Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 27, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 36

“Hello… Waalaikummussalam. Kau kat mana ni?” Hani menyambut panggilan telefon itu dengan suara yang ceria. Kebelakangan ini, panggilan telefon daripada lelaki itu benar-benar mengubah harinya. Hari-harinya terasa lebih ceria dan bahagia.

“Kita baru sampai KLIA ni,” ujar si pemanggil.

“Baru sampai KLIA? Boleh pula kau telefon aku? Tak ada orang serbu ke?”

“Aku dalam van on the way nak pergi hotel.”

“Owh… Duduk kat hotel mana?”

“Enggak tau deh. Nanti dah sampai, aku kasi tau ya. Ni Han, ada yang mau ngomong sama kamu.”

“Siapa?”

“Han, kita kangen banget sama kamu!!!”

Hani tersenyum mendengar sorakan di hujung talian. Mesti Erwin dan yang lain-lain. Ah, betapa dia merindui saat-saat mereka bersama dahulu.

“Aku pun rindu,” ucap Hani dan tatkala itu Puan Rohana menjenguk Hani di biliknya. Puan Rohana tersenyum mendengar Hani mengucap rindu pada orang di hujung talian. Wajah anaknya itu tampak ceria. Puan Rohana tidak mahu mengganggu Hani lalu menutup pintu bilik itu semula.

“Han, kamu di mana?” Dimas melekapkan semula telefon bimbitnya ke telinga.

“Di rumah.”

“Kapan kamu free? Kita jumpa?”

“Bila?”

Sedang Hani berbual-bual di telefon di biliknya, Puan Rohana mendapatkan suaminya di ruang tamu. Sejak bersara, suaminya itu lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan dia juga turut berhenti kerja bagi menemani suaminya. Tambahan pula, anak-anaknya mereka sudah besar dan pandai mencari duit sendiri.

Memandangkan Suraya terpaksa berpindah ke Shah Alam mengikut suaminya, maka Suraya turut membelikan sebuah rumah untuk mereka suami isteri di sekitar Kuala Lumpur. Tambahan pula, Hani juga masih belajar di Kuala Lumpur pada waktu itu. Jadi, dapatlah mereka sekeluarga berkumpul selalu.

“Bang, saya hairanlah tengok Hani tu sejak akhir-akhir ni,” ujar Puan Rohana kepada suaminya.

“Kenapa pula?”

“Tadi saya jenguk dia kat bilik. Bukan main gembira lagi dia cakap kat telefon,” cerita Puan Rohana.

“Habis tu takkan awak nak tengok dia menangis?”

“Tak adalah. Tapi macam pelik. Dulu Hani tu tak macam tu pun. Si Hani tu bercinta ke bang?”

“Kalau ya pun baguslah. Bukan ke awak yang beria-ria nak dia kahwin?”

“Yalah. Tapi siapa lelaki tu?”

“Awak tanya saya buat apa? Saya ni Hani ke?”

“Manalah tahu dia cerita kat abang ke. Maklumlah sejak dia bekerja ni kan dia rapat dengan abang.”

Encik Mustaqim cuma tersenyum. Memang sejak bekerja, Hani lebih rapat dengannya. Mungkin dia lebih berfikiran terbuka dalam soal karier Hani berbanding isterinya.

“Hani tu nak cerita kat kita? Takkan awak tak kenal anak kita tu? Suka berahsia,” balas Encik Mustaqim.

“Tapi saya tak puas hatilah, bang,” luah Puan Rohana. Hatinya tidak akan tenteram selagi dia tidak mengetahui gerangan lelaki yang mampu menjadikan Hani sebegitu. Pasti ada sesuatu pada lelaki itu yang membuat Hani terpaut. Sejak Hani bekerja dalam bidang hiburan, ramai lelaki yang mahu mendampinginya tapi apabila ditanya Hani hanya menjawab lelaki itu hanya kawan ataupun peminat.

“Kalau awak nak tahu sangat, awak tanya aja si Hani tu,” cadang Encik Mustaqim.

Tengah hari itu, Hani membantu ibunya menyediakan hidangan tengah hari di dapur. Puan Rohana mengambil kesempatan itu untuk bertanya perihal lelaki yang telah menambat hati anak bongsunya itu.

“Hani tak keluar ke hari ni?” Puan Rohana memulakan siasatan. Pada masa yang sama, tangannya lincah melakukan kerja-kerja mencuci sayur-sayuran di sinki sementara Hani menyediakan bahan-bahan untuk ditumis di meja.

“Rasanya tak. Hani penatlah, mak. Hari ni Hani nak rehat aja kat rumah. Lagipun bukan selalu Hani dapat makan bersama mak dan abah kan?” balas Hani. Puan Rohana cuma tersenyum.

“Macam mana hubungan Hani dengan Syukri?” tanya Puan Rohana lagi. Dia perlu mencari ayat yang boleh membuatkan Hani bercerita.

“Biasa aja,” ujar Hani.

“Mak tanya sikit boleh?”

Jangan pasal Syukri sudah. Doa Hani di dalam hati.

“Apa dia, mak?”

“Mak tengok sejak kebelakangan ni Hani ceria aja. Ada apa-apa ke?”

“Tak ada apalah. Cuma Hani rasa gembira aja.”

“Maksud mak, Hani nampak semakin berseri-seri. Biasanya orang yang dilamun cinta aja yang berseri-seri ni. Hani bercinta ke?”

“Hish…Tak adalah. Mak ni.”

“Takkan dengan mak pun Hani nak berahsia?”

“Betul. Tak ada,” Hani meyakinkan ibunya. “Kalau ada, maklah orang pertama yang Hani bagi tahu.”

“Yalah tu. Hani tu kan perahsia orangnya. Ada masalah pun pendam sorang-sorang.”

“Bukan Hani tak nak cerita. Tapi kalau Hani rasa masalah tu Hani boleh selesaikan sendiri Hani selesaikan sendiri. Lagipun Hani tak nak mak risau,” ujar Hani. Dia tidak mahu ibunya berkecil hati.

“Mak lagi risau kalau Hani tak bagi tahu mak,” ujar Puan Rohana pula. Dia lebih rela Hani mengadu kepadanya daripada dia berdiam diri.

“Oklah. Lain kali Hani bagi tahu mak ya. Hani janji,” Hani mengangkat tangannya seperti orang yang sedang bersumpah.

“Jangan berjanji kalau belum tentu boleh ditepati,” balas Puan Rohana.

“Mak ni macam tak percayakan Hani pula.”

“Bukan mak tak percaya tapi susah nak percaya.”

“Percayalah, mak. Mak kan mak Hani. Takkan Hani nak tipu mak?”

“Yalah. Dah siap belum tu?”

“Dah,” Hani membawa bahan-bahan itu kepada ibunya yang sedang menghidupkan api dapur untuk memasak.

“Jadi perempuan kena pandai memasak. Memasak ni salah satu resepi nak mengikat suami,” Puan Rohana memberikan tip-tip mengekalkan rumah tangga tatkala dia dan Hani menghabiskan masa di dapur sepanjang tengah hari itu.

Walaupun sudah berusia 26 tahun dan boleh dikatakan sesuai untuk mendirikan rumah tangga namun Hani masih lemah dalam bab masak-memasak. Mana nak pandai kalau tak dibiasakan? Kerjaya bukanlah alasan untuk mengelakkan diri daripada melakukan tugas wajib itu.


***


“Dia teman saya,” ujar Dimas kepada pekerja di situ. Pekerja itu mengerti lalu membenarkan Hani masuk. “Yuk. Kita tengah soundcheck.”

Hani mengikut Dimas ke dalam.

“Guys, see who here?”

Erwin, Sukry, Armand dan Andin yang sedang berbual-bual sesama sendiri melihat ke arah Dimas. Hani! Mereka berempat menerpa ke arah Hani.

“Kau orang semua sihat?” tanya Hani.

“Kita baik-baik aja tapi yang merah tu tak tahu,” ujar Armand sambil merujuk Dimas yang berbaju merah.

“Kenapa dengan yang merah?” Hani tidak mengerti. Dimas kelihatan sihat-sihat saja. Mungkin sakit gastrik Dimas menyerang lagi? “Kau sakit gastrik lagi ke?”

“Kali ini bukan sakit di perut tapi di hati,” Erwin menyampuk dan disambut deraian tawa oleh Sukry, Armand dan Andin.

“Hah?” Hani berkerut.

“Hatinya tertinggal di Kuala Lumpur,” ujar Erwin.

Hani mula mengerti. Dia orang ni masih tak berubah. Suka sangat mengusik.

“So bila konsertnya ni?” Hani mengubah topik. Dia tidak mahu sejarah lama disingkap kembali.

“Hari Sabtu ni, jam sembilan malam. Jom kita duduk sana,” Dimas mengajak Hani duduk di sebuah meja sementara Erwin dan yang lain-lain menyambung kerja-kerja soundcheck.

“Itu pengacara TV tu kan? Dengar cerita, dia orang tu pernah bercinta dulu?”

“Agaknya betullah gosip tu.”

Telinga Hani menangkap perbualan beberapa orang pekerja di situ. Dimas turut mendengar kata-kata mereka.

“Dim, kau ada dengar cerita?”

“Tentang apa?”

“Dia orang gosipkan kita.”

“Oh ya? Mereka bilang apa?”

“Dia orang dapat tahu hubungan lama kita dulu.”

“Wow! Dari mana mereka tahu?” Dimas kagum mendengar cerita itu. Hani menjungkit bahu. “Kamu enggak suka ya dengan cerita itu?”

“Mungkin aku tak biasa lagi dengan benda-benda macam ni,” ujar Hani. Sejak dia melibatkan diri dalam bidang hiburan, pergerakannya seakan terbatas. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada mata yang memerhati.

“Lama-lama nanti kamu akan lali. Asalkan mereka tidak menulis yang bukan-bukan aja. Tapi cerita itu memang benar kan?”

“Part tu mungkin betul tapi ada satu part lagi yang dia orang tulis.”

“Ada lagi? Tentang apa pula?”

“Dia orang cakap lagu Honey tu kau tulis untuk aku. Bunyinya sama tapi ejaannya lain kan?”

“Kalau aku cakap yang lagu itu memang aku tulis buat kamu gimana?”

Hani tertawa.

“Aku serius. Apa kamu tidak dapat menangkap maksud lagu itu?”

“Aku tak pernah hayati lagu tu.”

“Kenapa?”

Hani diam. Aku takut. Aku tak mahu menanti sesuatu yang tak pasti. Tak mungkin lagu itu untuk aku. Sudah lebih enam tahun aku dan Dimas tidak berhubung. Apakah dia masih mengingati aku? Apakah nama aku masih ada di hatinya?

“Kamu tunggu ya,” Dimas mematikan lamunan Hani.

“Kau nak pergi mana?”

Sebelum sempat Hani menahan, Dimas sudah mendapatkan kawan-kawannya. Apa dia nak buat tu? Hani hanya melihat Dimas dan yang lain-lain berbincangkan sesuatu. Seketika kemudian, mereka mengambil posisi masing-masing seperti hendak membuat persembahan.

Hani kaku di situ sejurus Dimas menyanyikan lagu itu di hadapannya. Betul ke lagu itu untuk aku? Betul ke apa yang dimaksudkan oleh Dimas melalui liriknya?

Hey... Honeyku
Saat ini ku takkan datang
Terpaksa tuk menjauh sayang
Dari dirimu
Hey... Honeyku
Waktu ini ku takkan pulang
Tak usah kau bersedih hati
Demi diriku
Hadapilah ini… Kisah kita tetap abadi
Selamat tidur kekasihku sayang
Semoga tidak kau lupakan aku
Kekasih sejatimu takkan pernah sanggup untuk melupakanmu
Selamat tinggal kasih tak terungkap
Semoga kau lupakan aku tidak
Kekasih sejatimu takkan pernah sanggup untuk meninggalkanmu
Oh! Honey…
Jangan pernah lupa namaku
Bila kita bertemu lagi di lain hari


“Sekarang kamu mengerti kan? Han, perasaan aku pada kamu masih sama seperti dulu.”

“Aku… Keadaan kita sekarang dah lain, Dim. Dah tak sama macam dulu. Dan aku tak pasti apa perasaan aku pada kau sekarang.”

“Kenapa Han? Kamu sudah tidak ada apa-apa perasaan pada aku?”

“Setelah enam tahun kamu menyepi tanpa berita, adakah aku masih boleh mempercayai kamu? Kalau kau betul-betul sayangkan aku, kenapa kau tak contact aku lepas kau balik Jodja? Kenapa kau mendiamkan diri? Kenapa Dim? Kenapa?” Hani meluahkan segala yang terpendam di hatinya selama ini. Dia inginkan kepastian daripada Dimas.

“Han… aku minta maaf. Aku tidak ada niat mahu mendiamkan diri. Bila pulang Jodja, kita mendapat peluang rakaman. Lantaran kesibukan itu, aku tidak sempat menghubungi kamu. Tapi aku tidak pernah melupakan kamu, Han. Percayalah.”

“Aku minta maaf. Aku tak dapat terima alasan tu,” Hani berlalu meninggalkan tempat itu.

“Hani!”

Hani tidak mempedulikan panggilan Dimas dan mata-mata yang memerhati. Hani sedar sejak dia datang ke situ tadi, banyak mata yang memerhati perlakuannya dengan Dimas. Pasti mereka bercakap perihal dia dan Dimas. Biarlah apa orang nak kata. Dia orang tak tahu apa-apa. Yang memikul semua ini aku. Hanya aku yang rasa.

“Sekarang you dah jumpa dia balik kan? So, adakah you akan bersama dia semula?”

Pertanyaan Syukri beberapa hari yang lalu bermain-main di fikirannya. Apakah aku masih menyayanginya? Apakah aku dapat menerimanya kembali? Apakah yang akan terjadi jika aku terima dia balik? Apakah pandangan orang lain nanti? Macam mana penerimaan mama dan abah?

Hani melepaskan keluhan. Persoalan-persoalan itu menghantui kotak fikirannya. Sedang dia berkira-kira, telefon bimbitnya berbunyi. Hani melihat sekilas nama yang tertera di skrin. Dia tidak ada mood untuk menjawab panggilan itu. Dia tidak mahu diganggu tatkala itu lebih-lebih lagi oleh wartawan yang mahu mengorek ceritanya berkenaan Dimas.


***


“Kenapa ni, Hani? Datang sini nak termenung aja ke?” Suraya meletakkan dua bungkusan nasi ke atas meja. Semalam Hani menghubunginya mengajak makan tengah hari bersama tapi tiba-tiba Hani cakap dia tak nak makan di luar. Takut terserempak dengan wartawan. Oleh sebab itu, mereka hanya duduk di kedainya.

“Hani bingunglah kak,” ujar Hani. Hanya Suraya sajalah tempat dia mengadu. Dia tidak akan tahan jika memendamnya sorang-sorang. Sekurang-kurangnya Suraya boleh memberikan pendapat.

“Bingung kenapa? Pasal Syukri? Ke pasal mama?” Suraya membuat andaian. Hanya dua nama itu saja yang dapat mengganggu fikiran adiknya itu.

Hani menggeleng.

“Pasal Dimas.”

“Dimas? Budak Jodja tu?” Suraya tercengang sejenak.

Hani menggangguk.

“Dah lama Kak Su tak dengar cerita pasal dia. Kenapa dengan dia?” Suraya membuka bekas polistrin nasi yang dibelinya sebentar tadi. “Makan ni.”

Hani menyambut huluran Suraya namun tidak pula dibukanya. Perutnya terasa lapar namun seleranya tidak terbuka untuk menjamah nasi itu

“Dia dah jadi penyanyi kumpulan muzik sekarang. Hani jumpa dia masa dia dan bandnya buat promosi kat KL dua bulan lepas,” cerita Hani.

“Dua bulan lepas?”

“Hani ingat lepas tu Hani takkan jumpa dia dah. Hani pun tak nak berharap sangat. Tapi seminggu lepas tu, dia telefon Hani. Kita orang berkawan macam dulu. Hani mengaku memang Hani gembira bila jumpa dia semula. Tapi bila dia minta kita orang mula balik, Hani jadi keliru.”

“Hani tak pasti nak terima dia balik ke tak?” Suraya mula mengerti apa yang mahu diperkatakan oleh Hani.

“Hani tak pasti apa perasaan Hani pada dia sekarang. Sejak kita orang terputus hubungan, Hani dah tak harap apa-apa daripada dia. Tapi bila Hani nampak dia masa Hani di Jakarta dulu, Hani tak boleh berhenti daripada memikirkan dia. Hani rindukan dia. Terlalu rindu. Hani selalu berharap Hani dapat jumpa dia balik. Hani tak tahu kenapa Hani susah nak lupakan dia. Hani pernah cuba nak terima lelaki lain tapi Hani tak dapat tipu hati Hani sendiri. Hani sayangkan Dimas.”

“Hani, kalau Hani sayangkan Dimas, Kak Su rasa Hani kena dia peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Mesti dia ada sebab kenapa dia mendiamkan diri beberapa tahun ni.”

“Hani tak tahu, kak. Hani bingung.”

“Bukan ke ini yang Hani tunggu selama enam tahun ni? Kenapa bila dah ada peluang Hani nak sia-siakan? Mungkin ada hikmahnya kenapa Tuhan pisahkan Hani dengan Dimas selama enam tahun ni. Sekarang Hani diberi peluang kedua untuk bersama Dimas. Hani tak takut kalau Hani kehilangan Dimas sekali lagi? Hani jangan ulang kesilapan Hani yang lepas. Hani harus mengejar kebahagiaan Hani.”

Tiada ulasan: