Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Julai 24, 2010

AsyrAfia 23

Sorry tak balas SMS awak semalam. Saya dah tidur. Penat sangat kut. Ni pun baru aje balik dari kelas.


BERULANG-ULANG kali dia membaca kiriman pesanan ringkas itu. Seakan-akan tidak percaya yang dirinya tidak bermimpi. Akhirnya, penantiannya berakhir. Dek kerana terlalu kegembiraan, tanpa sedar dia menjerit dan terlompat-lompat tatkala mendapat kiriman pesanan ringkas itu beberapa minit yang lalu seusai pulang dari pejabat.

Mujur dia bersendirian di rumah pada waktu itu memandangkan kedua-dua ibu dan bapa saudaranya masih belum pulang dari kerja sementara Qistina pula masih belum pulang dari sekolah kerana menghadiri aktiviti ko-kurikulum. Dia tersenyum lagi untuk yang kesekian kalinya apabila membaca kiriman pesanan ringkas itu.

Walaupun bukan ucapan bertanya khabar ataupun berkenaan dengan dirinya, namun sudah cukup membuatkan hatinya berbunga bahagia. Itu tandanya gadis itu masih sudi berhubung dengannya. Justeru, dia nekad akan mengirimkan pesanan ringkas ucapan selamat malam pada setiap malam kepada gadis itu bermula pada saat itu.






As the day turns into night, keep your worries out of sight…
No matter how tough the world may seem…
You still deserve the sweetest dreams. Good night.



“APA kenalah mamat ni? Salah hantar SMS ke?” omel Afia tatkala menerima pesanan ringkas daripada Asyraf pada malam itu. Seperti malam semalam, kali ini juga lelaki itu menghantar pesanan ringkas semata-mata hendak mengucapkan selamat malam kepadanya.

Gila ke apa? Ataupun dia tak ada kerja? Ataupun dia kesunyian dan tak ada sesiapa yang nak layan dia main SMS? Tapi, kenapa aku pulak yang dipilihnya? Takkan dia dah syok kat aku pulak? Ee… perasannya aku! Tapi, mana ada kawan biasa yang hantar SMS ucap selamat malam macam ni. Lagipun, aku bukannya siapa-siapa dengan dia. Nak balas ke tak ni, ya? Afia berkira-kira sendiri.


Awak ni kenapa? Rajin sangat hantar mesej selamat malam. Kalau takde perkara penting, tolonglah jangan kacau saya. Saya tak suka.


Tanpa menyemak kandungan pesanan ringkas itu, dia terus menekan butang ‘hantar’. Kalau sekadar menaip pesanan ringkas di telefon bimbit, pastilah dia berani menyuarakan isi hatinya yang sebenar-benarnya walaupun adakalanya taipan jemarinya itu bisa melukakan hati orang yang membacanya.

Namun, Asyraf bukanlah orang yang mudah melatah dengan kata-kata orang. Walaupun adakalanya hatinya terluka dengan ucapan seseorang, tetapi sedaya mungkin dia cuba bersikap tenang kerana tidak mahu dikuasai oleh emosi. Dengan tenang, dia membalas pesanan ringkas Afia itu.


Saya mintak maaf kalau mesej saya mengganggu awak. Saya takde niat lain melainkan nak berkawan dengan awak aje. Saya nak kenal awak dengan lebih rapat. Boleh?


Sah! Dia dah jatuh cinta dengan aku. Tapi, macam mana dia boleh terpikat dengan aku yang tak pandai bergaya apatah lagi bermekap ni? Ee… perasannya kau ni, Afia! Afia mengutuk dirinya sendiri. Apa aku nak balas ni, ya?

Walaupun Afia tak ada pakwe, tapi dia pun tak adalah terdesak sangat nak berpakwe sampai sanggup terima sesiapa saja yang datang menghulurkan cinta kepadanya. Kalau tak, dah lama dia terima si Sukry tu.

Nak kata dia terlalu memilih, tak juga. Tapi baginya, selagi dia tidak berjumpa dengan mana-mana lelaki yang mampu membuatkan jiwanya bergetar hebat, selagi itulah dia tiada keinginan untuk bercinta. Eh, ada!

Lelaki itu merupakan teman sekelasnya di sekolah menengah dan merangkap teman baiknya. Hubungan mereka sangat rapat malah lelaki itu tidak pernah menghampakan setiap permintaannya. Semua kehendaknya dipenuhi tanpa rasa terpaksa.

Setiap kali dia bersedih, lelaki itu pasti ada untuk menceriakannya dan apabila dia patah semangat, lelaki itu selalu ada untuk menyokongnya. Ekoran itu tanpa sedar, dia jatuh cinta kepada teman baiknya sendiri. Sangkanya, teman baiknya itu juga merasai perasaan yang sama kerana lelaki itu tidak pernah menyebut nama mana-mana perempuan sehinggalah pada suatu hari…

“Wei, kenapa monyok aje ni?”

“Aku putus cinta.”

“Putus cinta? Sejak bila pulak kau bercinta?”

“Sejak Tingkatan Satu.”

“Dengan siapa? Kau tak pernah cerita pun.”

“Budak sekolah sebelah. Jiran aku.”

“Kenapa kau putus dengan dia?”

“Dia jumpa pakwe baru.”

“Pulak dah? Habis tu, kau biar ajelah?”

“Nak buat macam mana? Dah orang tak sudi.”

“Alah, biarlah dia. Kau cari ajelah makwe lain. Aku ke,” seloroh Afia, sekadar ingin menduga teman baiknya itu.

“Mana boleh! Kau kan kawan baik aku.”

“La, kawan baik aje. Bukannya adik-beradik.”

“Tak mungkin aku dengan kau.”

“Kenapa pulak?”

“Sebab kau bukan gadis idaman aku. Kau kasar dan tak pandai bergaya. Aku nak perempuan yang lemah-lembut dan feminin.”

“Amboi, mengutuk aku nampak!” balas Afia kasar, berpura-pura yang dia tidak terkesan dengan kata-kata teman baiknya itu padahal hatinya kecewa yang teramat. Ternyata andaiannya selama ini salah. Rupa-rupanya dia tidak lebih daripada seorang teman baik.

Namun, dia tetap gembira kerana lelaki itu tetap melayannya seperti biasa sehinggalah masing-masing melanjutkan pengajian ke universiti. Dia di UiTM Puncak Perdana ni manakala teman baiknya itu pula di Sarawak. Walaupun mereka sudah jarang-jarang berhubung lantaran jarak dan kesibukan, namun lelaki itu tidak pernah sekalipun gagal mengirimkan pesanan ringkas pada hari jadinya.

Afia tidak menyalahkan teman baiknya itu kerana dia sendiri pun jarang-jarang menghubungi lelaki itu. Jarak dan kesibukan itu cuma alasan. Sebab utamanya adalah kerana dia tidak mahu dituduh sebagai orang ketiga tatkala mengetahui lelaki itu sudah menemui idaman hatinya di bumi Sarawak ketika mereka berada dalam semester kedua.

Biarlah dia berduka asalkan orang yang disayanginya itu bahagia. Dia pasrah andai sudah ditakdirkan lelaki yang bernama Faiz itu bukan untuknya. Habis, siapa nama lelaki yang ditakdirkan untuknya? Sukry? Mungkin tidak. Asyraf? Alamak, lupa pulak!

Afia mula tersedar yang dia belum membalas pesanan ringkas terakhir Asyraf tadi. Otaknya segera mengarang-ngarang ayat sambil jari jemarinya laju menekan-nekan keypad telefon bimbit Nokia birunya. Selepas menekan butang ‘hantar’, dia menanti seketika.

Satu minit. Dua minit. Tiga minit. Tiga puluh minit. Masih tiada jawapan daripada Asyraf. Hai, mana pulak dia ni? Takkan dah tidur ke? Afia melihat jam yang tertera di telefon bimbitnya. Baru pukul 9.30 malam. Tak pun, merajuk? Hisy, gedik betul nak merajuk-rajuk! Ah, biarlah! Bukannya aku rugi apa-apa pun.

Afia tidak mahu terlalu berharap lantas dia kembali menatap komik garapan pelukis komik kegemarannya, Yap, sambil berbaring di atas katil. Ketika matanya hampir tertutup gara-gara rasa mengantuk yang menguasai diri, suatu pesanan ringkas menjengah telefon bimbitnya. Dia membacanya sekilas sebelum matanya benar-benar tertutup.


Sorry, Afia. Saya solat tadi. Terima kasih sebab sudi berkawan dengan saya :)


Hoho… Nampak gayanya, kali ini sudah lebih daripada satu pesanan ringkas. Ada harapan ni! Bagi Asyraf, dia tidak kisah jika Afia tidak pandai bergaya seperti gadis-gadis lain. Asalkan pakaiannya sopan, itu pun sudah memadai. Dia tidak kisah jika Afia tidak tahu bersolek asalkan wajahnya itu asli dan semula jadi.

Walaupun perwatakan Afia adakalanya sedikit kasar tapi dia tahu Afia bukanlah tomboy. Dia masih seorang gadis yang normal. Buktinya, Afia masih ada perasaan malu ketika bersamanya. Ketika mereka berbual-bual, dia perasan Afia tidak berani bertentang mata dengannya. Setiap kali dia memandang Afia, pasti gadis itu akan melarikan pandangannya ke arah lain.

Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman apabila mengingati pertemuan mereka di gerai UiTM Puncak Perdana itu. Alangkah indahnya jika pertemuan sebegitu dapat berulang selalu.

Selepas beberapa ketika menanti balasan pesanan ringkas Afia, Asyraf menebak yang Afia mungkin sudah tidur. Mengenangkan itu, dia juga bersiap-siap untuk tidur. Matanya dipejamkan bersama senyuman yang terukir di bibirnya.

Tiada ulasan: