Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Pemuja Rahsia 2

“Mon, apa cerita?” Krisya Norsabrina mendapatkan teman baiknya yang sedang khusyuk menatap sebuah majalah hiburan ketika kakinya menapak di kelas tingkatan 5 Sains Berani.

Mon adalah singkatan kepada montel, gelaran yang diberikan oleh kawan-kawan mereka kepada Karina Jasmin gara-gara tubuhnya yang montel. Pada mulanya, Karina Jasmin kurang senang dengan gelaran itu kerana dia berasa dipermainkan. Namun, lama-kelamaan dia sudah terbiasa lalu gelaran itu terus melekat hingga ke hari ini.

“Gosip panas… Mari kita cerita di kantin. Aku belum sarapan ni,” Karina Jasmin memaut lengan sahabatnya itu menuju ke kantin. Sengaja dia membiarkan Krisya Norsabrina ternanti-nanti.

Walaupun cuti cuma dua hari iaitu hari Sabtu dan Ahad namun mereka tetap mempunyai banyak cerita untuk dikongsi bersama apabila berjumpa. Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin memang berkawan rapat sejak di tingkatan empat lagi memandangkan mereka berkongsi minat yang sama iaitu muzik.

Persahabatan mereka sangat akrab sehinggakan ke mana-mana sahaja mereka pasti berdua. Jika salah seorang daripada mereka tidak hadir ke sekolah pula, yang seorang lagi pun turut tidak hadir. Disebabkan itu kawan-kawan mereka menggelarkan mereka kembar tak seiras.

Perangai mereka lebih kurang. Tabiat mereka serupa. Minat mereka pun sama. Cuma muka dan fizikal mereka sahaja yang berbeza. Ada juga yang membuat andaian yang mereka berdua adalah kembar yang terpisah. Namun Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin tidak pernah mengambil serius akan tanggapan teman-teman mereka.

Hubungan mereka memang sudah seperti adik-beradik. Krisya anak tunggal dalam keluarganya manakala Karina Jasmin pula tidak mempunyai adik-beradik perempuan. Jadi, mereka tidak kisah jika orang menganggap mereka adik-beradik.

“Gosip apa yang kau cakap panas tadi?” soal Krisya Norsabrina sebelum menyuap kuih lapis kegemarannya ke mulut.

Keadaan di kantin itu lengang. Masih ramai pelajar yang belum tiba. Karina Jasmin pula adalah antara orang terawal yang tiba di sekolah kerana dia perlu keluar dari rumah sekali dengan ibunya yang berniaga di pasar. Jadi, sebelum pintu pagar sekolah buka lagi dia sudah terpacak di hadapan sekolah.

Selepas pintu pagar dibuka, dia akan menghabiskan masanya dengan membaca di kelas tetapi bukan buku pelajaran yang dibacanya sebaliknya majalah hiburan yang menjadi santapan paginya. Namun yang peliknya setiap kali ujian Karina Jasmin tetap mendapat tempat sepuluh teratas.

“Kau nak tahu ada seorang artis wanita ni letak gambar dia bercium dengan teman lelaki dia di Facebook. Ada orang curi gambar tu kemudian sebarkan di internet,” cerita Karina Jasmin ala-ala wartawan hiburan.

“Lepas tu, apa jadi?” soal Krisya Norsabrina penuh minat. Bahaya juga internet ni. Tapi salah artis tu sendirilah. Siapa suruh letak gambar tak senonoh di internet? Kan orang dah buat khianat.

“Apalagi, mengamuklah artis tu. Yang syoknya kau nak tahu apa yang dia cakap pada wartawan?”

“Apa?”

“Kami bukan buat maksiat. Kami cuma bercumbu,” Karina Jasmin membuat gaya perempuan gedik. “Kau bayangkan betapa ceteknya pemikiran artis kita. Dia ingat bercumbu tu tak salah ke? Entah mazhab mana yang dia ikut.”

“Siapa artis tu?”

“Ala…pelakon baru. Kalau aku sebut pun, kau bukannya kenal. Baru berlakon satu filem tapi filem tu pun tak siap-siap lagi. Asyik tertangguh saja. Tak tahulah jadi terbit ke tidak. Macam tak jadi saja. Buat gimik bukan main lagi tapi sampai sekarang habuk pun tak ada.”

“Owh… filem tu,” Krisya Norsabrina mula teringat akan filem yang dimaksudkan itu.
Filem yang dikatakan bakal mencetuskan fenomena dalam industri perfileman tempatan. Tambahan pula, pembuat filem itu adalah orang yang berpengaruh dalam industri selain tarikan pelakon utamanya yang pernah mendapat gelaran Anugerah Bintang Paling Popular di Malaysia.

“Sampai sekarang pun tak siap lagi ke?” tanya Krisya Norsabrina. Setahunya sudah lama filem itu diuar-uarkan kepada orang ramai. Satu Malaysia sudah tahu. Susah sangat ke nak buat filem tu?

“Mana siapnya. Dah nak masuk dua tahun. Aku rasa filem tu tak jadi kut,” Karina Jasmin membuat andaian sendiri.

“Takkan tak jadi? Semua orang dah tahu pasal filem tu kan? Kalau tak jadi, malulah.”

“Ala… yang malu pun bukannya kita,” ujar Karina Jasmin.

“Tapi kesianlah.”

“Biarlah mereka. Ada lagi satu gosip yang akan membuatkan kau menjerit satu sekolah ni. Pasal Hujan,” cerita Karina Jasmin teruja.

“Kenapa dengan Hujan?” Krisya Norsabrina tercengang.

“Kau tak baca suratkhabar semalam ke?” Karina Jasmin pelik. Biasa kalau cerita yang membabitkan Hujan, pastilah Krisya Norsabrina lebih dulu tahu.

“Suratkhabar apa? Bintang Popular ke Pancaindera?”

“Dua-dua pun ada pasal Hujan kau tu.”

“Cerita pasal orang kata Hujan bodoh sombong tu ke?”

“Laa… kau dah tahu ke?”

“Kalau pasal Hujan mestilah aku tahu. Aku kan peminat nombor satu Hujan. Semua berita pasal Hujan, baik ataupun buruk, semua aku tahu.”

“Kau percaya ke cerita tu?”

“Mestilah tak,” ujar Krisya Norsabrina yakin.

“Ala…sebab kau suka mestilah kau bela Hujan kan?”

“Tak juga. Lagipun kita tak boleh dengar cerita sebelah pihak sahaja. Nampak sangat wartawan yang tulis cerita tu berat sebelah. Dia cuma tulis apa yang diberitahu oleh kakitangan Astro itu sahaja tapi dia tak dengar cerita daripada pihak Hujan. Yang aku tak puas hati sebab wartawan tu cakap Hujan tak tahu apa-apa pasal royalti padahal anggota Hujan tu semua dah pernah buat album dengan syarikat rakaman. Mestilah mereka tahu. Aku rasa wartawan tu saja nak buruk-burukkan Hujan,” Krisya Norsabrina meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Kenapa pula wartawan tu nak buat macam tu?”

“Sebab dia dengki dengan Hujan agaknya. Biasalah tu. Bila Hujan tak popular, orang tak pandang. Bila Hujan dah popular baru orang nak pandang. Tapi bila tawaran mereka kena tolak, mulalah buat cerita yang bukan-bukan,” balas Krisya Norsabrina.

“Kalau apa yang wartawan tu tulis betul macam mana? Kau masih nak sokong Hujan?”

“Mungkin apa yang wartawan tu tulis betul tapi bukan sepenuhnya. Aku takkan percaya cerita tu kalau aku tak dengar cerita daripada pihak Hujan dulu. Tak adil kita menghukum orang tanpa memberi peluang kepada orang itu untuk membela diri. Bila dah dengar cerita daripada kedua-dua belah pihak, baru kita boleh menilai siapa betul dan siapa yang salah.”

“Kau ni macam peguamlah pula,” seloroh Karina Jasmin.

“Bukan peguam. Hakim,” Krisya Norsabrina tersengih.

“Yalah tu. Kau kalau perkara-perkara yang berkaitan dengan Hujan memang kau pandai berdebat. Kalau Puan Ehsan tengok kau, mesti dah lama dia ajak kau masuk kumpulan debat sekolah tahu.”

Sengih Krisya Norsabrina semakin melebar. Budak tak pandai belajar macam aku nak masuk kumpulan debat sekolah? Hancur! Aku bukannya pandai bercakap depan orang ramai. Bukannya macam Karina ni haa… selalu dapat tempat sepuluh teratas. Olahragawati sekolah pula tu.

“Eh, dah pukul tujuh setengah ni,” Karina Jasmin melihat jam yang tersarung kemas di tangan kanannya. “Hari ni ada perhimpunan kan? Jom pergi.”

“Jom…”

Tiada ulasan: