Hari ini Hani bangun awal. Pagi-pagi lagi dia sudah bersiap untuk keluar. Bibirnya tidak berhenti mengukir senyuman seperti sang suria yang memancarkan cahayanya pagi itu.
Selepas berpuas hati dengan penampilannya, Hani mencapai beg selempangnya di atas katil lalu melangkah keluar dari biliknya.
Di luar bilik, Hani bertembung dengan seorang pekerja asrama yang sedang menyapu sampah di hadapan biliknya. Pekerja asrama itu memandang Hani lalu tersenyum. Hani membalas senyuman itu lalu melangkah untuk pergi.
Kenapa cleaner tu nampak semacam? Tak macam cleaner yang biasa tu pun. Tak kisahlah. Mungkin dia orang tukar orang masa cuti ni. Fikir Hani sendiri.
Di stesen bas, Hani mengambil tempat di sebuah bangku. Sesekali dia melihat ke jalan raya. Tiba-tiba dia terpandang pekerja asrama tadi.
Cleaner ni lagi? Tapi bukan ke tugas dia orang cuma sapu sampah kat kolej aja? Takkan sampai ke stesen bas? Pelik aja cleaner ni.
Hani mengalihkan pandangannya ke notis-notis yang ditampal di stesen bas itu. Tidak ada apa yang menarik perhatiannya. Rata-rata notis itu berkenaan iklan rumah sewa dan mencari teman serumah. Namun tiba-tiba mata Hani tertancap pada suatu notis.
“Pelajar yang tinggal di asrama dalam cuti ini diingatkan supaya berhati-hati kerana seorang perogol bersiri yang dipercayai menghidap sakit mental telah terlepas dari sebuah hospital sakit jiwa. Anda diminta berhati-hati kerana perogol ini bijak menyamarkan diri sebagai pelajar, buruh binaan mahupun pekerja asrama,” Hani terkedu. Perlahan-lahan dia melihat ke arah pekerja asrama yang dia nampak tadi.
Tanpa disangka, pekerja asrama itu juga melihat ke arahnya sambil tersengih seolah-olah dia sudah mengetahui identitinya sudah terbongkar. Hani menelan air liur melihat wajah itu. Tanpa berlengah, Hani segera berlari dari situ apabila lelaki itu semakin menghampirinya.
Hani berlari sekuat hati. Namun sekuat mana pun dia berlari, dia masih di tempat yang sama. Hani terus berlari dan berlari hinggalah dia tiba di suatu bangunan kosong. Selepas yakin lelaki itu tidak lagi mengekornya, Hani melepaskan nafas lega.
Namun tiba-tiba tubuhnya dipeluk dari belakang. Hani cemas dan meronta-ronta untuk melepaskan diri. Namun tenaga perempuannya tidak dapat melawan tenaga lelaki itu.
Lelaki itu mengheret Hani ke tempat tersorok. Akhirnya Hani yang sudah tidak berdaya melawan rebah dalam dakapan lelaki itu. Tatkala itu tiada apa yang mampu dilakukannya selain berdoa agar ada orang yang akan menyelamatkannya.
Hani terjaga daripada lenanya. Badannya sudah dibasahi peluh. Keadaan bilik itu kelihatan tenang. Hani mengucap di dalam hati.
Nasib baik mimpi.
Hani melihat jam di telefon bimbitnya. Tiga pagi. Hani cuba melelapkan matanya semula namun bayangan tadi menghiasi ruang fikirannya sebaik-baik saja dia memejamkan mata. Mengenangkan itu, Hani segera menyambar telefon bimbitnya lantas pantas jarinya menekan-nekan punat mencari nama ‘Farra’. Nombor telefon Farra segera didail namun hampa apabila panggilannya dijawab oleh suara mesin.
Mana Farra ni?
Hani mendail nombor itu sekali lagi. Mungkin Farra berada di luar kawasan liputan.
Macam mana ni? Aku nak telefon siapa?
Tiba-tiba ingatannya membayangkan seseorang.
***
Alunan suara Duta, vokalis Sheila on 7 yang mendendangkan lagu ‘Temani Aku’ mengejutkan ketiga-tiga mereka daripada lena.
“Telefon siapa yang bunyi itu?” marah salah seorang daripada mereka kerana lenanya diganggu.
Si empunya telefon melihat nombor asing yang tertera di skrin telefon itu.
Siapa pula yang menelefon waktu orang sedang enak dibuai mimpi?
Dia menjawab panggilan itu dengan malas.
“Dim, dah tidur ke?”
Hani?
Serta merta matanya menjadi segar sebaik-baik saja mendengar suara di hujung talian.
“Iya. Kenapa Han?” Dimas melihat jam di sebelah tempat tidurnya. Tiga pagi?
“Tak apalah. Sorry saya mengganggu.”
“Eh, nanti Han!” Dimas menahan Hani. Hani tidak jadi meletak telefon.
“Ngomong di luar sih!” ujar salah seorang temannya dalam separuh sedar.
“Sorry,” Dimas berlalu ke ruang tamu agar tidak mengganggu lena teman-temannya. “Han, kamu tak apa-apa?” Dimas berasa bimbang mendengar suara cemas gadis itu. Pasti ada sesuatu yang terjadi yang menyebabkan gadis itu menghubunginya pagi-pagi buta begini.
“Saya mimpi seram. Saya tak dapat tidur,” adu Hani.
“O…mimpi. Kamu mimpi apa? Pontianak berambut panjang dan bermata merah ataupun perogol bersiri?”
“Dim, awak tak membantu!”
Hani memandang pintu biliknya. Perasaan takutnya masih belum hilang. Mana tahu kalau-kalau perogol itu memang ada di sekitar kolejnya. Macam mana kalau tiba-tiba perogol itu memecah masuk ke biliknya pada waktu itu?
“Dim, aku takut.”
“Kamu mahu aku ke sana?”
“Tak payahlah.”
Gila ke? Kalau kau perempuan tak apalah juga.
“Kamu pasti?”
“Ya, saya cuma perlukan teman berbual. Dim, boleh temankan saya sekejap?”
Apa aku merepek ni? Aku tak patut telefon dia. Dia bukan siapa-siapa dengan aku. Tapi dia sendiri yang cakap kalau ada apa-apa telefon dia. Ah, kenapa tangan aku gatal telefon dia tadi? Kalau Farra dapat dihubungi, tentu aku tak telefon dia.
Hani serba salah.
“Tapi kalau awak nak tidur pun tak apa. Saya tak paksa.”
“Aku temankan kamu hingga kamu bisa tidur semula ya?”
“Awak tak kisah ke?”
“Tak,” ujar Dimas. Malah dia berasa berbesar hati kerana Hani memilihnya sebagai teman berbual. “Kamu buat apa esok?”
“Tak tahu lagi,” jawab Hani. Biasanya dia menghabiskan masa dengan membaca novel. Tak pun bermain games di komputer.
“Kalau kamu bosan atau perlukan teman, datang aja ke kafe. Aku dan yang lain-lain ada kok,” Dimas dengan senang hati menemani Hani berbual-bual hingga ke pagi. Dimas sendiri tidak sedar pukul berapa dia masuk ke bilik.
“Dimas!”
Dimas tersentak. Matanya terkebil-kebil menahan rasa mengantuk. Dia hanya sempat tidur dua jam saja sebelum ke kafe tadi.
“Dari tadi saya perhatikan awak. Tersenguk-senguk. Awak tak tidur ke malam tadi?” tanya majikan Dimas.
“Sorry, bos.”
“Awak tahu tak berapa ramai pelanggan yang komplen pasal awak? Salah hantar pesanan, pesanan lambat sampai. Saya tak nak gara-gara awak, kafe ni dapat nama buruk.”
Dimas diam mendengar leteran majikannya itu. Dijawab nanti takut dia dipecat pula. Susah pula nak cari kerja lain. Lagipun memang dia yang bersalah.
“Sorry. Sebab saya, awak kena marah dengan bos awak,” Hani diserang rasa bersalah apabila mendapat tahu Dimas dimarahi oleh majikannya kerana tertidur sewaktu bekerja.
Semua salah aku. Kalau aku tak telefon dia pukul tiga pagi tadi, mesti dia tak kena marah dengan bos dia.
“Kamu tak perlu minta maaf, Han. Aku sendiri yang mahu menemani kamu,” Dimas cuba melenyapkan perasaan bersalah Hani.
“Apa pun, terima kasih sebab temankan saya pagi tadi,” Hani menghargai kesudian Dimas menemaninya berbual pagi tadi. Sedikit sebanyak rasa takutnya dapat dilupakan.
“Tak apa-apalah. Itulah gunanya kawan. Sesetengah perkara mungkin kita bisa melakukannya sendiri tapi bukan semua perkara. Berdua itu kan lebih baik?”
“Yalah. Jasamu ku kenang. Eh, lagu ni?” Hani terdiam sejenak apabila mendengar lagu yang dimainkan di radio kafe itu.
Bukan kerana lagu itu tetapi kerana nama penyanyi lelaki itu sama dengan nama bekas teman lelakinya.
“Kamu tahu lagu ini?” tanya Dimas.
“Mestilah tahu. Lagu ni kan tengah hangat kat Malaysia sekarang ni,” balas Hani.
Memang sejak akhir-akhir ini lagu ‘Ada Apa Dengan Cinta’ nyanyian Melly Goeslaw dan Ari Lasso itu sentiasa menjadi pilihan pendengar untuk diputarkan dalam segmen permintaan lagu. Malah lagu itu juga turut menguasai carta-carta lagu popular radio di seluruh negara mengalahkan lagu-lagu tempatan yang lain.
“Kamu suka? Aku ada CDnya. Mahu pinjam?” ujar Dimas.
“Tak apalah,” balas Hani. Aku tak dengar lagu Indonesialah. Entah kenapalah orang-orang Malaysia suka sangat dengan lagu-lagu Indonesia? Apa kurangnya muzik Malaysia? “Sejak bila band awak terbentuk?”
“Udah lama kok. Dari saat aku, Erwin, Sukry, Armand dan Andin kuliah di sini. Kira-kira empat tahun yang lalu,” cerita Dimas sambil mengingati detik-detik awal penubuhan kumpulan muzik mereka.
“Pernah buat lagu sendiri?” tanya Hani ingin tahu.
“Adalah juga. Masih belajar-belajar. Kamu minat muzik juga?”
“Mestilah! Muzik membuatkan saya rasa rileks.”
“Kamu suka muzik yang macam mana?”
“Apa-apa aja asalkan sedap didengari. Tapi kan, sekarang ni banyak lagu-lagu Indonesia yang masuk sini kan?”
“Apa pendapat kamu tentang muzik Indonesia?”
“Muzik Indonesia? Terus-terang, saya tak berapa pandai dalam menilai muzik. Saya hanya tahu mendengar. Kalau pada saya lagu itu sedap, sedaplah. Kalau bosan, bosanlah.”
“Nanti saya bagi kamu pinjam beberapa CD lagu ya.”
“CD apa?”
“CD dari Indonesia. Eksklusif tahu. Di Malaysia, tidak dijual. Satu hari lima ringgit ya,” ujar Dimas berseloroh.
“Hah eleh. Baik download kat internet aja. Free of charge!”
“Nah, sebab ada orang macam kamu inilah industri muzik susah mahu maju,” ujar Dimas.
“Nak buat macam mana? CD dia mahal. Itu pun belum tentu semua lagu dalam album tu sedap. Kalau setakat dua tiga lagu aja yang sedap, tak ke membazir?” Hani membalas kenyataan Dimas.
“Setiap sesuatu karya itu kan punya nilai dan harganya. Jika semua di dunia ini bisa didapati secara percuma, makanya hilanglah nilainya. Kamu tahu tak, orang buat lagu untuk apa?”
“Untuk dapat duit?”
“Untuk menghibur orang, untuk berkongsi karya mereka dengan pendengar. Justeru, kamu harus membayarnya dengan membeli kaset dan CD yang asli. Kamu khuatir kamu akan rugi kerana kamu belum pasti sama ada kesemua lagu dalam album itu memenuhi citarasa kamu. Tapi kalau kamu tidak mendengar kesemua lagunya, macam mana nak tahu sedap ke tak sedap?”
“Yalah,” Hani acuh tak acuh. Panjang pula mamat ni membebel.
“Ngomong-ngomong filemnya kamu dah tengok?” soal Dimas.
Seperti lagunya, filemnya juga sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh tanahair.
“Belum,” jawab Hani.
“Kenapa?”
Hani menjungkit bahu.
“Tapi ramai orang kata cerita tu best,” jawab Hani. Di mana-mana saja, orang heboh memperkatakan tentang kehebatan filem arahan Rudi Soedjarwo itu.
“Itu orang yang kata. Kenapa kamu tak tengok sendiri aja?”
“Terus terang saya cakap saya bukannya kaki wayang. So apa-apa filem pun saya cuma tengok CD. Panggung wayang pun saya tak pernah masuk,” ujar Hani.
“Ah, bohong! Masakan kamu tidak pernah masuk panggung wayang?” Dimas tidak percaya.
“Bohong apanya? Betullah,” tegas Hani.
Memang dia tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke panggung wayang. Ketika bersama Arri dulu pun, mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti luar. Arri pun tidak pernah mengajaknya menonton wayang.
“Esok aku cuti. Kita nonton bareng mahu? Aku pun belum sempat nonton,” ujar Dimas.
“Nak tengok kat mana?”
“Mana lagi? Panggung wayanglah.”
“Kita dua orang aja?” Hani serba salah untuk menerima pelawaan Dimas.
“Kenapa? Kamu malu kalau ada orang nampak kamu sama aku?” duga Dimas.
“Eh, bukan macam tu! Saya… Nantilah saya fikir dulu.”
Gila! Takkan nak keluar berdua aja dengan dia? Tengok wayang pula tu! Buatnya ada budak kolej kita orang yang nampak nanti macam mana? Bebudak tu bukannya percaya. Masing-masing kaki gosip. Berita kecik pun boleh heboh satu kolej. Tapi aku nak juga tengok filem tu. Apa yang membuatkan filem tu box office?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan