Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 3

Tepat pukul 7.30 pagi setiap hari Isnin, semua pelajar dikehendaki berada di tapak perhimpunan yang terletak berhampiran dengan kantin.

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin yang sememangnya berada di kantin terus menyelit di celah-celah barisan pelajar perempuan tapi mestilah di barisan belakang. Senang mereka nak bersembang nanti.

Setiap kali perhimpunan, pelajar lelaki dan pelajar perempuan akan diasingkan. Pelajar lelaki di sebelah kiri dan pelajar perempuan di sebelah kanan. Dalam barisan itu pula, para pelajar akan disusun mengikut tingkatan.

Para pengawas pula akan berdiri di tepi mengelilingi pelajar-pelajar ibarat pihak berkuasa yang sedang mengawasi pendatang tanpa izin bagi memastikan pelajar-pelajar tidak membuat bising ketika perhimpunan dijalankan.

Selepas para guru dan pelajar mengambil tempat masing-masing, lagu Negaraku dimainkan diikuti oleh lagu negeri Pahang dan seterusnya lagu sekolah. Semua pelajar diminta berdiri tegak bagi menghormati lagu-lagu tersebut.

Selesai nyanyian itu, pengawas yang bertugas sebagai pengerusi majlis memberi ucapan pembukaan bagi majlis perhimpunan pada pagi itu. Semua pelajar tekun mendengar ucapannya terutamanya pelajar-pelajar perempuan.

“Ala… dia ke yang bertugas hari ni? Menyesal pula aku tak berdiri di depan,” ujar Karina Jasmin sambil matanya tidak berkelip memandang pengawas yang juga pengerusi majlis itu.

“Aku tak fahamlah kenapa bebudak perempuan semua minat sangat dengan Che Wan tu?” ujar Krisya Norsabrina sambil memandang sekilas jejaka yang menjadi pujaan ramai pelajar perempuan sekolah itu termasuklah sahabat baiknya si Karina Jasmin ni.

“Kau tak rasa dia cute ke?” mata Karina Jasmin masih tidak lepas menatap wajah sang pujaan.

Siapa yang tidak kenal dengan Che Wan Safuan? Satu sekolah kenal dia! Walaupun dia bukan ketua pengawas dan hanya pengawas biasa tetapi popularitinya ada kalanya mengalahkan ketua pengawas malah boleh dikatakan sama popularnya dengan pengetua.

“Cute?” Krisya Norsabrina mengamati wajah Che Wan Safuan. “Biasa saja aku tengok. Cute lagi Noh aku.”

Karina Jasmin mencebik.

“Memanglah kau tak rasa dia cute sebab mata kau tu sudah dibayangi Noh saja.”

Hanya perempuan yang rabun saja yang tidak mengakui kecomelan Che Wan Safuan.

“Yalah, cute tu kan subjektif. Pada kau, cute tu macam Che Wan tapi pada aku, cute tu macam Noh,” Krisya Norsabrina cuba menyejukkan hati sahabat baiknya itu.

Takkan sebab semua orang cakap dia cute, aku pun kena cakap dia cute? Takkan sebab aku seorang yang tak minat apa yang majoriti minat, aku dianggap berdosa? Pendapat orang kan berbeza-beza. Kalau semua orang minat Mawi, takkan aku pun kena minat Mawi juga? Itu tak ikhlas namanya. Minat ikut orang!

“Ada-ada saja jawapannya. Aku rasa andaian aku tak salahlah. Kau memang berbakat dalam debat. Aku calonkan nama kau pada Puan Ehsan ya?” seloroh Karina Jasmin.

“Boleh tapi nanti kau jangan salahkan aku pula.”

“Kenapanya?”

“Manalah tahu nama aku lebih popular daripada kau.”

“Owh… ada hati nak lawan populariti aku!”

“Awak berdua nak cakap di depan ke?”

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin terdiam apabila seorang pengawas perempuan berdiri di sebelah mereka. Dengan pantas mereka menggelengkan kepala tanda tidak mahu.

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin tersengih sesama sendiri selepas pengawas perempuan itu berlalu kemudian mereka kembali menumpukan perhatian pada guru yang sedang berucap di hadapan.

Lepas seorang, seorang guru yang mengambil giliran berucap. Tidak seperti selalu, bilangan guru yang berucap pada pagi itu dirasakan lebih ramai daripada biasa sehingga melebihi masa yang diperuntukkan untuk waktu perhimpunan.

Para pelajar yang tadinya berdiri sudah mula melabuhkan punggung di atas jalan tar yang dijadikan tempat berhimpun itu. Kaki mereka sudah naik lenguh selepas hampir satu jam berdiri.

“Lamanya… Bila nak habis ni?” beberapa orang pelajar merungut apabila pengerusi majlis menjemput pengetua pula untuk memberi ucapan.

“Terima kasih pengerusi majlis. Baik, saya takkan berucap lama. Saya tahu kamu semua sudah penat berdiri,” Puan Hajah Rubiah selaku pengetua SMK Abdul Rahman Talib meringkaskan ucapannya. “Saya cuma nak sentuh mengenai SMARTniaga yang bakal diadakan pada hujung bulan depan. Saya harap semua kelas sudah membuat persiapan yang sepatutnya. Saya tak nak dengar apa-apa masalah lagi selepas ni. Ok, itu saja.”

“Dengan berakhirnya ucapan daripada pengetua tadi maka berakhirlah sudah perhimpunan kita pada pagi ini,” sebelum sempat pengerusi majlis menghabiskan ayatnya, para pelajar sudah pun berdiri untuk kembali ke kelas masing-masing.

Namun sebelum mereka dibenarkan kembali ke kelas, mereka perlu melalui pemeriksaan sahsiah rupa diri oleh para pengawas yang bertugas.

“Alamak Sya, aku tak pakai kain dalam,” bisik Karina Jasmin.

“Kau ni, hari kan hari Isnin!” Krisya Norsabrina hampir menjerit. Patutnya Karina Jasmin tahu yang setiap hari Isnin pakaian mereka akan diperiksa termasuklah yang dalam-dalam.

Mungkin peraturan sebegini dianggap remeh dan menyusahkan bagi sesetengah pelajar namun hakikatnya peraturan itu dibuat bukan untuk menyusahkan mahupun menyiksa mereka tetapi sebaliknya bagi mendidik dan mendisiplinkan diri mereka.

Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, mereka harus dididik sejak di bangku sekolah lagi. Namun sudah menjadi adat, ada di kalangan pelajar yang memang sengaja melanggar peraturan sekolah. Maklumlah jika mereka terlalu patuh dikhuatiri akan dicop sebagai skema oleh teman-teman.

“Aku lupa…”

“Habis macam mana?”

“Kita tunggu pelajar lain diperiksa dululah,” ujar Karina Jasmin. Bolehlah aku menatap Che Wan aku puas-puas sebelum balik kelas. Dari tadi mata Karina Jasmin seakan sudah digam pada jejaka itu. Sedikit pun tidak berkalih.

Krisya Norsabrina menggelengkan kepala melihatkan tabiat Karina Jasmin yang satu itu. Pantang nampak jejaka yang bernama Che Wan Safuan itu, mata Karina Jasmin pasti akan terus melekat pada wajah itu selagi wajah itu berada pada pandangannya.

Penyakit Karina Jasmin itu memang sangat kronik. Apabila nampak Che Wan Safuan saja, dia jadi kaku. Cuma anak matanya saja yang bergerak memerhatikan wajah dan tubuh itu.

Pernah sekali ketika mereka sedang belajar di dalam kelas, tiba-tiba Karina Jasmin yang duduk di sebelahnya itu jadi kaku. Ingatkan apa. Rupa-rupanya Che Wan Safuan tengah berjalan melintasi kelas mereka.

Yang peliknya Karina Jasmin seakan peka dengan kehadiran Che Wan Safuan. Seolah-olah ada suatu kuasa di dalam dirinya yang dapat memberitahunya tentang kehadiran jejaka itu. Di mana-mana sahaja, dia pasti perasan akan kelibat jejaka itu.

Kalau dah angau tu, angau juga!

“Dah, dia dah pergi. Jom balik kelas,” Krisya Norsabrina menarik lengan Karina Jasmin apabila terlihat Che Wan Safuan sudah berlalu dari situ. Takut nanti Karina Jasmin lupa diri dan mengikut Che Wan Safuan ke kelasnya pula.

Seakan baru terjaga dari mimpi, Karina Jasmin mengekor langkah Krisya Norsabrina tanpa banyak soal.

Tiada ulasan: