Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 8

“Hai, awal pulak kau hari ni?” sapa Karina Jasmin sebaik-baik sahaja Krisya Norsabrina terpacul di kelas pada pagi itu.

Krisya Norsabrina tidak menjawab. Dia terus melabuhkan punggung ke kerusi.

“Kenapa ni? Monyok aja.”

“Aku kena marah dengan ayah aku,” ujar Krisya Norsabrina.

Karina Jasmin mula teringat akan kejadian semalam ketika dia menelefon ke rumah Krisya Norsabrina. Ayah Krisya Norsabrina yang menjawab panggilannya. Garang betul suaranya waktu itu sampaikan dia sendiri pun naik kecut.

Tapi bukan ke selalunya ibu Krisya Norsabrina yang menjawab panggilan telefon daripadanya memandangkan dia menelefon pada waktu pejabat? Krisya Norsabrina juga sudah memberi amaran supaya tidak menelefonnya pada waktu malam memandangkan ayah Krisya Norsabrina sudah tentu berada di rumah pada waktu itu.

“Patutlah monyok semacam. Kau kena marah sebab aku telefon kau petang semalam ke?” perasaan bersalah menghinggapi Karina Jasmin jika benar dia yang menyebabkan Krisya Norsabrina dimarahi oleh ayahnya semalam.

“Taklah. Bukan pasal kau. Aku kena marah dengan ayah aku sebab markah ujian semalamlah. Kau tahu ayah aku ugut nak ambil balik broadband aku kalau aku tak skor trial nanti,” adu Krisya Norsabrina. Ambil broadband? Mana boleh! Aku takkan benarkan perkara tu terjadi.

“Patutlah. Tapi bukan ke waktu-waktu macam tu biasanya ayah kau tak balik rumah lagi? Takut betul aku dengar suara ayah kau. Aku ingatkan aku salah nombor.”

“Aku pun tak tahu. Tiba-tiba aja semalam ayah aku balik awal. Macam tahu-tahu aja aku dapat markah ujian semalam.”

“Itulah firasat seorang ayah kut.”

“Banyaklah kau!”

“Ala… itu kan semalam punya cerita. Tak payah fikir sangatlah. Baik kita cerita pasal rombongan ke KL tu. Kau nak pergi ke tak?” Karina Jasmin menukar topik. Kalau dilayan marah Krisya Norsabrina, alamatnya tujuh hari tujuh malamlah benda tu jadi topik perbualan mereka.

Krisya Norsabrina memang seorang yang pendendam tapi bukanlah pendendam yang berbahaya. Pendendam di sini maksudnya dia akan ingat perkara yang membuatnya tidak senang itu dalam jangka masa yang lama. Benda yang berlaku semalam pun boleh terbawa-bawa sampai ke esok lusa.

“Malaslah,” balas Krisya Norsabrina. Asal buat rombongan aja, KL. KL, KL, KL. Kan banyak lagi negeri lain kat Malaysia ni. Cuba sesekali buat rombongan pergi Perlis ke, Terengganu ke, Sabah ke. Syoklah jugak. Ini kalau setakat KL tu, bila-bila masa pun boleh pergi. Tak payah nak tunggu sekolah buat rombongan.

“Ala… kalau kau tak pergi, nanti aku tak ada kawanlah,” Karina Jasmin cuba meraih simpati Krisya Norsabrina untuk turut serta dalam rombongan itu.

Sudah lama dia menyimpan angan-angan menjejakkan kaki ke ibu negara Malaysia itu. Selama ini dia hanya melihat di televisyen dan mendengar cerita orang. Inilah peluangnya merasai sendiri keseronokan berada di KLCC, Mid Valley, Menara KL dan tempat-tempat menarik lain yang sering diperkata orang.

“Tak ada kawan apanya? Kan ramai lagi budak form five yang pergi. Entah-entah Che Wan pun pergi,” balas Krisya Norsabrina. Sengaja ingin menduga reaksi sahabat baiknya itu padahal dia sendiri pun tahu kalau ke mana-mana sahaja mereka pasti berdua. Jika salah seorang daripada mereka tidak pergi, maka yang seorang lagi pun tidak akan pergi.

“Che Wan pun pergi? Macam mana kau tahu?” serta-merta wajah simpati Karina Jasmin tadi bertukar menjadi excited.

“Ewah, ewah, ewah. Pantang sebut nama Che Wan.”

Mendengarkan itu, Karina Jasmin kembali membuat muka sedih.

“Kalau aku tak pergi pun tak apa kan? Aku ni bukannya penting sangat macam Che Wan kau tu kan?”

“Kenapa kau cakap macam tu, Sya? Walaupun aku suka kat Che Wan tu tapi dia tak sama macam kau. Kau kan bestfriend aku. Mestilah aku nak kau ada sekali. Kalau kau tak ada, tak bestlah,” ujar Karina Jasmin.

Krisya Norsabrina masih berlagak selamba walaupun hatinya sudah berbunga riang mendengar kata-kata Karina Jasmin. Kembang rasanya apabila ada orang kata tak best kalau kita tak ada? Itulah ayat yang mahu didengarnya daripada mulut Karina Jasmin.

“Tengoklah nanti,” Krisya Norsabrina masih acuh tak acuh.

“Nak tengok apa lagi? Kau bagi tahulah ketua kelas kita cepat. Nanti tak sempat pulak,” gesa Karina Jasmin.

“Yang kau risau sangat ni kenapa? Tarikh tutup bukannya hari ni kan? 15 haribulan kan?”

“Macam mana aku tak risau? Hari nilah 15 haribulan.”

“Ya ke? Hari ni 15 hari bulan ya?”

“Yalah. Kalau tak, tak adalah aku risau.”

“Nantilah aku fikir. Sebelum balik nanti, aku bagi jawapan.”

“Nak buat keputusan nak pergi rombongan pun nak kena fikir lama ke?”

“Eh, mestilah! Dahlah, jangan kacau aku. Aku tengah tak ada mood ni.”


**********


Pulang sekolah, seperti biasa Krisya Norsabrina berkurung di bilik melayari internet di laptopnya sambil ditemani lagu-lagu yang berkumandang di Winamp.

Selepas singgah di Facebook dan Friendster, Krisya Norsabrina singgah pulak di My space bagi melihat jadual persembahan Hujan. Kebiasaannya, segala aktiviti dan jadual persembahan Hujan akan dikemas kini di laman itu.

16 hari bulan di JB, 19 hari bulan di Penang, 21 hari bulan di Dewan Annexe, Pasar Seni?!! Eh, tarikh ni kan sama dengan tarikh rombongan pergi KL. Pasar Seni? Aku kan pernah pergi tempat tu dengan Mama dan Abah tahun lepas. Kalau aku ikut rombongan tu, bolehlah aku pergi gig Hujan ni. Dapatlah aku jumpa Hujan. Bestnya!

“Ma, kalau Rina nak ikut rombongan sekolah pergi KL 20 hari bulan ni boleh tak?” tanpa membuang masa, Krisya Norsabrina segera bertanyakan perkara itu kepada ibunya. Dia sangat berharap ibunya membenarkannya mengikuti rombongan itu.

“Rombongan ke KL?” Puan Nadhira yakni ibu Krisya Norsabrina meminta kepastian samada dia tidak tersalah dengar.

“A’ah.”

“Berapa hari?”

“Tak lama. Tiga hari aja.”

“Siapa lagi yang pergi?”

“Budak-budak tingkatan lima aja. Boleh kan, ma?”

“Mama tak halang tapi Rina kena tanya dengan Abah.”

“Ala... mama tolonglah cakapkan pada Abah.”

“Rina yang nak pergi kan? Jadi, Rina kena tanya Abah sendiri,” ujar Puan Nadhira. Dia tahu anak dan suaminya itu sedang berperang dingin gara-gara markah ujian Krisya Norsabrina semalam. Namun dia juga tahu marah suaminya bersebab. Cuma Krisya Norsabrina saja yang cepat ambil hati. Asal kena marah saja, dia merajuk. Tak nak bercakap dengan Abahnya.

“Ala … mama kan tahu Rina tak cakap dengan Abah.”

“Sampai bila Rina tak nak cakap dengan Abah? Tak baik tau. Abah tu kan Abah Rina. Lagipun Abah marah Rina sebab Rina yang buat salah kan?”

Krisya Norsabrina menarik muncung. Begitulah reaksi Krisya Norsabrina apabila ditegur. Anak-anak remaja sekarang memang pantang ditegur. Mulalah memberontak.

“Rina terlalu leka sejak ada broadband tu sampai mengabaikan pelajaran. Betul tak cakap mama?”

Krisya Norsabrina tunduk. Kata-kata ibunya itu memang ada benarnya. Tapi entah kenapa dia tidak suka ditegur tentang perkara yang dilakukannya. Seolah-olah dia sudah melakukan kesalahan yang besar padahal dia bukan melakukan benda-benda yang dilarang agama.

Walaupun dia suka melayari internet, namun dia tahu membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Dia tahu melihat laman porno itu salah dan dia sendiri tidak ada keinginan untuk melihat laman-laman seperti itu. Mungkin sahaja dia tidak suka dianggap seperti budak kecil yang tidak tahu apa-apa.

“Ok, Rina tahu Rina salah tapi Rina janji lepas ni Rina akan belajar betul-betul,” Krisya Norsabrina meyakinkan ibunya.

“Betul?”

“Betul. Janji.”

“Ok, kalau macam tu Rina cakaplah macam tu dengan Abah bila Abah balik nanti ya.”

Wajah Krisya Norsabrina berubah serta-merta. Memeluk tubuh. Cakap dengan Abah? Ni yang malas ni. Abah yang marah aku. Kenapa aku pulak yang kena mengalah?

“Cakap dengan Abah pasal apa?” suara itu mengumpan pandangan dua beranak itu ke pintu.

“Eh, awal abang balik hari ni?” Puan Nadhira bangkit dari sofa menyambut kepulangan suaminya.

“Dah kerja habis awal, balik awallah,” Encik Khalid menghulurkan sebungkus plastik berisi kuih muih kepada isterinya kemudian melabuhkan punggung ke sofa. Melepaskan penat.

“Saya ambilkan air untuk abang ya. Oh ya, bang. Rina ada benda nak cakap dengan abang. Kan Rin?” Puan Nadhira mengenyitkan mata memandang Krisya Norsabrina sebelum berlalu ke dapur.

Krisya Norsabrina memandang ayahnya. Tiba-tiba dia berasa janggal dengan ayahnya sendiri. Macam mana aku nak cakap ni? Buatnya Abah masih marah dan tak benarkan aku ikut rombongan ke KL tu.

Suasana sepi seketika. Tiada sesiapa yang mahu memulakan bicara. Krisya Norsabrina menunggu ayahnya bertanya namun Encik Khalid pula masih menunggu kata-kata daripada Krisya Norsabrina.

“Hai, senyap aja. Tak dengar apa-apa pun,” Puan Nadhira mengintai gelagat dua beranak itu dari dapur. Takkan nak tunggu aku jugak yang bersuara? Anak dengan bapak sama saja. Dua-dua ego. Dua-dua tak nak mengaku kalah. Haish! Puan Nadhira menatang dulang yang berisi tiga cawan minuman dan sepiring kuih muih yang dibeli oleh suaminya tadi.

“Rina dah cakap dengan Abah ke belum?” soal Puan Nadhira. Macamlah dia tak nampak apa yang berlaku dari dapur tadi. Dua-dua macam orang bisu. Macam pakwe makwe yang baru pertama kali keluar temujanjilah pulak.

“Mamalah tolong cakap,” ujar Krisya Norsabrina.

“Apa hal sebenarnya ni?” Encik Khalid sudah tidak sabar mengetahui apa yang dibualkan oleh isteri dan anaknya sebentar tadi.

“Rina ni haa … Dia nak ikut rombongan sekolah dia pergi KL 20 hari bulan nanti. Dhira suruh dia tanya abang,” akhirnya Puan Nadhira juga yang harus bersuara. Nak cakap pun susah ke?

Krisya Norsabrina memandang ayahnya. Menanti jawapan.

"O ... nak pergi rombongan. Dia dah tak ada mulut ke? Tak reti nak cakap sendiri?" Encik Khalid merenung tajam ke arah Krisya Norsabrina.

Krisya Norsabrina mengetap bibir menahan geram. Ternyata ayahnya menggunakan kuasa vetonya sebagai seorang ayah bagi menundukkannya. Baiklah. Demi Hujan, aku sanggup ketepikan ego aku.

“Bah, sekolah Rina ada buat rombongan pergi KL 20 hari bulan nanti. Rina boleh ikut kan?” soal Krisya Norsabrina penuh berharap.

“Selepas markah ujian Rina teruk, Rina ingat Abah akan bagi Rina pergi KL ke?”

“Ala … Bah, bolehlah. Rina janji lepas ni Rina akan belajar betul-betul,” ujar Krisya Norsabrina bersungguh-sungguh. Dia memandang ibunya seolah-olah meminta pertolongan.

“Bagi ajalah dia pergi, bang. Sekali-sekala dia nak berjalan dengan kawan-kawan dia,” pujuk si isteri.

“Ok, Abah benarkan tapi dengan syarat Rina kena skor dalam trial nanti. Sekurang-kurangnya lima A. Boleh?”

InsyaAllah, Rina akan cuba.”

“Abah tak nak cuba cuba. Mesti,” tegas Encik Khalid.

“Ok. Terima kasih, Bah,” Krisya Norsabrina gembira dengan jawapan bapanya itu lantas mencium pipi ayahnya kemudian ibunya. “Terima kasih, ma.”

“Nak pergi mana pulak tu?”

“Rina nak telefon kawan. Nak bagi tahu dia yang Rina nak ikut pergi rombongan tu,” Krisya Norsabrina bingkas ke biliknya.

Encik Khalid dan Puan Nadhira berpandangan. Kemudian saling tersenyum.

Tiada ulasan: