Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemuja Rahsia 12

Malam itu tatkala semua teman sebiliknya sudah lena dibuai mimpi, dia masih berjaga. Matanya seakan-akan sukar untuk lelap. Sudah puas dipujuk namun matanya masih juga tidak mengantuk.

Beberapa saat kemudian, dia membetulkan posisi badannya. Namun tidak lama kemudian, dia berpaling ke arah tadi semula. Tidak sampai seminit, dia menelentang pula. Dia membuka mata.

“Kenapa payah tidur ni? Tadi asyik menguap saja. Bila dah baring, tak nak tidur pulak,” dia mengomel di dalam hati sebelum kembali memejamkan mata. Namun matanya tetap tidak mahu lelap. Dia kemudian bangkit dan duduk di atas katil.

“Apa ni, Sya? Orang nak tidurlah,” teman di sebelahnya berasa terganggu.

“Sorry,” ujarnya perlahan. Tiba-tiba matanya tertancap pada sebuah buku di sisi katil lantas segera mencapai buku itu dan berlalu ke sofa. Mungkin aku akan rasa mengantuk bila baca buku.

Lampu dinyalakan malap bagi mengelakkan tidur teman-temannya terganggu. Buku di tangan diselak. Sangkanya matanya akan cepat mengantuk. Namun lain pula yang jadi. Dia tergelak-gelak seorang diri tatkala membaca buku itu.

Matanya menjadi bertambah segar. Dia semakin seronok membaca buku itu. Dari satu muka surat ke satu muka surat diselaknya sambil tergelak sendiri. Selepas separuh kandungan buku itu dibaca, baru dia tersedar.

Eh, apa aku buat ni? Aku kan nak tidur. Bukannya nak berjaga. Buku apa ni? Dia melihat tajuk pada muka hadapan buku itu. Rupa-rupanya buku itu adalah buku komik lawak. Patutlah! Tapi aku pun bukannya ada novel. Baca buku teks sekolah pun malas. Inikan pula nak baca novel yang panjang berjela tu. Dia meletakkan kembali buku itu di tempatnya.

Apa aku nak buat ni? Aku perlukan radio! Tapi mana aku nak cari radio? Ekoran tiada radio, dia melakukan berbagai-bagai aksi bagi membuatkan matanya mengantuk. Duduk, baring, berdiri, berjalan… Namun matanya masih enggan lelap. Akhirnya pukul empat pagi barulah dia terlena.

“Sya, bangunlah. Kenapa kau tidur di sofa ni?” Karina Jasmin mengejutkan Krisya Norsabrina pagi keesokannya.

“Janganlah kacau. Aku baru saja nak tidur,” adu Krisya Norsabrina.

“Sya, bangunlah. Kena tinggal nanti baru tahu,” ujar Nurul Huda Hidayah, teman sebilik mereka yang lain.

Namun ugutan itu langsung tidak memberi kesan kepada Krisya Norsabrina. Malah dia semakin nyenyak tidur.

“Sya, kau kata kau nak jumpa Noh hari ni,” perlahan suara itu menyapa gegendang telinganya namun sudah cukup untuk membuatkan mata Krisya Norsabrina terbuka luas.
Tanpa berlengah, Krisya Norsabrina bingkas bangun. Mencapai tuala mandinya menuju ke tandas.

Nurul Huda Hidayah dan seorang lagi teman sebilik mereka tercengang melihat tindakan spontan Krisya Norsabrina. Serentak mereka memandang Karina Jasmin. Kagum.

“Kau cakap apa dengan Krisya sampai dia terus bangun?”

“Rahsia,” Karina Jasmin cuma tersengih.


**********


“Ok, hari ni cikgu bagi kebebasan kepada kamu semua untuk jalan-jalan sekitar Mid Valley ni tapi ingat. Jangan sesekali keluar dari bangunan ini tanpa pengetahuan cikgu-cikgu kamu dan cikgu rasa adalah lebih selamat sekiranya kamu bergerak dalam kumpulan. Kalau ada apa-apa, cikgu akan berada di sekitar sini. Tepat pukul enam petang, semua berkumpul di sini balik,” Cikgu Abdillah memberi sedikit taklimat sebelum melepaskan mereka merayau di dalam pusat beli-belah itu. “Ok, enjoy your day.”

Sejurus Cikgu Abdillah selesai memberi taklimat, maka bertebaranlah mereka bersama kumpulan masing-masing.

“Sya, Mon, kau orang nak jalan-jalan di mana? Jom kita jalan sekali?”

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin berbalas pandangan. Ternyata mereka kurang menyenangi cadangan Nurul Huda Hidayah itu. Kalau Nurul Huda Hidayah ikut mereka, alamatnya sukarlah mereka hendak melaksanakan rancangan mereka untuk menonton persembahan Hujan di Pasar Seni.

“Kami nak pergi kedai buku,” ujar Krisya Norsabrina dengan harapan Nurul Huda Hidayah hilang minat untuk beriringan dengan mereka.

“Kedai buku? Ok juga tu. Nak pergi kedai buku mana? Popular ke MPH?”

Ish…menyibuk betullah! Krisya Norsabrina menjeling Karina Jasmin. Mereka memerlukan idea bagi mengelakkan Huda mengekor mereka.

“Kami tukar fikiran. Kami tak nak pergi kedai buku. Kami nak pergi tandas,” ujar Karina Jasmin pula.

“Lepas pergi tandas, kita nak pergi mana?”

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin berpandangan lagi.

“Erm…Tak tahu lagi. Awak tak payahlah ikut kami. Takut nanti awak bosan pula. Kami ni kuat berjalan,” seloroh Krisya Norsabrina namun dalam maknanya.

“Tak apalah. Saya tak kisah pun. Saya pun sorang-sorang saja.”

Di dalam kelasnya, Nurul Huda Hidayah memang tidak mempunyai kawan. Entah kenapa tiada seorang pun yang mahu berkawan dengannya. Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin pula tidak kisah apabila terpaksa berkongsi bilik hotel dengan Nurul Huda Hidayah asalkan mereka berdua tetap bersama.

Namun kini, mereka dapat merasakan Nurul Huda Hidayah seorang yang penyibuk. Hidung tak mancung, pipi yang tersorong-sorong. Orang tak ajak, sibuk nak menempel. Rimas! Leceh!

“Ikut suka awaklah. Kami nak pergi tandas ni,” Krisya Norsabrina mula hilang sabar. Dia sudah tidak kuasa hendak menjaga hati Nurul Huda Hidayah.

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin menonong ke tandas berhampiran tanpa mempedulikan Nurul Huda Hidayah. Sangka mereka, Nurul Huda Hidayah tidak akan mengikut mereka namun sangkaan mereka ternyata meleset. Nurul Huda Hidayah tetap mengekor di belakang mereka.

“Macam mana ni? Dari tadi dia asyik ikut kita saja,” Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin berbincang di dalam tandas. Mujur Nurul Huda Hidayah tidak mengikut mereka ke dalam.

“Kita kan ada bawa baju biasa,” ujar Karina Jasmin. Awal-awal lagi mereka sudah menyusun strategi. Yalah, takkan nak pergi gig pakai baju sekolah kan?

Memandangkan sudah enam hari mereka berpakaian seragam sekolah, maka hari itu mereka dibenarkan memakai baju sukan sekolah, Tapi tetap ada lencana sekolah! Oleh sebab itu, mereka berdua sudah bersiap sedia dengan pakaian biasa.

Selepas hampir 15 minit di dalam tandas, Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin menjenguk ke luar. Liar memerhatikan kawasan sekeliling takut-takut Nurul Huda Hidayah masih menunggu mereka.

Ya, itu dia! Nampaknya Nurul Huda Hidayah masih setia menunggu mereka berdua. Gadis itu kelihatan tersenguk-senguk menahan mengantuk di sebuah bangku kayu berhampiran dengan tandas itu.

Terjengkit-jengkit Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin bagi mengelakkan jejak mereka dikesan oleh Nurul Huda Hidayah. Selepas pasti Nurul Huda Hidayah tidak melihat mereka, mereka terus memecut 100 meter seminit menuju ke stesen komuter di dalam bangunan itu.


**********


“Fuh…nasib baik dia tak nampak kita,” Karina Jasmin dan Krisya Norsabrina selamat tiba di stesen komuter Mid Valley selepas bertanya kepada orang-orang yang lalu-lalang di situ.

“Nasib baiklah. Kalau tak, habislah rancangan kita.”

“Tapi kesian pula pada dia. Sya, tak apa ke kita tinggalkan dia sorang-sorang di situ?”

“Aku pasti dia takkan pergi mana-mana selagi dia tak jumpa kita.”

“Ya ke? Pasti sangat.”

“Aku tahulah. Tengok sajalah nanti. Tu komuter dah sampai.”

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin leka melihat pemandangan dari dalam komuter.

“Kenapalah Kuantan tak ada komuter?”

“Yalah kan? Kenapalah mereka tak panjangkan laluan komuter ni terus sampai ke Kuantan? Kalau tak, bolehlah kita datang KL selalu kan?” Karina Jasmin turut mengamati pemandangan itu.


**********


“Ini ke Pasar Seni?” tanya Karina Jasmin sebaik-baik sahaja mereka tiba di stesen LRT Pasar Seni.

“Tulisan yang terpampang pada bangunan tu apa?”

Karina Jasmin memandang ke sebuah bangunan berwarna biru langit. Terang-terang di situ tulis ‘Central Market’.

“Central Market dengan Pasar Seni tu sama ya?”

“Hai, kata pelajar cemerlang 5SB. Takkan tak faham bahasa Inggeris kut?” sindir Krisya Norsabrina. Karina Jasmin cuma tersengih.

“Central Market dalam bahasa Melayu Pasar Sentral. Bukannya Pasar Seni. Kalau Art Market barulah Pasar Seni,” Karina Jasmin mula mempertikaikan nama Pasar Seni dalam bahasa Inggeris.

“Apa-apalah, Mon,” Krisya Norsabrina tiada masa mahu memikirkan nama Inggeris bagi Pasar Seni tatkala itu. Dalam kepalanya sekarang, di manakah letaknya Dewan Annexe?
“Adakah kita perlu melintas?”

“Yalah. Dah tu takkan kita nak tercegat saja di sini? Pasar Seni tu kan di seberang sana.”

“Tapi banyak sangat keretalah,” Karina Jasmin gerun melihat jalan raya yang sesak dengan kenderaan itu. Kereta, lori, bas semuanya seperti sebuah deretan keretapi di atas jalan raya itu.

“Kita ikut orang tu,” Krisya Norsabrina menarik tangan Karina Jasmin ke arah sekumpulan manusia yang juga kelihatan sedang ingin melintas ke seberang jalan. Apabila kumpulan itu melangkah ke seberang, mereka turut berbuat demikian.

“Fuh, takutnya,” Karina Jasmin mengeluh lega setelah mereka selamat sampai ke seberang jalan. “Sya, kau tahu ke Dewan Annexe tu di mana?”

“Yang ada pentas tu kut,” ujar Krisya Norsabrina merujuk pada suatu pentas di hadapan bangunan biru langit itu.

“Tapi kenapa macam tak ada orang saja,” balas Karina Jasmin. Seluruh kawasan berhampiran dengan pentas itu kelihatan lengang. Tiada langsung tanda-tanda sebuah gig sedang berlangsung. Mustahillah tak ada orang yang datang. Orang KL kan suka gig gig ni.

“Mungkin bukan di situ kut tempatnya,” Krisya Norsabrina juga sudah mula keliru.

“Habis di mana lagi?”

“Kita tanya security guard,” Krisya Norsabrina menunjuk ke arah seorang pengawal keselamatan di situ. Mereka berdua menghampiri pengawal keselamatan itu.

“Assalamualaikum, pak cik. Boleh tumpang tanya? Dewan Annexe di mana?”

“Dewan Annexe? Owh … di belakang sana tu. Jalan terus saja,” ujar pengawal keselamatan yang kelihatan sedikit berusia itu dengan ramah. Mesti nak pergi tengok giglah ni. Ngomelnya di dalam hati.

“Di belakang? Ok, terima kasih pak cik. Jom, Mon,” Krisya Norsabrina berasa semakin teruja dan berdebar-debar setelah mengetahui dia sudah semakin hampir dengan angan-angannya untuk berjumpa dengan pujaan hatinya.

“Sya, kau nak pergi sekarang ke?”

“Yalah,” ujar Krisya Norsabrina bersemangat.

“Aku lapar. Kita makan dululah,” Karina Jasmin memegang perutnya tanda lapar. Krisya Norsabrina melihat jam di tangan kirinya. Ada satu jam lagi sebelum gig bermula.

“Ala…Kita makan lepas tengok Hujanlah,” balas Krisya Norsabrina. Kalau pergi awal, mana tahu dapat jumpa Hujan sebelum gig. Boleh ambil gambar. Nanti bila orang dah ramai, mesti susah nak ambil gambar.

“Tak boleh tahan dahlah. Aku lapar sangat-sangat ni.”

Walaupun keberatan, masih ada timbang rasa terselit di celah hati Krisya Norsabrina. Karina Jasmin kan sudah sanggup mengambil risiko menemaninya ke situ. Masakan dia sampai hati melihat temannya itu berlapar. Tak apalah. Takkan makan sampai sejam kut kan?

“Jomlah cari tempat makan di atas.”


**********


“Sedapnya,” Karina Jasmin terliur melihat Kueh Tiew Bandung yang terhidang di hadapannya. Aromanya yang menusuk ke hidung benar-benar membuka seleranya. Karina Jasmin memandang Krisya Norsabrina. “Betul ke kau tak nak makan?”

“Betul,” Krisya Norsabrina menggigit penyedut minuman di gelasnya. Kalau boleh dia tidak mahu membazir setiap saat masanya hanya untuk makan ataupun minum kerana di fikirannya sekarang cuma ada Hujan.

“Jamah pun tak nak?” soal Karina Jasmin lagi.

“Ish… makan sajalah,” Krisya Norsabrina naik rimas apabila soalan yang sama ditanya berulang kali. Orang dah kata tak nak, tak naklah. Lagi nak tanya.

“Ok, kalau macam tu aku makan ya,” Karina Jasmin menghirup kuah Bandungnya itu dengan berselera sekali.

“Cepatlah makan,” gesa Krisya Norsabrina. Yang sebenarnya dia juga terliur melihat Karina Jasmin makan. Menyesal pula aku tak pesan makanan!

Tiada ulasan: