Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Julai 20, 2010

AsyrAfia 22

USAI mandi dan mengerjakan solat, dia berbaring di atas katil. Seluruh badannya terasa penat. Hampir satu hari suntuk dia menghabiskan masa di luar rumah. Sepatutnya hari ini dia perlu menghantar hasil kerjanya ke Bandar Tasik Selatan dan memulangkan dompet milik seorang gadis yang bernama Afia di KL Sentral.

Dompet yang dijumpainya ketika menunggu komuter di sana. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia begitu tertarik dengan dompet itu dan bertindak menelefon Afia semata-mata untuk memulangkan dompet itu padahal kalau diikutkan boleh saja dia berbuat tidak tahu.

Pada mulanya, dia yang mahu memulangkan barang kepada Afia tetapi entah macam mana barangnya pula yang tertinggal ketika berjumpa Afia. Tidak semena-mena, dia terpaksa pergi ke Shah Alam untuk mengambil barangnya daripada Afia. Ketika bersama Afia tadi, badannya tidaklah sepenat ini. Tup, tup, bila sampai rumah, tiba-tiba saja badannya terasa penat yang teramat.

Sangkanya matanya akan terus layu apabila kepalanya diletakkan di atas bantal tetapi tidak. Matanya enggan lelap. Peristiwa sepanjang hari itu bermain-main di ruang ingatannya. Walaupun belum sampai 24 jam gadis itu dikenalinya, tetapi dia sangat menyenangi gadis itu.

Telefon bimbit Motorola di sisi katil ditenung lantas dicapai. Jari jemarinya pantas menekan-nekan keypad telefon bimbit itu sebelum menghantarnya ke suatu nombor. Sedaya upaya matanya ditahan daripada terlelap semata-mata hendak menantikan balasan daripada si dia, namun akhirnya dia terlelap juga.


WELCOME TO
www.tido.com

Type PASSword

TIDO

ACCEPTED!

NEW MEMBER PROCESSING…

REJECT! REJECT! Doa tak baca…

Night, Afia… hehe :-D



“APA hal pulak mamat ni tetiba SMS ucap selamat malam ni? Buang tabiat apa? Ah, lantaklah! Malas aku nak layan,” Afia hanya membaca kiriman SMS itu tanpa membalasnya. Dia melelapkan mata dengan harapan pujaan hatinya akan muncul dalam mimpinya.

Mungkin kerana terlalu penat, sekejap saja dia sudah terlena dibuai mimpi. Namun, mimpinya tidaklah seindah seperti yang diangan-angankan. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini Sukry sering saja mengganggunya dalam lena. Hisy, dahlah kat luar kau suka kacau aku, dalam mimpi aku pun kau nak menyibuk?

Adakah kerana dia sudah terkena minyak pengasih Sukry, justeru dia sering teringatkan cowok itu? Ataupun dia sendiri yang sudah angau dengan Sukry? Dan kenapa tiba-tiba saja Asyraf juga muncul bersama dalam mimpi itu? Ah, tak bestnya mimpi ni! Aku nak bangun!

Afia terjaga daripada lena. Spontan tangannya meraba-raba di bawah bantal, mencari-cari telefon bimbitnya. Setelah dapat, dia melihat digit yang tertera pada skrin telefon bimbit itu. Hampir ke pukul 3.00 pagi. Melihatkan itu, dia kembali memejamkan mata menyambung lena.





TELEFON bimbit di tepi bantal terus dilihat sejurus matanya celik daripada lena. Namun, tiada apa-apa yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Bermakna kiriman pesanan ringkasnya semalam tidak berbalas. Dia mengeluh hampa. Mungkin dia tak ada kredit kut. Fikirnya positif.

Dengan rasa malas, dia bangkit menuju ke bilik mandi. Bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Setelah bersiap ala kadar, sehelai kemeja berlengan panjang dan sepotong seluar slack yang sudah siap bergosok, dia melangkah ke luar bilik.

“Acap, mari sarapan,” seorang wanita berusia lewat 50-an menegurnya sebaik-baik saja dia keluar dari bilik.

“Mak lang masak apa pagi ni?” tanyanya lalu mengambil tempat di meja makan.

“Nasi goreng aje,” balas wanita itu lantas mencedok nasi ke pinggan dan dihulurkan kepada anak saudaranya itu.

“Terima kasih, mak lang,” ucapnya. Layanan mak lang membuatkan dia berasa sebahagian daripada keluarga itu. “Pak lang dah pergi kerja ke, mak lang?”

“Dah. Awal-awal pagi lagi dia dah pergi. Ada mesyuarat katanya. Isy, mana Qis ni? Dah pukul berapa ni?” Mak lang melihat jam di dinding. Hampir ke pukul 7.00 pagi. “Qis! Oh, Qis! Tak siap lagi ke?” laung mak lang.

“Ya, kejap!” suatu suara kedengaran dari bilik tengah.

“Apa benda yang dibuatnya lama sangat dalam bilik tu?” mak lang membebel sendiri. “Acap makan, ya. Mak lang ada kerja sikit kat dapur.”

“Baik, mak lang.”

“Selamat pagi!” seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menghampiri abang saudaranya yang sedang menikmati sarapan pagi di meja makan.

“Selamat pagi,” jawab Asyraf. Remaja perempuan itu mengambil tempat di hadapannya.

“Bang Cap, hari ni kita pergi awal sikit boleh? Qis tak siap kerja rumah lagi. Nak tiru jawapan kawan,” ujarnya separuh berbisik kerana dikhuatiri ibunya mendengar. Kalau ibunya tahu dia tak siap kerja sekolah, pasti bingit telinganya mendengar leteran ibunya.

“Kenapa Qis tak siapkan semalam?” tanya Asyraf. Dia sudah masak benar dengan sikap adik saudaranya yang seorang itu. Agaknya kalau kerajaan Malaysia tak mewajibkan rakyatnya ke sekolah, pasti adik saudaranya itu tidak akan bersekolah.

“Qis tak tahu nak buat,” Qistina memberi alasan.

“Habis tu, kenapa tak tanya kawan tu semalam?”

Qistina cuma tersengih.

“Bolehlah, Bang Cap, ya? Bang Cap baik, kan?” rengek Qistina.

“Cepat makan.”

“Sayang Bang Cap,” Qistina tersenyum ceria sebelum menjamah nasi goreng ibunya.





SELEPAS menghantar Qistina ke sekolah, dia terus ke pejabatnya. Beginilah rutin hidupnya setiap hari. Sejak kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia, mak lang sekeluargalah tempatnya menumpang kasih. Justeru, dia berasa bertanggungjawab menghantar dan menjemput Qistina dari sekolah. Qistina sudah dianggapnya seperti adik sendiri.

Tambahan pula, dia sendiri tidak mempunyai adik. Cuma seorang kakak dan seorang abang. Namun, kedua-duanya seakan-akan tidak wujud dalam hidupnya memandangkan masing-masing membawa haluan sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia. Jumpa pun hanya setahun sekali yakni pada hari raya. Itu pun kalau bernasib baik.

Mengenangkan dirinya seorang diri, mak lang mengajaknya tinggal bersama. Pada mulanya dia segan hendak menerima pelawaan itu, namun atas desakan mak lang, akhirnya dia akur. Lagipun, dia sendiri pun tidak mampu untuk menyewa rumah sendiri.

Selama tiga tahun dia menumpang di rumah mak lang, tidak pernah sekalipun mak lang mengabaikan kebajikannya. Ekoran itu dia tidak pernah berasa terasing di rumah itu. Bahkan anak-anak mak lang yakni sepupunya sendiri juga menyambut baik kehadirannya di rumah itu.

Qistina, anak bongsu mak lang dan satu-satunya anak perempuan mak lang lebih rapat dengannya berbanding dua abang Qistina sendiri memandangkan kedua-duanya sudah berumah tangga dan tinggal di rumah sendiri. Mungkin kerana dia tidak pernah meninggi suara dengan Qistina berbanding dua abang Qistina.

“Asyraf, fotostat ni 15 salinan. Kejap lagi ada mesyuarat. Cepat sikit tau,” arah suara itu. Walaupun punggungnya belum mencecah kerusi, namun Asyraf akur dengan arahan ketuanya itu. Dah memang tu kerja dia.

Walaupun gaji sebagai kerani tidaklah tinggi mana tetapi dia tidak pernah merungut kerana baginya asalkan dapat duit bulan-bulan pun, dia sudah bersyukur. Kalau nak diikutkan hati, memanglah dia bosan buat benda yang tidak disukainya. Namun, kerja apa lagi yang mampu dibuatnya dengan hanya setakat berbekalkan sijil SPM? Sekurang-kurangnya, dia mempunyai pekerjaan berbanding graduan yang masih menganggur di luar sana.

Selepas membuat salinan dokumen seperti yang disuruh oleh ketuanya tadi, Asyraf menyerahkan kesemua salinan itu kepada ketuanya. Kemudian, dia kembali ke mejanya. Telefon bimbit di dalam saku seluar dikeluarkan. Skrin telefon bimbit itu direnung. Kiriman pesanan ringkasnya semalam masih tiada balasan.

“Woi, Ash! Kenapa dengan kau ni? Dari tadi asyik dok tenung telefon tu,” sergah suatu suara. Asyraf tersentak. “Tunggu panggilan daripada seseorang ke?”

“Hisy, kau ni! Kalau ya pun, bagilah salam dulu. Ni, main redah aje. Nasib baik jantung aku ni kuat lagi tau!” balas Asyraf kepada teman sepejabatnya itu yang merangkap teman sebelah mejanya.

“Kau tu yang tak dengar aku panggil. Yalah, asyik dok pandang telefon tu aje, mana nak sedar keadaan sekeliling. Kau nak makan ke tak ni?”

“Eh, dah masuk waktu makan tengah hari ke?” Asyraf melihat jam yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Digit 1.15 tertera pada skrin itu. Maknanya sudah 15 minit waktu makan tengah hari berlalu. Rugi, rugi. Omel Asyraf sendiri.

“Hai, waktu makan pun lupa? Biasanya kau yang selalu gesa aku suruh cepat bila tiba waktu makan tengah hari. Pelik. Kau tak sihat, ya?”

Sorry, aku tak sedar. Jom!” Asyraf bingkas. Itulah asyik teringat pada orang yang belum tentu sudi berkawan dengannya. Macam mana kalau Afia tidak membalas kiriman pesanan ringkasnya kerana gadis itu memang tidak mahu berkawannya? Asyraf mengeluh hampa apabila mengenangkan kemungkinan itu.

Tiada ulasan: