Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Julai 10, 2010

AsyrAfia 21

“JU, dia dah sampai. Jom!” ujar Afia sebaik-baik saja talian itu dimatikan. Entah kenapa Asyraf terlalu rajin menelefonnya sedangkan dia cuma menghantar SMS. Bazir kredit betul. Biarlah. Kredit dia yang habis, bukan aku.

“Malaslah. Aku penat,” Julia sengaja memberi alasan. Dia berpura-pura tidur di atas katil Afia.

“Ju…” Afia menggesa.

“Alah, pergi ajelah. Bukan ada apa-apa pun,” Julia tetap tidak berganjak. Melihatkan itu, Afia segera menarik tangan Julia.

“Cepatlah temankan aku jumpa dia.”

Namun, Julia yang lebih berat daripadanya tidak berganjak sedikit pun. Julia sedaya upaya berpaut pada besi katil manakala Afia berusaha membuatnya berdiri. Untuk beberapa ketika, mereka saling menarik hinggalah Afia berputus asa akhirnya. Dia menghentak kaki, geram.

“Aku tak nak cakap dengan kau dah,” Afia pura-pura merajuk dengan harapan Julia berubah fikiran, tetapi Julia sedikit pun tidak terpedaya dengan lakonannya. Makanya, terpaksalah Afia turun ke bawah sendirian.

Sejurus Afia berlalu, Julia membuka mata. Dia tersenyum sendiri. Niatnya cuma satu. Mahu melihat Afia mempunyai teman lelaki kerana sehingga sekarang belum ada mana-mana lelaki pun yang dapat mencairkan hati Afia selain Sheila on 7. Mudah-mudahan yang ini menjadi. Doa Julia.





AFIA teragak-agak hendak menghampiri Asyraf yang duduk di perhentian bas di hadapan kolejnya. Nak cakap apa, ya? Assalamualaikum? Ah, macam baik sangatlah pulak. Dah makan? Hisy, takkan tiba-tiba aje nak tanya pasal makan? Ah, belasah ajelah! Lambat-lambat dia menghampiri pemuda yang baru dikenalinya itu.

“Lama dah tunggu?”

Sejurus terpandang Afia, Asyraf bingkas bangkit.

“Hm, belum sampai sejam lagi,” balas Asyraf sambil tersenyum.

“Nah,” Afia menyerahkan sampul surat A4 milik Asyraf. Asyraf menyambutnya lalu terus memasukkannya ke dalam beg. Takut tercicir lagi. Habislah dia kalau kena buat semula.

“Terima kasih. Nasib baik awak yang jumpa.”

“Dokumen penting ke?” tanya Afia, sekadar mewujudkan perbualan.

“Sangat penting. Kalau hilang ni, alamatnya kebulurlah saya,” ujar Asyraf, separuh berseloroh.

“Awak datang naik apa?” Afia memerhatikan sekeliling. Kut-kut ada kereta ataupun motor milik Asyraf.

“Naik teksi. Kalau nak balik Shah Alam semula, nak naik apa, ya?”

“Bas ada tapi lambat sikitlah. Satu jam satu.”

“Ow… tak apalah, saya tunggu. Thanks.”

“Saya masuk dulu,” Afia meminta diri untuk pulang ke asrama. Namun, sampai di pintu pagar utama, hatinya berbisik sendiri. Hisy, takkan aku nak biar aje dia duduk situ sorang-sorang? Dahlah datang dari jauh. Tak patut betul aku ni. Habis, aku nak buat apa? Aku bukannya kenal dia sangat pun. Afia berpatah semula mendapatkan Asyraf. “Err… awak sibuk ke?”

“Taklah jugak. Kenapa?”

“Kita pergi minum nak? Sementara tunggu bas…”

“Boleh jugak. Kat mana?”

“Kat gerai belakang sana tu.”

“Okey.”

“Jom.”

Tanpa mereka sedari, gerak-geri mereka diperhatikan oleh Julia dari tingkat atas asrama. Julia bersorak riang melihat kedua-duanya beriringan ke gerai di belakang kolej mereka.





TATKALA Afia menjejakkan kaki ke situ, mata Sukry tidak lepas memandang wajah gadis itu. Namun, hatinya sedikit gusar apabila melihat lelaki yang bersama Afia. Kalau Adi ataupun Rizal, pastilah dia kenal.
Siapa pulak mamat tu? Tak pernah nampak pun sebelum ni. Dalam keraguan itu, dia mendekati Afia dan lelaki itu.

“Hai, Afia. Mahu minum apa?” soalnya ramah seperti biasa. Namun, hanya dengan Afia.

“Carrot susu,” jawab Afia. Kemudian, dia bertanya kepada Asyraf, “Awak nak minum apa?”

Mata Sukry liar memerhatikan tingkah laku Afia dan lelaki itu. Rasa cemburunya membuak-buak. Jelas sekali lelaki itu bukan abang mahupun adik Afia lantaran Afia memanggilnya dengan panggilan ‘awak’. Jadi, adakah lelaki itu teman lelaki Afia? Tak mungkin Afia sudah mempunyai teman lelaki!

“Teh O ais.”

Sukry cuma bersikap acuh tak acuh dengan Asyraf. Matanya tetap digam pada wajah Afia.

“Makan?” Sukry bertanya Afia, mesra.

“Awak nak makan?”

Sekali lagi Sukry diasak rasa cemburu tatkala mendengar pertanyaan Afia kepada Asyraf. Lembut benar suaranya. Asyraf menggeleng.

“Tu aje,” ujar Afia. Namun, Sukry masih tidak berganjak dari situ. Dia mahu mendengar perbualan Afia dan Asyraf.

Afia dan Asyraf pula berasa kurang selesa untuk berbual apabila melihat Sukry masih ada di situ. Mereka memandangnya pelik. Lantaran itu, barulah Sukry tersedar lantas segera berlalu ke dalam bagi menyampaikan pesanan Afia dan Asyraf kepada rakannya yang bertanggungjawab membancuh minuman.

“Kenapa orang tu nampak pelik aje?” Asyraf masih memperhatikan Sukry yang sudah berlalu ke dalam. “Macam tak puas hati dengan saya aje. Saya ada buat salah ke?”

“Tak adalah. Jangan pedulikan dia. Dia memang macam tu,” balas Afia. Adakalanya dia naik seram juga dengan tindak-tanduk Sukry. Macam tak pernah tengok orang.

“Meriah jugak ya suasana kat sini,” Asyraf memulakan perbualan.

“Kalau waktu malam, lagi meriah. Kadang-kadang sampai tak ada tempat duduk,” ujar Afia. “Eh, awak dulu belajar kat mana?”

“Saya dulu duduk Klang. Sekolah pun kat sana,” cerita Asyraf.

“U apa?” Asyraf kurang mengerti akan maksud pertanyaan Afia. Melihatkan itu, Afia menjelaskan maksud pertanyaan itu. “Awak pun pernah belajar kat U, kan?”

“Ow… taklah. Saya belajar setakat SPM aje,” terang Asyraf jujur. Adakah Afia akan memandang rendah kepadanya?

“Tak masuk U ke?”

Asyraf menggeleng.

“Kenapa?” tanya Afia lagi. Seakan-akan tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Bukan ke semua orang masuk universiti lepas habis sekolah?

“Tak ada duit.”

“Umur awak sekarang berapa?”

Entah kenapa tiba-tiba Afia jadi penyibuk. Biasanya dia kurang bercakap dengan orang yang tidak dikenali ataupun baru saja dikenali.

“29 tahun.”

“Ya ke? Awak tipu!”

“Kenapa? Saya nampak tua ke?”

“Tak jugak. Awak tak minat nak sambung belajar ke?”

“Entah, dah tua-tua ni, malaslah pulak nak sambung belajar. Afia ambil jurusan apa?”

“Komunikasi dan Media.”

“Belajar apa?”

“Belajar pasal TV, radio, surat khabar, majalah, buku, iklan…”

Best?”

“Ada yang best, ada yang tak best.”

“Memang orang sini ke?” Giliran Asyraf pula yang banyak bertanya.

“Haah. Rumah mak dan ayah kat Seksyen 7. Awak?”

“Saya asal orang Klang tapi sekarang menetap kat KL.”

“Ow… jadi, duduk KL dengan siapa?”

“Tumpang rumah mak cik.”

“Kenapa…” Baru saja Afia hendak bertanya, Sukry datang membawakan minuman yang dipesan oleh mereka tadi. Dia meletakkan gelas minuman berisi carrot susu di depan Afia dan Teh O ais di depan Asyraf.

Namun, entah macam mana tiba-tiba minuman itu tertumpah dan mengenai baju Asyraf. Asyraf bingkas bangkit. Afia tergamam. Habislah Sukry. Mesti teruk Sukry dimarahinya. Fikir Afia.

“Maafkan saya,” Sukri berpura-pura diserang rasa bersalah. Namun, dalam hatinya tersenyum puas. Ambil kau! Berani kau bermesra-mesraan dengan cewek aku di depan aku?

“Tak apa,” Asyraf masih bersikap tenang. Sedikit pun dia tidak marah. “Tandas kat mana?”

“Kat sana,” Afia menunjuk ke suatu arah.

“Saya pergi cuci kejap.”

“Maaf ya, bang,” Sukry sekali lagi meminta maaf.

“Ya,” Asyraf berlalu ke tandas berhampiran.

Sementara menunggu Asyraf, Afia menjamah minumannya sambil termenung memikirkan insiden itu.

Memang tak patutlah Sukry ni! Biasanya, okey aje. Cermat aje buat kerja. Tak pasal-pasal, Asyraf pulak yang jadi mangsa. Kesian Asyraf. Nasib baiklah Asyraf tu tak marah. Kalau orang lain, mungkin dah lama kau kena maki hamun, Sukry.

Setelah minumannya hampir tinggal separuh gelas, Asyraf kembali mendapatkannya. Wajahnya tetap mengukir senyuman.

“Boleh cuci?” tanya Afia.

“Tak bolehlah. Kena balik basuh jugak,” rungut Asyraf.

“Kesian awak.”

“Benda dah jadi, nak buat macam mana? Lagipun, benda kecik aje,” Asyraf kelihatan pasrah.

“Awak nak balik dah ke?”

“Yalah.”

“Jom saya hantar awak kat bus stop.”





“HA, dah balik pun. Amboi, lamanya dating. Best ke dating?” soal Julia sebaik-baik saja Afia balik ke biliknya.

“Apa dating?” Afia berpura-pura marah. Rasa geramnya kepada Julia tadi masih belum reda. Ada ke patut Julia membiarkannya keluar dengan orang asing sendirian? Kawan jenis apalah.

“Ceritalah cepat!” Julia yang tadinya enak meniarap di atas katilnya sambil membaca majalah hiburan bingkas bangun dan duduk di atas katil.

“Nak cerita apa? Mana ada apa-apa. Tepi sikit!” Afia menolak tubuh Julia. Julia berganjak sedikit.

“Kau lepak dengan dia kat mana tadi?” Julia masih cuba mengorek cerita. Lebih daripada satu jam Afia keluar dengan Asyraf. Satu permulaan yang baik bagi Afia yang tidak pernah keluar dengan mana-mana lelaki selain Adi dan Rizal. Pastilah dia berasa teruja hendak tahu.

“DML ajelah,” jawab Afia, malas.

“DML? Kat gerai Sukry?” Julia melopong.

“Kenapanya?” Afia tidak nampak apa yang tidak kena dengan jawapannya itu.

“Apa reaksi Sukry bila nampak kau dengan Asyraf tadi?”

“Biasa aje.”

“Dia kan minat kat kau. Mesti dia jealous,” Julia menebak.

“Isy, kau janganlah buat-buat cerita. Dia tak pernah cakap apa-apa pun,” Afia menyangkal kata-kata Julia memandangkan dia tidak nampak tanda-tanda yang Sukry itu betul-betul sukakannya. Lagipun, dia tidak mahu perasan sendiri. Kalau andaian Julia itu salah, tak ke malu?

“Alah, dah terang-terang dia suka kat kau. Kau aje yang sengaja buat tak tahu,” balas Julia. Sudah terang, lagi nak bersuluh. Bukan ke Sukry sering saja memperhatikan Afia setiap kali mereka bertandang ke gerai itu. Nampak sangat!

“Dahlah, Ju. Aku tak sukalah cakap pasal benda ni,” Afia tidak mahu topik itu dipanjangkan. Hatinya sudah terukir satu nama.

“Kalau aku nak cakap jugak?” Julia sengaja menguji.

“Aku campak kau ke luar!” ugut Afia.

“Eleh, macamlah larat.”

“Kau cabar aku, ya?” Afia menarik tangan Julia dan berpura-pura hendak menolaknya ke luar tingkap.

“Mak!”

Tiada ulasan: