Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 8

“Bosannya!” Hani menghentak mouse komputer di tangannya. Dari tadi asyik kalah aja. Apa punya gamelah! Hani menopang dagu.

Nak buat apa ni? Hari ni hari Isnin. TV pun tak ada rancangan best. Nak pergi shopping tak ada benda yang nak dibeli. Tengok wayang?

Tiba-tiba Hani teringat pelawaan Dimas semalam.

Nak pergi ke? Kalau duduk bilik pun bukan ada apa-apa yang aku boleh buat. Lama-lama aku mengadap komputer ni boleh mati kebosanan aku dibuatnya. Pergi ajalah. Sekurang-kurangnya bolehlah isi masa cuti dua minggu ni.

“Kamu dah tengok ceritanya. Menurut kamu macam mana?” soal Dimas kepada Hani apabila dia dan Hani makan di sebuah warung selepas menonton wayang.

“Macam yang digembar-gemburkan, best sangat,” jawab Hani.

Selain jalan ceritanya yang menarik, lakonan para pelakonnya juga mantap dan berkesan. Walaupun masih baru, namun itu bukan halangan kepada mereka bagi memberikan yang terbaik buat penonton.

“Kamu maksudkan ceritanya ataupun heronya?” Dimas sengaja mengusik.

“Kesemuanya! Baik pelakon, jalan cerita, lagu-lagunya semua pun best. Dian Sastro tu cantik kan?” ujar Hani gembira. Akhirnya keinginannya untuk menonton sendiri filem yang dikatakan hebat oleh ramai orang itu tercapai juga.

Memang patut pun box office!

“Tapi tadi kamu menangis tak?”

“Aku sedih masa dia mimpi kawan dia mati tu. Aku ingatkan betul-betul. Kalau aku jadi Cinta, mesti aku menyesal sebab tak hiraukan kawan masa dia betul-betul perlukan kita dan dia mati tanpa sempat kita memohon maaf. Sedihnya,” Hani cuba mengawal air matanya supaya tidak jatuh. Sensitif pula aku ni.

“Memang sedih,” Dimas setuju dengan pendapat Hani. Dia juga hampir menitiskan air mata menonton filem itu. Filem itu benar-benar mengajarnya untuk lebih menghargai sahabat.

“Aku rasa nak tengok lagilah,” ujar Hani.

“Yang benar?”

“Tapi aku nak tunggu VCD dia keluarlah.”

“Original ke cetak rompak?”

“Yang originallah. Asalkan kualitinya bagus, aku takkan teragak-agak untuk beli yang ori,” balas Hani.

Dimas cuma tersenyum mendengar kata-kata Hani.

“Eh, lepas ni kamu mahu ke mana?” tanya Dimas.

Hani melihat jam di tangannya. Baru pukul lima. Awal lagi. Balik bilik pun tak ada apa nak buat. Dia menjungkit bahu.

“Kita ke kedai CD mahu? Aku mahu beli CD,” cadang Dimas.

“Boleh juga,” Hani setuju.

Hani melihat Dimas. Lelaki itu leka membelek cakera padat di suatu rak. Hani kemudian mengalihkan pandangannya ke suatu rak yang menempatkan cakera padat drama bersiri Mandarin. Tiba-tiba matanya tertancap pada satu set cakera padat drama bersiri yang paling diminatinya ketika di bangku sekolah menengah. Hani melihat harga yang tertera di cakera padat tersebut. Enam puluh sembilan ringgit sembilan puluh sen.

“Kamu pun minat drama ini?”

Hani berpaling. Entah bila lelaki itu ada di belakangnya. Hani tersenyum lalu meletakkan kembali set cakera padat drama bersiri Meteor Garden itu di tempatnya.
“Minatlah juga. Dulu petang-petang aku selalu tengok cerita ni. Cerita dia menarik. Hero dan heroin dia pun sama cantik dan sama padan. Pendek kata, enjoylah tengok cerita ni,” cerita Hani.

“Aku pun minat juga.”

“Ya ke? Eh, tadi kau kata nak cari CD. Ada tak CDnya?”

“CDnya tak ada. Belum ada di Malaysia agaknya,” jawab Dimas.

“CD apa?”

“Sheila on 7.”

“Sheila on 7? Yang nyanyi lagu ‘Sephia’ tu?”

“Kamu tahu?”

“Tahulah juga,” ujar Hani.

Kalau dah selalu dengar kat radio, haruslah tahu. Aku kan pendengar setia K.C. Ismail. Tak pasal-pasal aku kena dengar rancangan Carta Baik Banget tu.

Carta Baik Banget adalah rancangan carta lagu-lagu popular Indonesia yang dikendalikan oleh juruhebah K.C. Ismail di stesen radio Red 104.9 sejak tahun 1999.

“Bukan ke ada albumnya tadi?"

“Itu yang lama.”

“Dia orang dah keluar album baru ke?”

“Menurut ceritanya, begitulah.”

Mereka beriringan keluar dari kedai itu.

“Kau orang memang minat main muzik ke?” soal Hani ingin tahu. Setelah menyaksikan persembahan Dimas dan kawan-kawannya kelmarin, Hani yakin mereka mempunyai potensi yang besar untuk berjaya. Jika diketengahkan pasti mencuri perhatian ramai.

“Minat sangat,” jawab Dimas. “Kami juga punya impian untuk merakamkan album dan didengari oleh semua orang. Kami sangat mengagumi Sheila on 7. Kami ingin mencontohi mereka. Dari anak kampung yang tidak punya apa-apa, sekarang mereka adalah band nombor satu di Indonesia.”

“Siapa sangka ya?”

“Ya. Kamu tahu Sheila on 7 itu dan aku dengan yang lain-lain berasal dari wilayah yang sama?”

“Ya ke? Yogyakarta?”

Dimas mengangguk.

“Sheila on 7 merupakan kebanggaan penduduk Yogyakarta. Mereka telah menaikkan nama Yogyakarta.”

“Hari tu Sheila on 7 buat konsert kat Malaysia, kau pergi?”

“Haruslah. Tapi yang di sekitar Kuala Lumpur aja. Nanti kalau Sheila on 7 buat konsert di sini lagi, kita pergi sama-sama ya?”

“Tengoklah macam mana,” balas Hani acuh tak acuh.

Aku? Tengok konsert Sheila on 7? Lagu dia orang pun aku tak layan. Inikan pula konsert dia orang. Pelik betul. Senangnyalah artis luar nak buat konsert kat Malaysia ni. Kalau artis Malaysia, tak ada penajalah, tak adalah bajetlah. Itulah, inilah.

“Eh, Dim, cakap pasal band kau orang ni kan, kau orang pernah tak buat lagu sendiri?” soal Hani lagi.

“Ada juga tapi belum pernah dimainkan di khalayak.”

“Kenapa?”

“Belum yakin.”

“Kalau tak cuba, mana nak tahu orang suka ke tak kan?”

“Ya, betul tapi kemudian aja,” Dimas diam kemudian berpaling kepada Hani. “Macam mana dengan kamu?”

“Macam mana apa?”

“Setiap orang itu pasti punya impian kan? Kamu sendiri macam mana? Impian kamu apa?”

“Impian? Impian yang macam mana?”

“Impian… Apa yang kamu inginkan dalam hidup kamu. Apakah kamu mengimpikan keluarga yang bahagia? Ataupun apakah kamu mengimpikan kerjaya yang mantap pada suatu hari nanti? Ataupun apa ajalah,” terang Dimas.

Hani terdiam. Berfikir.

Impian? Apa yang aku inginkan dalam hidup? Apa ya?

“Entah. Aku pun tak pasti apa yang aku nak.”

“Kamu bohong lagi. Setiap orang itu kan pasti punya hasrat yang ingin dicapai. Masakan kamu tidak punya hasrat yang belum terlaksana?”

Aku pernah memasang angan-angan untuk membina hidup bahagia bersama Arri. Namun semuanya hancur lebur. Untuk apa punya impian kalau semuanya hanya harapan yang tidak diketahui kesudahannya.

“Terus-terang aku sendiri pun tak tahu apa yang aku nak dalam hidup. Aku pernah menyimpan satu impian. Tapi semuanya hanya tinggal impian. Lagipun aku takut untuk bermimpi. Takut tak tercapai,” luah Hani.

“Kamu tahu tak? Seorang teman aku pernah berpesan. Jangan pernah takut untuk bermimpi kerana ada kalanya mimpi itu adalah cerminan masa depan yang akan mencorakkan perjalanan hidup kita,” ujar Dimas.

“Kenapa kita mesti ada impian? Kenapa tak biarkan aja hidup ini berlalu apa adanya?” soal Hani.

“Dengan impian itu kita akan lebih berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan. Berkat usaha kita itu pasti impian itu bisa jadi kenyataan,” balas Dimas.

“Tapi kalau kita tahu impian itu tidak akan jadi kenyataan, buat apa kita berusaha untuk menjadikannya suatu kenyataan? Tidakkah ianya suatu perbuatan yang sia-sia?” Hani masih tidak mahu mengalah.

“Macam mana kita bisa tahu impian itu tidak akan jadi kenyataan kalau kita tidak pernah mencuba untuk mencapainya?”

“Sebab kita sudah tahu kesudahannyalah maka kita tidak perlu bersusah-payah untuk mencapainya.”

“Kamu tahu tak kamu terlalu banyak bercakap hari ini?”

Hani terdiam.

Aku pun rasa macam tu. Tapi siapa suruh dia yang mulakan? Aku cuma menyuarakan pendapat aku aja. Salah ke?

Tak salah. Bahkan aku lebih suka kamu begini. Kalau tak, asyik aku aja yang bercakap. Boring!

“Han, kita mahu ke mana lagi ni?”

“Entah.”

“Kita pergi Genting Highlands nak?”

“Sekarang?"

“Yalah.”

“Tipulah.”

“Aku serius ni.”

“Tak naklah.”

“Kenapa?”

“Aku penatlah. Aku nak balik,” bohong Hani.

Takkan aku nak pergi Genting Highlands berdua dengan dia? Buatnya dia ada niat tak elok kat aku. Tak ke naya? Masih terlalu awal untuk aku menilai hati budi dia.

“Tak apalah. Mungkin lain kali,” ujar Dimas.

Mungkin dia masih belum mempercayai aku sepenuhnya. Lagipun kita orang kan baru aja kenal. Tak mustahil kalau dia punya rasa syak wasangka pada aku. Aku mengerti.

“Dim, terima kasih sebab temankan aku hari ni. Dah lama aku tak rasa seronok macam ni,” ujar Hani tatkala Dimas menghantarnya pulang ke asrama.

“Tak ada apalah. Aku yang mengajak kamu,” ujar Dimas.

“Aku masuk dulu.”

“Hani, kamu bisa tidur sendiri?”

“Insya-Allah.”

“Kamu mahu aku temankan?” soal Dimas sekadar berseloroh.

“Nak kena tangkap khalwat ke?”

“Tak adalah. Aku cuma bimbang. Ataupun kamu mahu teman? Aku ada teman perempuan. Rumahnya tidak jauh dari sini. Kalau kamu mahu, kamu bisa tinggal dengannya selama cuti ini.”

“Tak apalah. Aku akan tidur awal.”

Buat apa tumpang rumah orang sedangkan aku selesa dengan bilik aku sendiri? Walaupun tak semewah bilik kat rumah tapi sekurang-kurang aku tak perlu berkongsi dengan orang yang aku tak kenal. Mesti tak selesa nak bergerak di rumah orang. Lagipun nanti mesti aku tak tahu nak sembang apa dengan kawan Dimas tu. Entah macam mana orangnya. Aku ni kan tak pandai bercampur dengan orang.

“Kamu pasti?”

“Ya.”

Aku lebih rela tinggal seorang diri di sini daripada tinggal dengan orang yang aku tak kenal dan terpaksa pura-pura mesra.

“Okey, kalau kamu perlukan apa-apa bagi tahu aja sama aku. Kamu masih simpan nombor telefon aku kan?”

“Ya, ada.”

Tak ada sebab aku nak buang nombor telefon dia. Selagi dia tak buat dajal dengan akulah. Esok-esok siapa tahu kan?

Tiada ulasan: