Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 7

Krisya Norsabrina menutup pintu kereta dengan kuat. Marahlah tu konon! Tanpa memandang ayahnya, dia menonong masuk ke kawasan sekolah.

“Awak!” suara itu menyapa.

Dia panggil aku ke? Tak kut. Nama aku bukan ‘awak’. Krisya Norsabrina terus melangkah tanpa mempedulikan suara itu.

“Awak yang pakai baju putih kain biru!” suara itu semakin tegas.

Langkah Krisya Norsabrina dan beberapa orang pelajar perempuan yang memakai baju kurung putih dan berkain biru terhenti.

Ya tak ya. Semua pun pakai baju kurung putih dan berkain biru. Apalah aku ni.

“Maksud saya, awak yang pakai beg hijau tu.”

Krisya Norsabrina dan seorang pelajar perempuan menoleh ke arah pemilik suara itu.

Aduh! Dua-dua pula pakai beg hijau. Dia memerhatikan kedua-dua pelajar perempuan itu. Apa yang membezakan mereka?

“Haa… awak yang pegang fail yang ada gambar Hujan tu,” baru dia perasan yang gadis itu memegang sebuah fail.

Kedua-dua pelajar perempuan itu saling berpandangan.

Rasanya fail aku memang ada gambar Hujan. Aku ke? Aisey …

“Ya, awak! Mari sini.”

Hish… dia ni! Orang dah lambat, dia lagi nak melambatkan. Dia memaksa kakinya melangkah mendekati pengawas berkemeja biru itu.

“Siapa nama awak?” soal pengawas itu.

“Krisya,” jawabnya pendek.

“Nama penuh?”

“Krisya Norsabrina binti Khalid.”

“Awak tahu kesalahan awak?”

“Tahu.”

“Habis, kenapa awak tak berhenti masa saya panggil tadi?”

“Manalah saya tahu awak panggil saya ke bukan. Nama saya bukan ‘awak’.”

“Loyar buruk awak ya.”

“Masa kecik-kecik dulu, saya memang bercita-cita nak jadi lawyer ,” Krisya Norsabrina tertawa kecil namun tawanya menjadi hambar apabila terlihat muka serius pengawas itu. Seriusnya mamat ni. Nak bergurau pun tak boleh.

“Awak boleh pergi ke kelas awak.”

“Betul?”

“Eh, taklah. Awak berdiri di sini sampai waktu sekolah habis,” pengawas itu mula berang dengan Krisya Norsabrina. Berani dia main-main dengan aku ya?

Krisya Norsabrina tersengih. Kakinya diatur ke kelas.


***


Sesi pembelajaran sudah pun bermula tatkala Krisya Norsabrina tiba di kelasnya. Habislah aku. Puan Fariza dah mengajar.

Bunyi ketukan di pintu menggamit tumpuan penghuni di kelas itu ke pintu.

“Assalamualaikum, cikgu.”

“Waalaikummussalam, Krisya. Awalnya kamu sampai,” Puan Fariza melihat jam yang tergantung di dinding kelas. Sudah hampir pukul lapan.

Krisya Norsabrina tidak menjawab. Nasib baiklah wanita di hadapannya itu cikgunya. Kalau tidak, pasti dia tidak teragak-agak untuk membalas sindiran itu.

“Kenapa kau lambat?” tanya Karina Jasmin dalam nada seakan berbisik sebaik-baik sahaja Krisya Norsabrina melabuhkan punggung di kerusi.

“Aku bangun lambat. Lepas tu tadi aku kena tahan dengan Che Wan,” cerita Krisya Norsabrina.

“Kau kena tahan dengan Che Wan? Bestnya!” Karina Jasmin teruja mendengar cerita Krisya Norsabrina.

“Hai, kena tahan pun best ke?” Krisya Norsabrina kehairanan. Pelik betul perangai kawan aku yang seorang ni.

“Yalah, bukan senang nak dapat peluang bercakap dengan dia. Kalau aku jadi kau, mesti tak lena tidur malam ni,” Karina Jasmin cuba membayangkan keadaan Che Wan Safuan menegurnya. Alangkah bagusnya kalau aku di tempat Krisya Norsabrina.

“Walaupun kena denda?”

“Sekurang-kurangnya dia bercakap dengan kau,” balas Karina Jasmin.

Krisya Norsabrina tercengang. Jangan-jangan pelajar yang datang lambat tadi tu pun sengaja datang lambat sebab nak bercakap dengan Che Wan? Entah apa-apalah mereka tu.

“Krisya, Karina, jangan bercakap lagi. Keluarkan kerja rumah semalam.”

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin terdiam apabila ditegur oleh Puan Fariza. Semua mata memandang ke arah mereka. Malunya!

“Kerja rumah apa?” Krisya Norsabrina berbisik kepada Karina Jasmin. Takut didengari oleh Puan Fariza. Tak pasal-pasal dia kena halau keluar kelas pula nanti.

“Kerja rumah semalamlah. Soalan SPM tahun-tahun lepas,” jawab Karina Jasmin.

“Soalan SPM tahun-tahun lepas?”

Ada ke? Kenapa aku tak ingat apa-apa? Krisya Norsabrina pantas menyelongkar beg sekolahnya. Mencari kerja rumah yang dimaksudkan. Mana pula buku aku ni? Takkan tertinggal di rumah?

“Kenapa, Sya?” tanya Karina Jasmin. Kalut semacam saja.

“Aku rasa aku tertinggal buku di rumahlah.”

“Kau biar betul?”

“Aku pun harap buku aku tu ada dalam beg ni.”

“Cuba cari betul-betul.”

“Aku dah cari,” Krisya Norsabrina memeriksa semua bahagian begnya.

“Krisya …”

Krisya Norsabrina tersentak apabila namanya dipanggil lantas terus berdiri.

“Tuliskan jawapan kamu di papan hitam,” arah Puan Fariza.

Hah? Tulis jawapan di papan hitam? Habislah aku. Buku pun aku tak bawa.

“Tapi cikgu, saya tak pasti jawapan saya betul ke tak,” Krisya Norsabrina memberi alasan. Subjek Akaun bukanlah subjek kegemarannya. Justeru, dia tidak berapa minat apabila tiba waktu pembelajaran Prinsip Akaun. Waktu dirasakan terlalu lambat berjalan.

“Kalau semua orang pandai, tak payahlah pergi sekolah,” tegas Puan Fariza.

Begitulah sikap sesetengah pelajar apabila diminta menunjukkan jalan kerja dan jawapan tentang sesebuah soalan latihan. Mereka takut jawapan mereka salah dan bimbang ditertawakan oleh rakan-rakan kerana mereka akan dianggap tidak pandai.

“Krisya, cepat sikit,” Puan Fariza menggesa. Apalagi yang dibuatnya itu?

Nak tak nak, Krisya Norsabrina terpaksa menurut. Perlahan-lahan dia berjalan ke hadapan kelas melangkah ke papan hitam. Lambat-lambat dia menulis di papan hitam.

“Dah?” soal Puan Fariza. Jawapan Krisya Norsabrina dirasakan terlalu pendek.

“Dah kut.”

“Mari kita tengok jawapan Krisya,” Puan Fariza meneliti dan menyemak jawapan Krisya Norsabrina di papan hitam. “Krisya, perkara nombor dua ni kan hutang tertunggak. Kenapa kamu buat debit?”

“Hah?” Krisya Norsabrina cemas. Salah ke?

“Sepatutnya kredit kan?”

Krisya Norsabrina tidak menjawab. Dia sendiri pun keliru.

“Ni pun salah,” Puan Fariza memangkah jawapan Krisya Norsabrina. Hampir kesemua jawapan Krisya Norsabrina salah. Masalah besar ni.

“Banyaknya salah. Mampus aku!” Krisya Norsabrina berteriak di dalam hati.


***


“Kenapa teruk sangat markah ujian Prinsip Akaun Rina ni?” Encik Khalid menghempas kertas ujian itu di hadapan Krisya Norsabrina.

Krisya Norsabrina tunduk. Diam tidak menjawab.

“Rina tak buat ulangkaji ke?” soal Encik Khalid lagi.

Krisya Norsabrina diam lagi.

“Malam-malam Rina buat apa?”

“Rina … erm … err …” Krisya Norsabrina teragak-agak mahu menjawab.

“Main internet kan?” Encik Khalid mula bertegas. Dia tidak mahu Krisya Norsabrina terlalu leka dengan kebebasan yang mereka suami isteri berikan. Bebas tidak bermakna Krisya Norsabrina boleh berbuat apa-apa sahaja tanpa sekatan. “Abah tak marah kalau Rina nak berchatting ataupun nak buat apa-apa pun dalam internet tu tapi pelajaran jangan terabai. Rina faham tak maksud abah?”

“Faham, bah.”

Deringan telefon di ruang tamu menyelamatkan Krisya Norsabrina daripada terus dimarahi oleh bapanya. Krisya Norsabrina dan bapanya saling berpandangan.

“Hello, nak cakap dengan siapa? Krisya?” Encik Khalid merenung anaknya tajam. “Ni siapa? Ada apa awak nak cakap dengan dia? Di sekolah tak boleh cakap?”

Krisya Norsabrina menelan air liur. Pasti Karina Jasmin yang menelefonnya. Kasihan Karina. Tak pasal-pasal kena marah dengan abah.

“Kalau Rina tak skor masa peperiksaan percubaan nanti, Abah ambil balik broadband tu!” Encik Khalid menyambung ceramahnya sebaik-baik sahaja gagang telefon diletakkan.

Krisya Norsabrina terkedu. Abah nak ambil broadband aku? Oh, tidak!

Tiada ulasan: