Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemuja Rahsia 10

“Sah, inilah tempatnya. Jom kita masuk!” Krisya Norsabrina sudah tidak sabar apabila mendengar bunyi muzik di dalam. Pantas langkah kakinya diatur.

“Sya!” Karina Jasmin menarik lengan Krisya Norsabrina. “Betul ke apa yang kita buat ni?”

“Kenapa?”

“Aku tak sedap hatilah. Kalau cikgu tahu kita curi-curi datang sini macam mana?”

“Sebelum mereka tahu, kita pun dah balik sana. Dahlah, jangan fikir macam-macamlah. Jom cepat. Gig dah mula tu.”

Karina Jasmin membuntuti Krisya Norsabrina ke dalam. Ketika mereka masuk, kumpulan Bittersweet sedang menghiburkan para penonton dengan lagu Kucing Hitam.

Selesai lagu itu, suasana mula gamat apabila nama Hujan diumumkan sebagai band yang akan membuat persembahan selepas itu. Suasana bertambah gamat apabila empat anggota Hujan yang sempoi lagi selamba mengambil tempat di atas pentas.

Karina Jasmin berasa bingit mendengar sorakan penyokong-penyokong Hujan yang seperti diserang histeria itu manakala Krisya Norsabrina pula kaku di tempatnya. Seakan tidak percaya sang pujaannya berada di hadapan matanya kini.

Akhirnya aku dapat tengok persembahan Hujan live. Adakah aku sedang bermimpi? Oh, Noh!

Krisya Norsabrina tidak berkelip memandang si vokalis. Tanpa diduga, si vokalis turut memandang ke arahnya lalu mengukir senyuman. Alahai… lututnya terasa longlai tatkala melihat senyuman manis itu.

Seketika kemudian si vokalis berpaling untuk berbincang sesuatu dengan ahli bandnya yang lain. Krisya Norsabrina terkejut apabila melihat muka si vokalis selepas dia berpaling semula ke arah penonton.

Kenapa muka Noh macam muka Cikgu Abdillah? Wajah itu tersengih kepadanya. Krisya Norsabrina kecut perut. Macam mana Cikgu Abdillah boleh berada di sini? Di atas pentas pula tu!

“Krisya Norsabrina! Berani kamu lari dari rombongan dan datang ke sini ya?” suara Cikgu Abdillah kedengaran di mikrofon.

Krisya Norsabrina terpaku apabila berasakan semua mata memandang ke arahnya. Mesti mereka fikir yang bukan-bukan tentang aku. Lari dari rombongan sekolah semata-mata nak tengok Hujan.

Tiba-tiba dua orang lelaki yang berpakaian seragam polis menghampiri Krisya Norsabrina lalu menangkapnya.

“Saya tak buat apa-apa. Saya cuma nak tengok Hujan saja,” Krisya Norsabrina meronta-ronta minta dilepaskan. Aku datang sini sebab nak tengok Hujan saja. Tak ada niat lain.

“Sila cakap di mahkamah nanti.”

“Mahkamah? Mahkamah apa?” Krisya Norsabrina mula panik. Takkan lari dari rombongan sekolah pun dianggap kes jenayah sampai harus dibawa ke mahkamah?

“Mahkamah Juvana Sekolah.”

“Hah?” Krisya Norsabrina tercengang. Mahkamah Juvana Sekolah? Tak pernah dengar pun!

Di mahkamah, Krisya Norsabrina dikehendaki berdiri di dalam kandang seperti di mahkamah dengan diawasi oleh dua anggota polis tadi. Cikgu Abdillah bertindak sebagai hakim manakala Hujan pula menjadi saksi. Krisya Norsabrina tunduk memandang lantai.

“Krisya Norsabrina, anda didapati bersalah kerana lari dari rombongan sekolah dan datang ke gig tanpa pengetahuan pihak sekolah. Justeru, anda akan dihantar ke pusat tahanan pelajar-pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah,” tegas Cikgu Abdillah.

“Tapi saya bukan ponteng sekolah,” bantah Krisya Norsabrina.

“Tapi tindakan anda serupa dengan kes ponteng sekolah! Bawa dia ke bilik tahanan.”

“Saya tak salah!”

Krisya Norsabrina berkeras apabila dua anggota polis mengheretnya ke sebuah bilik kurungan.

“Tidak!!!”

Serta-merta dia terjaga daripada tidur.

“Apa yang tidak?” Karina Jasmin yang duduk di sebelah Krisya Norsabrina di dalam bas kehairanan.

“Di mana ni?” tanya Krisya Norsabrina.

“Genting Sepah,” jawab Karina Jasmin.

“Genting Sepah?” Krisya Norsabrina melihat sekeliling. “Kita belum sampai KL lagi ke?”

“Belum.”

Fuh… mimpi rupanya. Krisya Norsabrina mengeluh lega.

“Kau nak turun tak? Aku dah lapar ni,” ujar Karina Jasmin.

“Jomlah,” Krisya Norsabrina mengikut Karina Jasmin turun dari bas untuk mengisi perut. “Kau nak makan apa?”

“Makan nasilah nak?” cadang Karina Jasmin.

“Tak kisah,” Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin melangkah ke tempat yang menjual nasi campur.

Selepas membeli makanan, mereka mengambil tempat bersama-sama dengan pelajar-pelajar tingkatan lima yang lain. Ketika makan, Karina Jasmin tidak melepaskan peluang mencuri pandang ke arah Che Wan Safuan yang duduk di meja tidak jauh dari meja mereka.

Sejak mengetahui Che Wan Safuan turut mengikuti rombongan itu, senyuman tidak pernah lekang di bibir Karina Jasmin. Dapatlah dia tengok wajah pujaannya itu setiap hari. Sekurang-kurangnya untuk tiga hari ini! Namun seketika kemudian, senyuman di bibirnya jadi hambar apabila terlihat seorang pelajar perempuan berbual mesra dengan sang pujaannya itu.

“Siapa pula tu? Girlfriend dia ke? Mungkin mereka kawan saja kut,” Karina Jasmin cuba menyedapkan hatinya sendiri namun kemesraan mereka mengundang rasa cemburu di hatinya. Tapi kalau betul tu girlfriend dia?

“Sya, kau rasa Che Wan tu dah ada girlfriend ke belum?” soal Karina Jasmin sambil matanya masih tertancap pada Che Wan Safuan yang kelihatan rancak berbual-bual dengan pelajar perempuan tadi.

Tiada jawapan daripada Krisya Norsabrina. Karina Jasmin berpaling memandang Krisya Norsabrina. Temannya itu kelihatan termenung seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Sya.”

Krisya Norsabrina tersentak.

“Kenapa? Bas dah nak jalan ke?” Krisya Norsabrina melihat ke arah bas mereka. Bas itu masih di situ. Pelajar-pelajar lain pula masih menjamu selera di tempat mereka.

“Bila masa pula aku kata bas dah nak jalan? Orang cakap lain, dia cakap lain. Kau ni kenapa? Macam tak gembira saja.”

“Tak ada apalah. Cuma mengantuk,” bohong Krisya Norsabrina padahal hatinya sedikit gusar apabila mengenangkan mimpi tadi. Apakah itu suatu petanda? Mungkin Tuhan mahu memberinya amaran? Jadi, adakah mereka patut membatalkan rancangan mereka untuk ke gig itu pada hari Ahad nanti?

“Hai, dah tidur dalam bas tadi pun mengantuk?”

“Mon, aku pergi tandas kejap,” belum sempat Karina Jasmin bertanya lanjut, Krisya Norsabrina sudah bangkit ke tandas. Tinggallah Karina Jasmin sendirian menahan rasa cemburu melihat kemesraan sang pujaannya dengan perempuan lain.


**********


“Kita dah sampai Kuala Lumpur!” jerit suatu suara.

Ibarat orang zaman Neolitik masuk ke zaman millennium, mereka memandang ke luar tingkap. Menghayati pemandangan sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Rasa kagum dan teruja apabila melihat bangunan KLCC yang tersengam indah walaupun hanya dari jauh.


Dari jauh cari rezeki
Halal dimamah teknologi
Dari jauh datang tuntut ilmu
Jaga langkahmu sini banyak penipu
Bila lalai di awangan
Melayang tanpa graviti
Masa pun berlalu di situ
Kuala Lumpur … Kuala Lumpur
Indah tak terkata
Kuala Lumpur … Kuala Lumpur
Kau kian tercemar
Biarpun kau begitu
Hanya kaulah destinasiku
Sangat sesak transportasi
LRT ataupun teksi
Murah-murah mata rambang
Penjenayah banyak peluang



Bait lirik lagu Kuala Lumpur dendangan Hujan seakan-akan tergiang-giang di telinga Krisya Norsabrina sejurus bas rombongan mereka memasuki kawasan ibu negara Malaysia itu. Krisya Norsabrina turut berasa teruja namun rasa terujanya bukanlah disebabkan itu kali pertama dia ke Kuala Lumpur sebaliknya kerana memikirkan pertemuannya dengan Hujan dua hari saja lagi.

Dia sudah melupakan mimpinya tadi. Mudah-mudahan mimpi itu hanya mainan tidur semata-mata! Hujan, nantikan kedatangan aku!


**********


“Wah, seronoknya dapat tidur di hotel!”

Pelajar-pelajar itu menerpa ke dalam bilik sebaik-baik sahaja pintu bilik itu dikuak. Ada yang menjenguk ke luar jendela melihat pemandangan luar, ada yang menjenguk ke bilik air dan ada yang terus merebahkan diri ke katil.

“Dari sini kita boleh nampak KLCC!”

“Bilik air ni ada tab!”

“Tilam ni lembutlah.”

Krisya Norsabrina menggelengkan kepala melihat gelagat kawan-kawannya itu. Jakunnya mereka ni. Macam tak pernah masuk hotel. Fikir Krisya Norsabrina. Lambatnya nak tunggu hari Ahad!

Tiada ulasan: