mereka, ada orang yang mengambil tahu sakit pening mereka, ada orang yang sanggup mengeluarkan duit demi membeli keperluan mereka, malah mereka juga sering menerima hadiah daripada teman lelaki masing-masing.

Ezlyn pula, tiap-tiap bulan teman lelakinya akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun banknya. Maklumlah, teman lelaki Ezlyn sudah bekerja. Teman lelaki Ezlyn tua dua tahun daripada mereka dan merupakan senior Ezlyn ketika di sekolah menengah.
Teman lelaki Noni pula muda dua tahun daripada mereka. Berbeza dengan Ezlyn, Noni pula sering berhabis duit untuk teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Namun, kesanggupan teman lelakinya berhijrah dari Perlis ke Kuala Lumpur semata-mata mahu berada dekat dengannya membuatkan Afia sedikit kagum.

Meskipun begitu, Afia berasa bersyukur kerana dia mampu melakukan apa-apa sahaja sendirian tanpa mengharapkan pertolongan orang lain terutamanya insan yang bergelar teman lelaki. Dia tidak perlu risau jika teman lelakinya tiada di sisi untuk melayani kehendaknya kerana dia mampu berdikari. Dia juga tidak memerlukan duit lelaki yang bukan suaminya bagi menyara hidupnya.



“SIAPA nak kentang goreng ni? Aku tak laratlah nak habiskan.” Afia menolak kentang goreng di hadapannya. Walaupun hanya memesan Happy Meals, namun perutnya sudah tidak dapat diisi lagi.

“Kau ni Afia, selalu makan tak habis. Patutlah badan kau tak besar-besar,” ujar Yusri.

“Kalau kau nak, kau ambil sajalah. Malu-malu pula,” celah Noni.

“Betul ni? Aku ambil ni?” Yusri pantas mengambil kentang goreng Afia.

“Jangan, Yus. Jangan tak ambil,” seloroh Afia. ‘Orang dah bagi tu, tanya lagi!’

Mereka bertiga semua sudah sedia maklum dengan sikap Yusri yang kuat makan itu. Sememangnya setiap kali makan, Yusri tidak pernah cukup dengan hanya satu hidangan. Tidak kiralah masakan apa-apa pun, dia pasti akan makan bertambah. Mana tidaknya, lihat sahaja perutnya!

“Kalau macam nilah kan, Afia, aku rasa kau patut cari pakwe yang boleh habiskan makanan kau sebab kau selalu makan tak habis.” Kata-kata Noni membuatkan Afia tersedak.

“Alah, susah-susah sangat, kau couple sajalah dengan Yusri ni. Kan senang!” Ezlyn mengenyitkan mata kepada Noni.

‘Dah mulalah tu. Tak habis-habis nak padankan aku dengan Yusri,’ omel Afia dalam hati.

Ini bukan kali pertama mereka cuba memadankannya dengan Yusri, tetapi sudah banyak kali. Namun, baik Afia mahupun Yusri, masing-masing hanya menganggap itu sebagai gurauan. Walaupun kedua-duanya masih solo, tetapi itu tidak menjamin yang mereka berdua saling tertarik. Tambahan pula, Yusri bukan lelaki idamannya. Malah, tidak pernah terdetik pun di hatinya untuk bercinta dengan Yusri yang hanya dianggap kawan.

Bukan kerana rupa, apatah lagi kerana harta. Tetapi, hatinya benar-benar tiada ruang untuk Yusri. Bukankah hatinya sudah terisi? Namun, dia tidak pernah menceritakan tentang lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya itu kepada Ezlyn dan Noni. Jika dicerita, pasti Ezlyn dan Noni akan menyerangnya dengan berbagai-bagai soalan habis-habisan yang mana dia tidak akan mampu menjawabnya.

Afia mengeluh. Entah sampai bilalah mereka hendak berhenti mengusiknya? Mungkin apabila dia sudah mempunyai teman lelaki. Tetapi entah bilalah pula dia akan mempunyai teman lelaki?

Tiada ulasan: