Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 20, 2010

Belum Ada Jodoh 9

“OI, Ash!”

Sergahan yang disertai dengan lambaian tangan di hadapan matanya itu membuatkan dia tersentak. Dia mendongak memandang pemilik suara itu. Kelihatan Reza, teman sepejabat yang juga merangkap teman sebelah mejanya sedang berdiri di hadapannya.

“Kenapa dengan kau ni? Dari tadi aku tengok kau asyik dok tenung telefon tu saja. Tunggu panggilan daripada seseorang ke?” usik Reza.

“Isy, kau ni! Kalau ya pun, bagilah salam dulu. Ni, main redah saja. Nasib baik jantung aku ni kuat lagi tau!” balas Asyraf demi menutup rasa malunya. Pasti Reza sudah memerhatikan kelakuannya semenjak dari tadi. Kalaulah Reza tahu apa yang bermain di benaknya, pasti dia ditertawakannya.

“Kau tu yang tak dengar aku panggil. Yalah, asyik dok pandang telefon tu saja, mana nak sedar keadaan sekeliling. Kau nak makan ke tak ni?” soal Reza yang sudah pun bersiap untuk keluar makan tengah hari.

“Eh, dah masuk waktu makan tengah hari ke?” Asyraf melihat jam yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Digit 1.05 tertera pada skrin itu. Maknanya sudah lima minit waktu makan tengah hari berlalu. ‘Rugi, rugi,’ omel Asyraf sendiri.

“Hai, waktu makan pun lupa? Biasanya kau yang selalu gesa aku suruh cepat bila tiba waktu makan tengah hari. Pelik. Kau tak sihat, ya?” Reza menebak. Jarang benar Asyraf terlupa tentang waktu makan tengah hari.

Sorry, aku tak sedar. Jom!” Asyraf bingkas. Entah bagaimana dia boleh terlanjak waktu makan tengah hari sedangkan waktu makan tengah harilah yang paling ditunggunya selain daripada waktu balik kerana dia kurang suka berada di pejabat itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia berhenti kerja dan melakukan kerja yang diminatinya. Namun apabila memikirkan tentang pendapatan setiap bulan dan perbelanjaan seharian, terpaksa juga dia melawan rasa tidak minat itu bagi melakukan kerja itu. Bagi melawan rasa itu, setiap hari ketika hendak ke pejabat, dia menanamkan azam dalam diri bahawa kerja adalah suatu kemestian dalam hidup. Bekerja untuk mencari nafkah demi menyara kehidupan seharian. Soal minat atau tidak perlu ditolak ke tepi.

Jika boleh, dia juga mahu mencari pekerjaan yang lebih tinggi gajinya. Namun dalam waktu yang sama, dia juga inginkan kerja yang mempunyai waktu kerja yang tetap seperti kerjanya sekarang supaya dia mempunyai masa untuk melakukan kerja yang dia minat pada waktu terluang.

Sementara menantikan makanan yang dipesan tiba, dia melihat telefon bimbitnya sekali lagi. Tiada sebarang mesej yang tertera. Bagaimana sekiranya Afia tidak membalas kiriman pesanan ringkasnya kerana gadis itu memang tidak mahu berkawannya? Maklumlah dia cuma berkelulusan SPM, apatah lagi jika Afia tahu yang dia hanya seorang kerani. Asyraf mengeluh hampa apabila mengenangkan kemungkinan itu.



SELEPAS menunaikan solat zohor di surau, Asyraf kembali ke mejanya. Dia melihat telefon bimbitnya yang ditinggalkan di atas meja selepas kembali dari makan tengah hari bersama Reza tadi. Masih tiada apa-apa mesej.

‘Biarlah. Mungkin aku akan lupakan dia bila aku sibuk,’ fikir Asyraf. Telefon bimbit itu diletakkan di sebelah komputer lantas dia cuba menumpukan perhatian terhadap kerja-kerjanya di pejabat.

Namun tidak sampai setengah jam, motivasinya kembali menurun. Fikirannya tidak tenteram. Dia memandang telefon bimbitnya. Berharap telefon bimbit itu akan berbunyi atau sekurang-kurangnya bunyi pesanan ringkas. Dan tidak lama kemudian, doanya dimakbulkan. Telefon bimbit itu berbunyi. Pantas tangannya mencapai telefon bimbit itu untuk menjawab.

Namun apabila dia melihat nama si pemanggil, dia jadi berang. “Jangan main-mainlah, Reza!” marahnya kepada teman di meja sebelahnya. Rupa-rupanya temannya itu yang menelefon.

Reza cuma tergelak melihat reaksi Asyraf. “Janganlah marah. Aku cuma kesian tengok kau dok tenung telefon tu dari pagi tadi. Masa makan tengah hari tadi pun, macam tu juga. Jadi, aku pun telefonlah.”

Asyraf merenung temannya itu tajam. Reza membuat isyarat tangan, tanda memohon maaf. Asyraf kemudian kembali menumpukan perhatiannya terhadap kerja. Namun ketika dia sudah dapat menumpukan perhatian terhadap kerja, telefon bimbitnya kembali berbunyi.
Tanpa memandang telefon bimbit itu, dia bersuara keras, “Dahlah, Reza. Jangan main-main.”

Tiada sahutan daripada Reza, malah telefon bimbit itu tetap berbunyi. Asyraf memandang meja Reza di sebelahnya. Tiada sesiapa di situ. Telefon bimbit Reza pula ditinggalkan di atas meja. Mungkin Reza ke surau untuk bersolat. Memikirkan itu, Asyraf mencapai telefon bimbitnya. Nombor yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu membuatkan hatinya berdebar kencang.



“KENAPA tiba-tiba saja Acap ajak kami makan kat luar ni?” tanya Salmi ketika mereka sekeluarga selesai membuat pesanan masing-masing tatkala tiba di restoran itu. Petang tadi, tiba-tiba sahaja Asyraf menelefonnya dan memberitahu yang dia tidak perlu memasak untuk makan malam, malah Asyraf menyuruh mereka sekeluarga bersiap untuk makan malam di luar.

“Saja,” balas Asyraf sambil bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Hanya Tuhan yang tahu perasaannya pada ketika itu. Sememangnya dia tidak dapat menahan rasa gembiranya selepas menerima berita pada petang tadi. Akhirnya, impiannya hampir tercapai.

“Acap dapat naik gaji ke?” tanya Rahim pula.

“Taklah,” jawab Asyraf.

“Abang Acap dapat naik pangkat?” Aqilah pula cuba menebak.

“Pun tak.”

“Habis tu?” Aqilah mencebik kerana tekaannya juga tidak mengena.

Asyraf tersenyum memandang ketiga-tiga orang yang telah banyak mengisi hari-harinya semenjak tujuh tahun yang lalu itu. Kasihan pula dia melihat wajah mereka yang tertanya-tanya itu lantas dia memutuskan untuk berterus terang sahaja. Siapa lagi yang dia ada untuk berkongsi kegembiraan itu? Abang long dan abang ngahnya? Jangan haraplah mereka hendak mengambil tahu. Masing-masing lebih mengutamakan urusan kehidupan masing-masing daripada dirinya. Mungkin kerana mereka beranggapan yang dia sudah cukup dewasa untuk menguruskan kehidupan sendiri.

“Petang tadi Acap dapat panggilan telefon daripada sebuah syarikat penerbitan. Dia orang berminat nak terbitkan komik Acap,” ujar Asyraf. Wajahnya jelas menggambarkan perasaan gembiranya. Pasti berita ini dianggap remeh bagi orang lain, tetapi tidak baginya apabila sesuatu perkara itu melibatkan masa hadapan dan impian yang tertunda.

“Betul ke, Acap? Syukur alhamdulillah.” Salmi menyambut berita itu dengan gembira. Dia tahu sudah lama anak saudaranya itu menyimpan impian yang satu itu, malah dia menyaksikan sendiri kesungguhan Asyraf.

“Bila nak keluar komiknya?” Rahim turut gembira dengan berita itu. Walaupun dia tidak pernah mendorong, tetapi dia juga tidak pernah menghalang cita-cita Asyraf itu kerana baginya Asyraf berhak menentukan masa hadapannya sendiri. Asalkan pekerjaan itu tidak melanggar batas-batas agama, tiada sebab untuk dia melarang.

“Dia orang kata kalau tak ada aral melintang, insya-Allah bulan depan ni.” Panggilan telefon yang diterima pada petang tadi masih terbayang-bayang dalam fikirannya. Terasa segala penat lelah dan penantiannya selama ini berbaloi. Sejujurnya bulan depan itu dirasakan terlalu lama, namun dia tahu dia masih perlu bersabar. Bukankah hero selalunya muncul lewat? Begitu juga dengan kualiti yang baik. Jadi, biarlah lambat asalkan produk yang dihasilkannya itu nanti memuaskan hati.

“Jadi, Abang Acap akan jadi terkenallah?” celah Aqilah sambil mulutnya sibuk mengunyah makanan yang baru sahaja tiba di meja mereka.

Asyraf cuma tersenyum. Soal terkenal atau tidak, itu bukan perkara utama baginya. Yang penting, dia dapat merealisasikan impiannya selama ini. Dia percaya soal rezeki.

“Jadi, Acap akan berhenti kerja ke?”

“Eh, taklah, Mak Mi. Acap akan terus kerja dan tinggal kat Kajang ni. Melukis komik ni sambilan saja,” terang Asyraf. Dia bersyukur kerana doanya selama ini telah dimakbulkan oleh Tuhan. Impiannya hampir terlaksana. Alangkah bagusnya jika dia dapat berkongsi kegembiraan ini dengan seseorang yang dicintai. Dalam pada itu, dia teringatkan Afia. Mengapa Afia masih belum membalas mesejnya? Adakah Afia benar-benar sibuk atau sememangnya Afia tidak berminat hendak berkawan dengannya?

Tiada ulasan: