Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemuja Rahsia 11

Hari kedua rombongan. Seperti yang dirancang dalam jadual rombongan, Krisya Norsabrina dan semua pelajar tingkatan lima yang mengikuti rombongan dibawa mengunjungi Petrosains yang terletak di Tingkat 4, Menara Berkembar Kuala Lumpur.

Petrosains adalah muzium sains kontemporari geologi dalam menyediakan media pembelajaran sains dan teknologi mutakhir buat generasi muda Malaysia serta bagi menanamkan semangat kepemimpinan teknologi perminyakan.

Selepas mendapat tiket masuk, mereka perlu menunggu kenderaan jemputan iaitu sejenis buggy car yang digerakkan oleh sistem magnetik. Kenderaan ini tidak memerlukan pemandu dan biasanya satu kenderaan boleh memuatkan maksimum 6 penumpang.

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin yang tidak boleh berenggang itu menaiki kenderaan yang sama bersama empat pelajar perempuan lain. Sesekali terdengar mereka menjerit sebaik-baik sahaja kenderaan itu mula bergerak memandangkan kenderaan itu tidak selalu berjalan lurus. Ada kalanya kenderaan itu naik dan turun bergantung pada posisi slide yang dilalui.

“Aku takutlah.”

“Tak jatuh ke ni?”

“Tengok tu. Cantiknya.”

Dalam keadaan takut-takut, mereka masih sempat menghayati dekorasi lorong masuknya yang memaparkan suasana hutan tropika. Berbagai-bagai tanaman raksasa, tumbuhan merambat, serta pakis hutan artifisial memenuhi seantero lorong. Bunyi-bunyian haiwan hutan yang bersahutan sepanjang perjalanan membuatkan perjalanan mereka seolah-olah hidup.

Lorong masuk pertama di Petrosains disebut sebagai dark ride yang menampilkan ‘sekilas masa’ tentang sejarah geologis bumi dan minyaknya. Selama lima minit, ingatan para pengunjung dibawa kembali ke zaman prasejarah. Di lorong gelap ini, puluhan slide periode evolusi bumi dipaparkan mengikut turutan.

Selain slide, dark ride ini juga dilengkapi bunyi-bunyi narasi yang relevan. Di bahagian ini, para pengunjung dapat mempelajari astronomi, biologi, fizik dan geologi dengan pendekatan yang sangat menarik.

Narasi dan slide bercerita tentang banyak kisah. Bermula dengan asal terbentuknya alam semesta, galaksi, evolusi bumi hingga sejarah geologi. Beberapa klip memunculkan era dinosaurus, brontosaurus dan juga evolusi tumbuh-tumbuhan.

Di akhir dark ride pula, sang narator berpesan agar manusia dari berbagai-bagai generasi memegang teguh komitmen menjaga lingkungan hidup. Menjaga lingkungan hidup merupakan salah satu cara bersyukur kepada Tuhan.

Tour dark ride berakhir di sebuah terminal. Setibanya di situ, mereka disambut oleh petugas Petrosains yang ramah dan kemudian mempersilakan mereka memasuki ruangan yang berisi berbagai-bagai alat eksperimen dalam bidang geologi.

Setiap bahagian ruangan memiliki tema pameran yang berbeza. Mereka bebas memilih bidang yang mereka suka samada tentang elektrik, jenis batu-batuan, gas, minyak, struktur senyawa kimia hidro karbon, speed, kereta balap, kehidupan prasejarah hingga aplikasi senyawa polimer untuk kehidupan moden.

“Sila beratur ikut kelas. Ketua kelas, cuba kira anak buah masing-masing. Cukup tak?” Cikgu Abdillah memberi arahan selepas mereka selesai mengelilingi seluruh Petrosains. Mereka mengambil masa hampir tiga jam bagi menghabiskan seluruh tour di situ.

“5SA?”

“Cukup, cikgu.”

“5SB?”

“Cukup.”

“5SC?”

“Cukup.”

“5SD?”

“Tak cukup seorang, cikgu,” ujar seorang pelajar lelaki yang juga ketua kelas 5 Sains Dinamik.

“Tak cukup seorang? Siapa?”

Rombongan itu sudah mula riuh. Bercakap-cakap sesama sendiri. Pelajar kelas itu cuba mengenalpasti kawan mereka yang hilang itu.

“Kenapa tu?” Krisya Norsabrina bertanya kepada Karina Jasmin.

“Ada orang hilang.”

“Hilang? Siapa?”

Karina Jasmin menjungkit bahu.

“Dia sesat dalam Petrosains kut,” seloroh seorang pelajar.

“Ini bukan perkara main-main!” tegas Cikgu Abdillah. Mereka semua terdiam. Cikgu Abdillah memeriksa senarai nama pelajar kelas 5 Sains Dinamik bersama guru kelas itu iaitu Cikgu Noraini. Setiap nama yang dipanggil dikehendaki menyahut.

“Nurul Huda Hidayah Alias.”

Tiada sahutan.

“Nurul Huda Hidayah Alias,” nama itu diulang namun masih tiada yang menyahut. Cikgu Abdillah dan Cikgu Noraini berbalas pandang.

“Huda hilang!”

Pelajar-pelajar itu kembali bercakap-cakap sesama sendiri.

“Tolong diam semua. Kamu semua tunggu di sini. Biar saya dan Cikgu Nazar pergi cari Huda. Jangan ada sesiapa pun yang ke mana-mana sehingga saya balik. Mari, cikgu,” Cikgu Abdillah bersama seorang lagi guru lelaki menghilang ke Petrosains.

“Cikgu, lepas ni kita nak pergi mana?” tanya seorang pelajar lelaki yang berada di dalam barisan kelas 5 Sains Berani.

“Lepas ni kita pergi makan,” ujar guru wanita itu.

“Makan? Cadangan yang bagus!”

“Kau ni Azan, kalau pasal makan laju saja. Patutlah badan kau gemuk,” seorang pelajar lelaki lain mencelah.

“Tengok perutlah,” balas Azan Fitri. Tidak seperti sesetengah pelajar gempal yang lain, Azan Fitri tidak pernah terasa hati jika ada yang memperkatakan tentang tubuhnya yang gempal itu malah dia rasa bangga kerana itu tandanya dia sihat.

“Makan apa, cikgu?” tanya seorang pelajar lelaki lain pula.

“KFC?”

“Mc’ Donalds?”

“A&W!”

“Kita makan nasi bungkus saja kalau kamu semua tak senyap.”

“Nasi bungkus pun sodap!”

“Ala…cikgu, tak naklah nasi bungkus,” bantah seorang pelajar perempuan.

“Yalah, cikgu. Kita makan KFC lah,” suara seorang pelajar perempuan yang lain pula.

“Kalau kamu semua tak senyap, semua tak payah makan,” tegas Cikgu Noraini. Macam budak-budak sekolah rendah. Pening kepala aku. Orang tengah susah hati ni, macam-macam pula permintaan.

Mendengarkan itu, mereka terus diam. Namun kesunyian itu tidak lama apabila Azan Fitri bersuara lagi. Memang mulut murai betul!

“Cikgu, lama lagi ke kita nak tunggu ni? Bosanlah.”

“Cikgu, kita pergi shopping nak? Tadi saya nampak banyak baju cantik di kedai bawah tu,” cadang seorang pelajar perempuan. Sengaja mahu mengumpan Cikgu Noraini. Wanita mana yang tidak gemar membeli-belah?

Shopping?! Terbeliak mata Cikgu Noraini mendengar perkataan itu. Boleh juga kan sementara menunggu Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar. Mereka pun mesti lama lagi di dalam sana. Ish…apa yang aku fikir ni? Aku datang sini bukan untuk membeli-belah. Aku ada tanggungjawab yang perlu digalas.

“Jangan nak mengada-ngada. Nanti dengan kamu kamu sekali hilang. Kan kita nak shopping di Mid Valley esok. Kita tunggu Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar balik. Lepas tu, kita pergi makan,” Cikgu Noraini cuba bersikap tegas walaupun keinginan untuk membeli-belah di KLCC itu membuak-buak.

“Cikgu!”

“Apa lagi?” Cikgu Noraini mula hilang sabar. Lepas satu, satu!

“Saya nak pergi tandas.”

“Dah tak boleh tahan ke?”

Pelajar itu menggeleng.

“Ada sesiapa lagi yang nak pergi tandas?”

“Saya!” Beberapa orang pelajar mengangkat tangan.

“Beratur dalam satu barisan. Cikgu Farhana, tolong bawa mereka ke tandas,” Cikgu Noraini berkata kepada seorang guru wanita yang muda beberapa tahun daripadanya. Cikgu Farhana akur.

“Jom, Sya,” Karina Jasmin mengajak Krisya Norsabrina.

“Malaslah,” Krisya Norsabrina menolak.

“Jomlah,” Karina Jasmin berbisik ke telinga Krisya Norsabrina. “Sambil-sambil tu, kita boleh tengok bangunan KLCC.”

Mata Krisya Norsabrina terbeliak. Ya tak ya juga kan. Sekelip mata fikirannya berubah.

“Jom!”


**********


“Tumpang tanya, cik. Ada tak seorang pelajar perempuan sekolah menengah yang berbaju sekolah di dalam ni?” Cikgu Abdillah bertanya kepada seorang petugas di Petrosains.

“Rombongan sekolah dari Kuantan tu ya?”

“Ya, saya.”

“Sebentar ya, cik. Saya tanya petugas di dalam.”

“Baik, terima kasih,” Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar menunggu dengan sabar. Minta-mintalah Huda ada di dalam. Lebih baik dia hilang di dalam Petrosains daripada dia hilang di luar. Lagi susah nak cari nanti!

Sementara itu di dalam panggung wayang Petrosains. Seorang petugas menjenguk keadaan di dalam. Setelah pasti tiada sesiapa pun di situ, dia menutup suis lampu memandangkan waktu itu adalah waktu rehat.

Ketika dia hendak menutup pintu, ekor matanya seakan-akan terlihat suatu benda putih bergerak-gerak di kerusi hadapan. Perlahan-lahan dia menoleh. Dalam keadaan gelap, dia ternampak suatu bayang putih bergerak.

“Mak, han… hantu!” Dia segera membuka langkah seribu tanpa sedar jeritannya itu membuatkan ‘bayang putih’ itu terjaga daripada tidur.

“Di mana aku ni? Kenapa gelap saja ni? Dalam kubur ke ni? Takkan aku dah mati? Mak!”

“Kenapa ni?” petugas di luar mendapatkan rakannya yang panik itu.

“Ada hantu dalam bilik tu,” ujarnya cemas.

“Mengarutlah. Hantu apa siang-siang buta macam ni?”

“Be… betul. Ada ben… benda pu… putih …” tergagap-gagap petugas itu menerangkan tentang bayang putih yang dilihatnya di dalam bilik itu sebentar tadi.

“Benda putih apa? Kau salah tengok tak?”

“Tak. Betul.”

“Ada-ada sajalah kau ni. Penakut betul,” petugas yang bertugas di luar tadi melangkah ke bilik yang dikatakan ada hantu itu sementara petugas yang ketakutan tadi mengekornya dari belakang. Masih panik.

Tiba di hadapan pintu bilik itu, perlahan-lahan petugas yang berdiri di hadapan memulas tombol pintu bilik itu. Degupan jantung mereka seakan terhenti berdenyut tatkala daun pintu itu dikuak.

“Tak ada apa-apa pun.”

Petugas yang ketakutan tadi mengeluh lega.

“Tapi tadi ada.”

“Ah, mengarutlah kau ni!”

“Abang…” tiba-tiba ‘bayang putih’ itu terjojol di muka pintu.

“Mak!” spontan petugas yang berdiri di hadapan tadi memeluk rakannya.

Petugas yang ketakutan tadi terkejut melihat bayang putih yang disangka hantu tadi. Rupa-rupanya bayang putih yang dilihatnya tadi adalah seorang pelajar sekolah menengah yang berpakaian sekolah warna putih.

“Hoi, bukan hantulah.”

“Bukan?” Petugas itu melihat lembaga di hadapannya itu sekilas. Setelah pasti lembaga itu bukan hantu, dia segera melepaskan pelukannya dan berlagak selamba bagi menutupi rasa malunya sebentar tadi. “Cis, ini kau kata hantu?”

Wajah pelajar perempuan itu direnung.

“Adik ni salah seorang pelajar rombongan sekolah dari Kuantan tadi ke?” soal petugas itu apabila melihat lencana sekolah pada tudung pelajar perempuan itu. Mungkin budak ini pelajar yang dilaporkan hilang oleh guru mereka yang berada di luar.

“Ya, saya.”

“Adik buat apa di dalam tu?”

”Saya tertidur masa tengah tengok wayang tadi. Bila saya bangun, saya tengok tempat tu dah gelap,” pelajar perempuan itu hampir menangis. Mana mereka semua? Takkan mereka dah tinggalkan aku? Habislah kalau betul aku kena tinggal. Macam mana aku nak balik ke Kuantan seorang diri? Stesen bas pun aku tak tahu di mana.

“Cikgu adik tengah cari adik. Mereka ada di luar. Mari ikut abang.”

Tanpa banyak soal, dia mengikut abang-abang yang baik hati itu mendapatkan gurunya di luar.


**********


“Cikgu!” pelajar perempuan itu menerpa ke arah Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar sebaik-baik terlihat gurunya itu.

“Huda!” Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar gembira melihat pelajar mereka yang hilang itu. Nasib baik. Mereka tersenyum lega.

“Saya ingat cikgu dah tinggalkan saya,” Nurul Huda Hidayah tidak dapat menahan rasa sedihnya lalu mula menangis.

“Takkanlah cikgu nak tinggalkan kamu. Di mana encik jumpa dia?” Cikgu Abdillah bertanya kepada petugas tadi.

“Dia tertidur dalam panggung wayang.”

“Tidur?” Cikgu Abdillah tercengang. Dalam panggung wayang pun boleh tidur? Bukankah mereka yang beria-ria hendak menonton wayang animasi 3D tadi?

“Dalam tu gelap tadi. Sebab tu saya tertidur,” Nurul Huda Hidayah tersengih. Rasa gelap akan membuatnya mengantuk.

“Dah namanya pun panggung wayang. Mestilah gelap. Dah, mari balik. Kesian kawan-kawan kamu. Terpaksa berlapar sebab kamu,” Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar membawa Nurul Huda Hidayah ke bas selepas mengucapkan terima kasih kepada petugas di situ. Mereka berasa lega kerana Nurul Huda Hidayah selamat ditemui.


**********


“Sya, jadi ke rancangan kita esok?” tanya Karina Jasmin separuh berbisik ketika mereka dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan selepas makan.

“Eh, mestilah jadi! Kenapa? Kau ubah fikiran?” Krisya Norsabrina bertanya kembali.

“Taklah. Cuma aku risau juga bila tengok Huda hilang tadi. Misal kata benda tu berlaku pada kita. Macam mana kalau kita sesat esok?” Karina Jasmin meluahkan kebimbangannya.

“Jangan risau. Aku dah kaji dah cara nak pergi sana. Dari Mid Valley, kita naik komuter sampai KL Sentral. Dari KL Sentral, kita naik LRT ke Pasar Seni. Senang bukan? Jadi, kita takkan sesat punyalah,” ujar Krisya Norsabrina penuh yakin.

“Kalau macam tu, senanglah. Tak sabar pula aku nak tunggu esok.”

“Aku lagi tak sabar.”

Mereka tertawa kegirangan.

“Wah, wah, wah. Seronok nampak? Macam ada benda menarik saja. Aku pun nak tahu juga. Kongsilah dengan aku,” tiba-tiba wajah itu muncul di hadapan mereka.

Serta-merta wajah ceria Krisya Norsabrina bertukar kelat sejurus terlihat wajah itu. Bila masa pula dia duduk depan aku dan Mon ni? Menyibuk saja! Nak korek rahsia oranglah tu.

“Azan, kau ni kalau tak menyibuk hal orang tak boleh ke?” marah Karina Jasmin.

“Bukan menyibuk tapi ambil berat,” balas Azan Fitri.

“Ambil beratlah sangat. Apa badan kau dah tak cukup berat ke? Terlebih berat adalah,” Krisya Norsabrina mencelah. Ambil kau! Jangan main-main dengan Krisya.

Karina Jasmin tertawa. Azan Fitri pula terkedu tidak terkata lantas dia segera berpaling ke hadapan semula. Mungkin dia terasa hati dengan kata-kata Krisya Norsabrina.

Alamak! Macam mana aku boleh cakap macam tu? Krisya Norsabrina diserang rasa bersalah. Namun demi menjaga ego, dia tidak akan sesekali meminta maaf. Lebih-lebih lagi dengan Azan Fitri!

Tiada ulasan: