Matanya pantas menangkap wajah gadis yang duduk di sebuah meja bersama seorang gadis lain tatkala dia dan kawan-kawannya melangkah ke kafeteria itu. Entah kenapa dia berasa rindu untuk menatap wajah itu. Sudah empat hari dia tidak berjumpa dengan gadis itu sejak hari mereka tersesat ke Klang tempoh hari.
“Dim, mahu minum apa?” soal si teman.
“Apa ajalah,” jawab Dimas sambil matanya masih tidak lepas menatap wajah gadis yang telah mencuri hatinya itu.
“Yo, geng!” Syafik menarik kerusi menyertai dua gadis itu.
“Kau sorang aja ke? Mana yang lain?” tanya Farra apabila melihat Syafik datang bersendirian.
“Library,” jawab Shafik.
“Library? Buat apa? Main internet?”
Setelah hampir satu semester belajar dalam kelas yang sama, Farra sudah dapat membaca sikap teman-temannya itu. Syafik, Tasya dan Anuar sememangnya kaki internet. Pantang jumpa komputer, mesti nak online. Friendsterlah, my space, laman web itulah, laman web inilah. Forum tu, forum ni. Nasib baiklah internet kat perpustakaan tu percuma. Kalau tak, entah berapa banyaklah duit yang dia orang berhabis untuk benda-benda macam tu. Tak ada faedah pun.
“Biasalah,” ujar Syafik. Sekadar nak berseronok. Apa salahnya? Dalam dunia teknologi yang serba canggih sekarang, masyarakat akan dipandang rendah kalau tak dapat menguasai teknologi.
Mungkin bagi sesetengah orang, chatting itu membuang masa. Tapi terpulang kepada individu itu sendiri. Kalau niatnya tak betul, memang buang masalah jawabnya. Tapi kalau niat tu betul, nak cari kenalan untuk sekadar bertukar-tukar pendapat, kenapa tidak? Ada kalanya kita berasa lebih selesa berbual dengan orang yang kita tidak kenal.
“Panasnya,” Syafik mengibas-ngibas mukanya dengan tangan. “Far, tolong belikan air untuk aku.”
“Banyak cantik? Kau OKU ke?” Farra masih ingat macam mana Shafik mengenakannya dulu.
“Ala... tolonglah. Aku penat ni. Dari library nak datang sini bukannya dekat,” ujar Syafik memberi alasan.
“Ada aja alasannya.”
“Tolonglah, Far. Kau tak sayang kat aku ke?”
“Ah, tak ada sayang sayang!” celah Farra. O..bila nak minta sesuatu baru nak sayang.
“Kau nak air apa? Biar aku belikan,” celah Hani.
“Eh, tak apalah! Biar Farra belikan untuk aku,” ujar Syafik.
Sebenarnya dia agak segan dengan Hani. Maklumlah dia dan Hani tidak banyak bercakap sepanjang semester itu. Walaupun mereka sering lepak bersama namun Syafik masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan Hani. Mungkin sikap Hani yang agak pendiam itu membuatkan dia rasa segan kerana dia tidak tahu apa yang difikirkan oleh gadis itu.
“Tak apalah. Aku nak beli roti sekali,” ujar Hani.
“Kalau macam tu, kau belikan teh ais ajalah untuk aku. Nanti aku bayar balik,” ujar Syafik malu-malu.
“Kau Far? Nak pesan apa-apa?”
“Kau belilah roti untuk aku sekali,” kata Farra.
“Thanks, Hani,” Syafik memandang Farra. “Tengok, Hani juga yang baik.”
“Siapa kata dia jahat?” balas Farra.
“Tapi Far, macam mana kau boleh baik dengan Hani?” tanya Syafik sebaik-baik sahaja Hani sudah melangkah jauh dari mereka.
“Apa nak diherankan? Kita orang kan duduk sebilik,” ujar Farra.
“Yalah, tapi dulu kan kau tak baik sangat dengan dia. Sekarang, setiap kali kita lepak sama, dia ada.”
“Kau tak suka dia ke?”
“Bukan aku tak suka tapi kalau kita sembang ramai-ramai pun, dia diam aja. Kadang-kadang aku rasa macam dia tak suka kita orang aja.”
“Tak adalah. Kau aja yang rasa macam tu. Dulu pun aku pernah rasa macam tu. Tapi bila dah kenal lama, aku rasa dia okey. Cuma dia tak berapa reti nak bercampur dengan kita. Sebab tu aku selalu ajak dia lepak dengan kita.”
“Aku pun tak ada apa masalah dengan dia tapi dia tu diam sangat sampai aku pun tak tahu nak cakap apa dengan dia.”
“Ala...lama-lama nanti okeylah. Kau bagilah dia masa. Dah memang sikap dia pendiam. Kita tak boleh nak ubah perangai orang. Kau cuba-cubalah bersembang dengan dia. Mana tahu, suatu hari nanti, kau boleh ngam dengan dia.”
Syafik menggangguk-angguk mendengar kata-kata Farra kemudian mengalihkan pandangan kepada Hani yang sedang membeli minuman.
Setelah memesan teh ais Syafik, Hani melihat-lihat kek dan roti yang dijual di situ. Dimas mengambil peluang itu untuk berbual-bual dengan Hani.
“Aku ke sana sebentar,” ujar Dimas kepada teman-temannya lalu bangkit menghampiri Hani. “Hai.”
Hani menoleh.
“Hai,” Hani membalas sapaan itu apabila melihat Dimas. Dia rupanya.
“Beli roti?” tanya Dimas.
“Taklah, beli baju,” jawab Hani selamba.
Dimas terkedu. Ya tak ya. Dah namanya pun kedai kek dan roti. Takkan nak beli baju? Padanlah muka aku. Dah tahu lagi mahu tanya.
“Err... Kamu sihat?” Dimas mengubah topik perbualan.
“Muka saya ni ada nampak macam orang sakit ke?”
Apa punya soalanlah? Kalau aku sakit, tak adalah aku berdiri kat sini. Ngomel Hani sendiri.
Hai susahnya nak borak dengan dia ni. Kita tanya dia elok-elok. Dia pula asyik nak kenakan kita. Namun untung juga kali ini dia mahu menjawab pertanyaan aku walaupun jawapannya itu agak menyakitkan hati. Tidak seperti masa mula-mula dulu. Dingin. Dimas mencari idea lain.
“Baru selesai kuliah?”
Hani menggangguk.
“Dengan siapa?”
“Dengan kawan.”
Dimas mengikut langkah Hani yang sedang asyik membelek aneka roti yang ada. Dimas hanya memerhati perlakuan Hani. Setelah memilih beberapa jenis roti, Hani melangkah ke kaunter bayaran.
“Tak nak beli roti ke?” soal Hani apabila dari tadi Dimas hanya mengekornya tanpa membeli apa-apa.
“Tak.”
Hani melihat jumlah harga yang tertera di mesin wang tersebut. Empat ringgit setengah termasuk teh ais Syafik. Hani mengeluarkan wang kertas lima ringgit dari dalam dompetnya namun Dimas terlebih dahulu membayar harga roti dan teh ais itu. Hani memandang Dimas.
“Saya belanja.”
“Awak ingat saya tak ada duit ke?” Hani memandang lelaki yang menjaga kaunter bayaran tersebut. “Bagi balik duit dia,” ujar Hani lalu menyerahkan wang kertas lima ringgit miliknya. Setelah mendapat wang bakinya, Hani kembali menyertai Farra dan Syafik tanpa sedikit pun menoleh ke arah Dimas.
Lho...Orang nak belanja pun marah? Dimas hairan dengan sikap dingin Hani yang secara tiba-tiba itu. Tadi elok aja. Tiba-tiba aja naik angin. Datang bulan agaknya.
“Thank you,” ujar Syafik apabila Hani menghulur teh ais kepadanya. “Berapa ni?”
“Seringgit,” ujar Hani.
“Aku tak ada duit kecik sekarang. Nanti aku bayar ya,” ujar Syafik apabila teringat yang dalam poketnya cuma ada sekeping duit sepuluh ringgit.
“Tak apalah,” ujar Hani. Setakat seringgit apalah sangat.
“Betul ke? Thank you.”
“Eleh...taktik nak suruh orang belanjalah tu,” Farra mencelah. Ada kalanya dia kurang senang dengan sikap Syafik. Kalau orang belanja bukan main laju lagi. Tapi kalau orang suruh dia belanja, ada saja alasannya.
Sedang mereka berbual-bual, Tasya dan Anuar muncul.
“Hah, kenyang dah main internet?” perli Farra.
“Ish...Kenyang gila,” jawab Anuar.
“Best gilalah chat tadi. Rugi kau tak join, Pik,” ujar Tasya.
“Apa yang best sangat tu? Kau chat dengan artis lagi ke?” tanya Syafik seraya menjamah minumannya.
Namun pertanyaannya itu sepi tanpa jawapan. Syafik mengangkat muka melihat Tasya apabila soalannya tidak bersambut. Temannya itu tidak berkelip memandang sekumpulan pelajar lelaki yang duduk selang beberapa meja daripada meja mereka. Dia mula mengerti.
“Woi, tengok apa?” sergah Syafik.
Tasya tersentak. Hish, kacau aja!
“Tak habis-habis. Kau ni pemuja rahsia betullah. Pergilah tegur dia,” cadang Syafik. Kadang-kadang dia naik rimas dengan sikap Tasya yang terlalu obses dengan cowok Indon itu.
Kalau dia minat diam-diam tak apa. Ini tidak. Setiap kali mereka berkumpul, dia, Farra dan Anuar terpaksa mendengar cerita dan luahan hati Tasya mengenai cowok Indon itu. Senyuman dia manislah. Muka dia cutelah. Dia inilah, dia itulah. Macamlah dia kenal sangat dengan cowok Indon tu.
“Ish...Tak pasal,” bantah Tasya.
Tak ada sebab aku nak tegur dia. Nanti dia ingat aku gila. Tak kenal tiba-tiba nak tegur. Aku memang betul-betul nak berkawan dengan dia. Tapi macam mana aku nak mulakan? Kalau dia dah ada girlfriend macam mana? Tapi tak pernah pula aku nampak dia dating dengan mana-mana perempuan. Selalu lepak dengan kawan-kawan laki dia aja.
“Ala...tengah-tengah jalan tu kau buat-buatlah terlanggar dia ke, buat-buat barang terjatuh ke,” Syafik mengusulkan cadangan.
Asyik dok bercerita pasal lelaki tu aja. Bila orang suruh luahkan perasaan kat dia, tak nak pula. Tak pasal-pasal kita orang yang jadi tempat kau mencurah perasaan.
“Aku tak mainlah cara kotor macam tu,” ujar Tasya.
“Laa...Siapa pula kata cara kotor? Bukannya kena guna lumpur pun,” seloroh Syafik.
Tasya menarik muka mendengar kata-kata Syafik. Namun anak matanya masih melekat pada lelaki idamannya itu. Tanpa diduga, lelaki itu melihat ke arah mereka.
“Dia pandang sinilah!” Tasya berasa teruja. Dia tertunduk malu. “Agak-agak dia pandang aku tak?” tanya Tasya kepada teman-temannya.
Jangan-jangan dia perasan aku selalu pandang dia. Malunya!
“Kau ni perasanlah, Tasya,” kata Anuar. “Entah-entah dia pandang Farra ke, Hani ke...”
“Kita orang ke,” celah Syafik agar Tasya tidak terlalu menaruh harapan. Dia khuatir Tasya akan kecewa jika ternyata andaiannya itu salah.
“Buat apa pula dia nak pandang kau orang? Kau ingat dia gay ke?” Tasya yakin Dimas memandang ke arahnya.
Farra melihat ke arah Dimas lalu mengalihkan pandangan kepada Hani. Rasa-rasanya dia tahu siapa yang menjadi tumpuan lelaki itu. Dia pasti tekaannya itu tepat. Bukan dia tidak nampak cara Dimas menegur Hani tadi.
Tapi sejak bila pula dia orang berkenalan? Hani pun tak pernah pula menyebut perihal Dimas. Tapi memang sejak aku kenal dia pun, dia bukan jenis yang suka bercerita. Kalau orang tak tanya, dia pun tak cakap. Tapi kalau orang tanya pun, belum tentu dia nak cakap. Hani ni suka betul berahsia. Susah nak tahu apa yang difikirkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan