“Kalau hari-hari macam ni, teruklah saya!” Hezry merungut ketika dia menjemput teman wanitanya yang baru selesai membeli-belah di Megamall Pinang. Dirinya tidak ubah seperti seorang driver. Setiap hari dia terpaksa menjemput dan menghantar teman wanitanya itu ke mana-mana sahaja yang dia mahu.
Ke kuliah, ke mall, ke salon, ke butik. Semuanya dia! Kalau dia terlewat pula, pasti teman wanitanya itu akan menarik muncung. Kalau senang nak pujuk tak apalah jugak. Ini sampai berhabis duit beli hadiah pun masih belum sejuk rajuknya.
“Kalau awak rasa saya ni menyusahkan, lain kali awak tak payahlah ambil saya lagi,” balas Leeya. Nadanya seakan merajuk.
“Tengok tu. Cakap sikit, merajuk. Tegur sikit, muncung. Cubalah awak faham sikit keadaan saya. Saya ni kan kerja tak tentu masa,” luah Hezry. Kerjayanya sebagai pengarah seni di sebuah syarikat pengiklanan membuatkan rutin hariannya sering tidak menentu.
“Habis, awak nak saya naik bas?”
“Buat apa naik bas? Teksi kan banyak?” ujar Hezry separuh menyindir.
Mata Leeya terbeliak mendengar kata-kata Hezry. Dia fikir Hezry akan memujuknya jadi tidak payahlah dia naik teksi. Bukannya Hezry tidak tahu dia tidak suka menaiki pengangkutan awam terutamanya teksi.
“Sanggup awak biarkan saya naik teksi?”
“Kalau awak tak nak naik teksi, baik awak ambil lesen. Nak pergi mana-mana pun senang. Tak adalah menyusahkan orang,” ujar Hezry lagi. Moodnya kurang baik pada hari itu gara-gara tidak tidur semalaman.
“O…sekarang baru awak nak cakap saya ni menyusahkan awak?”
Hezry diam. Dia sudah malas hendak berbalah. Lebih baik dia menumpukan perhatian ke jalan raya. Dia tidak mahu mereka berdua kemalangan gara-gara kecuaiannya. Akhirnya masing-masing hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan.
Setibanya di depan pagar rumah Leeya, tanpa sepatah kata Hezry terus memecut keretanya sebaik-baik sahaja Leeya keluar dari kereta itu. Leeya kecewa apabila Hezry tidak berusaha memujuknya seperti selalu.
Benci!
Leeya berpaling untuk masuk ke rumah apabila tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Jangan-jangan Hezry? Leeya segera mencari telefon bimbitnya di dalam beg tangan. Air muka yang tadinya berseri berubah kelat apabila melihat nama si pemanggil.
Pompuan ni rupanya. Ingatkan Hezry. Walaupun hampa, namun panggilan itu tetap dijawabnya.
“Haa…nak apa?”
“Leeya, aku bosanlah. Jom kita keluar?”
“Boleh tapi kau kena ambil aku.”
“Ala…kau ni asal nak keluar aja, nak kena berjemput. Lecehlah. Kau naiklah teksi.”
“Kau yang ajak aku keluar kan? Kalau kau tak nak ambil aku, tak apa. Tak payahlah keluar.”
“Yalah, yalah. Aku ambil kau. Kau kat mana ni?”
“Kat rumah.”
“Kau tunggulah kejap. Aku dah atas jalan ni.”
Lima belas minit kemudian, Aisha tiba di rumah Leeya. Leeya yang sudah sedia menunggu itu masuk ke perut MyVi milik temannya itu.
“Sampai bila kau nak macam ni, Leeya? Pergi berjemput, balik pun berhantar. Kau tak nak ambil lesen ke?” Aisha sudah mula memberi ceramah.
Dah mula dah pompuan ni.
“Kenapa pulak aku kena ambil lesen?”
“Yalah supaya senang kau nak pergi mana-mana. Kau tu bukannya muda lagi. Umur dah 24 tapi masih tak ada lesen. Adik aku yang umur 19 tahun tu pun dah ada lesen kau tahu?”
“Adik kau, adik kaulah. Aku, aku. Lagipun buat apa aku nak bersusah-payah ambil lesen? Hezry kan ada. Dia boleh ambil dan hantar aku,” balas Leeya. Hish…Kenapalah semua orang sibuk sangat pasal lesen ni? Suka hati akulah nak ambil ke tak.
“Hezry? Sampai bila dia boleh jadi driver kau? Sekarang ni bolehlah lagi. Besok-besok bila dah tua? Aku gerenti lama-lama nanti mesti dia pun malas nak layan kerenah kau. Mana ada lelaki yang sanggup jadi driver seumur hidup?”
“Ayah aku! Dari dulu sampai sekarang, ayah aku masih setia ambil dan hantar mak aku ke mana-mana aja tahu.”
“Kau yakin ke Hezry tu boleh jadi driver yang setia macam ayah kau? Zaman sekarang kalau tak ada lesen, susah tahu Leeya.”
Kata-kata Aisha itu masih tergiang-giang di telinga Leeya sehingga mengganggu lenanya malam itu.
Perlu ke aku ambil lesen? Tapi aku tak minatlah bawak kereta. Sedangkan orang yang beria-ria nak ambil lesen kereta pun gagal sampai tiga kali macam sepupu aku si Sakinah tu, inikan pulak aku yang langsung tak ada minat nak bawak kereta.
“Minat tak minat tu bukan soalnya bila benda tu dah jadi suatu keperluan.”
Leeya teringat pulak kata-kata abangnya dahulu ketika dia meminta abangnya menghantarnya ke kolej. Sebelum Hezry muncul dalam hidupnya, abangnya itulah yang menjadi driver tak berbayarnya. Yalah, apa guna ada abang kalau tak boleh hantar adiknya sendiri? Apa guna abangnya ada lesen kalau tak digunakan untuk menghantarnya ya tak?
“Kalau macam nilah kan, abang rasa Leeya kena cari boyfriend yang sanggup jadi driver Leeya. Yang tak kisah nak ambil dan hantar Leeya ke mana-mana aja. Kalau Leeya dapat boyfriend macam tu, barulah abang boleh bersara.”
“Bersara apa?”
“Bersara dari jadi driver Leeyalah!”
Masin jugak mulut abangnya itu. Selepas abangnya berkahwin dan menetap di Johor Bahru, title driver tak berbayar yang sebelum ini disandang oleh abangnya bertahun-tahun itu akhirnya dipindah milik kepada Hezry Hafidz.
Namun, baru sahaja siang tadi Hezry merungut yang dirinya menyusahkan. Hiba hatinya apabila kata-kata itu keluar dari mulut Hezry. Kalau Hezry tak ada, siapa pulak yang nak jadi driver aku?
***
“Pa, ma, Leeya ingat Leeya nak belajar keretalah,” ujar Leeya kepada papa dan mamanya ketika mereka sekeluarga menikmati sarapan pagi pada keesokannya. Selepas semalaman berfikir panjang, Leeya tekad membuat keputusan.
“Leeya nak belajar kereta? Tapi kenapa tiba-tiba aja, sayang?” Puan Jasmay hairan dengan perubahan sikap anak perempuan kesayangannya itu.
Dulu apabila disuruh ambil lesen kereta, macam-macam alasan yang diberikan oleh Leeya. Tak minatlah. Belum bersedialah. Susah nak dapat parkinglah. Tiba-tiba sekarang Leeya kata nak ambil lesen kereta. Mimpi apa budak ni?
“Saja,” balas Leeya.
Leeya bertekad untuk mengambil lesen kereta. Dia tidak mahu lagi menyusahkan Hezry menjemput dan menghantarnya ke mana-mana. Betul kata Aisha. Dia sudah berusia 24 tahun. Sampai bila dia perlu bergantung kepada orang lain untuk ke mana-mana? Dia perlu belajar berdikari.
“Hezry merungut ya?” teka Encik Nazril. Jika tidak, mustahil anak gadisnya itu berubah fikiran. Dia masak benar dengan sikap Leeya yang tidak suka memandu itu.
“Tak adalah, pa. Sebenarnya Leeya tak nak menyusahkan dia. Dia pun asyik sibuk aja sekarang. Boleh ya, ma, pa?”
“Hezry tahu ke Leeya nak belajar kereta ni?”
“Tak. Leeya tak bagi tahu dia pun.”
“Leeya gaduh dengan Hezry ya?” Puan Jasmay mencelah.
“Mana ada? Kita orang tak gaduhlah, ma. Cuma ada selisih faham sikit aja.”
“Mama dah agak dah. Leeya nak ambil lesen tiba-tiba ni mesti ada kena-mengena dengan Hezry kan?”
“Mungkin…”
“Leeya yakin dengan keputusan Leeya ni?”
“Leeya yakin, pa.”
“Kalau Leeya dah buat keputusan, papa ikut aja.”
“Mama pun sokong Leeya.”
“Thanks, ma. Thanks, pa.”
***
“Hezry, Leeya accident!”
“Leeya accident?” Hezry terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada ibu Leeya pada petang itu. Sudah beberapa minggu dia dan Leeya tidak berjumpa. Leeya juga tidak menghubunginya. Mungkin gadis itu masih merajuk dengannya. “Ma… macam mana Leeya boleh accident, auntie?”
“Auntie pun tak tahu. Tadi Leeya call auntie. Dia kata dia langgar motor.”
“Leeya langgar motor? Leeya langgar motor ke motor tu yang langgar dia?”
Takkanlah Leeya yang langgar motor tu pulak? Leeya kan tak ada lesen apatah lagi kereta. Fikir Hezry.
“Leeya langgar motor masa tengah driving test tadi.”
“Driving test? Leeya ambil lesen ke, auntie? Dia tak cakap pulak kat saya.”
Hai, takkanlah sebab kata-kata aku tu dia betul-betul nak ambil lesen? Berbekas jugak kata-kata aku tu ya?
“Nantilah auntie cerita. Auntie takut apa-apa jadi pada Leeya. Uncle pulak outstation. Hezry temankan auntie pergi tengok Leeya boleh?”
“Boleh, auntie,” Hezry melihat jam di tangan kirinya. “Dalam sepuluh minit lagi saya sampai.”
Beberapa minit kemudian, Hezry dan Puan Jasmay tiba di tempat yang dikatakan oleh Leeya. Hezry bergegas mendapatkan Leeya yang terduduk di tepi jalan. Sepanjang perjalanan tadi, Puan Jasmay telah menceritakan semuanya.
Terkejut Hezry apabila Puan Jasmay memberitahunya Leeya mengambil lesen kereta kerana tidak mahu menyusahkannya. Dia tidak menyangka Leeya mengambil serius akan kata-katanya tempoh hari padahal waktu itu dia berada dalam keadaan tertekan. Apa-apa pun boleh keluar dari mulutnya.
“Leeya, awak ok tak?” Hezry membelek tubuh Leeya kalau-kalau ada luka. “Macam mana boleh accident?”
Leeya diam. Dia tergamam melihat Hezry. Barangkali dia tidak menyangka Hezry akan muncul di situ. Betapa dia merindui wajah dan suara itu.
“Leeya, ini saya… Hezry!” Hezry panik melihat Leeya yang seolah-olah tidak mengenali dirinya. “Leeya, jawab saya!”
“Saya ok…” akhirnya Leeya bersuara setelah agak lama dia mendiamkan diri.
Hezry memeluk Leeya. Syukur Leeya tak apa-apa. Hezry meleraikan pelukannya dan menatap wajah di hadapannya itu.
“Bukan ke awak cakap awak tak suka bawak kereta?”
“Saya tak nak susahkan awak dah sebab tu saya nak ambil lesen kereta tapi tadi masa saya bawak kereta, tiba-tiba ada motor lalu. Saya nak tekan brek tapi tertekan minyak…” cerita Leeya yang masih fobia dengan kemalangan itu.
“It’s ok. Awak tak ambil lesen pun tak apa. Saya sanggup jadi driver awak seumur hidup…” janji Hezry.
“Tapi hari tu awak kata saya menyusahkan.”
“Saya mintak maaf. Saya terlalu emosional waktu tu. Disebabkan kemalangan ni, saya tahu yang awak memang tak ada bakat langsung nak bawak kereta. Biarlah saya aja yang jadi driver awak. Awak cakap aja nak pergi mana, saya hantarkan.”
“Betul?”
“Betul.”
“Janji?”
“Saya janji.”
“Kalau macam tu, boleh tak awak hantar saya balik rumah sekarang? Awak dah janji kan tadi?”
“Yalah, yalah. Saya janji saya hantar awak balik rumah,” Hezry diam seketika sebelum menyambung, “Tapi lepas kerja saya di pejabat habis ya?”
“Awak!”
3 ulasan:
sorry to say this but..
hudoh giler citer.. kalau dh pompuan tu gedik2 x yah rr lyn... bru best skit... nie x. dh gedik makin dilayan-layan.. mcm pe ntah... anyway..
citer bdk smart 2 best rr
chaiyok!!
okey what cita nie... sweet...
-syue-
aku pun tak berapa suka bwk kete =(
Catat Ulasan