Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Julai 25, 2010

AsyrAfia 24

TELEFON bimbit Nokia berwarna biru langit yang diletakkan di atas meja itu bergetar sambil diiringi lagu ‘Hantu’ daripada M.I.X, menandakan ada panggilan yang masuk. Nama si pemanggil dilihat sekilas.

Hisy, dia ni lagi! Tak ada kerja lain ke? Asyik kacau hidup orang aje. Orang nak main Internet pun tak senang. Omel hati kecil Afia lantas dia membiarkan saja telefon bimbit itu terus bernyanyi.

“Siapa?” Julia yang duduk di sebelahnya di dalam makmal komputer itu bertanya.

“Entah. Orang gila,” balas Afia sambil matanya masih kukuh pada skrin komputer. Memang kalau dia dah dapat komputer, jangan haraplah dia nak menoleh ke kiri ataupun ke kanan mahupun ke belakang.

“Hai, orang gila pun pandai buat panggilan telefon ke?”

“Ni orang gila zaman moden.”

Tak lama kemudian, telefon bimbit itu berhenti bernyanyi. Sangka Afia, si pemanggil sudah penat mendail memandangkan sudah berkali-kali panggilannya tidak berjawab. Namun, ternyata si pemanggil itu masih tidak berputus asa kerana sekali lagi lagu ‘Hantu’ itu menyapa gegendang telinga mereka.

“Bisinglah, Afia. Angkatlah,” Julia mula rimas dengan bunyi itu. Memanglah nadanya tidak terlalu kuat tetapi getarannya itu yang mengganggu konsentrasinya.

“Kau jawabkanlah,” ujar Afia selamba.

“Hisy, aku pulak!” Julia enggan.

“Habis tu, biar ajelah. Lama-lama nanti, dia diamlah.”

“Kau ni, entah-entah orang tu ada perkara penting nak cakap dengan kau ke.”

“Perkara penting apanya? Entah siapa-siapa.”

“Ee… jawab ajelah. Bukannya kredit kau yang habis pun.”

“Malaslah. Salah nombor kut.”

“Mana kau tahu salah nombor? Jawab pun tak.”

“Alah, dah selalu sangat. Tu yang aku malas nak layan nombor yang aku tak kenal. Mula-mula, memanglah kata tersalah nombor. Lepas tu, mula tanya nama dan ayat-ayat nak berkenalan. Dah tahu sangat,” cerita Afia. Memang sudah terlalu kerap perkara sebegitu menimpa dirinya. Jadi jalan yang terbaik, tak payah jawab. Kalau betul orang tu nak bercakap dengannya, pandai-pandailah orang tu SMS.

Sejurus kemudian, suatu pesanan ringkas menjengah ke telefon bimbitnya. Lambat-lambat Afia mencapai telefon bimbitnya yang sudah berhenti bernyanyi itu. Di skrinnya tertera lima panggilan yang tidak berjawab dan satu pesanan ringkas. Afia mengalihkan pandangannya ke skrin telefon bimbitnya. Hampir nak tersembul biji matanya tatkala membaca bait pesanan ringkas itu.


Hai, Afia. Tengah buat apa tu? Kenapa tak nak jawab call saya?~Sukry


Tanpa membuang masa, pantas jari-jemarinya menekan-nekan keypad untuk menjawab pesanan ringkas itu. Ni tak boleh jadi ni. Mana pulak dia dapat nombor telefon aku ni? Setelah mengarang ayat, dia terus menekan butang ‘hantar’. Sambil menantikan balasan Sukry, Afia kembali menatap skrin komputer tetapi tidak sepenuh hati. Fikirannya mula terganggu.

“Afia, aku nak pergi tandas sekejap, ya,” ujar Julia lantas terus melangkah ke luar. Tidak berapa lama selepas Julia keluar, satu kiriman pesanan ringkas tertera di skrin telefon bimbitnya. Pantas Afia membacanya demi menjawab persoalan di benaknya.


Kawan awak yang bagi.


Kawan yang mana?


Yang perempuan tu.



“Julia!” Hatinya berteriak geram.





PADA hari itu, Afia dan Julia pulang malam selepas seharian merayau di Kompleks PKNS bagi menghilangkan kebosanan. Setibanya di kolej, Julia mengadu lapar lantas mereka berdua singgah di DML untuk mengisi perut.

Seusai membuat pesanan masing-masing, Afia menghilang ke tandas berhampiran. Dari dalam bas tadi dia sudah terasa hendak ke tandas. Namun perjalanan dari Shah Alam ke Puncak Perdana yang mengambil masa hampir satu jam tadi membantutkan niatnya.

Sekembalinya Afia ke gerai itu, dia berasa pelik apabila melihat Julia sedang rancak berbual dengan Sukry. Makanan dan minuman yang dipesan oleh mereka tadi telah siap di atas meja.

Hai, si Sukry ni nak mengurat Julia pulak ke? Fikir Afia. Tapi Julia kan dah ada pakwe. Kalau tahu dek pakwe dia ni, teruklah dia orang bergaduh. Pakwe dia kan kuat cemburu. Afia semakin hairan apabila Julia dan Sukry tersengih-sengih tatkala dia semakin menghampiri mereka. Lain macam aje dia orang ni.

“Afia, kau mesti tak percaya,” ujar Julia sebaik-baik saja Sukry menghilang ke dalam.

“Apa benda?” tanya Afia. Ni mesti ada apa-apa. Kalau tak, takkanlah si Sukry tu boleh duduk semeja dengan Julia. Tapi kenapa aku rasa macam tak sedap hati aje?

“Tadi masa kau pergi tandas, Sukry datang sini. Aku nampak dia ambil makanan kita daripada kawan dia. Terkejut kawan dia,” Julia bercerita sambil tangannya menggayakan aksi Sukry tadi. “Dia tanya kau pergi mana. Aku cakaplah kau pergi tandas. Lepas tu, dia tengok kiri kanan. Tiba-tiba dia duduk sebelah aku. Kau tahu dia tanya aku apa?”

“Apa?” tanya Afia, acuh tak acuh.

“Dia mintak nombor telefon kau,” ujar Julia, teruja. Nampak gayanya, betullah tekaan mereka selama ini. Si Sukry tu memang syok kat Afia.

“Habis tu, kau bagi ke?” Afia cuak.

“Kalau aku bagi, kau nak buat apa?” duga Julia.

“Kau jangan, Ju.”

“Tak adalah. Aku tak bagi.”

Afia mendengus mengingati kejadian yang berlaku di gerai itu pada minggu lepas. Tak bagi konon. Menipu aje lebih. Patutlah asyik tersengih-sengih aje dari tadi. Rupa-rupanya ada rahsia besar yang disorokkan. Afia semakin geram apabila mengingati perkara itu. Sanggup Julia memberikan nombor telefonnya kepada orang yang tidak dikenalinya.

Kalau betul pun si Sukry tu suka kat aku, kenapa dia tak mintak sendiri dengan aku? Kenapa nak guna orang tengah? Tak gentleman langsung! Macam ni ke nak mengurat aku? Jangan harap!

“Alah, Afia... kau kawan ajelah dulu dengan dia. Manalah tahu dia jodoh kau.”

Hah, itulah ayat yang paling dia tidak suka! Kalau kawan, kawan ajelah. Kenapa nak kait-kaitkan dengan jodoh pulak?

Afia memandang ke arah Julia yang sedang menggosok-gosok lengannya yang lebam gara-gara dicubit oleh Afia tadi. Teruk dia dikerjakan oleh Afia hanya kerana dia memberikan nombor telefon Afia kepada Sukry padahal niatnya baik. Ingin menyatukan dua hati.

“Sakit ke?” Afia mula rasa serba salah. Entah apa yang merasuknya tadi sehingga dia tega melakukan sebegitu kepada Julia.

“Sakitlah,” Julia berpura-pura merajuk.

“Sorrylah. Tapi memang salah kau pun. Yang kau pergi bagi nombor telefon aku pada dia tu, kenapa? Bukannya nak tanya aku dulu. Main bagi aje,” rungut Afia.

“Kalau aku tanya pun, macamlah kau nak bagi.”

“Memanglah aku takkan bagi! Aku tak suka tau. Pulak tu, dia asyik telefon aku aje. Aku rimas tau!”

“Alah, apa salahnya kalau kau cuba,” cadang Julia. Rasanya tak salah mencuba memandangkan Afia pun masih belum ada siapa-siapa. Lelaki yang bernama Asyraf tu dulu pun senyap aje. Macam tak ada apa-apa perkembangan pun. Tak jadilah tu. Mungkin dah memang jodoh Afia dengan Sukry kut.

Eh, Julia ni! Memandai-mandai aje.

“Kau ingat ni apa nak cuba-cuba?” bangkang Afia. Ingat aku terdesak sangat ke nak berpakwe? Kalau setakat nak buat peneman sepi, baik tak payah! Buang masa aje.

“Kau tak suka Sukry sebab dia kerja kat gerai aje ke?” serkap Julia. Entah lelaki manalah yang mampu mencairkan hati teman baiknya ini. Susah betul nak buat dia jatuh cinta.

“Bukan tu masalahnya. Masalahnya, hati aku tak ada pada dia.”

“Yalah, tapi mesti ada sebab, kan?”

“Aku tak retilah nak cakap macam mana lagi, Ju. Tolonglah jangan paksa aku. Bila sampai masanya nanti, adalah...”

Ya, dia percaya setiap orang sudah ditetapkan jodohnya. Cuma cepat ataupun lambat saja. Lagipun, tak semestinya kalau kita bercinta dengan seseorang itu, kita akan berkahwin dengan orang itu juga. Ada orang yang bercinta bertahun-tahun tapi akhirnya berpisah juga. Ada orang yang bercinta selepas kahwin tapi bahagia aje.

“Dahlah, Ju. Aku nak berehat,” Afia merebahkan diri di atas katil lalu memejamkan mata. Melihatkan itu, Julia beransur ke biliknya di blok 2. Setelah pasti Julia sudah pergi, Afia kembali membuka mata. Suatu keluhan dilepaskan.





Salam, Afia. Sihat? How your day?


AFIA tersenyum membaca pesanan ringkas itu. Sudah menjadi kebiasaan, si pengirim akan menghantar pesanan ringkas bertanyakan khabarnya pada setiap malam. Entah kenapa dia sering ternanti-nantikan mesej daripada si pengirim. Jika terlewat dari waktu yang sepatutnya, hatinya bisa menjadi tidak keruan.

Dengan senang hati, dia membalas pesanan ringkas itu. Perihal Sukry dilupakan buat seketika. Namun gara-gara kejadian siang tadilah, dia enggan mengikut Julia, Adi dan Rizal makan malam di gerai. Walaupun puas dipujuk, namun dia tetap berkeras tidak mahu mengikut mereka. Dia tidak tahu bagaimana harus berhadapan dengan Sukry.

Mungkin Adi dan Rizal tidak faham sebab apa dia enggan mengikut mereka tetapi Afia seratus peratus yakin Adi dan Rizal akan mendapat jawapannya daripada Julia ketika mereka bertiga melepak di gerai. Itulah antara sebab dia jarang-jarang menceritakan sesuatu perkara yang membabitkan perasaan. Jika salah seorang daripada mereka berempat tahu, pastinya tiga yang lain akan tahu juga.

Bagi Afia, sesuatu yang berkaitan dengan perasaan terlalu peribadi untuk diceritakan kepada semua orang walaupun mereka bertiga adalah sahabat baiknya. Lagipun, dia tidak tahu selama mana persahabatan mereka akan terjalin. Siapa yang berani jamin persahabatan mereka akan terus terjalin sampai mati? Adakah persahabatan mereka akan terlerai sejurus mereka tamat pengajian seperti teman-teman sekolahnya?

Lantaran itu, Afia lebih suka memendamkan perasaannya sendiri. Cuma dia yang tahu apa yang tersirat di hatinya. Tapi mungkin kerana sikapnya yang suka memendam perasaan itu juga yang membuatkan teman-temannya gemar memadankannya dengan mana-mana lelaki.

Dia masih ingat bagaimana Julia menggunakan telefon bimbitnya dan menghubungi salah seorang kawan lelakinya dengan mengatakan yang dia hendak berkenalan. Dia terasa ingin mencekik Julia pada waktu itu juga! Suka-suka hati sahaja Julia menggunakan namanya. Nampak sangat macam dia terhegeh-hegeh hendak berkenalan dengan kawan Julia itu.

Dia tahu kawan-kawannya itu berniat baik tetapi kalau ya pun, agak-agaklah juga. Walaupun hatinya belum dimiliki, takkanlah semua lelaki yang dia jumpa dia hendak rembat? Kalau tidak, sudah lama dia sambar Adi ataupun Rizal!


Awak, saya nak jumpa awak boleh?


Kiriman pesanan ringkas yang seterusnya hampir meluruhkan tangkal jantungnya. Berkali-kali dia membaca ayat itu bagi memastikan yang matanya tidak salah melihat. Dia nak jumpa aku? Nak buat apa? Berkawan dalam ni aje kan dah okey?


Jumpa? Nak buat apa?


Sebelum ini, Afia pernah juga berkenalan dengan seseorang di dalam telefon. Pada mulanya, dia menyangka yang orang itu adalah salah seorang kawannya yang sengaja ingin mempermainkannya. Namun, lain pula jadinya apabila orang itu menyatakan yang dia suka dengan gaya Afia kerana Afia tidak cepat perasan. Akhirnya, orang itu berterus terang yang dia adalah abang angkat Julia.

Sangkanya, Julia yang memberikan nombor telefonnya kepada abang angkatnya yang bernama Jehan itu. Namun menurut Julia, dia sendiri tidak tahu-menahu tentang itu. Rupa-rupanya Jehan menyimpan nombor telefonnya kerana Julia pernah meminjam telefon bimbitnya untuk menghantar pesanan ringkas kepada Jehan lantaran Julia kehabisan kredit.

Menurut Julia lagi, abang angkatnya itu baru sahaja putus tunang dan mungkin sedang mencari seseorang untuk mengubat kesunyiannya. Afia pula yang pada ketika itu cuma berniat hendak bermain-main, layankan sahajalah. Namun, hubungan mereka berdua cuma berjalan dalam telefon. Tidak pernah sekalipun terdetik di hatinya untuk menjalin hubungan yang serius dengan Jehan.

Hubungan mereka berjalan lancar. Setiap malam, Jehan pasti mengirimkan pesanan ringkas kepadanya, bertanyakan khabar dan berkongsi cerita tentang apa-apa sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, Jehan langsung tidak menghubunginya. Sangkanya, Jehan mungkin sibuk dengan kerjanya. Namun setelah seminggu, Jehan tetap tidak menghubunginya seperti selalu. Justeru, dia memberanikan diri untuk menghubungi Jehan memandangkan sebelum itu Jehan yang akan menghubunginya terlebih dahulu.

Jehan membalas pesanan ringkasnya tetapi dia dapat merasakan yang layanan Jehan terlalu dingin. Selepas itu barulah dia tahu yang Jehan hendak berkahwin dengan bekas tunangnya itu. Mereka sudah berbaik semula. Hendak kata dia kecewa, tidak juga kerana dia tidak pernah menaruh sebarang harapan kepada Jehan. Cuma dia terkilan kerana Jehan tidak bersikap jujur dengannya. Kenapa Julia yang memberitahunya tentang perkara itu? Kenapa bukan Jehan sendiri?

Mungkin dia hanya seorang pengisi kekosongan. Tatkala kekosongan itu sudah terisi, maka dia pun dibuang. Berita terakhir yang dia dengar daripada Julia, Jehan sudah selamat mendirikan rumah tangga dengan bekas tunangnya itu. Sebagai seorang kawan walaupun hubungan mereka hanya dalam telefon, dia mendoakan kebahagiaan Jehan memandangkan Jehan juga pernah mewarnai hidupnya.

Afia memandang telefon bimbitnya yang berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.


Saja. Jalan-jalan. Boleh?


Afia membaca kiriman pesanan ringkas itu. Lama. Berbeza dengan Jehan yang dia tidak pernah bertentang mata, sekurang-kurangnya dia mengenali si pengirim yang kali ini. Namun, hatinya tetap ragu-ragu. Pada ketika itu, dia teringat kata-kata Julia.

“Alah, kawan aje. Tak rugi apa-apa pun.”

Ya, kawan...


Nak jumpa kat mana?


Ikut awaklah. Kalau awak nak saya datang sana pun, boleh aje.


Hisy, takkan nak biar dia datang sini? Nanti kawan-kawan aku nampak, macam mana? Bukannya boleh percaya sangat kawan-kawan aku tu. Afia berfikir sejenak sebelum membalas pesanan ringkas itu.


Kita jumpa kat KL ajelah.


Okey, kita lepak KLCC hujung minggu ni, ya?


Okey, jumpa nanti.

Tiada ulasan: