Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 12, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 23

“Farra!” Dia berlari-lari anak mendapatkan gadis itu yang baru keluar dari kelas. Langkah gadis itu tergantung.

“Dimas?”

“Far, Hani mana?” soal Dimas. Telah berkali-kali dia mendail nombor Hani namun panggilannya tidak berjawab. Mungkin dia tertinggal telefon bimbitnya di bilik.

“Dia bukan keluar dengan kau ke?” Farra menyoal kembali.

“Tak. Dah banyak kali aku call tapi dia tak angkat. Dia tak bawa telefon ke?”

Pelik. Tapi tadi Hani kata dia nak keluar dengan Dimas.

“Dia bawa telefon rasanya. Mungkin dia tak dengar kut. Biasalah dia tu. Telefon letak dalam beg. Mana nak dengar?” Farra cuba berfikir positif namun dalam hatinya mula sangsi dengan sikap Hani sejak kebelakangan ini.

Kadang-kadang dia pun hairan apabila Hani menjawab panggilan telefon di luar bilik. Sedangkan sebelum ini kalau Dimas telefon pun, Hani tidak segan menjawab panggilan itu di hadapannya. Adakah Hani menyembunyikan sesuatu?

“Tak apalah. Aku cuba call dia lagi,” Dimas menekan nombor Hani. Masih tidak berjawab. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, Hani seolah-olah jauh daripadanya. Walaupun pada hakikatnya jasad Hani di depannya namun dia dapat merasakan bahawa fikiran gadis itu tidak padanya. Jika diajak keluar pun, Hani selalu nak balik awal.

“Han, kamu kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Kurang tidur agaknya.”

“Lepas ni kita nak pergi mana? Kita tengok wayang nak?”

“Dim, aku nak baliklah.”

“Kamu sakit?”

“Tak adalah. Aku tak ada mood.”

“Ya, udah. Aku hantar kamu pulang.”


***


Dari tadi telefon bimbit itu tidak berhenti berbunyi namun dia hanya membiarkan saja alunan suara Yovie dan Nuno itu mendendangkan lagu Indah Kuingat Dirimu.

“Kenapa tak jawab?” soal lelaki di hadapannya.

“Biar ajalah.”

Entah kenapa dia tidak mahu diganggu ketika bersama lelaki di hadapannya kini. Semalam lelaki itu menghubunginya.

“Hani…”

Berdebar jantungnya tatkala mendengar suara itu. Sungguh dia tidak menyangka lelaki itu akan menelefonnya.

“Abang kat KL ni. Abang nak ajak Hani makan tengah hari esok boleh?”

Hani diam. Tidak tahu mahu berkata apa. Makan tengah hari? Dengan dia? Tanpa berfikir lama, dia bersetuju untuk menerima pelawaan lelaki itu. Setelah menetapkan masa dan tempat, talian itu dimatikan. Dan seperti yang dijanjikan mereka berjumpa pada keesokannya.

“Kenapa Hani diam aja ni? Hani tak suka makan dengan abang ke?”

“Eh, tak! Hani rasa kenyang pula,” ujar Hani. Seleranya terbantut apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Mungkin juga dia rasa bersalah terhadap lelaki itu.

Tapi dia bukan suami aku. Jadi aku tak perlu minta izin dia untuk jumpa siapa-siapa.

“Berapa lama abang kat KL?”

“Dua hari aja. Petang esok abang baliklah. Macam mana dengan pelajaran Hani? Baik?” soal Arri. Sekadar mewujudkan perbualan.

“Baik,” jawab Hani.

Suasana hening seketika. Arri memandang Hani. Sejak bertemu Hani di majlis perkahwinan Suraya, dia tidak dapat menahan diri daripada terus merindui wajah itu. Setiap malamnya sering bermimpikan wajah dan suara itu. Seolah-olah dia jatuh cinta pada gadis itu sekali lagi. Tanpa segan, dia meminta nombor telefon Hani daripada Rahman. Nasib baik Rahman tidak bertanya lanjut apabila dia memberitahu bahawa Hani kenalan lamanya.

“Hani, boleh abang tanya satu soalan?”

“Apa dia?”

“Dimas tu boyfriend Hani ke?”

Hani terkedu mendengar soalan itu. Kenapa pula tiba-tiba dia tanya pasal Dimas?

“Tak adalah. Kita orang kawan biasa aja,” Hani tersentak.

Kenapa aku cakap macam tu? Kalau betul aku dengan Dimas tak ada apa-apa pun, aku dan Arri tak mungkin bersama kembali. Dia sudah ada yang miliki.

“Betul ke?” Arri masih ragu-ragu.

“Betul,” Hani meyakinkan Arri. “Kenapa?”

“Tak adalah. Cuma abang tengok cara dia layan Hani macam ada apa-apa aja.”

“Takkan abang cemburu kut?” Hani berseloroh.

“Adalah sikit.”

“Abang jangan. Kalau Kak Dila dengar, teruk abang nanti,” Hani sengaja menduga reaksi lelaki itu.

“Dia nak cemburu?” Arri tertawa. Hani hairan.

“Kenapa abang ketawa?”

“Sebenarnya Hani, kita orang dalam proses bercerai,” ujar Arri.

“Abang jangan bergurau.”

“Betul, Hani,” Arri serius.

“Tapi kenapa? Bukan ke tak lama lagi abang akan dapat anak?”

“Itu bukan anak abang,” berat mulutnya untuk menuturkannya.

Hani semakin terkejut.

Bukan anak dia? Jadi anak siapa dalam kandungan itu? Apa yang sedang berlaku ni?

“Sebelum kahwin dengan abang, dia pernah terlanjur dengan bekas teman lelakinya,” akhirnya Arri membuka cerita.

Adilla merupakan anak sulung pak ngahnya. Pada zahirnya, dia melihat Adilla seorang yang alim dan kuat pegangan agamanya. Tingkah lakunya juga lemah lembut dan baik pekerti. Tambahan pula ayahnya tok imam di kampung mereka. Makanya dia bersetuju untuk menerima wanita itu sebagai isterinya.

“Kenapa Arri sanggup kahwin dengan Dila?” soal Adilla setelah mereka berdua selamat diijab kabulkan.

“Maksud Dila?” Arri tidak mengerti.

“Takkan Arri tak tahu Dila pernah terlanjur dengan teman lelaki Dila? Mak dan ayah Arri tak bagi tahu Arri?”

“Apa?” Arri terpana. Tidak disangka wanita yang telah sah menjadi isterinya itu telah ditebuk orang. Patutlah mak dan ayah beria-ria benar memujuknya supaya menikahi Adilla. Rupa-rupanya mereka sudah mengetahui akan hal itu. Demi menjaga nama baik keluarga, dia terpaksa menjadi pak sanggup.

“Kenapa mak dan ayah tipu Arri?” Arri berasa marah apabila mengetahui akan hal tersebut. Encik Yahya dan Puan Hanisah berpandangan. “Kenapa mak dan ayah tak bagi tahu Arri pasal Dila?”

“Kalau mak dan ayah bagi tahu Arri, Arri sudi ke kahwin dengan Dila?” soal Encik Yahya. Memang dia salah kerana tidak memberitahu hal yang sebenar kepada Arri tetapi dia terpaksa merahsiakan perkara itu sebelum Arri berkahwin dengan Adilla. Jika Arri tahu akan perkara itu dari awal, pasti Arri takkan bersetuju untuk berkahwin.

“Tapi Arri rasa tertipu. Arri ingatkan mak dan ayah suruh Arri kahwin dengan Dila sebab nakkan Arri dapat jodoh yang baik. Tapi apa yang Arri dapat? Bekas orang lain!” marah Arri.

“Arri!”

Adilla sudah mula mengalirkan air mata. Arri sedar dia sudah terlanjur kata. Kemarahannya membuatkannya lupa untuk menjaga tutur bicara. Dia sanggup melukakan hati orang yang disayanginya semata-mata mahu menjaga hati kedua-dua ibu dan ayahnya. Namun pengorbanan cintanya itu hanya sia-sia. Tatkala itu dia teringat akan Hani. Gadis itu pasti sedih jika mengetahui tentang perkahwinannya. Sengaja dia merahsiakan berita perkahwinannya daripada gadis itu agar tidak mengganggu kegembiraannya bergelar mahasiswa.

“Maafkan Arri, mak, ayah. Arri rasa Arri tak dapat nak teruskan perkahwinan ni. Arri nak bercerai dengan Dila,” luah Arri. Setelah apa yang berlaku, dia tidak tahu macam mana hendak meneruskan hidup bersama Adilla. Pasti dia berasa janggal jika tinggal satu bumbung dengan wanita itu.

“Takkan baru satu hari kahwin, dah nak bercerai? Apa kata orang kampung nanti? Arri fikirkanlah baik-baik. Sekurang-kurangnya tunggulah sampai Dila bersalin dulu,” Encik Yahya cuba memujuk anak lelakinya itu. Berharap agar Arri mengubah keputusannya.

Arri diam. Seribu penyesalan menghimpit dirinya. Hampir sembilan bulan dia bersabar dan memendam rasa. Sepanjang tempoh itu, dia tahu Adilla berusaha untuk memenangi hatinya. Makan pakainya semua dijaga rapi oleh Adilla. Adilla juga tidak pernah merungut jika dia pulang lewat malam setiap hari bahkan wanita itu tetap sabar dengan kerenahnya. Memang dia sengaja tidak mahu tinggal berdua-duaan dengan Adilla di rumah itu. Bimbang hati lelakinya tidak dapat ditahan. Kini dia hanya menunggu masa untuk membebaskan wanita itu daripada hidupnya.

“Dah hampir satu tahun abang hidup dengan isteri abang. Takkan abang tak ada sedikit pun rasa sayang kat dia?” soal Hani. Mustahil dalam tempoh tersebut, lelaki itu tidak pernah menyentuh isterinya.

“Abang dah cuba untuk terima dia tapi tak boleh. Sebab… abang masih sayangkan Hani,” Arri memandang Hani. Masih adakah celah di hati gadis itu yang masih bisa untuk dia singgah?

Hani terdiam.

Betul ke dia masih sayangkan aku ataupun hanya di bibir saja? Betul ke cerita dia tadi atau hanya rekaan untuk memancing aku?

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

not bad gak...
nk tanye skit leh ker ilmar?
ermm..nape sume ceta dlm blog nie tentang minat group/band jer...

pa pun...keep ur gud work k..
chaiyok2..

*swit hanna*

Ilmar Imia berkata...

trima kasih hanna.

ye ke smua? rasanya bkn smua kut.
CYAM & RRC bkn crita psl minat band. Kompem!

may B masa wat crita tu tgh mood minat band kut =)