Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 6

Pagi. Suasana di bilik itu terasa hening. Dengan mata yang masih pejam, dia membetulkan posisi tidurnya. Namun tiba-tiba matanya terbuka luas.

“Eh, hari ni hari apa ya?”

Semalam hari Isnin. Maksudnya hari ni hari … Alamak!

Jam di sebelah katil dilihat. Tujuh sepuluh? Habislah aku!

Dengan terkocoh-kocoh, dia bingkas bangun lalu bergegas ke bilik mandi. Namun sesaat kemudian dia keluar semula.

“Tuala pun lupa!” Dia mencapai tuala mandi yang tersangkut di ampaian di biliknya dan berlalu semula ke bilik mandi.

“Rina mana? Tak bangun lagi?” Encik Khalid menarik kerusi di meja makan.

“Waktu saya jenguk ke bilik dia tadi, dia dah bangun,” Puan Nadhira menghidangkan sarapan buat suaminya.

“Awak nasihat sikit si Rina tu. Hari-hari bangun lambat. Dia selalu tidur lambat ke?” Encik Khalid menjamah teh tarik buatan isterinya.

Teh tarik isterinya itu memang setanding dengan teh tarik di kedai mamak. Disebabkan itu, dia sendiri sudah jarang-jarang lepak di kedai mamak. Kenapa harus berhabis duit di luar sedangkan dia boleh menikmati rasa teh tarik yang sama di rumah sendiri?

“Tak tahulah pula saya. Tapi yang saya perasan sejak ada broadband tu memang dia selalu bangun lambat,” ujar Puan Nadhira. Memang sejak kebelakangan ini, anak mereka itu selalu sahaja bangun lewat. Jika dahulu, Krisya Norsabrina akan bangun sendiri walaupun tidak dikejut tetapi sekarang sudah dikejut beberapa kali pun dia masih liat untuk bangun.

Broadband itu dihadiahkan kepada Krisya Norsabrina oleh Encik Khalid dan Puan Nadhira sempena hadiah hari jadinya yang ke-17 dua bulan yang lalu. Dengan adanya broadband itu, diharap Krisya Norsabrina dapat memanfaatkan kecanggihan teknologi internet dengan menimba seberapa banyak ilmu yang ada di alam siber itu.

Sebagai ibu bapa, mereka tidak mahu terlalu mengongkong ataupun terlalu menyekat kebebasan Krisya Norsabrina. Jika terlalu dikongkong dikhuatiri Krisya Norsabrina akan memberontak dan jika terlalu bebas pula ditakuti Krisya Norsabrina akan menjadi liar pula. Justeru, mereka hanya mengikut kehendak Krisya Norsabrina yang mahukan kemudahan internet di rumah dengan syarat Krisya Norsabrina tidak mengabaikan pelajarannya.

Selain pembelajaran di sekolah, ilmu juga dapat diperoleh di mana-mana sahaja termasuklah di alam siber yang lebih luas lingkungannya. Namun demikian, terpulang kepada setiap individu bagaimana mahu memanfaatkan ilmu yang diperoleh kerana ilmu yang baik juga boleh jadi tidak baik jika digunakan ke jalan yang salah. Misalnya internet.

Penggunaan internet banyak menyumbang kemajuan sekaligus membantu memudahkan kehidupan manusia. Namun internet juga dapat mengundang gejala negatif seperti paparan gambar pornografi, penipuan di ruangan sembang siber mahupun penyebaran berita-berita palsu di blog-blog jika tidak dipantau.

Perkara-perkara sebegini tentu akan merosakkan pemikiran pengguna internet terutamanya pelajar-pelajar sekolah memandangkan usia mereka yang masih mentah dan mudah terpengaruh.

“Kerja sekolah dia ada kena pakai internet ke?” tanya Encik Khalid lagi. Encik Khalid jarang-jarang mengetahui rutin harian Krisya Norsabrina memandangkan hampir sepanjang harinya dihabiskan di pejabat. Namun itu tidak bermakna dia langsung tidak mengambil tahu tentang anaknya.

“Setahu saya tak ada,” jawab Puan Nadhira.

“Awak tengok-tengokkan dia. Jangan sampai dia terlibat dengan benda-benda yang tak elok di internet tu sudah,” Encik Khalid tidak mahu Krisya Norsabrina menjadi mangsa penipuan di internet seperti yang selalu dilaporkan di akhbar-akhbar.

Cerita-cerita remaja yang berkenalan di ruangan sembang siber kemudian berjumpa di luar lantas terlibat dengan gejala yang tidak elok seperti pil khayal, rempit dan pergaulan bebas.

“Yalah, bang,” Puan Nadhira juga tidak mahu Krisya Norsabrina terlibat dengan gejala sebegitu.

Krisya Norsabrina satu-satunya anak mereka dan satu-satunya waris mereka. Justeru, pastinya Krisya Norsabrina menjadi harapan mereka berdua. Alhamdulillah Krisya Norsabrina seorang anak yang mendengar kata dan sentiasa menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran.

Namun itu tidak bererti Krisya Norsabrina akan selamanya begitu. Manusia akan berubah mengikut persekitaran. Jadi, tidak mustahil orang yang baik boleh berubah menjadi sebaliknya dan orang yang jahat pula menjadi baik.

Oleh sebab itu, Encik Khalid dan Puan Nadhira masih memerhatikan segala kegiatan dan kelakuan anak mereka walaupun ada yang beranggapan Krisya Norsabrina sudah besar dan mampu berfikir sendiri memandangkan usianya sudah mencecah 17 tahun.

Tatkala ibu bapanya sedang membincangkan perihal dirinya, Krisya Norsabrina bergegas bersiap di biliknya. Baju kurung putih dan kain berwarna biru muda disarung ke badan. Sedikit wangian disembur ke tudung. Siap!

Laptop yang dibiarkan terpasang semalaman ditutup. Beg sekolah dikemas ala kadar lalu digalas di bahu.

“Rina, mari sarapan,” Puan Nadhira menuang minuman ke dalam sebuah cawan apabila terlihat Krisya Norsabrina. Cawan yang berisi minuman itu kemudiannya diletakkan di hadapan Krisya Norsabrina.

“Cepat makan. Abah dah tunggu tu.”

Mendengarkan itu, Krisya Norsabrina terburu-buru makan. Sekeping roti berbentuk empat segi itu disumbat ke dalam mulut dengan sekali suap. Krisya Norsabrina tersedak.

“Perlahan-lahanlah sikit makan tu. Nanti tercekik,” Puan Nadhira menggeleng kepala melihat telatah si anak.

“Tadi mama juga yang suruh makan cepat,” ujar Krisya Norsabrina dengan mulut yang masih penuh.

“Mulut penuh jangan bercakap,” ternyata Puan Nadhira tidak dapat menangkap butir bicara Krisya Norsabrina.

Krisya Norsabrina semakin menggelabah apabila terdengar bunyi hon kereta dari luar. Pasti ayahnya sudah menggesa. Krisya Norsabrina meneguk teh tarik dan bingkas menggalas beg sekolahnya. Tangan si ibu dikucup bagi memohon restu.

Pon! Pon! Pon!

“Yalah, Rina datang!” Krisya Norsabrina mencapai kasutnya di rak di tepi pintu dan tergesa-gesa masuk ke kereta.

Kereta Satria berwarna hijau itu terus meluncur laju sejurus Krisya Norsabrina masuk ke perut kereta. Krisya Norsabrina hilang imbangan lantas kepalanya terhantuk ke dashboard ketika sedang memakai kasut. Aduh!

“Lain kali pakai tali pinggang,” tegas Encik Khalid. Tawanya hampir terburai melihat aksi Krisya Norsabrina tadi namun ditahan.

Krisya Norsabrina memegang kepalanya. Abah ni sengaja nak balas dendam. Huh! Krisya Norsabrina memakai tali pinggang. Mukanya masam menahan geram.

Tiada ulasan: