Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 15, 2010

Belum Ada Jodoh 7

TELEFON bimbit di tepi bantal terus dilihat sejurus matanya celik daripada lena. Namun, tiada apa-apa yang tertera pada skrin telefon bimbit itu. Bermakna kiriman pesanan ringkasnya semalam tidak berbalas. Ada rasa hampa di hatinya.

‘Mungkin dia tak ada kredit kut,’ fikirnya positif. Tetapi bukankah baru semalam mereka saling berhubung? ‘Mungkin kredit dia dah tamat tempoh kut.’ Dia tetap berfikiran positif.

Rasa hampa yang baru singgah tadi diusir pergi. Dengan rasa malas, dia bangkit menuju ke bilik mandi. Bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Setelah bersiap ala kadar, sehelai kemeja berlengan panjang dan sepotong seluar slack yang sudah siap bergosok, dia melangkah keluar dari bilik.

“Acap, mari sarapan,” seorang wanita berusia awal 50-an menegurnya sebaik-baik sahaja dia keluar dari bilik tidurnya.

“Mak Mi masak apa pagi ni?” tanyanya lalu mengambil tempat di meja makan. Sebenarnya dia tidak kisah pun apa yang dimasak oleh ibu saudaranya itu kerana dia yakin apa-apa sahaja yang dimasak oleh ibu saudaranya itu pasti membangkitkan seleranya. Ibu saudaranya itu memang pandai memasak. Kalau tidak, tak adalah bapa saudaranya setia pulang ke rumah pada setiap kali waktu makan tengah hari.

“Nasi goreng saja,” balas Salmi lantas mencedok nasi ke pinggan dan dihulurkan kepada anak saudaranya itu.

“Terima kasih, Mak Mi,” ucapnya. Layanan Salmi yakni satu-satunya adik-beradik ibunya yang masih hidup, sentiasa melayannya dengan penuh rasa kasih dan sayang membuatkan dia berasa dirinya sebahagian daripada keluarga itu. “Pak Cik Rahim dah pergi kerja ke, Mak Mi?” soalnya sebelum menyuap sesudu nasi goreng ke mulut.

“Dah. Acap tolong hantarkan Qila pergi sekolah pagi ni ya? Balik nanti, Pak Cik Rahim ambil,” beritahu Salmi.

“Boleh, Mak Mi,” jawab Asyraf. Aqilah sudah dianggapnya seperti adik sendiri. Tambahan pula, dia sendiri tidak mempunyai adik. Seperti Aqilah, dia juga mempunyai dua orang abang. Namun, kedua-duanya seakan-akan tidak wujud dalam hidupnya memandangkan masing-masing membawa haluan sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia tujuh tahun lalu. Jumpa pun hanya setahun sekali yakni pada hari raya. Itu pun kalau bernasib baik.

Mengenangkan dirinya seorang diri, Mak Mi mengajaknya tinggal bersama. Pada mulanya dia segan hendak menerima pelawaan itu, namun atas desakan Mak Mi, akhirnya dia akur. Lagipun, dia tidak mampu untuk menyewa rumah sendirian lantaran rumah pusaka peninggalan arwah orang tuanya di Bangi kini didiami oleh abang sulungnya yang sudah berkahwin. Memandangkan arwah orang tuanya tidak meninggalkan sebarang wasiat, dia tidak mahu mempertikaikan perkara itu kerana dia percaya dia masih mampu mencari harta sendiri.

Selama tujuh tahun dia menumpang di rumah Mak Mi, tidak pernah sekalipun Mak Mi mengabaikan kebajikannya. Ekoran itu dia tidak pernah berasa terasing di rumah itu. Bahkan anak-anak Mak Mi yakni sepupunya sendiri juga menyambut baik kehadirannya di rumah itu. Dia sudah dianggap sebagai abang lantaran umurnya paling tua antara mereka.

Memandangkan kedua-dua abang Aqilah sudah berumah tangga dan tinggal di rumah sendiri, jadi Aqilah lebih rapat dengannya. Justeru, dia berasa bertanggungjawab terhadap Aqilah. Lagipun, bukannya selalu dia menghantar atau menjemput Aqilah kerana kebiasaannya Pak Cik Rahim yang melakukan tugas itu. Hanya apabila Pak Cik Rahim sibuk atau mempunyai urusan, barulah dia yang ditugaskan untuk menghantar dan menjemput Aqilah.

“Isy, mana Qila ni? Dah pukul berapa ni?” Salmi melihat jam yang tergantung pada dinding. Hampir pukul 7.00 pagi. “Qila! Oh, Qila! Tak siap lagi ke?” laung Salmi. Dia masak benar dengan perangai anak bongsunya itu. Sudahlah liat hendak bangun pagi, apabila bersiap pula mahu dekat sejam. “Hai, apa benda yang dibuatnya lama sangat kat dalam bilik tu? Acap makanlah, ya. Mak Mi pergi tengok Qila sekejap,” ujar Salmi lalu beredar ke bilik Aqilah.

Asyraf sudah dapat menjangka apa yang akan dilakukan oleh ibu saudaranya itu. Seketika kemudian, jeritan Aqilah bergema di satu kawasan perumahan itu.



DENGAN wajah yang masam mencuka, Aqilah yang sudah lengkap berpakaian sekolah mengambil tempat di hadapan abang saudaranya yang sudah selesai menikmati sarapan pagi di meja makan.

“Hai, pagi-pagi lagi dah masam. Tak baik tau. Nanti rezeki tak masuk,” usik Asyraf.

“Ee, bencilah!” bebel Aqilah.

“Dah, makan ni. Sedap tau,” Asyraf cuba memujuk adik saudaranya itu seraya mencedokkan nasi goreng ke pinggan kosong yang sudah tersedia di hadapan Aqilah. Bukannya dia tidak tahu apa yang dirungutkan oleh Aqilah, tetapi dia tidak mahu memanjangkan cerita. Dia yakin ibu saudaranya itu tahu bagaimana hendak mendidik anak bongsunya itu.

“Tak mahu!” mogok Aqilah.

“Janganlah macam tu, penat tau mak Qila masak ni,” umpan Asyraf. Namun Aqilah tetap bermasam muka. “Abang suapkan, nak?” Asyraf menyudu nasi goreng di pinggan Aqilah, kemudian menyuakan sudu itu ke mulut Aqilah. “Nganga mulut. Aaaa…”

Aqilah tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum. Dengan malu-malu, dia membuka mulutnya untuk disuap oleh Asyraf.

“Aum…” usik Asyraf sejurus Aqilah menyambut huluran suapannya.

Aqilah mengunyah sambil tersenyum.

“Macam tulah adik abang. Nah, makan sendiri.” Asyraf meletakkan semula sudu itu di dalam pinggan Aqilah.

“Hai, tak sudah lagi ke makannya? Cubalah laju sikit pergerakan tu, Qila. Kesian Abang Acap lambat pergi kerja nanti,” tegur Salmi yang baru muncul dari pintu belakang selepas selesai menjemur pakaian. Baldi kosong di tangannya diletakkan di hadapan pintu bilik air.

Aqilah menarik muncung apabila ditegur oleh ibunya. Serta-merta seleranya terbantut apabila mengenangkan peristiwa tadi.

Asyraf hanya tersenyum melihat telatah adik saudaranya yang berusia 15 tahun itu. Nama sahaja hendak ambil PMR tetapi perangainya langsung tidak seperti pelajar yang hendak menduduki peperiksaan besar. Mana tidaknya, malam-malam sahaja Aqilah lebih khusyuk melayari Internet daripada buku pelajaran. Tidak hairanlah Aqilah liat hendak bangun pagi sehingga ibu saudaranya itu terpaksa menggunakan cara ‘kejam’ untuk mengejutkannya daripada tidur.



“ASTAGHFIRULLAH, bertuah punya budak! Patutlah orang panggil, dia tak menyahut,” ucap Salmi apabila dia menjenguk ke bilik anak bongsunya yang juga merangkap anak perempuan tunggal. Rupa-rupanya anak bongsunya itu masih nyenyak di atas katil. Melihatkan itu, Salmi ke bilik air dan kembali dengan sebaldi air tidak lama kemudian.

Tanpa teragak-agak, dia terus menjirus air itu ke muka Aqilah. Serta-merta Aqilah bangkit dari katilnya. Mana tidaknya, jirusan air itu sangat sejuk seperti air batu. Apalagi, menjeritlah Aqilah dibuatnya.



SELEPAS menghantar Aqilah ke sekolah dengan menunggang motosikal, Asyraf terus ke pejabatnya. Setibanya di pejabat, sudah ada kerja yang menantinya.

“Asyraf, fotostat ni 15 salinan. Sekejap lagi ada mesyuarat. Cepat sikit ya,” arah suara itu.

Walaupun punggungnya belum mencecah kerusi, namun Asyraf akur dengan arahan ketuanya itu. Sudah memang itu kerja dia. Walaupun gaji sebagai kerani tidaklah tinggi mana tetapi dia tidak pernah merungut kerana baginya asalkan dapat duit bulan-bulan pun, dia sudah bersyukur. Dengan wang gajinya itu jugalah, dia dapat membeli sebuah motosikal untuk kemudahannya ke mana-mana.

Kalau hendak diikutkan hati, memanglah dia bosan apabila terpaksa melakukan kerja yang tidak disukainya. Namun, kerja apa lagi yang mampu dibuatnya dengan hanya setakat berbekalkan sijil SPM? Sekurang-kurangnya, dia mempunyai pekerjaan berbanding graduan universiti yang masih menganggur di luar sana.

Sebaik-baik sahaja tamat SPM, dia bekerja di kedai serbaneka 7-Eleven. Beberapa bulan selepas itu, dia menggunakan keputusan SPMnya untuk memohon kerja di sebuah kilang. Namun kerana perasaan tidak puas hati dengan sikap majikannya yang tidak adil, dia nekad berhenti kerja selepas dua tahun bekerja. Selepas beberapa bulan menganggur, akhirnya dia mendapat kerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan dan masih kekal sehingga sekarang.

Pengalaman itu banyak mengajarnya. Dia serik untuk membuat keputusan terburu-buru. Justeru, dia berazam untuk berubah dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Lantaran marahkan majikannya, dia hampir kebulur berbulan-bulan ekoran tidak mendapat pekerjaan. Pada waktu yang sama pula, ibunya meninggal dunia kerana kanser. Oleh sebab itu dia lebih menghargai pekerjaannya sekarang biarpun adakalanya jiwanya memberontak.

Selepas membuat salinan dokumen seperti yang disuruh oleh ketuanya tadi, Asyraf menyerahkan kesemua salinan itu kepada ketuanya. Kemudian, dia kembali ke mejanya. Telefon bimbit di dalam saku seluarnya dikeluarkan. Skrin telefon bimbit itu direnung. Kiriman pesanan ringkasnya semalam masih tiada balasan.

Tiada ulasan: