Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemuja Rahsia 13

Matanya liar memerhatikan setiap orang yang turun naik tangga di Dewan Annexe itu. Imej dan gaya pakaian mereka berbagai-bagai. Ada yang berambut punk, ada yang berimej hip hop, ada yang berseluar koyak di lutut, ada yang bertatu di lengan dan berbagai-bagai lagi imej dan gaya yang dirasakan pelik dan janggal.

“Sya, aku rasa tak selesalah. Kita balik sajalah,” Karina Jasmin mula berasa tidak selesa dengan persekitaran di situ.

“Ala… tunggulah dulu. Dah sampai sini takkan nak balik macam tu saja? Dah lama aku tunggu peluang ni tahu.”

“Tapi…” Karina Jasmin teragak-agak.

“Please Mon… Aku janji lepas Hujan buat persembahan, kita balik ok?”

“Ok tapi janji lepas Hujan buat persembahan kita terus balik?”

“Iya. Jom,” Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin meluru ke tingkat atas, tempat gig diadakan.

Setibanya mereka di tingkat atas, Krisya Norsabrina sendiri berasa gerun tatkala melihat imej dan gaya pengunjung yang datang menyaksikan gig itu. Dia menelan air liur. Ok, rileks Krisya. Tak ada apa yang akan berlaku. Ini bukan disko. Krisya Norsabrina cuba menenangkan hatinya sendiri.

“Sya, kau nak masuk ke tak?” Karina Jasmin hairan melihat Krisya Norsabrina masih tercegat di tempatnya.

“Jom,” Krisya Norsabrina membulatkan tekadnya.

Dengan wajah yang selamba dan penuh keyakinan, Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin mengatur langkah ke pintu masuk Dewan Annexe itu. Tatkala mereka melangkah, Krisya Norsabrina dapat merasakan degupan jantungnya semakin laju. Tak tahu kenapa. Mungkin ini pertama kali dia datang ke gig ataupun mungkin dia berdebar-debar hendak bertentang mata dengan pujaan hatinya ataupun mungkin juga dia diserang rasa bersalah kerana datang ke situ tanpa pengetahuan gurunya.

Langkah mereka semakin hampir dan saat langkah mereka berada kurang satu inci dari pintu masuk, tiba-tiba suatu suara menegur mereka berdua.

“Dik…” sapa suara itu.

Serta-merta langkah Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin terhenti. Serentak mereka menoleh ke arah suara itu.

“Minta tiket.”

“Tiket?” Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin saling berpandangan. Karina Jasmin melemparkan senyuman paling manis kepada gadis yang menjaga pintu masuk itu sebelum menarik tangan Krisya Norsabrina jauh sedikit dari situ agar perbualan mereka tidak didengari oleh gadis itu.

“Kau tak cakap pun kena beli tiket,” ujar Karina Jasmin separuh berbisik.

“Manalah aku tahu. Aku ingatkan konsert saja yang kena ada tiket,” Krisya Norsabrina membela diri.

“Habis tu, sekarang macam mana?”

“Ok, rileks. Jangan panik. Biar aku cakap dengan kakak tu. Kau tunggu sini kejap,” Krisya Norsabrina mendapatkan gadis tadi semula sambil diperhatikan oleh Karina Jasmin. “Minta maaf, kak. Boleh tak saya nak jumpa Ecah sekejap?”

Krisya Norsabrina sempat melihat tag yang tergantung di leher gadis itu. Zanna, Floor Manager.

“Ecah? Dia sibuklah di dalam. Awak ni siapa? Ada apa hal awak nak jumpa dia?” tanya gadis itu. Dia tahu Ecah adalah pengurus kumpulan Hujan. Nak masuk percumalah tu. Macamlah aku tak tahu. Dah banyak sangat orang yang guna taktik ni. Pura-pura kenal Ecah dan kumpulan Hujan. Memanglah kau kenal Ecah dan Hujan tapi mereka tak kenal kau.

“Boleh tak suruh dia keluar kejap? Sekejap saja. Saya ada perkara nak tanya dia,” Krisya Norsabrina merangka helah untuk bertemu kumpulan Hujan.

“Tak bolehlah sebab dia jadi pengacara.”

“Betul ke?”

“Betul. Kalau awak nak jumpa dia, awak kena masuk dalam dan kalau awak nak masuk dalam, awak kena beli tiket dulu.”

“Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih,” Krisya Norsabrina memaksa dirinya untuk senyum lalu dia mendapatkan Karina Jasmin.

“Macam mana?” tanya Karina Jasmin.

Krisya Norsabrina menggelengkan kepala. Dia tidak kisah kalau tak dapat masuk pun. Yang penting dia dapat berjumpa dengan Hujan. Sekejap pun jadilah.

“Jadi, macam mana ni?”

“Kita tunggu gig ni habis nak?”

“Kau biar betul, Sya. Takkan kita nak tunggu sini sampai pukul 12 tengah malam?”
“Kenapa pula nak tunggu sampai malam?”

“Ni ada tulis pada flyer. Gig akan berlangsung pada pukul dua petang sampai 12 tengah malam,” Karina Jasmin menunjuk ke arah flyer yang ditampal di dinding luar dewan itu.

Krisya Norsabrina membaca isi kandungan flyer itu. Dia tertunduk hampa. Maknanya dia takkan dapat berjumpa dengan Hujan. Jadi, kedatangan mereka ke situ hanya sia-sia?

“Ala…Sya, janganlah sedih sangat. Lain kali adalah rezeki kau nak jumpa mereka,” Karina Jasmin cuba memujuk. Dia tahu Krisya Norsabrina kecewa. Sudah lama temannya itu menunggu peluang ini dan akhirnya jadi begini pula.

“Jomlah balik,” Krisya Norsabrina menuruni anak tangga tanpa menoleh ke belakang lagi. Hatinya sudah tawar untuk terus berharap.


**********


Krisya Norsabrina membisu sepanjang perjalanan ke Mid Valley. Mereka perlu kembali ke sana sebelum ada sesiapa yang menyedari akan kehilangan mereka. Jika kedatangan mereka ke situ diketahui, pasti teruk mereka dihukum.

Melihatkan Krisya Norsabrina diam, Karina Jasmin turut diam. Sengaja dia membiarkan temannya itu melayan perasaan. Dia tahu ‘sakit’ temannya itu tidak lama. Esok-esok baiklah tu.

“Mon…” panggil Krisya Norsabrina perlahan.

“Erm…”

“Kenapa kau diam?”

“Dah kau diam.”

Krisya Norsabrina diam. Setengah minit kemudian dia bersuara lagi.

“Mon…”

“Erm…”

“Aku minta maaf sebab susahkan kau.”

“Kau memang selalu menyusahkan aku pun. Macamlah tak biasa,” gurauan Karina Jasmin membuahkan senyuman di bibir Krisya Norsabrina.

“Apapun, terima kasih sebab sudi teman aku.”

“Tak ada hallah.”

Mereka berbalas pandangan kemudian sama-sama tersenyum.


**********


Sebaik-baik sahaja kaki mereka menjejaki stesen komuter Mid Valley, mereka terus berlari ke tempat mereka berkumpul pagi tadi. Harap-harap mereka tak kena tinggal. Cikgu, tunggu kami!

“Betul ke ikut jalan ni, Mon?”

“Aku rasa bukanlah. Cuba kita ikut sana.”

Kalut sungguh mereka berdua. Mana taknya. Orang suruh berkumpul pukul enam tapi pukul enam sepuluh mereka baru tiba di stesen komuter. Semuanya gara-gara kesesakan di dalam komuter tadi. Disebabkan terlalu ramai manusia yang menggunakan kemudahan komuter pada waktu-waktu begini, makanya perjalanan komuter mengambil masa yang agak lama di setiap stesen yang mereka singgahi.

“Bukan jugalah. Aduh, mana ni?” Krisya Norsabrina melihat jam di tangan kirinya. Lagi lima minit ke pukul enam dua puluh. Habislah mereka.

“Ok, jangan panik. Cuba kita ingat betul-betul. Tadi kita naik di tingkat yang ada komuter berapa tingkat?”

“Aku tak ingatlah. Tapi aku rasa bawah lagi kut.”

“Kau pasti ke?”

“Kejap. Aku rasa sekarang lebih baik kita cari Huda.”

“Kenapa pula kita nak cari dia? Entah-entah dia pun dah selamat naik bas.”

“Cari sajalah. Aku pasti dia masih ada di tempat yang kita tinggalkan dia tadi.”

Selepas hampir setengah jam berlegar-legar di dalam bangunan itu, akhirnya mereka dapat tersenyum lega apabila terlihat Nurul Huda Hidayah yang masih tidak berganjak di tempat tadi. Seperti yang dijangka oleh Krisya Norsabrina, Nurul Huda Hidayah tidak akan ke mana-mana kerana dia sekarang sedang nyenyak tidur. Siap berbaring di bangku kayu itu lagi sampai mereka terfikir, tak ada ke orang yang tergerak hati untuk mengejutkan kawan mereka itu?

“Huda, bangunlah. Kena tinggal nanti baru tahu,” Krisya Norsabrina mengajuk cara Nurul Huda Hidayah mengejutkannya pagi tadi.

Nurul Huda Hidayah menggeliat. Mujur dia bukan jenis orang yang susah hendak bangun tidur.

“Kau orang dah keluar dari tandas ke? Jom kita pergi kedai buku,” Nurul Huda Hidayah bingkas bangkit.

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin tercengang dengan perlakuan Nurul Huda Hidayah. Apakah reaksinya apabila mengetahui yang mereka sudah tidak ada masa untuk pergi ke kedai buku?

“Pukul berapa sekarang?” soal Nurul Huda Hidayah. Lama sangatkah dia tertidur?

“Hampir ke pukul enam empat puluh lima petang,” ujar Krisya Norsabrina.

“Owh… baru pukul enam …” Mata Nurul Huda Hidayah terbuka luas. Spontan tangan kiri Krisya Norsabrina dipegang. Jam di tangan itu dilihat. Apa?! Enam pagi ke enam petang ni? Dia memandang Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin. “Kenapa awak berdua tak kejutkan saya? Habislah peluang saya untuk berjalan-jalan di sekitar Mid Valley ni.”

“Kami …” Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin tidak dapat memberi jawapan kepada pertanyaan Nurul Huda Hidayah. Buat pertama kalinya mereka berdua memilih untuk diam daripada mereka alasan. Mustahil mereka hendak memberitahu Nurul Huda Hidayah tentang pengalaman mereka di Pasar Seni siang tadi. Nurul Huda Hidayah bukan teman rapat mereka jadi mereka merasakan Nurul Huda Hidayah tidak perlu tahu tentang hal itu. Manalah tahu Nurul Huda Hidayah memberitahu kawan-kawan mereka yang lain jika dia tahu mengenainya.

“Eh, Che Wan!” tiba-tiba nama itu terpacul dari mulut Krisya Norsabrina apabila terlihat pengawas yang menjadi kegilaan ramai itu berjalan ke arah mereka. Serentak Karina Jasmin dan Nurul Huda Hidayah menoleh ke arah yang dikatakan.

“Di sini rupanya awak bertiga. Puas kami cari. Mari lekas. Disebabkan awak bertiga, kita semua lambat balik ke Kuantan,” ujar Che Wan Safuan.

“Fuh…nasib baik kita tak kena tinggal!” Krisya Norsabrina melompat kegirangan.

“Tapi kalau awak masih tercegat di situ, tak mustahil kita berempat kena tinggal.”

Krisya Norsabrina berasa terpukul dengan teguran Che Wan Safuan itu namun dia masih berlagak selamba.

“Jom, Mon,” Krisya Norsabrina pantas menarik tangan Karina Jasmin yang seperti biasa sudah dipukau apabila ternampak Che Wan Safuan.

“Sya, kenapa kau jalan laju sangat?” terkial-kial Karina Jasmin cuba menyaingi langkah Krisya Norsabrina.

“Yang kau jalan macam siput tu kenapa?” balas Krisya Norsabrina padahal dia tahu Karina Jasmin lebih suka berjalan di belakang Che Wan Safuan supaya senang dia hendak perhatikan jejaka itu.

Sampai sahaja di dalam bas, semua ahli rombongan bersorak kepada mereka. Tidak kurang juga suara-suara mengejek.

“Woi, apalah!”

“Sesat dalam Mid Valley ke?”

“Menyusahkan orang saja.”

Krisya Norsabrina dan Karina Jasmin hanya memekakkan telinga. Dah penat nanti, diamlah tu. Dan tak sampai tiga puluh minit bas bergerak, keadaan di dalam bas mula sepi. Masing-masing tertidur akibat keletihan.

Tiada ulasan: