Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

AsyrAfia 3

Tangannya memicit-micit keypad telefon bimbit Nokia berwarna biru itu. Dia membaca senarai lagu yang terdapat dalam folder ‘mp3’ telefon bimbit itu.

Kita, Dan, Sahabat Sejati, Bila Kau Tak di Sampingku, Sephia … nak dengar lagu apa eh? Dengar lagu nilah.

Setelah berkira-kira, akhirnya dia mengklik pada lagu ‘Untuk Perempuan’ nyanyian Sheila on 7. Volume speaker dikuatkan dan diletakkan telefon bimbit itu di sebelah bantal lalu dia merebahkan diri di atas katil.

Baru beberapa saat, dia terus terlena. Bantal yang lembut dan tilam yang empuk itu membuai lenanya hingga ke petang.

“Afia, bangun. Dah nak Maghrib ni,” ujar suara itu lembut.

“Kejap lagilah,” Afia menutup telinganya dengan bantal.

“Afia, bangun. Tak elok tidur waktu Maghrib ni,” suara yang lembut tadi mula tegas. Dari aku balik tadi, dia asyik tidur aja. Mesti tak sembahyang Asar ni.

Afia membuka mata.

“Dah pukul berapa ni?”

“Tujuh suku,” teman sebilik Afia membentang sejadah, bersiap-siap untuk mengerjakan solat Maghrib tiga rakaat.

“Tujuh suku?” Afia melihat telefon bimbitnya. Lagu-lagu yang terdapat dalam folder mp3 itu telah habis dimainkan. Kemudian, dia melihat jam yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Ala…terlepas lagi aku nak tengok sinetron Adel berlakon tu.

Adel ataupun Adelia Lontoh adalah isteri kepada Duta, vokalis Sheila on 7. Afia memang kipas susah mati Sheila on 7 sejak dia di tingkatan empat lagi. Semua cerita tentang Sheila on 7 dia tahu termasuk siapa isteri setiap anggota Sheila on 7, dia orang ada berapa orang anak, bahkan kisah cinta dia orang sebelum berkahwin pun dia tahu!

Tidak cukup dengan hanya membeli album yang original, bahkan jika ada majalah yang mengandungi cerita mengenai band pujaannya itu, pasti dia tidak akan teragak-agak membelanjakan duitnya untuk membeli majalah itu walaupun cerita yang dimuatkan itu hanya sebesar kad pengenalan!

Jika suratkhabar pula, dia akan menggunting keratan berita itu dan disimpan ke dalam sebuah fail khas yang dihias dengan cantik. Isi di dalam fail itu semuanya adalah berkenaan dengan Sheila on 7.

Afia juga sanggup menghabiskan masa berjam-jam mengadap internet semata-mata nak cari berita terbaru mengenai Sheila on 7 selain aktif menyertai ruangan forum peminat Sheila on 7 di laman web mereka. Bertukar-tukar cerita dan informasi dengan peminat Sheila on 7 yang lain. Ada yang dari Indonesia, ada yang dari Malaysia dan ada yang dari Brunei.

Seperti suratkhabar tadi, semua cerita dan gambar yang berkaitan dengan Sheila on 7 yang didapati di internet juga disimpan dalam komputer di rumahnya. Malah wallpaper background komputer itu juga gambar Sheila on 7!

Namun kegilaannya terhadap band yang pernah menjadi band nombor satu Indonesia itu tidak akan lengkap jika hanya pada media cetak. Sebagai pelajar Komunikasi dan Pengajian Media, media elektronik juga tidak terlepas daripada pandangannya.
Jika ada rancangan TV ataupun radio yang melibatkan Sheila on 7, dia pasti akan merakamkan rancangan itu dan dia tidak jemu menonton ataupun mendengar rancangan itu berulang kali sehingga orang-orang di rumahnya berasa rimas.

“Afia, TV tu tak ada rancangan lain ke? Dah banyak kali abah tengok rancangan yang sama,” tegur Encik Ariffin. Apa kenalah dengan anak aku sorang ni. Dok tergila-gilakan orang Indonesia.

“Afia, sudah. Tutup TV tu. Pergi baca buku. Kan SPM dah dekat,” Puan Syafira pula bersuara.

“Kejaplah, ma,” Afia masih berdegil. Orang tengah syok tengok ni. Asyik belajar aja. Kat sekolah dah belajar. Kat rumah pun nak kena belajar lagi? Bosannya hidup!

“Afia!” suara Puan Syafira mula meninggi. Degil betul! Entah apa yang best sangat tengok benda tu? Dahlah penyanyi dia terlompat-lompat macam apa entah.
Dengan rasa kurang senang, Afia menutup juga TV itu. Tak mahu mendengar ibunya membebel lebih panjang.

Mak ni, tak faham langsung jiwa aku. Bukannya aku tak nak belajar. Kan ada masa dua bulan lagi.

Pada pandangan Encik Ariffin dan Puan Syafira, Afia tidak serius dalam pelajarannya. Hari-hari asyik mengadap internet, dengar lagu, tengok TV, bergayut di telefon (masa sekolah Afia tak ada telefon bimbit!), baca majalah hiburan.

Dulu Afia tak macam tu. Sejak hatinya dah melekat kat band Indonesia tu, masanya banyak dihabiskan dengan aktiviti tak berfaedah tu. Tak ada langsung nak tunjuk minat untuk belajar.

Namun, setiap orang kan mempunyai cara mereka sendiri untuk mengulang kaji pelajaran. Lain orang, lainlah caranya.

Ada yang suka mengulang kaji dalam suasana yang sunyi dan ada yang suka mengulang kaji sambil mendengar muzik. Ada yang suka mengulang kaji pada waktu siang dan ada juga yang suka mengulang kaji pada waktu malam.

Begitu juga dengan Afia. Dia lebih suka mengulang kaji pada waktu malam bertemankan lagu-lagu Sheila on 7. Bukan dia tak nak belajar tetapi sudah menjadi tabiatnya jika tak ada mood belajar, makanya dia tidak akan belajar.

Dia tidak mahu memaksa otaknya untuk menerima data-data pada waktu yang tidak diingininya. Baginya, otak adalah salah satu daripada nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada umat manusia. Kegunaannya menjangkau sepanjang hayat. Tidak seperti bateri telefon bimbit, jika kuasanya habis boleh dicas semula.

Oleh itu, otak adalah organ manusia yang perlu diberi keutamaan kerana jika otak rosak, semua organ pun akan rosak. Betul tak? Jangan tanya Afia kerana Afia sendiri tidak ada jawapannya memandangkan subjek Sains adalah subjek yang paling dibencinya selain bahasa Inggeris!

Oleh sebab itu, walaupun keputusan PMR Afia agak cemerlang (7A1B, B tu bahasa Inggeris!), dia tetap tidak mahu belajar di kelas Sains. Dia lebih rela belajar prinsip akaun daripada menghafal fakta-fakta sains yang sulit untuk diingati. Belajar subjek Sains asas pun sudah cukup memeningkan, inikan pula subjek Biologi, Fizik dan Kimia.

Berbalik pada cerita Sheila on 7 tadi, berkat kerajinan Afia mengulang kaji pelajaran sambil bertemankan lagu-lagu Sheila on 7, akhirnya dia berjaya mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Walaupun tidak secemerlang keputusan PMRnya, namun ia sudah cukup untuk melayakkan Afia diterima belajar di UiTM dalam bidang Komunikasi dan Media.

Siapa kata muzik itu tidak ada faedah? Kadang-kadang muzik itu dapat membantu menaikkan semangat kita. Buktinya Afia lebih rajin belajar dengan adanya Sheila on 7. Terima kasih Sheila on 7!

Sejak itu, mama dan abah Afia sudah tidak menghalangnya untuk terus ‘bercinta’ dengan Sheila on 7. Nak dengar lagu Sheila on 7 ke, nak tengok VCD Sheila on 7 berulang kali pun mereka sudah tidak kisah. Yang penting, pelajaran Afia tidak terjejas.

Dan Afia membalas kebebasan yang diberi itu dengan memastikan purata pointer semesternya tidak pernah jatuh daripada tiga point. Alhamdulillah, sehingga semester lima sekarang, Afia tidak pernah mengulang mana-mana subjek.

“Tengok tu, mengelamun pula. Pergi mandilah,” tanpa sedar, teman sebilik Afia sudah selesai menunaikan solat Maghrib. Begitulah tabiat Afia apabila bangun daripada tidur. Mengelamun.

Afia bangkit dari katil. Tuala mandi yang tersangkut di birai katil dicapai lalu melangkah ke bilik mandi. Namun Afia hanya membasuh muka. Satu lagi tabiat buruk Afia, dia tidak akan mandi lebih daripada sekali dalam sehari jika dia rasa dia tidak perlu berbuat begitu.

Kalau setakat pergi kelas, apalah sangat. Dalam kelas duduk dalam air-cond lagi. Peluh pun tak sempat keluar. So nak mandi buat apa? Bazir air aja. Membazir itu kan salah satu sifat syaitan? Hua hua hua…

Banyaknya tabiat buruk Afia kan? Patutlah sampai sekarang dia tak ada boyfriend!
Nanti dulu. Siapa kata Afia tak baik? Walaupun Afia ada keburukan tapi dia pun ada kebaikan. Setiap orang kan dikurniakan kebaikan dan keburukan. Apa kebaikan Afia? Ikuti kisah selanjutnya.

Baru saja Afia hendak melabuhkan punggungnya ke kerusi, suara Duta bernyanyi “Aku lapar! Malam ini terasa berat di pundakku” menandakan ada pesanan yang masuk.

Kata-kata itu adalah nyanyian spontan Duta ketika kumpulan Sheila on 7 ditemubual oleh stesen radio Red 104.9 bagi mempromosikan album ketiga mereka pada tahun 2003. Kerana berasakan lagu itu menarik, Afia merakamkan lagu yang diubah liriknya itu daripada lagu ‘Takkan Pernah Menyesal’ ke telefon bimbitnya dan dijadikan nada dering.

Afia membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya.

Jom lpak DML.
Julia

DML adalah singkatan bagi ‘Di Mana Lagi’ iaitu nama sebuah warung yang terletak di belakang kolej Puncak Perdana. Namanya yang senang diingat itu membuatkan para pelajar kolej itu menamakan seluruh kawasan gerai itu sebagai DML walaupun hakikatnya ada lebih daripada tiga buah warung di situ.
Afia membalas mesej Julia.

K, jap lagi aku turun.
Afia

Afia melangkah ke almari besi yang menghadap ke katilnya. Sehelai jaket biru diambil dan disarungkan ke tubuhnya.

Macam tulah perangai kebanyakan pelajar UiTM. Disebabkan malas nak pakai baju lengan panjang, maka mereka lebih rela memakai jaket bagi menutupi t-shirt lengan pendek di dalam.

Peraturan UiTM seterusnya, semua pelajar perempuan diharuskan memakai baju lengan panjang di kawasan kampus. Tapi kenapa UiTM tak wajibkan semua pelajar perempuan pakai tudung eh? Tapi kalau semua pakai tudung, nanti tak happeninglah kan? Semua nampak sama aja persis Wardina, Waheeda ataupun Ina Naim. Itu UIA namanya!

Lagipun kalau semua bertudung, nanti tak adalah yang boleh buat fesyen rambut ala-ala Ezlynn, penyanyi lagu ‘Hi Hi Bye Bye’ yang rambut kerinting tu. Tak adalah yang boleh ubah-ubah fesyen rambut macam Dayang Nurfaizah, penyanyi yang digelar Beyonce Malaysia tu. Tak adalah yang boleh jadi stylo.

Kalau setakat nak jumpa artis, kat UiTM pun berlambak. Tak payah nak pergi KL. Farid Kamil ada, Dynaz ada, Ana Rejoice ada. Profesor A. Razak Mohaideen pun ada kat UiTM Puncak Perdana ni.

“Farid Kamil? Mana?” Julia menoleh ke arah yang dikatakan.

“Dah pergi dah. Kau lambat sangat,” balas Rizal.

“Aisey…terlepas peluang aku nak jumpa artis.”

“Yang kau selak sangat dengan artis ni kenapa? Artis pun manusia biasa juga,” ujar Afia.

Afia memang macam tu. Tak ada perasaan. Dia sendiri tak faham kenapa ada orang yang sampai histeria bila jumpa dengan artis. Terjerit-jerit macam orang gila. Tak malu ke?

“Ala…kau memang. Cuba kau jumpa Sheila on 7. Entah-entah kau lagi teruk,” balas Julia. “Entah-entah gagap terus.”

“Mana ada. Aku rasa aku pengsan kut,” seloroh Afia. Macam watak Rina dalam sinetron Indonesia, ‘Cinta Pertama’ tu. Pengsan atas Duta lagi! Nasib baik masa tu Duta belum kahwin lagi. Kalau tak, mesti isteri dia jeles.

“Rugilah kalau pengsan,” celah Rizal.

“Weh, itu Emma kan?” kata-kata Adi mengumpan mata mereka ke arah suatu meja tidak berapa jauh dari meja mereka berempat.

“Mana?”

“Itu, yang pakai baju putih tu. Yang tengah bercakap tu,” ujar Adi.

“Macam dia. Tapi Emma kan pakai tudung?” tanya Julia.

“Betullah Emma tu,” ujar Rizal pasti.

“Sejak course kita pindah Shah Alam ni, memang ramai yang buka tudung. Lebih stylolah kononnya. Tapi kau orang perasan tak yang buka tudung tu rata-rata yang berasal dari kampung? Culture shock agaknya,” kata Adi.

“Yalah, dulu kan kita kat Arau. Tempat tu kan kampung sikit,” tambah Afia.
Dulu, pelajar Diploma Komunikasi dan Media di UiTM Arau, Perlis. Afia, Julia, Adi dan Rizal adalah batch kedua yang sempat merasa belajar di sana selepas senior mereka.

Masa mula-mula dulu memang ramai yang tak suka dengan Negeri Indera Kayangan itu. Tak happening langsung. Satu-satunya shopping complex yang ada hanyalah The Store di Kangar. KFC pun cuma satu. Mc’ Donald pula langsung tak ada. Panggung wayang lagilah tak ada!

Tapi bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Setelah hampir satu semester, ramai pula yang menyukai negeri paling kecik di Malaysia itu. Suasananya yang nyaman dan tenang itu memang sesuai dibuat tempat belajar. Jika di Puncak Perdana ada DML, kat sana pula dia orang ada Gerai P.I. (Pusat Islam), Mushroom dan Kulat untuk para pelajar melepak tapi sampai 11 malam aja. Peraturan UiTM!

Namun bagi yang ingin mencari hiburan, Alor Setar dan Penanglah yang menjadi destinasi. Ada dua cara untuk ke sana sama ada menaiki bas ataupun keretapi. Bagi yang tidak pernah naik keretapi, inilah pengalaman pertama mereka termasuk Afia.
Namun, selepas dua semester, mereka dipanggil balik ke Shah Alam kerana ramai senior mereka yang mengadu susah nak buat assignment yang berkaitan dengan stesen TV dan radio yang berpusat di KL.

“Aku rindu Araulah,” luah Afia.

“Kau rindu Arau ke, kau rindu kat orang Arau?” usik Julia.

“Orang kat Arau pun aku rindu juga,” balas Afia. Maklumlah dulu Afia banyak berkawan dengan orang utara. Teman sebiliknya masa semester dua dua-dua orang Kedah. Ilyani orang Alor Setar, Hayati pula orang Kulim. Seorang lagi teman rapatnya, Shahida, orang Taiping. Semuanya bukan budak Mass Comm.

Masa kat Arau dulu, Afia memang kurang bercampur dengan budak Mass Comm. Dia lebih banyak menghabiskan masa dengan teman sebiliknya yang mengikuti jurusan Perakaunan. Tambahan pula, dia mengambil subjek akaun masa SPM dulu. Jadi, tak susah dia nak campur dengan Ilyani dan Hayati.

Alangkah sedihnya hati apabila dia menerima surat yang mengatakan bahawa pelajar-pelajar Komunikasi dan Media akan dipindahkan ke Shah Alam. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan teman-teman rapatnya. Mereka bertigalah sahabatnya yang paling memahami. Teman ketika susah mahupun senang.

“Aku pun rindu Arau juga,” ujar Adi. “Kita kan orientasi kat sana.”

“Jom kita pergi Arau nak?” cadang Rizal.

“Aku on aja. Bila?” Afia mula excited. Kali terakhir dia ke sana masa cuti semester setahun yang lalu. Banyak perubahan yang berlaku. Kolej-kolej semua sudah dicat baru. Sebuah dataran juga dibina bagi mengadakan acara kolej.

Tak aci betullah dia orang ni. Masa kita orang ada, tak nak buat. Bila kita orang dah pindah, baru nak buat benda-benda tu. Yalah, orang-orang kat Arau tu kan tak suka bebudak Mass Comm. Konon Mass Comm ni pembawa gejala melepak kat gerai sampai tengah malam. Sekarang ada lagi ke gejala ni?

“Kau orang gila ke? Ingat pergi Arau tu sejam dua? Aku dah tak sanggup nak duduk dalam bas lama-lama. Cukuplah dulu,” Julia membangkang idea itu.

Julia orang Johor. Dari Johor nak ke Perlis mengambil masa lebih kurang setengah hari perjalanan. Mana tak letih? Masa lebih banyak dihabiskan di dalam bas.

“Ala…kita pergilah masa cuti semester,” balas Rizal.

“Aku memang nak pergi tapi PTPTN aku dah tinggal sikitlah,” ujar Adi. Pinjam sikit aja tapi nak bayar berganda-ganda. Siapalah yang buat peraturan PTPTN ni? Nak untung lebih aja. Masa nak bagi, bukan main lambat lagi. Tapi bila tiba giliran student nak bayar, cepat aja hantar surat.

“Yalah. Aku pun tengah pokai sekarang,” ujar Rizal. Nampaknya rancangan mereka untuk ke Arau terpaksa ditunda dulu. “Nak buat assignment Cik Syaz lagi. Bila kita nak start shooting ni? Aku dah tak sabar ni.”

“Nak shooting apanya? Proposal pun tak buat lagi,” celah Adi. “Nantilah kita bincang. Bila semua dah ada.”

“Weh, dah sepuluh empat puluh lima ni,” Afia melihat jam di tangannya. “Jomlah. Nanti pintu pagar kunci.”

“Rilekslah. Belum pukul 11 lagi,” ujar Adi.

“Kalau pintu pagar kunci, kita panjatlah pagar. Macam tak biasa,” tambah Rizal.
“Malaslah,” Afia enggan.

Sekali-sekala bolehlah. Selalu sangat buat nanti kena tangkap pula. Jatuhlah reputasi aku sebagai seorang perempuan.

“Yalah, yalah. Jom Riz,” Adi, Afia, Rizal dan Julia bangkit menuju ke kolej masing-masing.

Tiada ulasan: