Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 3

Dia melihat seluruh isi bas itu. Mencari tempat duduk yang belum berpenghuni. Tiba-tiba matanya menangkap pada suatu wajah. Dia tersenyum sendiri lalu melangkah ke arah gadis yang termenung merenung ke luar tingkap bas itu.

Dengan selamba dia melabuhkan punggung di sebelah gadis itu. Dia leka menatap gadis itu yang seolah-olah tidak menyedari kewujudannya di situ.

“Termenung jauh nampak.”

Akhirnya dia terpaksa memulakan perbualan kerana jika tidak pasti dia akan kempunan untuk mendengar suara sang pujaan memandangkan gadis itu langsung tidak memandang ke arahnya.

Gadis itu tersentak dek sapaan itu lalu menoleh.

Mimpi apa dia tegur aku ni? Kenal pun tidak. Memanglah dia senior aku tapi aku bukannya kenal sangat dengan dia. Gadis itu melihat ke depan. Banyak lagi tempat kosong kat depan tu. Sebelah aku juga yang dia nak duduk.

“Sorang ja?” soal lelaki itu lagi.

Ada kau nampak orang lain dengan aku ke?
Gadis itu berpaling semula ke luar tingkap. Soalan itu dibiarkan sepi tanpa jawapan. Dia memang bukan jenis yang suka berbual apatah lagi dengan orang yang tidak dikenalinya.

Ya, saya tahu kamu sorang. Saja nak tanya. Itu soalan warm up.
Lelaki itu tidak berputus asa lalu mencari soalan lain yang diharap dapat memancing minat si gadis untuk berbual.

“Nak pergi mana?”

Gadis itu masih membisu.

Tak kuasa aku nak layan mamat sorang ni. Tolonglah pergi tempat lain.

Aku takkan ke mana-mana. Aku mahu duduk sebelah kamu juga.

“Diam aja. Awak tak boleh cakap ke?” Lelaki itu mengajuk lagak seorang budak kecik dalam sebuah iklan di televisyen.

Gadis itu mula berang lalu merenung lelaki di sebelahnya itu dengan tajam.
Tak faham bahasa betul! Dah orang tak nak cakap tu maknanya orang tak nak cakap dengan awaklah. Tak payahlah tanya lagi. Kacau aja!

Si gadis mengeluarkan earphone dari dalam begnya lalu dilekapkannya ke telinga. Volume pemain mp3 itu dinaikkan ke tahap maksimum.

Lelaki itu mula mengerti.

Yalah, aku takkan tanya lagi. Renungan matanya… Fuh… Boleh buat orang jatuh cinta. Tak apalah. Aku faham kalau kamu tidak ada mood mahu berbual sekarang. Biarlah tak bercakap pun asalkan kamu tidak menghalau aku duduk di sebelah kamu.

Lelaki itu melihat jam di tangannya. Lima belas minit sudah berlalu. Bas itu mula lengang. Seorang demi seorang penumpang turun. Lelaki itu memandang gadis yang terlentok di bahunya. Bilalah dia nak bangun ni? Dia serba salah untuk mengejutkan gadis itu.

“Kau orang berdua ni nak pergi mana? Ni dah sampai stesen akhir,” suara pemandu bas itu mengejutkan gadis itu daripada lenanya.

Gadis itu mengangkat kepalanya. Kat mana aku ni? Aku tertidur kat bahu dia ke tadi? Malunya. Gadis itu berasa malu apabila menyedari yang dia terlena di bahu lelaki di sebelahnya itu. Mungkin kerana kepenatan. Maklumlah semalaman dia tidak tidur gara-gara menyiapkan tugasannya.

“Sorry…” ujarnya seraya memalingkan mukanya ke luar tingkap. Erm…kat mana pula ni? Gadis itu melihat sekeliling. Lain macam aja tempat ni. Ah, sudah! “Kat mana ni?” dia bertanya kepada lelaki di sebelahnya.

Lelaki itu melangkah turun dari bas tersebut tanpa menjawab pertanyaan si gadis.

“Weh, pekak ke? Orang tanya dia buat dek aja. Wei!” Si gadis mengikut si lelaki turun dari bas itu. “Awak tak dengar ke saya tanya ni?”

Lelaki itu tidak mempedulikan si gadis lantaran dia sibuk memerhatikan nama tempat yang tertera di setiap bas yang ada di situ. Si gadis berang dengan sikap si lelaki lalu menghalang langkahnya.

“Saya tanya kat mana kita ni?” ulang Hani keras.

“Boleh bercakap rupanya. Ingatkan bisu tadi,” lelaki itu memulangkan paku buah keras kepada si gadis. “Sekarang kamu tahu kan macam mana rasanya bila kita tanya tapi orang buat tak tahu?” Si gadis tersentak. “Kita kat Klang.”

“Klang? Macam mana kita boleh sampai sini? Kenapa awak tak kejutkan saya tadi?” Si gadis mula panik kerana berasa tempat itu terlalu asing baginya.

Dengan kawasan sekeliling. dia dapat rasakan seolah-olah semua orang di situ memerhatikannya. Tambahan pula terdapat khabar angin di kolejnya yang mengatakan bahawa tempat ini banyak berlaku kes jenayah. Kes ragut, cabul, rogol, rompakan, bunuh… Ah, tak sanggup dia terus berfikir!

“Bukan ke saya ada tanya tadi kamu mahu ke mana? Tapi kamu tidak jawab bukan? Jadi jangan salahkan saya kerana tidak kejutkan kamu,” marah si lelaki lalu melilau mencari bas yang boleh membawa mereka ke Kuala Lumpur semula.

Kalau aku tahu nak jadi macam ni tak adalah aku senyap bila dia tanya tadi. Menyesalnya aku. Apa aku nak buat ni? Si gadis memarahi dirinya sendiri.

“Kenapa tercegat lagi kat situ? Ayo naik,” arah si lelaki yang telah pun berada di dalam perut bas.

Namun si gadis masih berdiri di situ.

Kau ingat aku tak boleh balik sendiri ke? Tapi macam mana aku nak balik sedangkan tempat ni pun aku tak pernah sampai? Haa…! Baik aku telefon Farra.

Gadis itu mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg. Malang baginya, telefon itu kehabisan bateri. Ah, time-time macam nilah kau nak mati! Gadis itu memarahi telefon bimbitnya walaupun dia tahu telefon itu tidak boleh berkata-kata. Gadis itu memandang sekeliling mencari sesuatu.

Public phone pun tak ada. Apa aku nak buat ni? Takkan aku nak tunjuk lemah depan laki Indon ni?

Apa yang cuba dibuat tu? Degil betullah ini cewek. Si lelaki geram melihat si gadis masih tercegat di situ lalu turun mendapatkannya.

“Kenapa tak naik lagi?”

Si gadis memandang si lelaki tanpa sepatah kata.

“Kamu mahu duduk di sini?”

Si gadis masih membisu.

“Atau kamu mahu saya dukung kamu?” Si lelaki berlagak seolah-olah mahu mendukung si gadis namun pantas dicelah oleh si gadis.

“Saya boleh jalan sendiri,” ujar si gadis lalu pantas melangkah ke dalam bas sebelum si lelaki sempat memegangnya.

Si lelaki tertawa di dalam hati melihat riak wajah si gadis yang cuak itu. Tahu takut.

Bas tersebut sudah hampir penuh tatkala si gadis dan si lelaki naik. Si gadis mencari tempat duduk yang masih kosong. Masih ada satu tempat duduk yang belum berpenghuni di bahagian belakang bas itu. Si gadis melangkah untuk ke belakang bas namun baru setapak dua dia membatalkan niatnya untuk duduk di situ apabila melihat seorang lelaki warga Bangladesh di tempat duduk sebelah.

Baik aku berdiri aja.

Dalam tempoh tidak sampai lima minit, bas itu mula dipenuhi oleh para penumpang. Si gadis berasa tidak selesa kerana terpaksa berhimpit di dalam bas yang majoriti penumpangnya adalah bangsa asing.

Mana aku nak pegang ni?

Si gadis tidak sempat berpaut ketika bas itu mula bergerak. Spontan tangannya berpaut pada batang besi di belakang tempat duduk pemandu bas itu agar tubuhnya tidak jatuh. Namun bukan batang besi yang dipegangnya sebaliknya tangan salah seorang lelaki berbangsa asing yang berdiri di sebelahnya.

“Ops… Sorry,” ujar si gadis. Lelaki warga asing itu tersenyum lalu memegang tangan si gadis. Si gadis terkejut dengan tindakan lelaki warga asing itu lalu pantas menarik tangannya.

Gatal betullah mamat ni! Kan aku dah minta maaf tadi. Tak faham Bahasa Inggeris ke? Dia ingat aku syok kat dia ke?

Lelaki warga asing itu melangkah merapati si gadis. Suasana itu benar-benar membuatkan si gadis berasa tidak selesa.

Apa mamat ni nak buat ni? Pergi jauh-jauhlah!

Ingin saja dia memaki lelaki warga asing itu. Namun entah kenapa suara itu tidak terkeluar daripada mulutnya. Si gadis tunduk dan berdoa mudah-mudahan lelaki warga asing itu tidak berbuat sesuatu yang tidak elok terhadapnya.

Ya Allah, lindungilah hamba-Mu ini.

Dalam saat yang mendebarkan itu tiba-tiba suatu tubuh mencelah sekali gus menjarakkan dirinya daripada lelaki warga asing itu.

“Excuse me,” si lelaki meminta laluan daripada lelaki warga asing itu dengan sopan. Lelaki warga asing itu tidak ada pilihan lalu berganjak ke tepi.

Si gadis mengangkat muka. Kelihatan lelaki yang bersamanya tadi berdiri di sebelahnya. Si gadis menarik nafas lega kerana tidak ada perkara buruk yang menimpa dirinya.

Mujur dia ada. Hish…takkan aku terhutang budi dengan dia pula?

Dia melangkah pantas turun dari bas sebaik-baik saja bas itu tiba di Kuala Lumpur.

“Hani!”

Hani terpinga. Mana pula dia tahu nama aku? Dia kenal aku ke? Ah, lantaklah! Tak ada masa aku nak fikir. Hani tidak mengendahkan panggilan Dimas.

“Kamu mahu ke mana?” Dimas mendapatkan Hani. Entah apa yang dikejarnya. Kok buru-buru banget?

“Nak baliklah,” jawab Hani. Habislah aku. Dah pukul berapa ni? Hani melihat-lihat ke jalan raya seraya melihat jam di tangannya. Mana bas ni? Mati aku. Takkan nak naik teksi malam-malam ni?

“Kamu tak lapar?” soal Dimas.

Hani memegang perutnya.

Lapar juga. Mana tak lapar? Sejak petang tadi aku tak makan. Tapi dah lewat ni. Baik aku makan maggi aja kat bilik nanti.

“Tak,” bohong Hani.

“Tapi aku lapar ni,” ujar Dimas sambil memegang perutnya.

Aduh sakitnya terasa menucuk-nucuk. Pedih banget.

“Kalau macam tu awak sorang ajalah yang makan. Saya nak balik,” Hani menahan sebuah teksi.

Terpaksalah aku naik teksi. Nak tunggu bas, entah pukul berapa.

“Hani….” Dimas mengerang kesakitan. Hani serba salah melihat Dimas.

Entah-entah saja buat-buat sakit. Aku takkan tertipu. Tapi dia macam sakit sangat. Kalau betul macam mana? Menyusahkan aku betul!

Hani tidak jadi menaiki teksi tersebut lalu meminta maaf kepada pemandu teksi itu kemudian mendapatkan Dimas.

“Awak sakit apa?”

“Gastrik rasanya,” suara Dimas lemah.

“Awak boleh bangun tak?”

Dimas menggangguk.

“Saya tolong,” Hani memapah Dimas untuk berdiri.

Sebaik-baik saja makanan mereka sampai, Dimas makan dengan penuh berselera. Tatkala itu dia berasa betapa besarnya rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Nikmatnya hingga tak terkata. Perutnya yang kosong tadi kini terisi dan dia rasa kembali bertenaga.

Setelah hampir habis nasi goreng itu dikerjakan, Dimas mengalihkan pandangannya kepada Hani yang duduk setentang dengannya. Sejak dari tadi mereka berdua hanya makan tanpa sepatah bicara. Dimas melihat ke pinggan Hani. Nasi di pinggan itu telah tinggal separuh.

Cheh…Tadi kata tak lapar.

“Hani, saya tanya sikit boleh?”

“Apa dia?” soal Hani berbasa-basi. Namun matanya masih melekat pada pinggan nasinya.

“Buruk sangat ke muka saya ni?” tanya Dimas sekadar berjenaka. Dari tadi Hani hanya tunduk tanpa memandangnya. Hani mengangkat muka. Tidak mengerti. “Dari tadi kamu tunduk tanpa memandang saya. Kalau-kalaulah muka saya ni menakutkan kamu,” ujar Dimas separuh bercanda.

Nak tengok muka kau buat apa? Daripada tengok muka kau, lebih baik aku tengok makanan ni. Hati senang, perut pun kenyang.

“Tak ada apa-apa yang tak kena dengan muka awak. Mata awak elok. Hidung awak tak kemek. Mulut awak pun tak senget,” ujar Hani serius tapi sudah cukup untuk membuat Dimas tertawa.

“Pandai juga kamu bercanda ya,” ujar Dimas sambil menatap wajah bersih milik Hani. Tanpa sengaja mata mereka bertaut.

Jantung Hani berdegup kencang tatkala Dimas merenungnya lantas dia segera mengalihkan pandangan matanya mengadap Nasi Goreng Pattaya kegemarannya.
Kenapa aku rasa berdebar-debar pula ni?

Dimas turut berasa debaran itu. Alangkah indahnya jika renungan itu menjadi miliknya. Hani berasa tidak selesa apabila berasakan Dimas masih memerhatikan dirinya.

“Sejak bila awak ada sakit gastrik?” Hani cuba menutup kegusaran hatinya.

“Sudah lama. Sejak sekolah lagi,” jawab Dimas.

“Habis, kenapa tak makan ikut masa?”

“Tak sempat nak makan tadi,” Dimas menjamah minumannya. “Hani, dari tadi kamu asyik lihat jam. Kamu kejar sesuatu?”

“Tak,” ujar Hani.

Entah-entah dari tadi dia perasan aku asyik tengok jam. Dah pukul berapa ni? Tak nak balik ke?

“Kamu risau pulang lewat malam begini?” soal Dimas. Dia tahu gadis itu pasti risau pulang lewat malam begini.

Hani diam.

Macam tahu-tahu pula dia ni. Dia ada pakai ilmu ke? Tadi pun dia tahu nama aku sedangkan aku tak pernah kenal dia dengan dekat.

“Tak apa. Lepas habis makan saya hantar kamu pulang ya?”

Ha? Dia nak hantar aku balik? Boleh percaya ke?

“Tak apalah. Saya boleh balik sendiri,” Hani menolak pelawaan Dimas. “Menyusahkan awak aja.”

“Tak susah pun. Lagipun bahaya anak gadis macam kamu ni pulang sendirian malam-malam begini. Kamu tidak takut?”

Memanglah takut. Tapi kalau malam-malam macam ni dengan seorang lelaki yang aku tak kenal lagi menakutkan!

“Saya janji saya akan hantar kamu pulang dengan selamat. Percaya pada saya,” Dimas memberi jaminan.


***


Di pondok jaga asrama perempuan, seorang gadis kelihatan gelisah. Dia berjalan mundar mandir. Sesekali pandangannya dilontar ke luar pagar asrama itu. Jam di tangannya dilihat.

Mana pula Hani ni? Dah malam ni tak balik-balik lagi? Minta-mintalah tak ada perkara buruk yang berlaku pada Hani.

Tatkala itu sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar asrama itu. Seorang gadis melangkah keluar dari teksi tersebut. Farra mengamati tubuh itu. Gadis itu seakan terkejut melihat Farra.

“Far, kau ni buat terkejut aku aja,” gadis itu mengurut dadanya.

“Kau tu yang buat aku risau. Kau pergi mana? Aku mesej tapi kau tak jawab. Telefon pun tak dapat.”

“Telefon aku habis bateri,” ujar Hani. Dari riak wajahnya, Hani tahu Farra risaukannya. “Sorry Far. Aku salah naik bas tadi. Tersesat sampai ke Klang.”

“Klang? Tempat tu bahaya tau,” Farra memberi amaran. “Macam mana kau boleh sampai ke Klang pula? Kau tak tengok ke nama tempat kat depan bas tu?”

“Aku tertidur. Sedar sedar dah sampai Klang,” terang Hani. Sedikit pun dia tidak menyebut tentang Dimas.

“Kau ni ada ada aja. Kau dah makan belum ni?”

Hani menggangguk.

“Kau dengan siapa tadi?” Farra meninjau ke dalam teksi itu. Macam ada orang lain. Namun dia tidak sempat melihat orang yang bersama Hani kerana teksi itu telah meluncur ke jalan raya. Mungkin penumpang lain agaknya. Fikir Farra.

“Tak ada siapa. Aku sorang ja.”

Takkan aku nak cerita yang aku tertidur sebelah Dimas. Dimas tak kejut aku sebab tak tahu aku nak pergi mana. Kita orang makan sama. Nanti Farra ingat lain pula.

“Sorry Far buat kau risau,” Hani rasa bersalah membuat temannya itu risau memikirkan dirinya.

“Dahlah, dah malam ni. Esok ada kelas.”

Mereka melangkah ke bilik.

Tiada ulasan: