Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Oktober 08, 2009

Kugiran SMART 1

Perkenalkan aku si raja pesta
Yang robohkan hati setiap wanita
Satu lantai ke lantai yang berbeda
Setiap malam, setiap malam

Dan jika DJ mulai memainkan
Lagu-lagu yang lama ku dambakan
Ke kanan ke kiri depan dan belakang
Kaki mulai jadi penguasa dansa

Bagaimana mungkin aku berhenti
DJ menyerangku bertubi-tubi
Pacuan irama yang tiada henti
Setiap kali, setiap kali

Tuang lagi hingga menjelang pagi
Sampai tinggi hilang lepas kendali
Tak peduli apa yang kan terjadi
Esok pagi, esok pagi




SUASANA di sebuah konsert. Sebuah band sedang membuat persembahan. Persembahan mantap band itu mendapat sambutan yang sungguh hebat daripada penonton. Para penonton bersorak dan menari mengikut rentak lagu yang dimainkan.

Si vokalis beraksi dengan lincah. Bernyanyi dan berlari menguasai pentas. Si gitaris dan si bassist juga tidak mahu kalah dan turut menari mengikut rentak lagu sambil bermain alat muzik masing-masing. Mujur pergerakan pemain drum agak terbatas. Jika tidak, pasti pemain drum pun turut menari seperti yang lainnya.

Para penonton pula seakan diserang histeria melihat aksi keempat-empat mereka. Dalam kemeriahan itu, tiba-tiba si gitaris terjun ke arah penonton dengan harapan disambut oleh penonton namun malangnya tiada sesiapa pun yang menyambutnya dan menyebabkan si gitaris jatuh tersembam ke lantai.

“Riz!”

“Aduh,” si gitaris mengaduh kesakitan sambil memegang kepalanya.

“Riz!” suara yang memanggil namanya kedengaran lagi. Namun kali ini, suara itu diiringi dengan bunyi hon yang kuat.

“Bunyi apa pulak tu?” Azrizal membuka mata dan baru tersedar di mana dia berada. Cis, mimpi rupanya! Tapi nasib baik cuma mimpi aja. Adoi … “Pukul berapa dah ni? Siapalah yang memekak pagi-pagi ni?”

Dengan mata yang masih kuyu, dia melihat jam loceng yang berbentuk gitar di sisi katil. Pukul sebelas? Alamak! Mampus aku! Mesti Chap dengan Ball marah aku. Azrizal menjenguk ke luar tingkap.

“Chap, Ball, aku baru bangunlah! Kau orang tunggu kejap ya!” jerit Azrizal dari tingkap biliknya.

“Cepat sikit tau!” laung Shafik yang membonceng motorsikal bersama Iqbal. Patutlah tak ada respon dari tadi. Rupa-rupanya tak bangun tidur lagi.

“Ok, kejap!” Azrizal bingkas menuju ke bilik mandi. Membasuh muka dan memberus gigi ala kadar sebelum bersiram. Cukup beberapa jirusan, dia keluar dari bilik mandi.

Kemeja putih dan seluar panjang hijau tua yang tersangkut di dalam almari disarungkan ke badan. Rambutnya dikuak ke belakang dengan tangan. Tak perlu disikat memandangkan rambutnya terlalu kontot untuk menggunakan sikat. Beg sekolah bertali selempang dicapai. Langkah kakinya diatur laju menuju ke pintu utama.

Sorry, aku lambat,” ujarnya kepada Shafik dan Iqbal yang pastinya sudah lama menunggu.

Shafik dan Iqbal terlopong melihat Azrizal. Mereka berbalas pandangan. Serta-merta tawa mereka memecah suasana.

“Apa pasal kau orang gelak? Ada yang tak kena dengan aku ke?” Azrizal membelek-belek penampilannya.

“Riz, Riz. Kau ni mengigau ke apa?” ujar Shafik.

“Mengigau apanya? Kan aku dah siap ni,” Azrizal kehairanan. Masih tidak dapat menangkap apa yang mencuit hati dua teman akrabnya itu.

“Yang kau pakai baju sekolah ni apa ke halnya?” soal Shafik dengan tawa yang masih bersisa.

“Laa... sejak bila pulak sekolah kat Malaysia ni boleh pakai baju bebas? Kita kan nak pergi sekolah. Mestilah pakai baju sekolah,” balas Azrizal. Apa punya soalan daa?

“Memang sah kau ni tak bangun tidur lagi. Kita ni nak pergi studio, bukan nak pergi sekolah. Lagipun, buat apa kita nak pergi sekolah kalau kita bukan lagi pelajar sekolah?”

“Hah?” Azrizal tercengang.

“Itulah. Masa orang suruh pergi sekolah, kau sibuk nak ponteng. Bila dah habis sekolah, baru kau sibuk nak pergi sekolah,” Iqbal mencelah.

“Kita dah habis sekolah ke?” Azrizal berkerut. Berapa umur aku sekarang ya?

“Dahlah! Kan semalam kertas terakhir SPM. Tak ingat?”

“Ya ke?” Azrizal masih tidak percaya. Sangkanya, Shafik dan Iqbal cuma mahu mengenakannya.

“Hek eleh budak ni. Kau dah bangun ke belum ni, Riz?” Shafik memetik jarinya betul-betul di hadapan mata Azrizal. Azrizal tersentak dengan tindakan spontan Shafik.

“Aku pergi tukar baju dululah,” ujar Azrizal. Tiba-tiba kedua-dua pipinya terasa membahang. Macam manalah aku boleh lupa yang aku ni dah habis sekolah?

“Tak payah tukar pun tak apa. Dah smart dah tu,” Shafik dan Iqbal tertawa lucu.

Azrizal mendengus kecil lantas berlalu ke dalam rumah. Tawa Shafik dan Iqbal terburai lagi.






“YO, bro. Dah lama tunggu?” Shafik, Azrizal dan Iqbal mendapatkan seorang pemuda yang sedang minum di medan selera Megamall.

“Dah lebih setengah jam gua tunggu,” rungut pemuda itu sejurus terlihat Azrizal, Shafik dan Iqbal.

Sorrylah. Ada masalah teknikal tadi,” Shafik hampir tergelak apabila mengingatkan insiden Azrizal berbaju sekolah tadi.

So, macam mana?” ujar pemuda itu tidak sabar.

“Kita order minum dulu. Baru syok nak borak. Ball, Chap, jom kita terjah apa yang ada,” ujar Azrizal persis Naz Ahmad dalam rancangan Melodi. Serentak Azrizal, Shafik dan Iqbal bangkit meninjau-ninjau makanan yang dijual di situ.

“Chap, mamat rock mana yang kau rembat ni? Tak sesuailah dengan imej kumpulan kita,” luah Azrizal sambil memerhatikan kelakuan pemuda tadi.

“Yalah. Lari konseplah,” sokong Iqbal.

“Mana aku tahu. Masa dalam telefon macam okey. Mungkin luaran dia saja yang macam tu tapi siapa tahu apa yang ada pada dia kan?” Shafik membidas kata-kata dua teman baiknya itu. Orang kata jangan menilai sesebuah buku melalui muka depannya saja.

“Habis, nak cuba jugalah ni?” Azrizal ragu-ragu. Pertama kali jumpa pun dia sudah tidak berkenan, macam mana hendak duduk dalam satu kumpulan?

“Kita cuba sajalah dulu. Dah dia saja yang bagi respons kat iklan kita kat My Space tu.”

“Okey tapi terus-terang aku cakap aku memang tak setuju dia masuk kumpulan kita,” ujar Azrizal terus-terang. Lebih baik dia cakap sekarang daripada timbul sebarang masalah di kemudian hari. Nak tubuhkan kumpulan memang senang tapi nak mengekalkannya dengan anggota asal memang sukar. Kebanyakan kumpulan band yang ada di Malaysia ni pun dah banyak yang bertukar ahli walaupun nama kumpulan mereka tetap utuh di persada.

“Yalah, yalah. Kita kan nak uji bakat dia saja. Bukannya nak ambil dia terus,” Shafik memberi jaminan.

Ekoran sukar mendapat vokalis di kalangan teman mereka sendiri, mereka mengambil keputusan untuk mengiklankannya di laman web My Space bagi mengisi posisi itu. Namun, responsnya sangatlah lembab sampaikan Shafik pun terlupa yang dia pernah mengiklankan 'jawatan' itu di My Space beberapa bulan yang lalu yakni sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM lagi.

Mungkin kerana nama band mereka masih belum dikenali. Justeru, tidak ada sesiapa pun yang berminat untuk menjadi vokalis mereka. Adat dunia. Bila kita bukan siapa-siapa, tak ada sesiapa pun nak pandang tapi bila kita sudah ada nama pasti semua mengaku kawan. Namun, itulah cabaran awal sebelum berada di puncak kerana jika tidak, kita tidak akan merasa betapa jerihnya jalan untuk ke puncak.

Azrizal, Shafik dan Iqbal merenung pemuda di hadapan mereka itu. Selepas makan, mereka berpindah tempat yakni di sebuah studio jamming bagi menguji kehebatan 'vokalis' itu. Tidak seperti uji bakat biasa, Azrizal, Shafik dan Iqbal akan turut serta bagi melihat keserasian muzik mereka dengan nyanyian 'vokalis'. Namun, sejak sampai di studio itu sejak sepuluh minit lalu, 'vokalis' itu masih belum membuka mulut untuk bernyanyi.

Bro, lu nak nyanyi ke tak ni?” tanya Shafik yang sudah bersedia dengan bass, Azrizal dengan gitar dan Iqbal dengan drum.

“Kejap. Gua tengah ambil mood,” ujar pemuda itu sambil menarik nafas berkali-kali.

Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan.

Bro, kalau lu tak bersedia, tak apalah,” Azrizal sudah malas hendak menunggu daripada masa mereka terbuang begitu saja.

“Okey, okey. Gua nyanyi sekarang,” pemuda itu mencapai mikrofon dan bersiap untuk bernyanyi.

Azrizal, Shafik dan Iqbal terus memainkan muzik sambil terangguk-angguk menghayati muzik. Namun apabila sampai giliran 'vokalis' bernyanyi... Azrizal, Shafik dan Iqbal terhenti bermain muzik. Mereka tercengang mendengar lagu yang dinyanyikan oleh 'vokalis'.

“Kenapa kau orang berhenti?” tanya pemuda itu.

Bro, tadi kan bro suruh kita orang main lagu Jinbara. Habis tu, kenapa nyanyi lagu Mas Idayu pula ni?” soal Azrizal.

“Kau orang ni ketinggalan betullah. Kau orang tak pernah dengar rock dangdut ke?” soal pemuda itu kembali.

“Rock dangdut?!!”






“TERUK betullah brother tu. Tak sesuai betul,” keluh Azrizal.

“Memang tak sesuai,” sahut Shafik.

“Betul ke ada rock campur dangdut? Macam menarik kan? Jom kita cuba,” cadang Iqbal penuh teruja.

“Jangan nak berguraulah, Ball!” bangkang Shafik.

“Tolonglah!” Azrizal mengajuk trademark Cikgu Jaafar dalam drama sitcom Cili Padi.




*Lagu pembuka: Ampun DJ (Jagostu)

1 ulasan: