Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 25, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 35

Hani berbaring di katil sambil membelek-belek sebuah majalah hiburan. Tiada cerita yang menarik. Balik-balik muka artis yang sama. Sehelai demi sehelai muka surat diselak. Tiba-tiba matanya menangkap suatu tajuk di ruangan gosip. Dimas dan Hani bercinta? Hani membaca isi cerita gosip itu.

Penyanyi kumpulan popular Indonesia, Dimas Kresno Putro dan pengacara TV yang sedang meningkat naik, Yasmin Hani Mustaqim dikhabarkan telah lama saling mengenali. Menurut suatu sumber, mereka berdua juga pernah menjalinkan hubungan istimewa ketika sama-sama menuntut di sebuah kolej di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu. Namun khabarnya hubungan mereka terputus apabila Dimas pulang ke Indonesia selepas tamat pengajian di Malaysia. Siapa sangka mereka berjumpa semula ketika terlibat dengan majlis pelancaran wajah baru Buzz di Mid Valley baru-baru ini. Adakah lagu popular Honey ditujukan khas buat Hani?

Hani mengetap bibir membaca cerita itu. Mana pula dia orang dapat cerita ni? Cekap betul wartawan ni. Ni mesti kerja Nurul. Hani mencapai telefon bimbitnya. Namun baru saja dia hendak mendail nombor telefon Nurul, suatu nombor asing tertera di skrin telefon itu.

“Siapa pula ni? Bukan nombor sini ni,” Hani berkerut melihat nombor itu. Setahunya itu bukan nombor di Malaysia. Salah nombor agaknya. Biarlah.

Hani hanya membiarkan telefon itu bernyanyi. Namun telefon itu berbunyi sekali lagi apabila panggilan pertama tadi tidak dijawab.

“Hello…” Akhirnya panggilan itu dijawab juga. Hani terkejut apabila suara di hujung talian memperkenalkan dirinya. “Dim?”

“Kenapa? Terkejut?”

“Yalah. Macam mana kau tahu nombor telefon aku ni?”

“Aku ambil daripada Nurul.”

“Nurul? Nurul mana?”

“Nurul wartawan majalah Buzz itu.”

“Owh…”

Sah ini kerja Nurul. Siap kau Nurul! Jangan-jangan Nurul dapat cerita tentang aku dengan Dimas daripada Dimas sendiri? Tapi takkan Dimas cerita semua?

“Dim, kau kat mana ni? Bukan ke kau dah balik Indonesia?”

“Ya, aku sekarang di Jakarta.”

“Habis tu kenapa kau call aku?”

“Enggak boleh?”

“Bukan tak boleh tapi kau tak takut ke bil telefon kau naik nanti? Panggilan telefon dari Jakarta ke KL bukannya murah.”

“Aku telefon kamu ini kerana aku kangen sama kamu,” ucap Dimas namun kata-kata itu hanya terucap dalam hatinya. Sejak dia berjumpa Hani semula di Mid Valley hari tu, dia seakan terpukau dengan penampilan Hani yang baru. Baru sehari mereka meninggalkan Kuala Lumpur selepas promosi album mereka, dia sudah merindui gadis itu. Seolah-olah dia jatuh cinta sekali lagi kepada Hani.

“Aku cuma mahu bertanya khabar kamu. Waktu kita ketemu dulu kan kita enggak sempat ngobrol panjang,” ujar Dimas. Selepas acara di Mid Valley itu, mereka sudah tidak berjumpa lagi. Nasib baik dia sudah mendapatkan nombor telefon Hani daripada Nurul awal-awal lagi. Rupa-rupanya Hani sudah menukar nombor telefon.

“Aku baik-baik aja. Tahniah kerana impian kau untuk menjadi artis rakaman sudah tercapai. Band nombor satu Indonesia lagi.”

“Amin… Kamu juga sukses kan? Tidak sangka kamu jadi pengacara TV.”

“Dah rezeki aku.”

Keadaan sepi seketika. Masing-masing kehilangan idea untuk berbual. Hanya Tuhan yang tahu apa yang tersirat di hati mereka berdua.

“Han, waktu aku ketemu kamu di Mid Valley, ada banyak perkara yang ingin aku beritahu kamu,” ucap Dimas setelah lama mereka mendiamkan diri.

“Ya ke? Apa dia?”

“Terlalu banyak.”

“Salah satunya?”

“Salah satunya…”

Suasana sepi kembali.

“Bulan depan kita mahu ke KL lagi,” Dimas cuba berlagak seperti biasa.

“Kau orang nak datang KL lagi? Belum sampai tiga bulan balik Jakarta dah nak datang sini lagi? Kat Indonesia tu dah tak ada show ya sampai kau orang kena datang Malaysia banyak kali?” seloroh Hani.

“Hallo, hallo. Kita ke sana kerana kita mendapat undangan dari sana, bukan kerana di sini sudah tidak ada show,” balas Dimas.

Hani cuma tersenyum. Dia rindu suasana begini. Bergurau senda dengan Dimas walaupun sekadar di telefon.

“Marah?”

“Muka aku kelihatan seperti sedang marah ya?” tanya Dimas walaupun dia tahu Hani tidak nampak mukanya tatkala itu.

“Aah. Hodoh banget.”

“Emangnya kamu masih ingat ‘banget’ itu apa?”

“Mestilah ingat. Aku kan orangnya pintar amat,” Hani berbicara dalam lenggok Indonesia.

Ketika dia berkawan dengan Dimas di kolej dulu, dia banyak menonton drama Indonesia bagi memahami bahasa itu sampaikan pelakon-pelakonnya pun dia kenal. Dina Lorenza, Anjasmara, Lulu Tobing, Ari Wibowo, Dian Sastro, Nicholas Saputra, Nirina Zubir, Dea Ananda, Nanda Lontoh, Adelia Lontoh, Shaudy Aulia, Samuel Rizal, Roger Danuarta, Luna Maya … siapa lagi?

Namun sejak Dimas pulang ke Indonesia selepas selesai pengajiannya di sini, Hani sudah jarang-jarang menonton drama dan filem Indonesia kerana drama dan filem itu akan menambahkan rasa rindunya kepada Dimas. Tetapi drama dan filem itu juga adalah pengubat rindunya kepada Dimas. Persoalan yang bermain di fikirannya sekarang, kenapa Dimas tidak menghubunginya semenjak hari itu? Apakah Dimas sudah menemui seseorang di sana?

Ingin sekali dia bertanyakan perkara itu kepada Dimas namun dia memerlukan waktu yang sesuai. Apakah salah satu perkara yang ingin diberitahu oleh Dimas sebentar tadi termasuk perihal mereka berdua? Jangan-jangan Dimas nak bagi tahu yang dia dah kahwin dan dah ada anak? Oh, tidak!

“Han, aku harus pergi ni. Kita lagi ada show,” Dimas sengaja menekankan perkataan ‘show’ bagi menggambarkan kepada Hani bahawa mereka masih mendapat undangan persembahan di Indonesia.

“Pergilah. Mesti peminat-peminat kau tengah tunggu kau tu, vokalis popular.”

“Kamu cemburu ya?” Dimas sengaja menduga Hani. Masih adakah nama aku di hati kamu?

“Aku tumpang gembira dengan kejayaan kau sekarang Dim,” Hani tidak mahu menjawab soalan Dimas itu.

“Terima kasih, Han. Nanti kita jumpa ya? Tunggu aku di Kuala Lumpur,” Dimas mengingatkan Hani pada lagu Sheila on 7, Tunggu Aku di Jakarta.

“Ok,” Hani menamatkan perbualan telefonnya dengan Dimas. Patutlah aku telefon tak pernah dapat. Dah tukar nombor sana rupanya. Hani menyimpan nombor telefon Dimas dalam phonebooknya. Kemudian, dia berlalu ke ruang tamu.

Di ruang tamu, ibu dan ayah Hani, Puan Rohana dan Encik Mustaqim sedang bersantai. Ibunya membaca suratkhabar manakala ayahnya khusyuk menonton TV. Namun jeritan kecil isterinya mengganggu konsentrasinya.

“Bang, cuba abang baca ni,” Puan Rohana menunjukkan suratkhabar tabloid Pancaindera itu kepada suaminya.

“Kenapa?” tanya Encik Mustaqim sambil matanya tidak berkalih dari televisyen. Dia tidak mahu terlepas menonton dokumentari itu walaupun sesaat.

“Abang tengoklah ni. Cerita pasal anak kita,” Puan Rohana menayang muka surat yang terpampang gambar Hani itu di hadapan mata suaminya.

“Awak ni… kan saya tengah tengok TV ni,” Encik Mustaqim menolak tangan isterinya perlahan.

“Penting sangat ke TV tu daripada anak kita?” Puan Rohana seakan berkecil hati dengan reaksi suaminya.

Encik Mustaqim mengalih pandangannya dari TV lalu mengambil suratkhabar yang dihulur oleh isterinya sebentar tadi. Hani dan Dimas bercinta? Begitulah bunyi tajuk beritanya. Encik Mustaqim memandang isterinya kemudian menyambung bacaannya.

“Ala… ini kan gosip. Janganlah percaya sangat,” ujar Encik Mustaqim tenang.

“Abang, kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang?” Puan Rohana membidas kata-kata suaminya.

“Kalau betul pun, bukannya isu besar. Hani tu kan dah dewasa. Dia bebas berkawan dengan sesiapa aja.”

“Mak, bah,” Hani menyapa kedua-dua ibu bapanya lalu melabuhkan punggung ke sofa.

“Hani, tengok ni,” Puan Rohana menghulur suratkhabar itu kepada Hani. Hani mengambil suratkhabar itu daripada ibunya dan membacanya.

Hani terkedu melihat tajuk yang tersiar mengenai dirinya itu. Gambarnya dan gambar Dimas turut dipampang di bawah tajuk itu.
Cerita ni lagi? Dia orang ni dah tak ada cerita lain ke? Cerita macam ni pun nak masuk paper?

“Betul ke cerita tu Hani?” soal Puan Rohana. Hani meletakkan suratkhabar itu di meja.

“Tak ada apa-apalah, mak. Kita orang kawan aja.”

“Sebab cerita-cerita macam nilah mak tak suka Hani jadi pengacara TV. Semua pergerakan Hani dia orang nak ambil tahu. Apa kata Syukri nanti? Mak rasa eloklah Hani cepat-cepat kahwin dengan Syukri.”

“Mak, Hani dengan Dimas kan kawan. Sama juga dengan Syukri.”

“Kenapa pula sama dengan Syukri? Syukri tu lain. Kalau Hani tak nak kahwin sekarang, lebih baik Hani cari kerja lain,” tegas Puan Rohana. Dia tidak suka gosip-gosip sebegitu melanda hidup mereka sekeluarga. Apa kata saudara mara mereka nanti? Memang dari dulu lagi dia tidak bersetuju apabila Hani memberitahu mereka yang dia diterima menjadi pengacara TV. Namun, Hani berkeras mahu menerima kerja itu. Akhirnya dia terpaksa mengalah apabila suaminya turut menyokong Hani. Tambahan pula, Syukri memberi jaminan yang dia akan menjaga Hani.

“Mak…” Hani memandang ayahnya memohon pembelaan. “Bah…”

“Awak ni, Ana. Janganlah gelabah sangat dengan cerita-cerita macam ni. Biasalah tu dunia hiburan. Tak meriah kalau tak ada gosip. Lagipun cerita tu tak adalah melampau sangat,” Encik Mustaqim menegur sikap isterinya. Selagi Hani tahu menjaga nama baik dirinya dan keluarga mereka, dia tidak akan membantah kerjaya Hani sebagai pengacara TV asalkan kerja itu halal.

“Awak ni suka sangat menangkan anak awak ni,” ujar Puan Rohana lalu menghilang ke dalam.

“Mak…”

“Biarlah mak tu, Hani. Kejap aja merajuknya tu,” ujar Encik Mustaqim yang sudah masak benar dengan sikap isterinya. Isterinya itu memang sensitif tapi rajuknya tidak lama.


***


“Betul ke gosip tu?” tanya Syukri ketika dia dan Hani makan tengah hari bersama pada suatu hari.

“Gosip apa?” Pertanyaan Syukri dibalas dengan pertanyaan oleh Hani.

“Pasal you dengan Dimas. Sebab itu ke you tak dapat terima I?” soal Syukri lagi. Dia terkejut apabila mendapat tahu tentang berita itu. Patutlah selama ini Hani susah benar mahu menerima dirinya. Rupa-rupanya sudah ada lelaki lain yang mencuri hatinya.

“Syuk, pasal I tak dapat terima you tak ada kena-mengena dengan Dimas. I mengaku apa yang wartawan tu tulis semua betul tapi tu semua cerita lama. I pun tak sangka yang I akan jumpa Dimas lagi.”

“Sekarang you dah jumpa dia balik kan? So, adakah you akan bersama dia semula?”

“Kenapa you tanya macam tu?”

“I cuma tanya. Manalah tahu kalau you masih ada hati kat dia. Maklumlah dia kan artis popular sekarang.”

“Syuk, kenapa dengan you ni?” Hani menghentikan suapannya. Seleranya terbantut. Kenapa semua orang sibuk nak tahu tentang hubungannya dengan Dimas?

Sejak ceritanya dan Dimas tersiar di majalah dan suratkhabar, telefon bimbitnya tidak pernah berhenti berdering. Wartawan-wartawan sudah mula mengorek rahsia dirinya. Mungkin kerana lelaki itu adalah Dimas? Seperti yang Syukri katakana tadi, Dimas kan artis popular sekarang sedangkan dia baru saja menapak dalam bidang ini.

“Hani, boleh I tanya you sesuatu?” ujar Syukri apabila Hani memilih untuk diam daripada menjawab soalannya tadi.

“Apa?” Hani cuba mengawal marahnya.

“Sebab apa you berpisah dengan dia dulu?”

“Kenapa pula you nak tahu?”

Syukri menjungkit bahu. Kalau boleh semua perkara yang berkaitan dengan Hani dia mahu tahu.

Hani terdiam. Berpisah? Memang antara mereka tidak pernah mengucapkan perkataan itu. Apabila Dimas pulang ke tanahairnya, Hani pula sibuk dengan kuliah. Memandangkan mereka berada di dua negara yang berbeza dan bil telefon yang tinggi, mereka jarang-jarang berhubung. Telefon hanya sekali-sekala hingga akhirnya kedua-duanya menyepi begitu saja. Apakah itu tandanya hubungan mereka sudah berakhir?

“Kalau I tak nak jawab?”

Syukri tertawa. Hani hairan.

“Kenapa you ketawa? I tak rasa ada yang kelakar pun.”

“You perasan tak yang you ni suka jawab soalan I dengan pertanyaan juga,” Syukri menghabiskan sisa tawanya. “Baiklah kalau you tak nak jawab tak apa. I tak paksa. Makanlah.”

Hani memandang Syukri dengan waswas. Sihat ke tak dia ni? Namun Hani tidak ada masa hendak memikirkan tahap kesihatan Syukri pada waktu itu kerana telefon bimbitnya sudah bernyanyi minta dijawab. Hani melihat nama yang tertera di skrin lantas segera menjawabnya. Syukri hanya memerhati.

“Hello…Haa… kat KLCC. Dengan bos aku,” Hani memandang Syukri sekilas. “Elok sangatlah tu. Aku pun ada benda nak cakap dengan kau.”

Syukri lega apabila pasti bukan Dimas yang menelefon Hani melalui cara Hani bercakap. Agaknya macam mana kalau Dimas yang telefon? Mesti manja suara Hani kan?

“Siapa?” tanya Syukri setelah Hani selesai bercakap di telefon.

“Kawan,” jawab Hani. “Syuk, lepas ni I balik sendiri ya. I nak jumpa kawan.”

“Lelaki ke perempuan?”

“Pondan!” balas Hani selamba. Kadang-kadang dia naik rimas dengan sikap Syukri. Belum lagi jadi boyfriend aku, dah sibuk nak ambil tahu ke mana aku nak pergi, dengan siapa aku nak jumpa. Ada kalanya juga dia terlupa yang Syukri itu bosnya.


***


“Kau sorang aja ke? Cik abang tak ikut sekali?” usik Nurul ketika Hani sampai. Sebelum ke situ, Hani sudah memberitahu yang dia bersama Syukri. Hani menjeling Nurul tajam. “Uih… jelingan maut. Patutlah Syukri terpikat.”

“Pleaselah Nurul. Jangan menambah bara di hati aku ni,” pinta Hani. Kemarahannya pada Syukri tadi pun masih belum padam.

“Kenapa dengan kau ni? Kau gaduh dengan Syukri ke?”

“Nur, boleh tak kau jangan sebut nama dia?”

“Oklah. Nah, ni duit kau,” Nurul menghulur sekeping cek kepada Hani. “Terima kasih kerana tolong kita orang hari tu. Kalau ada kerja lagi, kita orang panggil kau ya.”

“Itu aja?”

“Ada lagi ke?”

“Ada apa-apa yang kau nak bagi tahu aku?”

“Apa dia?”

“Hai, sendiri buat sendiri tahulah.”

Nurul baru teringat akan gosip Hani dengan Dimas.

“Takkan kau marah aku sebab gosip kau dengan Dimas tu? Aku cuma tulis apa yang betul aja.”

“Mana kau dapat cerita tu?”

“Masa acara kat Mid Valley tu, Dimas datang jumpa aku. Dia minta nombor telefon kau kat aku. Mula-mulanya memang aku tak nak bagi. Tapi Dimas cakap kat aku yang kau dengan dia pernah belajar kat kolej yang sama dulu.”

“Jadi, dia tak ada sebut pasal hubungan istimewa kita orang dululah kan?”

“Yang itu bukan dia yang cakap tapi orang lain.”

“Orang lain? Siapa?”

“Adalah. Hani, betul ke kau dengan Dimas pernah bercinta dulu? Beria-ria dia minta nombor telefon kau kat aku.”

“Buat apa kau tanya aku? Kau kan pandai cari berita. Kau carilah sendiri.”

“Kau marah aku ke?”

“Siapalah aku nak marah dengan kau. Nanti kena gam oleh wartawan pula.”

“Ala… Hani, janganlah marah. Aku bukannya buat gosip yang bukan-bukan pun.”

Hani memandang Nurul. Dia tahu Nurul bukan mereka-reka cerita tentang dia dan Dimas tetapi dia tidak suka cerita peribadinya dijaja di dada-dada akhbar dan majalah. Dia lebih senang jika soal kariernya yang menjadi tumpuan. Mungkin inilah yang harus dibayarnya apabila bergelar selebriti.

Tiada ulasan: