Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 9

“Mon, aku jadi ikut pergi rombongan tu!” ujar Krisya Norsabrina penuh teruja sebaik-baik sahaja gagang telefon di sebelah sana bertukar tangan. Tadi ibu Karina Jasmin yang menyambut panggilan telefonnya.

“Serius?!” Ternyata Karina Jasmin turut gembira dengan berita itu. Pasti dia tidak akan keseorangan jika Krisya Norsabrina ikut sama. Namun tiba-tiba senyuman di bibirnya bertukar hambar. “Tapi Sya, kau dah lambatlah.”

“Lambat? Apa yang lambat?” Krisya Norsabrina tidak faham.

“Tarikh tutup rombongan tu petang tadilah. Kan aku dah bagi tahu kau tadi tarikh tutup dia hari ni. Kau kata nak bagi jawapan sebelum balik,” ujar Karina Jasmin.

“Laaa … kenapa kau tak ingatkan aku?”

“Aku lupalah nak tanya kau. Kau pun tak cakap apa-apa so aku ingat kau memang tak nak pergi.”

“Ala … habis aku tak dapat pergilah?”

Sorry, Sya.”

”Ala … melepaslah peluang aku nak jumpa Hujan,” Krisya Norsabrina mengeluh kecewa.

“Hujan?” Karina Jasmin hairan. “Eh, apa pulak kena-mengena rombongan tu dengan Hujan? Hujan pun ikut rombongan kita ke?”

“Apa ke halnya pulak Hujan nak ikut kita? Dia orang kan memang kat KL. Lagipun, sejak bila pulak kita satu sekolah dengan Hujan?”

“Habis, yang kau sebut Hujan tu tadi apa?”

“Aku baru tengok kat My Space tadi. Hujan ada perform kat CM 21 hari bulan tu. So aku ingat alang-alang kita dah ada kat KL tu, bolehlah singgah situ.”

“Cheh … patutlah kau beria-ria nak ikut,” barulah Karina Jasmin mengerti kenapa Krisya Norsabrina tiba-tiba berubah fikiran. “Tapi misal kata kau dapat ikut rombongan tu pun, bukannya kau boleh pergi pun gig tu. Kita kan bawah jagaan pihak sekolah so mesti kita tak boleh nak pergi mana-mana suka-suka hati.”

“Ala … benda tu boleh fikir kemudianlah. Dah sampai KL nanti, pandai-pandailah.”

“Tapi kesian pulak kau tak dapat pergi kan?” Karina Jasmin simpati dengan Krisya Norsabrina.

“Nak buat macam mana? Tak apalah, Mon. Kita jumpa kat sekolah esok. Bye.”

Talian dimatikan. Krisya Norsabrina menyembamkan mukanya ke bantal. Kecewa!


**********


Keesokannya di sekolah. Pelajar tingkatan lima yang sudah memberikan nama bagi mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur dikehendaki berkumpul di dewan selepas waktu rehat untuk satu sesi taklimat.

“Eh, kau nak pergi mana pulak tu?” Karina Jasmin menarik tangan Krisya Norsabrina yang menonong ke kelas sebaik-baik sahaja mereka berdua selesai makan di kantin.

“Balik kelaslah. Kan waktu rehat dah habis,” ujar Krisya Norsabrina. Tanya pulak.

“Kan kita kena pergi dewan.”

“Buat apa?”

“Laa … Kan ada taklimat pasal rombongan pergi KL tu.”

“Aku kan tak pergi. Buat apa aku nak dengar taklimat tu?” bengkak hatinya apabila perihal rombongan itu disebut-sebut.

Karina Jasmin serba salah melihat wajah muram Krisya Norsabrina. Nampak sangat sahabat baiknya itu kecewa yang teramat. Kesian pulak dia melihat keadaan Krisya Norsabrina. Lebih baik aku cakap terus-terang.

“Sya, yang sebenarnya aku tipu kau.”

Langkah Krisya Norsabrina terhenti.

“Yang sebenarnya aku dah bagi nama kau kat ketua kelas kita untuk pergi rombongan tu sebelum balik semalam. Aku minta maaf Sya kalau aku tak tanya kau dulu. Aku …”

“Hah? Betul ke, Mon?” Krisya Norsabrina seakan tidak percaya.

Karina Jasmin mengangguk.

“Terima kasih, Mon! Kaulah kawan terbaik aku!” Krisya Norsabrina terus memeluk tubuh Karina Jasmin. Karina Jasmin pula kaku macam batang kayu gara-gara terkejut dengan tindakan spontan Krisya Norsabrina. “Tunggu apa lagi? Jomlah kita pergi dewan.”

Krisya Norsabrina menghala langkah kakinya ke dewan. Karina Jasmin menggelengkan kepala melihat gelagat Krisya Norsabrina. Sekelip mata saja moodnya boleh berubah.

“Nak duduk mana ni?” Karina Jasmin dan Krisya Norsabrina mencari-cari kerusi yang masih kosong di celah-celah puluhan pelajar yang hadir untuk sesi taklimat rombongan itu.

“Tu ada kerusi kosong. Jom,” Krisya Norsabrina menarik tangan Karina Jasmin ke barisan hadapan. Bersemangat betul dia hendak mendengar taklimat.

“Ish … depan sangatlah, Sya,” Karina Jasmin membantah.

“Ala … dah tu, nak duduk mana lagi? Tempat belakang semua dah penuh.”

Begitulah selalu keadaannya apabila sesuatu perhimpunan diadakan. Kebiasaannya, barisan belakanglah yang akan penuh dahulu. Barisan hadapan pula selalu dijadikan pilihan terakhir sekiranya tempat duduk di barisan belakang sudah penuh.

“Kita duduk tempat lainlah. Baris kedua ketiga pun oklah tapi tak naklah depan sekali.”

“Ala … tak kisahlah. Bukannya dia nak tanya apa-apa pun. Jomlah.”

Nak tak nak, Karina Jasmin terpaksa mengekor langkah Krisya Norsabrina ke tempat duduk di barisan hadapan memandangkan hanya di situ yang masih kosong.

“Sya, kalau kita kena soal macam mana?” tanya Karina Jasmin sebaik-baik sahaja mereka melabuhkan punggung ke kerusi.

“Takkan punyalah. Banyak lagi orang lain yang dia boleh tanya.”

“Harap-harap macam tulah,” Karina Jasmin memandang ke arah tempat duduk pelajar lelaki. Mencari kelibat seseorang. Tanpa sengaja pandangan matanya bertembung dengan seorang pelajar yang duduk di barisan kedua. Alamak, Azan! Karina Jasmin pantas melarikan pandangannya ke depan. Orang lain yang dicari orang lain pulak yang dilihat. Huh!

Keadaan di dalam dewan itu mula riuh. Masing-masing sibuk bercerita memandangkan sesi taklimat masih lagi belum bermula. Dalam keriuhan itu, pandangan mata Karina Jasmin menangkap kelibat seorang pelajar lelaki yang baru muncul dari belakang pentas.

Pelajar lelaki itu kelihatan sedang mengangkat pembesar suara ke bawah pentas bersama seorang lagi pelajar lelaki lain. Gentlenya dia. Ni buat aku tambah suka kat dia ni. Oh, lelaki idaman! Memang kamu tak ada yang lain. Semua gambaran idola segalanya ada padamu. Oooo …

“Oii!”

Karina Jasmin tersentak.

“Oii, apa oii? Apa ni, Sya? Kacau betul,” marah Karina Jasmin apabila konsentrasinya pada pujaan hati diganggu.

“Sampai meleleh air liur.”

Karina Jasmin meraba mulutnya.

“Mana ada! Tipu.”

Krisya Norsabrina tertawa dapat mengenakan Karina Jasmin.

“Ok, selamat pagi semua.”

Semua pelajar memberi tumpuan pada guru yang berucap di hadapan.

“Saya mintak maaf sebab terpaksa mencuri masa belajar kamu.”

Ala…cikgu ni. Macam tak tahu pulak. Pelajar-pelajar tu memang suka pun kalau dapat keluar dari kelas mereka.

“Saya selaku guru pengiring dalam rombongan ni akan memberitahu kamu serba sedikit tentang rombongan kita ni. Sebelum tu, saya nak perkenalkan guru-guru yang akan mengikuti rombongan ini selain saya sendiri,” Cikgu Abdillah yang juga merupakan guru kaunselor di sekolah itu memperkenalkan enam orang guru lain yang akan turut sama dalam rombongan itu yakni guru-guru kelas tingkatan lima sendiri memandangkan mereka lebih mengenali pelajar-pelajar mereka. Kalau hilang pun, mereka boleh cam.

“Baiklah, seperti yang telah diberitahu, rombongan kita akan bertolak pada 20 haribulan iaitu pada hari Jumaat. Anda semua dikehendaki berkumpul di perkarangan sekolah sebelum pukul tiga petang. Jangan lambat ya. Takut nanti kita lambat sampai KL. Kalau lambat pun, pukul tiga setengah ok? Aktiviti kita kat sana pulak saya dah bagi tahu pada ketua kelas masing-masing. Rasa-rasanya semua dah tahu kan? Ada yang tak tahu lagi tak?”

Semua pelajar diam. Maknanya semua dah tahulah tu. Ah, kalau bab berjalan tak kisah pergi mana pun mereka ikut saja.

“Tapi tak apalah. Saya akan bagi tahu sekali lagi secara ringkas. Hari Jumaat tu kita bertolak dan dijangka sampai di hotel penginapan pada pukul 8 malam. Malam tu kita tak buat sebarang aktiviti sebab mungkin semua penat apa ke kan. Lepas tu, esok paginya kita akan ke Petrosains, KLCC dan hari Ahad kita akan ke Midvalley. Kalau-kalau ada yang nak shopping atau beli buah tangan untuk keluarga. Dalam pukul tiga kita balik ke sekolah. Ok, ada soalan? Ada yang tak jelas ke? Tak faham?”

Suasana sepi.

“Jadi semua jelas ya? Baik, seterusnya saya nak jemput puan pengetua untuk bagi sedikit taklimat. Silakan puan pengetua.”

Puan Hajah Rubiah, pengetua sekolah itu yang duduk di kerusi yang disediakan di hadapan kerusi pelajar-pelajar bangkit menghampiri Cikgu Abdillah yang berdiri di hadapan. Mikrofon bertukar tangan.

Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum dan selamat sejahtera cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar yang saya kasihi sekalian.”

Waalaikummussalam …” hanya beberapa pelajar yang menyahut. Macam tak bermaya sahaja.

“Perhatian!”

“Saya insan cemerlang.”

“Saya tak dengar. Perhatian!!” Puan Hajah Rubiah menguatkan nada suaranya.

“Saya insan cemerlang!!” suara pelajar-pelajar itu mula bersemangat melawan nada suara pengetua mereka.

Segaris senyuman terukir di wajah pengetua itu. Inilah cara SMART. Apabila disebut ‘perhatian’ maka para pelajar harus menyahut dengan ayat ‘saya insan cemerlang’. Bukankah setiap apa yang kita ucapkan ibarat suatu doa? Jadi, jika setiap hari para pelajar menyebut ‘saya insan cemerlang’, mudah-mudahan mereka benar-benar menjadi seorang insan yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga cemerlang akhlak.

“Lepas rehat aja, semua mengantuk ya? Duduk tegak semua. Pandang depan,” tegas Puan Hajah Rubiah. Para pelajar akur. “Siapa tidur, saya suruh dia bercakap kat depan ni. Bukan senang nak bercakap kat depan ni tau.”

Mendengarkan ‘ugutan’ pengetua itu, semua pelajar mula memberi sepenuh perhatian kepada pengetua. Siapa yang berani bercakap di hadapan? Di hadapan puluhan pelajar. Dalam kelas pun lutut dah ketar. Inikan pula di hadapan semua pelajar tingkatan lima. Tak sanggup!

“Baik, saya akan cakap ringkas sahaja. Memandangkan saya tak dapat turut serta dalam rombongan ni, saya harap kamu semua dapat menjaga tingkah laku masing-masing dan jaga nama baik sekolah kita. Ingat, kamu membawa nama sekolah bersama. Jaga keselamatan diri dan kawan-kawan. Kalau nak pergi mana-mana, bagi tahu guru pengiring. KL bukan macam Kuantan. Di sana banyak orang asing dan tak kurang juga orang jahat.”

Kata-kata pengetua sudah tidak lagi didengari oleh Krisya Norsabrina. Fikirannya sudah dibawa terbang ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Hujan.

Tiada ulasan: