Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 29, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 42

Dimas ni apa kena? Tiba-tiba kata nak jumpa kat Damansara. Apa pula yang dia nak buat kali ni?

Hani berasa pelik dengan sikap Dimas kebelakangan ini. Sejak akhir-akhir ini, Dimas sering melakukan sesuatu di luar jangkaannya.

Hani membelok keretanya ke Damansara. Tiba di tempat yang dikatakan oleh Dimas, dia terus mencari Dimas. Mujur dia tidak perlu menunggu lama kerana Dimas sudah sedia menantinya di sebuah meja.

“Dim, apa yang kau cuba buat ni?!”

“Syyy…” Dimas meletakkan jarinya di bibir Hani. Hani terdiam. “Kamu masih ingat tempat ini?”

Hani mengamati tempat itu kemudian baru dia teringat sesuatu.

“Kat gerai nilah kita makan lepas kita tersesat ke Klang tu kan?” Hani tertawa kecil apabila mengingati peristiwa yang terjadi di situ.

“Kamu tahu kenapa aku mahu jumpa kamu di sini?”

Hani menggeleng.

“Sebab di sinilah pertama kali kita makan bersama. Waktu itu kamu langsung tidak mahu melihat muka aku,” Dimas mengingatkan Hani tentang kenangan itu. “Kamu ingat waktu pertama kali aku menyapa kamu di dalam bas? Pasti kamu fikir pertemuan di dalam bas itu pertemuan kita yang pertama kan?”

“Bukan ke?”

“Sebenarnya kita sudah pernah berjumpa sebelum waktu itu.”

Hani tercengang.

“Pertama kali aku melihat kamu di perpustakaan. Kamu kan suka baca novel di situ. Pernah sekali aku terlanggar kamu sewaktu kamu sedang mencari buku tapi kamu sedikit pun tidak marah bahkan kamu pula yang meminta maaf.”

“Owh… maknanya kau dah lamalah kenal aku?”

“Ya tapi cuma bila di dalam bas itu baru aku berani menegur kamu. Kamu kan orangnya cuek sekali.”

“Jadi, kenapa kau nak juga tegur aku?”

“Sebab aku mahu mengenali kamu dengan lebih dekat. Aku tahu jika aku tidak memulakannya, sampai bila-bila pun aku takkan dapat mengenali kamu kan?”

Hani tersenyum. Dalam diam, dia mengakui Dimas adalah orang pertama yang berani menegurnya walaupun mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Waktu itu, dia tidak berapa sukakan Dimas kerana dia menganggap Dimas hanya ingin main-main dengannya.

“Dim, kenapa kau nak ingat balik perkara yang dah lepas?”

“Kadang-kadang perkara yang dah lepas itulah yang membuatkan kita lebih menghargai masa sekarang. Tujuan aku bawa kamu ke sini supaya kamu mengingati sejarah detik-detik awal perkenalan kita dan aku mahu mencipta satu lagi sejarah di tempat ini dalam hubungan kita,” ujar Dimas seraya melutut di hadapan Hani lalu mengeluarkan sebentuk cincin dari poket seluarnya dan dihulurkan kepada Hani.

“Yasmin Hani Mustaqim, sudikah kamu menjadi teman hidup aku, Dimas Kresno Putro, buat selamanya dan berbagi susah senang bersama aku?”

Hani kaku. Tidak tahu hendak berkata apa. Lidahnya kelu. Dia tidak menyangka Dimas serius mahu berkahwin pada waktu itu.

“Han, ayo jawab…”

Hani tersentak.

“Ya, aku sudi menjadi teman hidup kau, Dimas Kresno Putro buat selamanya dan berbagi susah senang bersama kau.”

Mendengarkan itu, Dimas segera menyarungkan cincin itu ke jari manis Hani. Hani melihat cincin yang tersarung di jarinya.

“Ni cincin permata ke berlian?” seloroh Hani.

“Ini cincin buatan sendiri,” balas Dimas.

Mereka saling tersenyum.


***


“Kamu orang berdua ni betul-betul serius ke?” Encik Mustaqim memandang wajah pasangan di hadapannya itu.

“Saya serius, pak cik,” Dimas memandang Hani. “Saya mahu hidup bersama Hani.”

“Bukan abah nak larang kamu orang kahwin tapi abah tak nak kamu orang buat keputusan terburu-buru. Kahwin ni bukan perkara main-main,” Encik Mustaqim menambah. Dia tidak mahu mereka berkahwin semata-mata kerana mengikut perasaan. Hidup berumahtangga memerlukan persediaan bukan sahaja dari segi fizikal malah dari segi mental.

“Hani tahu, bah. Hani dah bersedia,” Hani cuba meyakinkan ayahnya. Selepas bertahun-tahun hubungannya diuji, Hani yakin jodohnya dengan Dimas.

“Macam mana dengan keluarga Dimas?”

“Saya akan maklumkan kepada ibu saya jika pak cik dan mak cik merestui hubungan kami.”

“Macam mana pula dengan karier Dimas? Karier Hani?” tanya Encik Mustaqim lagi. Perkara itu juga perlu difikirkan memandangkan Hani dan Dimas kedua-duanya bekerja dalam industri hiburan. Tak mustahil perkahwinan mereka akan menyekat perkembangan karier mereka terutamanya Hani yang akan mengikuti Dimas ke Yogyakarta selepas berkahwin kelak.

“Saya tidak terlalu memikirkan perkara itu. Saya percaya rezeki itu adalah kurniaan Allah…” balas Dimas. Dia tidak kisah sekiranya ada peminatnya yang lari hanya kerana dia sudah berkahwin. Yang penting Hani sentiasa di sampingnya.

“Hani pun tak kisah, bah,” Hani juga tidak kisah sekiranya dia perlu meninggalkan dunia hiburan sekalipun. Dia tahu tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.

“Kalau kamu orang dah cakap macam tu, abah ikut saja,” Encik Mustaqim berpuas hati dengan jawapan mereka. Dia yakin Hani dan Dimas sudah berfikir masak-masak akan perkara itu.

Hani dan Dimas tersenyum lega mendengar persetujuan Encik Mustaqim.

“Terima kasih, bah.”

“Terima kasih, pak cik.”

“Mak tak setuju!” tiba-tiba Puan Rohana membantah.

“Tapi kenapa, mak? Bukan ke mak yang nak Hani kahwin?”

Dahulu ibunya itulah yang beria-ria menyuruhnya berkahwin tetapi sekarang bila dia sudah bersedia ibunya pula membantah.

“Memang mak nak Hani kahwin tapi bukan dengan budak ni. Apa kat Malaysia ni dah tak ada lelaki ke?”

Memang dia berharap sangat Hani cepat-cepat kahwin tetapi bukan dengan warga asing. Berkahwin dengan warga asing akan hanya membawa banyak masalah di kemudian hari. Tambahan pula, dia tidak sanggup berjauhan dengan Hani jika Hani terpaksa mengikut Dimas ke Indonesia nanti.

“Tapi mak, hati Hani hanya pada Dimas…” aku Hani. Bukan dia yang menetapkan jodohnya dengan orang Malaysia ataupun dengan orang luar. Yang dia tahu, hatinya kini hanya terukir nama Dimas. Perasaannya pada Dimas masih sama seperti tujuh tahun yang lalu malahan mungkin lebih.

Hani tahu Dimas tidak sehebat Syukri dalam soal kerjaya namun dia tidak pernah kisah akan hal itu asalkan kerja Dimas itu halal. Hani juga tahu Dimas tidak seromantik Syukri dalam berkata-kata namun dia senang dengan sikap Dimas yang berterus-terang. Dan dia dapat merasakan yang Dimaslah pelengkap hidupnya.

“Jadi, Hani lebih sayangkan lelaki ni daripada mak? Yalah mak dah tua. Dah tak berguna,” Puan Rohana seolah-olah merajuk. Dia berlalu ke dalam.

“Mak!” Hani memandang si ayah dan Dimas.


***


“Aku akan cuba pujuk mak,” Hani menghantar Dimas ke muka pintu.

“Aku juga akan berusaha memenangi hati ibu kamu,” Dimas memegang pipi Hani. Situasi itu memerlukan usaha daripada mereka berdua. “Kamu bertahan ya? Aku pulang dulu. Esok aku datang lagi.”

“Hati-hati…”

“Kamu take care ya.”

Pandangan mata Hani menghantar Dimas. Betapa dia menyayangi lelaki itu. Tidak pernah dia memikirkan atas sebab apa Tuhan mengurniakan perasaan istimewanya terhadap lelaki itu. Kenapa bukan lelaki lain? Kenapa bukan Syukri? Sesungguhnya persoalan itu sangat sukar untuk dijawabnya.


***


“Mak, bah, Dimas datang,” Hani dan Dimas sudah berjanji akan cuba memujuk ibunya sehingga ibunya menerima Dimas.

Hani juga berjanji kepada dirinya sendiri sekiranya perkahwinannya dan Dimas direstui oleh kedua-dua orang tuanya, dia bersedia untuk bersara dari dunia hiburan.

Namun, Puan Rohana masih tetap berkeras dengan pendiriannya. Dia berasa marah lantas menghilang ke dalam seolah-olah tidak mengalu-alukan kedatangan Dimas ke rumah mereka.

Hani terasa hati dengan sikap ibunya.

“Duduklah Dimas,” Encik Mustaqim melayan Dimas mesra. Biar siapa pun pilihan Hani, dia terima asalkan anak gadisnya itu bahagia.

“Ya,” Dimas mengambil tempat di sebelah Encik Mustaqim.

“Eh, yang Hani duduk sini kenapa? Pergilah buat air untuk Dimas,” ujar Encik Mustaqim. Hani bangkit dari sofa untuk ke dapur namun dihalang oleh Dimas.

“Han,… tak usah susah-susah, pak cik. Saya sudah minum tadi,” jelas Dimas.

“Eh, mana boleh? Isteri kan kena layan suami,” Hani dan Dimas berpandangan mendengar kata-kata Encik Mustaqim. “Haa… apa lagi tercegat tu? Pergi buat air lekas.”

Hani tersentak kemudian segera berlalu ke dapur.

“Buat untuk abah sekali!” Encik Mustaqim mengalih pandangannya kepada Dimas. “Jadi, macam mana dengan karier Dimas sekarang? Banyak undangannya?”

“Agak lumayan juga,” balas Dimas.

Kalau hendak diikutkan, undangan persembahan bandnya tidak pernah berkurangan namun dia harus membataskannya sehingga masalahnya dengan Hani selesai. Mujur teman-teman bandnya memahami dan turut memberinya sokongan.

“Pak cik tanya sikit boleh?”

“Boleh…”

“Macam mana Dimas tackle Hani dulu? Yalah, setahu pak cik Hani tu memang susah nak bercampur dengan orang terutamanya lelaki.”

Dimas juga mengakui hal itu. Hani orangnya sukar ditebak. Air mukanya yang jarang-jarang senyum itu juga membuatkan banyak orang tidak berani menegurnya sewaktu di kolej dahulu.

“Pada awalnya agak susah juga. Hani tu pendiam.”

“Memang,” Encik Mustaqim bersetuju dengan Dimas.

“Ya tapi kata orang kalau nak seribu daya kan? Alhamdulillah akhirnya Hani bisa menerima saya. Hubungan kami juga pernah dilanda badai. Tapi ternyata jodoh kami masih kuat.”

“Pak cik harap pilihan Hani tak salah.”

“Insya-Allah, pak cik. Saya tidak akan mensia-siakan hidup Hani.”

“Tapi Dimas kena banyak bersabarlah. Hani tu kadang kuat cemburu.”

Dimas tersenyum. Dia teringat bagaimana marahnya Hani apabila mengetahui gosipnya dengan Misha.

“Haa… cerita apa? Mengumpat Hani ya?” Hani muncul membawa minuman. “Yalah, habis tu nak mengumpat siapa lagi?” seloroh Encik Mustaqim. “Minum, Dim… tak tahu apa rasa air Hani buat. Agak-agak lulus tak?”

Dimas menjamah minuman itu. Selama beberapa tahun bercinta, dia tidak pernah merasa minuman buatan Hani.

“Macam mana rasanya?” tanya Encik Mustaqim.

“Lulus,” jawab Dimas.

“Eleh… setakat air orange bolehlah,” Hani mencelah. Dah nak kahwin, terpaksalah cakap lulus. Huh!

Tanpa mereka sedari, Puan Rohana mengintai mereka dari dalam bilik. Keriuhan mereka menggamit Puan Rohana untuk mengetahui apa yang sedang dibualkan oleh mereka. Lama juga mereka bersembang. Sampai ke malam.

Namun, apabila terlihat suaminya menuju ke bilik, Puan Rohana cepat-cepat berlalu ke almari mekap. Berpura-pura sedang menyikat rambut di hadapan cermin.

“Dah balik ke budak tu?” tanya Puan Rohana.

“Kata tak suka budak tu, kenapa nak tahu?” Encik Mustaqim melabuhkan punggung ke katil.

“Saya tanya sebab saya tak suka dia lama-lama kat rumah kita ni.”

“Kenapa dengan awak ni? Awak tak kesian ke kat Hani tu?”

“Habis saya ni awak tak kesian?”

“Kenapa pula dengan awak? Yang nak kahwinnya Hani.”

“Bang, abang tak tahu ke dah berapa lama si Syukri tu tunggu anak kita? Sedangkan si Dimas tu baru aja kita jumpa. Macam mana abang boleh benarkan Hani kahwin dengan dia?”

“Memang kita baru aja jumpa Dimas tapi Hani kenal dia dah lama.”

“Tapi itu cerita lamalah, bang. Sekarang dah lain.”

“Apa yang lainnya? Si Dimas sanggup datang jauh dari Jodja semata-mata nak jumpa Hani. Itu menunjukkan yang dia betul-betul sayangkan anak kita.”

“Saya tak kira, Saya tetap tak setuju Hani kahwin dengan dia.”

“Lantak awaklah. Biar Hani tu tak kahwin sampai ke tua,” Encik Mustaqim malas nak berbalah dengan isterinya lalu menarik selimut untuk tidur.

Tiada ulasan: