Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 4

Kelas 5 Sains Berani riuh rendah ketika Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin menapak di kelas itu. Puan Ehsan, guru bahasa Melayu mereka pula masih belum masuk.

Kebiasaannya waktu pertama selepas perhimpunan akan bermula lewat sedikit memandangkan guru-guru akan mengadakan mesyuarat mingguan di bilik guru. Ekoran itu, peluang itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh para pelajar untuk bersembang sesama mereka.

Bagi yang tidak siap kerja rumah pula, inilah masa untuk mereka meniru kerja rumah kawan-kawan mereka dan selalunya buku pelajar yang pandailah yang menjadi mangsa.

“Mon, pinjam kerja rumah Jumaat lepas,” ujar salah seorang pelajar lelaki apabila terlihat Karina Jasmin, pelajar cemerlang 5 Sains Berani. Semua jawapannya pasti betul!

“Eh, suka hati kau saja! Buatlah sendiri,” Krisya Norsabrina menyampuk. Ingat kawan aku ni apa? Gedung kerja rumah?

“Kau ni sibuklah, Sya. Aku minta dengan Mon, bukan dengan kau. Kau Mon ke?”

“Aku tahulah aku bukan Mon tapi Mon ni kawan aku. Aku takkan biarkan kau gunakan dia,” balas Krisya Norsabrina. Orang lain penat-penat perah otak, dia sedap-sedap tiru jawapan. Banyak cantik?

“Mon, pinjamlah. Takkan kau sanggup tengok aku kena marah dengan Cikgu Fariza?” pelajar lelaki itu cuba meraih simpati Karina Jasmin.

Karina Jasmin serba salah. Dia kasihan melihat wajah pelajar lelaki itu yang penuh berharap kemudian memandang Krisya Norsabrina.

“Jangan bagi, Mon,” tegas Krisya Norsabrina. Siapa suruh tak siapkan awal-awal? Sendiri tanggunglah akibatnya.

Walaupun Krisya Norsabrina berkeras menghalangnya namun Karina Jasmin tetap memberikan kerja rumahnya kepada pelajar lelaki itu.

Iqbal terus menyambar buku itu dari tangan Karina Jasmin lalu kembali ke tempat duduknya sambil tersenyum sinis kepada Krisya Norsabrina. Krisya Norsabrina mengetap bibir.

“Mon, kenapa kau bagi dia?” Krisya Norsabrina tidak berpuas hati dengan tindakan temannya itu. Baginya, tindakan Karina Jasmin membenarkan kawan-kawannya meniru kerja rumahnya hanya akan merosakkan mereka.

Memanglah semua pelajar mengharapkan tanda right pada setiap jawapan mereka namun tujuan sebenar mereka belajar bukan sebab nak dapat tanda right semata-mata tetapi juga memahami apa yang diajar oleh para guru. Apalah gunanya semua tanda right itu jika hanya sekadar di atas sehelai kertas!

“Biarlah.”

“Biar biar biar! Sampai bila? Kau sedar tak dia orang tu cuma gunakan kau?”

“Sya, takkan kau sanggup tengok dia orang kena marah dengan Cikgu Fariza? Kau tahu kan Cikgu Fariza tu macam mana?” terang Karina Jasmin. Entah kenapa bibirnya sukar mengatakan tidak apabila kawan-kawannya meminta sesuatu daripadanya.

Cikgu Fariza adalah guru akaun mereka dan merupakan guru yang paling garang di sekolah itu. Disebabkan itu, ramai pelajar yang gerun dengannya. Justeru, tidak ada sesiapa pun yang berani tidak menyiapkan kerja rumah akaun walaupun dengan cara meniru.

“Yalah tapi mereka tu tak pernahnya nak buat kerja rumah sendiri. Asyik tiru kerja orang lain. Kalau Cikgu Fariza tahu mereka tiru kerja rumah kau, kau ingat Cikgu Fariza tak marah?”

“Sudahlah, Sya. Aku malaslah nak gaduh dengan kau,” Karina Jasmin melabuhkan punggung ke kerusi. Dia tidak mahu perkara remeh sebegitu menjejaskan hubungan mereka berdua.

“Yalah, siapalah aku ni. Aku tak pandai macam kau,” Krisya Norsabrina seakan merajuk. Dalam soal pelajaran, mungkin Karina Jasmin lebih bijak daripadanya namun itu tidak bermakna Karina Jasmin juga bijak dalam segala hal.

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin masing-masing buat hal sendiri. Untuk seketika, mereka tidak bertegur sapa.

“Pagi yang gelap kini sudah terang…” tiba-tiba seorang pelajar lelaki bernyanyi bagi menghilangkan kebosanannya.

“Apa yang kau nyanyi tu? Lagu ke sampah?” seorang pelajar lelaki lain pula menyampuk.

Mendidih darah Krisya Norsabrina apabila mendengar kata-kata teman sekelasnya itu. Kau kata lagu Hujan sampah?

Karina Jasmin yang perasan akan perubahan air muka Krisya Norsabrina tidak sempat menahannya apabila sekelip mata sahaja Krisya Norsabrina sudah pun berada di hadapan pelajar lelaki itu.

“Woi, Azan! Apa kau cakap tadi? Kau cakap lagu Hujan sampah?” marah Krisya Norsabrina. Sesedap mulut dia saja kata lagu Hujan sampah. Lagu dengan sampah pun tak tahu nak beza ke?

“Kenapa? Kau ada masalah?” Azan Fitri menentang Krisya Norsabrina. Apa hal pula minah ni? Tiba-tiba saja nak marah. Hujan tu abang dia ke?

“Lagi sekali aku dengar kau kutuk Hujan, siap kau!” tegas Krisya Norsabrina.

“Suka hati akulah. Mulut aku. Kau sibuk kenapa?” balas Azan Fitri. Aku ada mulut. Suka hati akulah nak cakap apa pun.

“Mestilah aku sibuk sebab kau mengata Hujan aku.”

“Kau ingat Hujan tu bagus sangat ke?”

Baru ada nama sikit, dah berlagak bagus padahal tak adalah hebat mana pun. Muka pun tak semegah. Entah apalah yang peminat dia orang suka sangat.

“Memang mereka bagus pun. Hanya orang yang buta muzik macam kau saja yang tak pandai nak membezakan lagu dengan sampah. Kasihan… ada otak tapi tak pandai berfikir. Nama saja sedap tapi perangai macam setan,” Krisya Norsabrina sudah mula menunjukkan taringnya. Memang silaplah siapa yang mengutuk Hujan di hadapannya.

Entah kenapalah manusia ni suka sangat dengki pada orang. Pantang tengok orang lain berjaya, mulalah diri tu rasa tak senang duduk lalu dicari jalan untuk menjatuhkan orang yang dicemburuinya. Patutnya mereka berbangga dengan kejayaan bangsa sendiri. Ini tidak. Lagi dihentamnya adalah. Entah apalah yang mereka mahu.

Krisya Norsabrina sangat terkilan apabila ada segelintir pihak yang sanggup bersusah-payah bagi memastikan kejatuhan Hujan. Siap buat kumpulan ‘fuckhujan’ lagi di laman web My Space.

Entah-entah Azan Fitri pun salah seorang daripada mereka. Banyak betul masa mereka nak buat benda-benda ni ya. Dah tak ada kerja lain agaknya. Kalau tak minat, tak payahlah nak mengutuk. Diam-diam sudahlah. Buat malu bangsa sendiri saja.

Daripada buat benda tak berfaedah tu, bukan ke lagi bagus kalau mereka manfaatkan masa mereka yang banyak tu dengan membuat kerja-kerja amal. Sekurang-kurangnya dapatlah juga pahala.

“Kurang asam punya pompuan! Kau kata aku setan?” Azan Fitri mengepal penumbuk. Kalau kau lelaki, dah lama aku debik!

“Kenapa? Kau nak pukul aku? Pukullah! Kau ingat aku takut dengan kau?” Krisya Norsabrina berlagak berani walhal hatinya sudah kecut. Bimbang sekiranya Azan Fitri benar-benar memukulnya.

Kalau dia pukul aku betul-betul macam mana? Ah, biarlah! Kalau dia pukul aku, memang dia tak patut.

“Kau ingat kau perempuan, aku tak berani pukul kau?” Azan Fitri sengaja mengertak Krisya Norsabrina. Dia rasa tercabar. Minah ni nampak saja pendiam tapi bila bersuara mak aih! Boleh tahan juga pedasnya.

“Dah tu tunggu apa lagi? Pukul ajalah.”

“Minah ni memang nak kena dengan aku.”

Pelajar lain yang tadinya ibarat menonton babak dalam drama mula bersorak.

“Kenapa bising sangat ni?”

Semua mata tertumpu ke arah suara itu. Di muka pintu, kelihatan seorang guru yang agak kecil badannya dan berkaca mata sedang merenung tajam ke arah mereka.

Melihatkan itu, semua pelajar bergegas ke tempat duduk masing-masing. Krisya Norsabrina sempat menjeling kepada Azan Fitri sebelum dia kembali ke tempat duduknya di belakang.

“Sakit betul hati aku,” marah Krisya Norsabrina masih bersisa.

“Sudahlah. Yang kau pergi layan dia tu kenapa?” Karina Jasmin seolah-olah terlupa dengan pertengkaran antara mereka sebentar tadi.

Begitulah persahabatan antara Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin. Mereka berdua jarang-jarang bergaduh namun jika bergaduh pun cuma sekejap sahaja. Tidak sampai limit minit mereka sudah berbaik-baik semula.

“Habis tu, kau ingat aku nak biarkan saja dia mengata Hujan aku?” Krisya Norsabrina memang pantang apabila ada sesiapa yang mengutuk Hujan. Hujan tak buat salah dengan mereka tetapi kenapa mereka tak suka Hujan? Dengkilah tu!

“Tak payah layanlah,” nasihat Karina Jasmin. Dia masak benar dengan sikap Krisya Norsabrina yang tak boleh dengar orang kutuk pasal band kesayangannya itu.

Kadang-kadang Karina Jasmin juga berasa pelik dengan sikap Krisya Norsabrina nan satu itu. Daripada seorang yang pendiam, Krisya Norsabrina boleh jadi seorang yang pandai berdebat apabila sesuatu perkara itu membabitkan Hujan.

Dia sendiri tidak faham atas sebab apa Krisya Norsabrina boleh jadi sebegitu emosional dengan tiba-tiba jika disebut tentang Hujan. Mungkin begitulah sikap sesetengah peminat fanatik yang terlalu taksub dengan artis pujaan mereka. Pantang dikritik artis pujaan mereka, maka akan melentinglah peminat-peminat ini.

Macamlah artis tu hargai apa yang mereka lakukan? Macam mana artis tu nak hargai kalau kewujudan mereka pun artis tu tak tahu. Apa yang mereka dapat kalau memuja seseorang artis tu?

Tiada ulasan: