Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 06, 2008

Mak, Aku Nak Kahwin!

“Nis, tolong jangan kahwin dengan Rahman.”

“Nine, Nine sakit ke? Nine sedar tak apa yang Nine cakap ni?”

“Nis, Nine sayangkan Nis. Nine perlukan Nis di sisi Nine.”

“Nine…”

“Nis, Nine tahu Nine bukan ayah kandung Tasha tapi Nine yakin Nine mampu bahagiakan Nis dan Tasha. Nine tak sanggup kehilangan Tasha dan Nis…”

“Nine, Nis tahu Nine sayangkan Tasha. Tapi itu tak bermakna Nine perlu memaksa diri Nine untuk bersama Nis. Nis janji walaupun Nis dah kahwin dengan Rahman, hubungan Nine dan Tasha takkan putus.”

“Tidak, Nis. Nine tak pernah memaksa diri Nine untuk menyayangi Nis. Rasa itu datang dari hati Nine yang tulus ikhlas.”

“Nine, siapalah Nis ni. Nis ni janda. Dah ada anak pula tu. Sedangkan Nine masih bujang. Banyak lagi perempuan baik lain yang lebih layak jadi teman hidup Nine.”

“Tapi Nis, Nine cuma mahukan Nis. Nine tak kisah Nis janda ke, dah ada anak ke… Nine tetap sayangkan Nis. Nis, Nis fikirlah balik keputusan Nis untuk kahwin dengan Rahman.”

Pertemuan dengan Zulkarnain siang tadi masih terbayang-bayang di fikirannya. Apakah benar Nine ikhlas menyayangi dirinya ataupun hanya sekadar simpati semata? Macam mana pulak dengan Rahman? Betul ke dia dah berubah?

“Ma, kenapa mama termenung?” suara si anak menyedarkannya dari lamunan.

“Tak ada apa, sayang. Tasha dah gosok gigi?”

“Dah,” jawab Natasha.

“Jom tidur."

Natasha berbaring di katil. Nisdawati menyelimuti tubuh si anak dan membelai rambutnya.

“Tasha, mama tanya sikit boleh?”

“Apa dia, ma?”

“Antara Abang Nine dengan papa, Tasha lebih suka siapa?”

“Dua-dua pun Tasha suka. “

“Kalau mama nak Tasha pilih seorang aja, siapa yang Tasha pilih?”

Natasha diam.

“Tak apalah. Tasha tidur ya,” Nisdawati mengucup dahi Natasha. Natasha masih kecil. Dia tidak mengerti apa-apa.

Selepas mematikan lampu dan menutup pintu bilik Natasha, Nisdawati menyambung lamunannya di ruang tamu.

Siapakah yang harus dipilihnya? Dia perlu membuat keputusan yang tepat agar keputusannya itu tidak akan menghancurkan kehidupannya dengan Natasha sekali lagi.


***


“Apa yang kau buat kat luar ni?” Fahmi mendapatkan Zulkarnain yang termenung di halaman rumah.

“Tak ada apalah. Saja ambil angin,” bohong Zulkarnain padahal jiwanya sedang berkecamuk memikirkan perkahwinan Nisdawati dan Rahman. Dia tahu Nisdawati menerima Rahman semula kerana Natasha.

“Nine, aku tengok dua tiga menjak ni kau asyik termenung aja. Kau ada masalah ke?”

“Tak adalah. Aku ok,” Zulkarnain masih berahsia.

“Tak payahlah kau nak tipu aku lagi. Aku tahu apa yang kau fikirkan. Kau sukakan Nisda kan?”

“Apa yang kau cakap ni?”

“Ala, Nine… aku kenal kau bukan semalam. Aku tahu kau sukakan dia. Kenapa kau tak berterus-terang aja dengan dia?”

“Kalau aku terus-terang dengan dia pun, tak ada apa yang akan berubah. Dia dah baik dengan bekas suami dia.”

“Kau pasti ke dia akan bahagia dengan bekas suami dia tu?”

“Kenapa kau cakap macam tu?”

“Aku rasa orang sebaik Nisda tu tak patut dapat suami macam si Rahman tu. Dia pernah tinggalkan Nisda sekali. Tak mustahil dia boleh tinggalkan Nisda sekali lagi.”

“Kau ni terlalu buruk sangka dengan oranglah. Bukan ke si Rahman tu dah berubah? Lagipun setiap orang berhak diberi peluang kedua.”

“Boleh percaya ke yang dia dah berubah? Aku tak percaya dia boleh berubah sekelip mata. Nine, aku percaya kau mampu bahagiakan Nisda. Takkan kau sanggup tengok Nisda tu merana sekali lagi di tangan Rahman? Tasha… Tasha dah anggap kau macam ayah dia sendiri. Kau pun dah anggap dia macam anak kau sendiri kan? Nine, kebahagiaan kau dah ada di depan mata, takkan kau nak lepaskan macam tu aja?”

“Mi, takkanlah kau nak aku meruntuhkan rumahtangga orang lain? Aku tak sanggup, Mi.”

“Nine, si Nisda dengan Rahman tu belum kahwin lagi. Kau masih ada peluang untuk ubah kenyataan ni. Yang penting, kau kena cakap terus-terang dengan Nisda.”

Zulkarnain mengeluh apabila mengenangkan cadangan Fahmi supaya dia meluahkan perasaannya kepada Nisdawati. Kerana kata-kata Fahmi itulah, dia memberanikan diri memberitahu Nisdawati tentang perasaannya. Namun nampaknya usahanya itu hanya sia-sia. Nisdawati tetap akan berkahwin dengan Rahman.

Kenapalah aku selalu sahaja kecewa dalam bercinta? Dulu Intan. Sekarang Nisda pulak. Mungkin dah takdir aku hidup membujang sampai ke tua.


***


“Sedaplah, mak. Dah lama Nine tak rasa masakan rumah,” Nine menambah nasi ke pinggannya. Berselera betul dia.

“Kalau macam tu, makanlah banyak sikit,” si ibu senang hati melihat anaknya menggemari masakannya. “Mak tengok anak mak ni makin kuruslah. Nine tak makan ke di KL tu?”

“Nine sibuk sangatlah, mak. Kadang-kadang tak sempat nak makan,” balas Zulkarnain sambil mulutnya tidak berhenti mengunyah.

“Itulah sebabnya mak suruh Nine kahwin cepat-cepat. Kalau Nine kahwin, adalah jugak orang yang jaga makan minum Nine. Tak adalah anak mak kurus macam ni haa...”

“Bukan Nine tak nak kahwin tapi dah tak ada siapa nak kat anak mak yang kacak lagi bergaya ni nak buat macam mana?” seloroh Zulkarnain.

“Habis hari tu mak nak jodohkan Nine dengan anak Mak Utih tu, Nine tak nak. Kalau tak, mesti mak dah dapat cucu sekarang.”

“Bila Nine dah jumpa calon yang sesuai nanti, mak cakap aja berapa orang cucu yang mak nak. Nine usahakan.”

“Entah bilalah masa tu nak tiba? Mak takut mak tak sempat tengok Nine kahwin aja. Mak ni dah tua. Tunggu masa aja.”

“Mak janganlah cakap macam tu. Kalau ada jodoh Nine, insyaAllah Nine akan kahwin jugak.”

“Nine, mak tahu Nine kecewa dengan Intan tapi takkanlah sebab perkara tu, Nine tak nak berkahwin langsung?”

Zulkarnain menghentikan suapannya apabila nama itu disebut. Memang dia kecewa. Siapa yang tak kecewa apabila kasih yang disemai terputus di tengah jalan apatah lagi dia dan Intan sudah mengikat tali pertunangan dan hanya menunggu masa untuk disatukan.

Bukan dia serik untuk bercinta tapi selepas putus tunang dengan Intan, hatinya seakan terkunci untuk menerima mana-mana wanita dalam hidupnya. Walaupun hubungannya dengan Intan sudah berakhir, namun rasa kasihnya pada wanita itu masih bersisa.

Lama baru dia dapat menerima hakikat yang jodohnya bukan dengan Intan. Mungkin Tuhan akan menemukannya dengan wanita yang lebih baik. Sebagai orang Islam, dia sentiasa meyakini qada dan qadar.

Kini, dia tidak dapat menafikan apabila hatinya sekali lagi diketuk oleh insan yang bergelar seorang wanita. Pertama kali dia berkenalan dengan Nisdawati apabila wanita itu berpindah ke sebelah rumah bujangnya yang disewa bersama Fahmi. Pada waktu itu, perasaannya cuma biasa-biasa sahaja. Tambahan pula, dia sudah bertunang dengan Intan.

Disebabkan mereka tinggal berjiran, tolong-menolong sudah menjadi perkara biasa. Natasha pula rapat dengannya. Namun, hubungan mereka itu telah disalah tafsir oleh Intan yang kemudian bertindak memutuskan pertunangan mereka.

Walaupun Nisdawati janda, namun wanita itu tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya seperti yang difikirkan oleh kebanyakan orang. Wanita itu terlalu baik dan tabah membesarkan anaknya seorang diri selepas ditinggalkan oleh suaminya.

Entah sejak bila hubungan mereka bertambah rapat dan tanpa sedar nama itu semakin mendaki puncak hatinya. Apabila mendapat berita yang Nisdawati akan berkahwin dengan bekas suaminya semula, barulah dia menyedari yang dia tidak sanggup kehilangan wanita itu. Namun, wanita itu juga ditakdirkan bukan untuknya.

“Nine... Nine!”

Panggilan ibunya itu mengembalikannya ke alam nyata.

“Ya, mak?”

“Kita cakap dengan dia, dia berangan pulak.”

“Sorry, mak. Terberangan sekejap. Mak cakap apa tadi?”

“Mak tanya tadi, kat pejabat Nine tu tak ada ke calon-calon yang sesuai?”

“Calon apa, mak?”

“Calon apalagi, calon isteri kamulah.”

“Ish...mak ni. Mana ada. Kat pejabat Nine tu semua dah berpunya. Yang single tu ada tapi not available.”

Nine dah jumpa calonnya mak tapi ... Bukannya Nine tak nak kahwin mak. Nine nak sangat. Siapa yang tak nak kahwin dan ada keluarga sendiri kan?


***


“Abang, jangan tinggalkan Nis,” rayu si isteri. “Kalau abang pergi, macam mana dengan Nis? Macam mana dengan Tasha?”

“Ah, lantak kau oranglah! Itu bukan masalah aku,” si suami mengemaskan pakaiannya tanpa menghiraukan rayuan si isteri.

“Sampai hati abang buat Nis macam ni. Abang lupa ke janji abang pada Nis dulu? Bukan ke abang janji abang takkan tinggalkan Nis? Abang janji akan jaga Nis kan?”

“Ala...masa tu kita muda lagi. Terlalu ikutkan perasaan. Dah, jangan halang aku lagi!” si suami menolak si isteri ke tepi.

“Abang! Nis merayu, bang. Jangan tinggalkan Nis dan Tasha. Kami perlukan abang. Kami dah tak ada siapa-siapa lagi di dunia ni selain abang,” si isteri masih tidak berputus asa memujuk suaminya.

“Mulai hari ni, aku ceraikan kau dengan talak satu,” ucap si suami lantas berlalu meninggalkan si isteri tanpa belas kasihan.

“Abang!”

Nisdawati mengesat air matanya mengingati peristiwa yang berlaku dua tahun lalu. Rahman meninggalkannya dan Natasha dengan alasan mahu berkahwin dengan perempuan kaya. Betapa pedih dan peritnya dirasakan pada waktu itu.

Sewaktu dia menyuarakan hasratnya untuk berkahwin dengan Rahman kepada kedua-dua orang tuanya, kedua-dua mereka menentang kerana beranggapan yang dia dan Rahman masih terlalu mentah.

Disebabkan terlalu mengikut perasaan, Nisdawati mengikut Rahman ke sempadan untuk berkahwin. Tindakan Nisdawati itu membuatkan kedua-dua ibu bapanya terkilan dan mengharamkan Nisdawati daripada menjejakkan kaki ke rumah mereka lagi.

Nisdawati tidak kisah dan sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan dia dapat bersama Rahman namun kebahagiaan mereka tidak lama apabila Rahman mula rapat dengan anak bosnya di tempat kerja. Mungkin Tuhan sedang menghukumnya kerana menderhaka kepada ibu bapanya.


***


Zulkarnain sedang termenung di luar rumah apabila Fahmi muncul lengkap berbaju melayu. Fahmi menggeleng melihat sikap Zulkarnain. Sejak dia dapat tahu Nisdawati akan berkahwin, macam itulah sikapnya. Termenung sana, termenung sini.

“Hoi, Nine. Kau buat apa lagi ni? Cepatlah siap,” gesa Fahmi. Dah pukul berapa ni? Nanti tak sempat pulak.

“Aku tak nak pergilah,” balas Zulkarnain. Tak sanggup dia lihat Nisdawati jadi milik lelaki lain.

“Kenapa pulak? Tak baik tahu orang jemput kita tak datang. Nanti apa kata Nisda? Tasha?”

“Kau ajalah yang wakil.”

“Sudahlah tu. Dah bukan jodoh kau.”

“Entahlah. Mungkin dah takdir aku membujang sampai ke tua.”

“Ala…jomlah. Manalah tahu kau sangkut kat mana-mana pompuan kat majilis tu nanti,” seloroh Fahmi. Sengaja mahu membakar semangat temannya itu.

Zulkarnain menggeleng.

“Betul kau tak nak pergi?”

“Betul.”

“Muktamad?”

“Muktamad.”

“Nine…”

Zulkarnain terkejut mendengar suara itu lantas segera berpaling.

“Nis? Nis buat apa kat sini? Bukan ke Nis dan Rahman nikah hari ni?”

“Macam mana majlis nak berlangsung kalau pengantin lelakinya tak ada?”

Dahi Zulkarnain berkerut? Pengantin lelaki tak ada? Rahman buat hal ke?

“Abang Nine!” Natasha berlari mendapatkan Zulkarnain. Zulkarnain mendukung anak kecil itu.

“Abang Nine, Abang Nine nak tak jadi ayah Tasha?”

Zulkarnain memandang Nisdawati seakan meminta penjelasan. Nisdawati cuma tersenyum.

“Nis…”

“Apa tunggu lagi? Cepatlah siap!” Fahmi menyampuk.

“Tapi mak ayah aku…”

“Itu kau jangan risau. Aku dah uruskan semua untuk kau.”
Zulkarnain tercengang.

“Laa…nganga nganga. Cepatlah siap. Baju kau aku dah siapkan atas katil.”

Tiada ulasan: