Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 9

“Gue mahu duduk di sebelah Hani,” Erwin menarik kerusi di sebelah Hani.

“Gue juga mahu,” Armand turut memegang kerusi tersebut.

Kafeteria yang sememangnya menjadi tumpuan para pelajar kolej itu menjadi riuh dengan kehadiran mereka. Masing-masing berebut-rebut untuk duduk di sebelah Hani.

“Elo duduk di sana aja sih,” Erwin terlebih dulu duduk di kerusi itu.

“Enggak mahu,” Armand berkeras mahu duduk di situ juga.

“Syyy…Kalian ini kenapa sih?” Dimas menegur perbuatan mereka. “Kok bikin ribut? Di situ kan masih ada kosong.”

Armand mengalah dan duduk di sebelah Sukry dengan muka mencuka.

“Jangan masam-masam, Arm. Nanti tak hensem,” pujuk Hani.

Armand tidak jadi marah apabila mendengar usikan Hani. Sebenarnya dia tidak kisah tentang perkara tadi. Saja mahu menggamatkan suasana.

“Arm, pesan Arm!” ujar Sukry.

“Iya, mahu pesan apa?” Armand berlagak sebagai seorang pelayan. Pura-pura menulis pesanan di telapak tangannya

“Gue mahu teh sama Nasi Goreng USA!” ujar Erwin.

“Gue mahu sirap sama Nasi Goreng Pattaya,” celah Sukry.

“Gue juga!” kata Andin pula.

Erwin, Sukry dan Andin masing-masing bersuara serentak. Dimas juga tidak ketinggalan. Armand mula pening kepala. Terlalu banyak pesanan yang harus diingatinya.

Hani hanya tersenyum melihat gelagat lima anak muda dari seberang itu. Ternyata cuti semester dua minggu itu merapatkan mereka. Selama empat belas hari itu, dia mula mengenali Dimas dan kawan-kawannya. Kehadiran mereka berlima dalam hidupnya sedikit sebanyak telah mengubah dirinya. Daripada seorang yang pemalu dan pendiam, dia kini lebih banyak bergaul. Daripada seorang yang suka bersendiri, dia kini dikelilingi ramai teman rapat.

Menurut Dimas, mereka berlima telah saling mengenali sejak tiga tahun yang lalu. Dimas berkenalan dengan Armand ketika mereka sama-sama mendaftar di kolej itu. Armand pula berkenalan dengan Sukry melalui teman sebiliknya yang juga teman sekelas Sukry. Sukry pula berkenalan dengan Erwin yang juga teman sekelas Andin.

Rupa-rupanya kelima-lima mereka tetangga di Yogyakarta tetapi mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Keserasian yang wujud antara mereka menjadikan mereka akrab sehingga sekarang. Tambahan pula mereka mempunyai minat yang sama iaitu muzik. Ekoran minat itu mereka sepakat menubuhkan sebuah kumpulan muzik dan bermain di kafe. Namun setiap daripada mereka mempunyai karekter yang berbeza-beza.

Erwin misalnya seorang yang kelakar dan gemar menyakat. Menurut Dimas dan yang lain-lain Erwin playboy kerana dia sering bertukar pasangan. Erwin merupakan teman Dimas yang paling rapat memandangkan mereka mempunyai banyak persamaan. Seperti Dimas, Erwin juga telah kehilangan ayahanda tercintanya. Kedua-dua mereka juga merupakan anak sulung dalam keluarga.

Armand seorang yang mementingkan penampilan. Rambutnya pendek dan kemas. Seperti Dimas dan Erwin, Armand juga anak sulung. Dia juga yang paling matang antara mereka berlima. Sukry pula yang paling warak antara mereka berlima. Sering mengingatkan waktu solat dan tidak lokek senyuman. Andin pula agak pendiam tapi bila berlawak boleh tahan kelakarnya. Usianya yang paling tua antara mereka berlima membuatkan mereka menghormatinya.

“Sabar! Satu-satu. Kita mulai dengan cewek dulu. Lady first. Han, kamu mahu minum apa?” Pertanyaan Armand mematikan lamunan Hani.

“Jus tembikai,” ujar Hani tanpa teragak-agak. Memang itulah minuman kegemarannya.

“Makan?” tanya Armand lagi.

Hani menggeleng tanda tidak mahu.

“Takkan minum saja? Kamu diet ya, Han?” usik Dimas. “Tak usahlah. Aku fikir kamu sudah cukup kurus.”

“Tak adalah. Aku kenyang lagi. Baru makan dengan Farra pagi tadi,” jelas Hani. Hani pernah menceritakan perihal Farra kepada Dimas. Hani mula menyenangi sikap Dimas dan teman-temannya.

“Benar ni?” Dimas masih ragu dengan jawapan Hani.

“Benar,” Hani meyakinkan Dimas.

“Ok. Arm, gue mahu milo ais sama nasi goreng. Lapar banget nih!” ujar Dimas sambil memegang perutnya.

“Gue pula mahu teh sama Nasi Goreng USA,” ujar Erwin pula.

“Lagi?” tanya Armand kepada Sukry.

“Gue mahu sirap dengan nasi tomato,” celah Sukry.

“Elo, Din?”

“Gue sama macam Sukry,” kata Andin malas nak fikir-fikir lagi.

“Ok.” Armand membisu seketika kemudian bersuara, “Memandangkan pesanan kalian terlalu banyak dan tangan gue cuma dua, apa kata kalau kalian sendiri yang memesannya?”

Dimas, Erwin, Sukry, dan Andin naik berang mendengar kata-kata Armand. Sia-sia saja mereka memesan tadi.

“Gue baling dengan botol kicap ini baru elo tahu,” Erwin mencapai botol kicap di atas meja itu dan berpura-pura hendak melemparnya kepada Armand.

”Buang air liur saja,” getus Dimas geram.

“Gue cuma boleh bawa dua pinggan saja. Bantuin gue deh.”

Sukry dan Andin bangkit untuk membantu Armand.

“Weh, itu kan Hani tu?”

Serentak tiga pasang mata itu menoleh ke arah yang dimaksudkan. Farra, Tasya, Shafik dan Anuar turut berada di kafeteria itu.

“Fulamak, lima sekali gus. Hebat juga Hani tu ya. Nampak aja pendiam,” ujar Anuar.

“Kau cakap apa, Nuar?” marah Farra apabila temannya dikutuk.

“Tapi sejak bila pula Hani kawan dengan dia orang tu?” ujar Syafik hairan. Setahunya Hani tidak ada kawan lain di kampus itu selain Farra. Sebelum ini pun, mereka tidak pernah melihat Hani bersama Dimas dan yang lain-lain.

“Nampaknya kau dah ada saingan sekarang, Tasya,” kata Anuar.

“Kau diam boleh tak?” Farra semakin berapi.

Batu api betul! Kalau diikutkan hati, nak aja aku cili mulut si Anuar ni. Betul juga cakap Syafik. Sejak bila pula Hani ni baik dengan dia orang? Tapi memang sejak akhir-akhir ini telefon bimbit Hani kerap berbunyi. Baca mesej pun senyum sorang-sorang. Jangan-jangan Hani dengan Dimas ni memang ada hubungan. Agaknya sebab itulah Hani tak nak balik Kuantan sebab Dimas sah-sahlah ada kat KL ni. Jauh betul Farra membuat andaian.

Mata Tasya masih tidak berkalih daripada meja Hani dan Dimas. Seleranya terbantut melihat kemesraan Hani dan Dimas. Api cemburunya semakin meluak-luak.

Amboi bukan main lagi kau orang ya!


***

Pintu bilik itu dikuak. Farra muncul di muka pintu.

“Hai, Hani,“ sapa Farra.

“Hai,“ balas Hani yang sedang asyik menghayati lagu yang berkumandang di komputernya sambil matanya khusyuk membaca bait lirik lagu yang terdapat pada buku CD di tangannya.

Farra melabuhkan punggungnya ke katil.

“Lagu apa ni Hani?”

Pertanyaan Farra mematikan konsentrasinya.

“Apa, Far?“

“Lagu apa ni?“ Farra megulang pertanyaannya. Khusyuk betul!

“O... Manusia Bodoh,” jawab Hani lalu matanya kembali menatap lirik yang ada di tangannya.

“Hah? Lagu siapa?” tanya Farra lagi.

“Ada Band.”

“Ada Band? Band Indonesia?”

“Haah…” Hani malas hendak melayan Farra tatkala itu. Dia sedang asyik menghayati lagu yang berkumandang di speaker komputernya itu.

“Kau beli ke CD ni?” ujar Farra sambil membelek-belek bekas cakera padat di tangan Hani.

“Taklah. Ada orang pinjamkan.”

“Siapa?” Farra sengaja ingin menduga.

“Kawan.”

Kawan mana? Setahu aku, aku sorang aja kawan kau kat kolej ni. Masih nak berahsia. Kawan konon. Cakap ajalah Dimas. Farra mengomel sendiri.

“Sejak bila kau layan lagu Indonesia ni?”

Sebelum ni bukan main lagi dia mengkritik rancangan Carta Baik Banget kat Red 104.9 tu.

“Apa istimewanya dia orang ni sampai siap ada rancangan khas carta lagu-lagu dia orang?” pernah Hani merungut kepada Farra pada suatu hari.

“Biarlah dia orang. Dia orang punya stesen radio,” ujar Farra. Dia sendiri tidak tahu kenapa Hani terlalu membenci orang Indonesia. Mungkin ada kaitan dengan hidupnya.

“Tapi aku tak puas hatilah. Beria-ria benar radio ni promote lagu-lagu dari seberang,” Hani masih tidak berpuas hati. Betapa mudahnya lagu Indonesia untuk menembusi pasaran Malaysia.

“Kalau tak suka, tak payahlah dengar,” Farra membandingkan kata-kata Hani dulu dengan sikapnya sekarang.

Lain bebenar. Sekarang sampai pinjam CD. Dahlah lagu yang tak pernah dengar kat radio. Entah-entah kat Malaysia pun tak ada lagi CD ni.

“Baru aja. Boleh tahan juga lagu-lagu ni,” Hani seolah-olah dapat menangkap apa yang bermain di fikiran Farra.

Memanglah dulu aku tak berapa berkenan dengan lagu-lagu Indonesia. Penyanyinya pun aku tak kenal. Tapi bila dah dengar, sedap juga lagu-lagu ni. Tak sangka banyak betul koleksi CD lagu si Dimas tu. Rajin betul kawan dia kirim CD pada dia kat Malaysia.

“Supaya aku tidak lupa pada negara aku,” ujar Dimas apabila soalan itu diajukan oleh Hani. “Kamu pernah dengar rancangan Carta Baik Banget di radio Red fm?”

“Pernah sekali dua.”

Bosanlah rancangan tu! Kalau tak kerana juruhebahnya aku suka, malas aku nak dengar rancangan tu.

“Aku suka radio itu. Radio itu banyak memutarkan lagu-lagu dari Indonesia. Makanya, kami dapat mengetahui lagu-lagu terkini di negara kami. Sedikit sebanyak ia dapat mengubat rindu kami pada negara kami.”

Kata-kata Dimas itu sedikit sebanyak mengubah tanggapannya terhadap rancangan carta itu.

Mungkin betul cakap Dimas tu. Penduduk Indonesia pun memang ramai kat sini. Mesti dia orang rindu nak dengar lagu-lagu dari negara dia orang.

Muzik Indonesia mudah diterima di sini kerana persembahan muziknya selalu beraroma baru, segar dan memikat. Karya-karya muziknya juga lebih konsisten serta lebih mementingkan kualiti dan cita rasa yang cukup tinggi. Para penyanyinya hadir dengan pakej yang sempurna bukan sahaja melalui muzik tetapi juga mutu suara dan bait lirik yang menyentuh jiwa. Dan paling penting, jati diri bangsa Indonesia sangat terpancar melalui karya mereka. Unsur-unsur yang dipinjam dari luaran disesuaikan dengan gaya yang sempurna sehingga nuansa keindonesiannya begitu kental.

Hal ini berbeza dengan muzik Malaysia yang lebih banyak meniru dari negara luar seperti Barat, Arab, Latin dan Spanyol tanpa memberikan nuansa Malaysia. Artis atau komposer Malaysia kebanyakannya meniru bulat-bulat apa yang sudah popular di luar, lalu dibawa masuk ke Malaysia dan kemudian ditukar liriknya ke dalam bahasa Melayu. Jadi tidak hairan apabila lagu itu hanya bertukar kulit, tetapi idealismenya berjiwa luar. Lagu-lagu Malaysia juga kebanyakannya ’lembik’ dan kurang variasi. Muzik lokal yang mainstream sangat monoton, tidak banyak perubahan dalam formula dan kurang eksperimental. Jenis muzik yang diterbitkan juga melankolis dan hanya mengikuti selera pasaran.

Berbeza dengan lagu Indonesia. Dia orang lebih kreatif. Tak adalah terhad pada lagu cinta aja. Macam lagu ‘Rumah Hantu’ daripada Paperclip, ‘Lagak Si Borju’ daripada Neo dan ‘Bintang’ daripada Air. Kerajaan dia orang pun lebih memberi kebebasan kepada karyawan dalam berkarya. Tak macam kerajaan Malaysia yang terlalu mengongkong. Itu tak boleh, ini tak boleh. Macam mana muzik Malaysia nak berkembang?

Tiba-tiba telefon bimbit Hani berbunyi menandakan ada mesej yang baru masuk. Hani mencapai telefon bimbitnya. Bibirnya mengukir senyuman tatkala membaca kandungan mesej itu tanpa sedar kelakuannya diperhati oleh Farra.

“Senyum, senyum. Buah hati baru ke?” Farra cuba menduga walaupun rasanya dia sudah ada jawapannya. Dia dapat melihat wajah ceria Hani.

“Taklah. Kawan baru,” balas Hani.

“Siapa?”

“Adalah.”

“Ala…dengan aku pun, kau nak berahsia ke?”

“Nanti aku kenalkan kau dengan dia ya.”

“Yalah. Mainlah mesej tu puas-puas. Aku nak pergi mandi,” Farra mencapai tualanya menuju ke tandas. Sebelum berlalu, dia sempat menoleh ke arah Hani. Hani yang dilihat kini bukan lagi Hani yang dulu. Temannya itu telah banyak berubah. Mukanya pun semakin berseri-seri.

Dia bercinta ke? Takkan dia dah lupakan Arri? Baguslah kalau macam tu. Tapi macam mana kalau orang itu adalah Dimas? Macam mana pula dengan Tasya? Susah betul.

Tiada ulasan: