Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 5

Keadaan di kamar tidur itu kelihatan tenang. Kipas di siling berputar ligat. Lagu dari winamp di komputer riba yang diletakkan di atas katil juga dibiarkan berkumandang kuat.

Dengan baju kurung sekolah yang masih tersarung di tubuhnya, Krisya Norsabrina duduk di atas katil sambil tangannya lincah menggunting artikel mengenai Hujan dalam suratkhabar Pancaindera semalam.

Pada waktu yang sama juga, mulutnya terkumat-kamit bernyanyi kecil mengikut bait lirik lagu Dugaan-Nya.

“Ini semua dugaan-Nya… Semua dugaan …”

Main hentam saja nyanyinya. Langsung tak ikut tempo!

Selesai menggunting, Krisya Norsabrina bangkit ke meja belajarnya di tepi tingkap. Bekas pensel di atas meja dikorek.

“Mana pula ni? Takkan tertinggal di kelas kut?” Krisya Norsabrina tidak berpuas hati lalu semua barang-barang di dalam bekas pensel itu dikeluarkan. Namun barang yang dicari masih tidak ditemui. Beg sekolah berwarna hijau yang tersangkut di kerusi pula diselongkar. Dari zip besar hinggalah zip yang paling kecil. Tak ada juga!

“Manalah perginya?” Krisya Norsabrina baru sahaja hendak melangkah ke katil semula apabila kakinya terpijak sesuatu. Krisya Norsabrina memandang ke lantai. “Hah, ni pun dia! Kau nak main nyorok-nyorok dengan aku ya?”

Krisya Norsabrina mengutip botol gam yang bergolek di atas lantai. Mungkin terjatuh dari atas katil tadi. Krisya Norsabrina menyapu gam di keratan akhbar yang digunting tadi kemudian dilekatkan di polistrin yang dibuat seperti papan kenyataan di meja belajarnya.

“Baru ada semangat nak belajar,” Krisya Norsabrina tersenyum melihat keratan itu.

Seketika kemudian pintu bilik itu diketuk dari luar. Seorang wanita berusia hampir 40-an menjenguk di muka pintu.

Astaghfirullah … Rina, kenapa sepah-sepah ni?” Puan Nadhira terkejut melihat keadaan bilik itu. Majalah dan suratkhabar berteraburan di atas lantai. Ada juga serpihan-serpihan kecil kertas yang sudah digunting. Tudung sekolah dan beberapa helai baju berselerak di atas katil.

Ini bilik anak dara ke anak teruna? Semak betul! Dengan suara laptop yang kuat macam ada konsert.

“Ala… Ma, kejap lagi Rina kemaslah,” balas Krisya Norsabrina.

“Kejap lagi, kejap lagi,” Puan Nadhira faham benar dengan tabiat anaknya itu. Suka bertangguh! Keadaan bilik anak daranya itu benar-benar menyemakkan pandangan matanya.

Laptop tu perlahankan sikit. Marah jiran sebelah nanti.”

Krisya Norsabrina menurut. Suara laptop diperlahankan.

“Kawan Rina telefon tu.”

“Okay.”

Krisya Norsabrina bingkas ke ruang tamu yakni tempat telefon rumah diletakkan. Siapa lagi yang akan menelefonnya kalau bukan kawan baiknya itu. Gagang dilekapkan ke telinga.

“Haa… Mon.”

“Sya, kau tengah buat apa?”

“Tak buat apa. Rehat-rehat aja.”

“Kau dah siap ke kerja rumah Add Math?”

“Belum. Satu apa pun aku tak buat lagi.”

“Ala … aku baru nak tanya kau. Soalannya susahlah.”

“Sebab tu aku malas nak buat lagi. Ala … Mr. Teo kan baik. Dia takkan marahnya kalau kita tak siap kerja pun,” ujar Krisya Norsabrina.

Mr. Teo, guru bagi subjek Matematik Tambahan mereka memang seorang guru yang baik dan tidak pernah marah. Jika marah pun, mereka tidak takut kerana guru itu memang tidak pandai marah. Marah pun tak macam marah. Disebabkan itu, ramai yang mengambil kesempatan atas kebaikan guru itu.

“Memanglah dia tak marah tapi kalau kita tak buat kerja rumah yang dia suruh, kita juga yang rugi kan? Lagipun aku dah semak kerja rumah hari ni. Banyak gila,” keluh Karina Jasmin. Hampir setiap subjek ada kerja rumah. Sempat ke nak siapkan semua?

“Ya ke? Aku tak semak pun lagi. Tapi bukan semua kena hantar esok kan?”

“Yalah tapi banyak juga yang kena siapkan. Tak tahulah sempat ke tak nak siapkan semua sebelum malam ni.”

InsyaAllah sempat,” ujar Krisya Norsabrina penuh yakin. “Mon, kau tengok tak cerita tadi?”

“Alamak, aku lupa! Itulah ralit sangat buat kerja rumah. Apa jadi pada heroin dia tu?”

Krisya Norsabrina rancak berbual dengan Karina Jasmin di hujung talian hingga tidak sedar masa pantas berjalan. Dari perihal kerja rumah berlanjutan tentang rancangan drama di televisyen, aktiviti sekolah dan lain-lain.

“Rina, apa lagi yang dibualkan tu? Dari tadi mama tengok asyik bergayut aja. Kerja rumah dah buat belum?” Puan Nadhira menegur sikap anak gadisnya.

Di sekolah sudah berjumpa. Balik sekolah pun masih hendak bersembang? Nak kata kawan yang telefon tu teman lelaki Rina, mustahil pula sebab yang telefon tu perempuan. Entah apa yang disembangkannya? Tak faham aku.

“Belum,” Krisya Norsabrina mengalih gagang daripada telinganya.

“Bila nak buatnya?”

“Kejap lagi.”

“Itulah jawapannya. Kejap lagi, kerja lagi. Cuba kalau mama cakap, jangan bertangguh,” tegas Puan Nadhira. Dia tidak mahu anaknya mengamalkan sikap suka bertangguh itu.

“Yalah, yalah. Rin buat sekarang,” Krisya Norsabrina melekapkan kembali gagang telefon ke telinganya. “Mon, kita sembang di internetlah. Mak aku dah bising tu. Ok," Krisya Norsabrina segera berlalu ke biliknya sejurus gagang diletakkan.

Namun di bilik, Krisya Norsabrina tidak berbuat seperti apa yang disuruh oleh ibunya tadi. Sebaliknya dia mencapai broadband di atas meja lalu disambungkan ke laptop. Baru pukul lima. Banyak masa lagi. Main internet dululah. Pukul lapan baru buat kerja rumah.

Sebaik-baik sahaja talian internet disambung, Krisya Norsabrina segera menaip username dan kata laluan di Yahoo Messenger. Begitulah rutin Krisya Norsabrina setiap hari selepas pulang dari sekolah. Berkurung di dalam bilik. Mendengar lagu sambil melayari internet.

Bila dah layan internet tu buat apa lagi? Mestilah chatting selain membaca komen daripada kawan-kawannya di Friendster, My Space dan Facebook. Apabila sudah puas melayari internet, barulah nak buat kerja rumah. Waktu tu pun mesti sudah malam.

Namun, Krisya Norsabrina tidak kisah walau terpaksa berjaga malam asalkan ada yang menemani. Siapa lagi kalau bukan lagu-lagu di winamp komputer ribanya. Itulah tabiat Krisya Norsabrina yang tidak dapat ditinggalkannya. Sehari tidak mendengar lagu memang tidak sah.

Lebih-lebih lagi semenjak dia sudah ada komputer riba. Lagi keraplah dia dengar lagu. Pula tu kalau dengar lagu dia suka buka kuat-kuat. Inilah cara Krisya Norsabrina merehatkan minda dan melupakan masalah walaupun dia pernah gagal subjek muzik masa darjah enam dulu. Tapi bila peperiksaan akhir tahun dia dapat A pula!

Jenis muzik yang selalu didengarinya pula bergantung pada moodnya ketika itu. Apabila sedang marah, dia akan dengar lagu yang dapat melepaskan kemarahan seperti lagu Dendam daripada Coklat. Apabila sedang bersedih, dia akan dengar lagu yang dapat menggambarkan perasaannya pada ketika itu seperti Guris daripada Twickhead.

Muzik seakan-akan sudah menjadi sebahagian dari hidupnya. Tanpa muzik, terasa seperti harinya tidak lengkap. Di bilik, ketika nak buat kerja sekolah dia dengar lagu. Di dapur, ketika nak makan pun dia pasang radio.

Ada kalanya dia bukannya nak dengar lagu tu sangat tapi sengaja dia mahu ada bunyi. Krisya Norsabrina memang tidak betah apabila suasana sunyi sepi. Bahkan Krisya Norsabrina menghidapi sejenis penyakit sukar tidur jika suasana terlalu sunyi. Disebabkan itu, Krisya Norsabrina akan membuka radio setiap kali sebelum tidur.

Pernah suatu malam, matanya enggan lelap walaupun sudah puas dipejamnya. Ketika duduk di meja belajar sudah berpuluh-puluh kali mulutnya menguap tetapi apabila dia baring di katil matanya tidak pula mahu lelap.

Justeru, Krisya Norsabrina sengaja membuka radio untuk menemaninya. Namun tak sampai beberapa saat, matanya terus lena dibuai mimpi. Makanya sekarang jika dia berdepan dengan masalah susah tidur, dia sudah ada ubatnya! Tidak perlu minum susu ataupun membaca buku. Cuma buka lagu, tidurlah dia.

Jika dahulu tidurnya bertemankan lagu-lagu Sheila on 7 tetapi sekarang tidurnya bertemankan lagu-lagu Hujan yang terkandung dalam album pertama Hujan. Album edaran syarikat rakaman FMC ini memuatkan 10 buah lagu yang kesemuanya adalah ciptaan anggota Hujan sendiri.

Sebelum kelahiran album itu, Hujan sudah pun menghasilkan dua EP yang mana hanya dijual di tempat-tempat mereka mengadakan persembahan. Walaupun sering bertukar pemain bass, namun tiga anggota asal Hujan iaitu Noh, AG dan Am tetap setia meneruskan perjuangan band yang ditubuhkan pada hujung tahun 2006 itu.

Noh ataupun nama penuhnya Muhammad Noh Salleh merupakan tulang belakang kepada Hujan yang bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu Hujan dan bertindak selaku vokalis dalam band ini. Sebelum bersama Hujan, Noh pernah menganggotai kumpulan rap M.I.X. di bawah pengurusan Cat Presents Production kepunyaan Cat Farish. Bersama M.I.X, Noh sempat menghasilkan sebuah album yang berjudul Mula Dari Dulu.

Gitaris Hujan iaitu AG ataupun Mohd Hezry Mohd Hafidz pula sudah lama bergiat cergas dalam bidang seni sebagai komposer lagu selain aktif bersama band asalnya, Coco yang kini sudah pun melahirkan album kedua juga di bawah naungan FMC. Salah satu lagu ciptaannya, Pakai Kanta Cinta nyanyian Elyana turut menjadi lagu tema drama bersiri Dunia Baru.

Azham Ahmad ataupun lebih dikenali sebagai Am selaku pemain drum dan juga merupakan ahli yang paling pendiam. Seperti Noh, Am juga pernah menjadi pemain drum sebuah band lain sebelum menyertai Hujan iaitu D-va yang popular dengan lagu Aku, Dia dan Kamu. Selain Hujan, Am juga merupakan pemain session kepada Bittersweet.

Tiada ulasan: