“Hani, dah lama kau tak lepak dengan kita orang. Jom kita lepak kafe,” ujar Farra.
Dah lama dia dan Hani tidak bersembang. Nama aja satu bilik, tapi susah betul nak jumpa Hani sekarang. Maklumlah semenjak dua menjak ni, Hani pun sudah jarang-jarang ada di bilik.
“Bila?” tanya Hani.
Memang Hani sudah lama tidak bersama Farra dan yang lain-lain. Tapi sama ada dia ada ataupun tak ada, pasti mereka tidak berasa apa-apa perubahan. Maklumlah, kalau mereka bersembang pun, Hani tidak turut serta dalam perbualan mereka. Dia lebih banyak mendengar.
Berbeza jika Hani bersama Dimas dan yang lain-lain. Ada-ada saja bahan yang diperbualkan. Malah jika Hani diam, mereka yang lain bijak memancingnya untuk berbual. Justeru, dia tidak berasa terasing ataupun dipinggirkan.
“Sekaranglah,” jawab Farra.
“Sekarang? Sorrylah, Far. Aku dah ada janji,” ujar Hani.
“Dengan siapa?” Farra pura-pura bertanya walaupun dia tahu dia sudah ada jawapannya.
“Kawan.”
“Siapa? Aku kenal?”
“Mungkin.”
“Dimas?”
Hani tersentak lalu mengangguk. Mana pula Farra tahu?
“Sejak bila kau baik dengan dia?” Farra mula menjalankan siasatan. Sudah lama dia mahu bertanyakan perihal itu kepada Hani. Namun pertanyaan itu dipendamkan sahaja. Dia mahu Hani yang membuka mulut sendiri tetapi sehingga ke hari ini, Hani masih belum memberitahunya apa-apa.
“Masa cuti dua minggu hari tu,” Hani membuka cerita. Biarlah Farra tahu dengan siapa dia berkawan. Kalau terjadi apa-apa nanti, tak adalah susah Farra hendak mencarinya.
“Selalu ke kau keluar dengan dia?” tanya Farra lagi. Mestilah selalu! Dah kerap sangat aku nampak dia orang bersama.
“Selalu juga,” jawab Hani jujur.
Sejak cuti dua minggu lalu, hampir setiap hari Hani menghabiskan masa bersama Dimas dan yang lain-lain. Jika tidak lepak di kafe tempat Dimas bekerja, mereka akan menghabiskan masa di KLCC ataupun Midvalley. Kadang-kadang satu hari suntuk mereka lepak di luar. Entah kenapa waktu terasa seakan cepat berlalu jika Hani bersama Dimas dan yang lain-lain. Hari-harinya kini terasa lebih indah untuk dijalani.
“Kau keluar berdua aja ke dengan dia?” Farra masih cuba mengorek rahsia di sebalik hubungan Hani dengan Dimas. Dia ingin tahu sejauh mana hubungan mereka berdua.
Betul ke dia orang bercinta? Ataupun sekadar teman tapi mesra?
“Tak juga. Kadang-kadang kawan-kawan dia pun ada sama.”
Memang Dimas tidak pernah berenggang dengan Erwin, Sukry, Armand dan Andin. Jika ada kelapangan, mereka berlima pasti berkumpul. Secara tidak langsung, Hani juga rapat dengan kawan-kawan Dimas. Tambahan pula, mereka melayan Hani dengan baik. Seolah-olah mereka sudah kenal lama.
“Kawan-kawan dia laki ke pompuan?”
“Lelaki.”
Setakat ni, tak pernah pula aku nampak ada kawan perempuan dia orang yang lepak dengan kita orang. Biasanya, dia orang akan lepak berlima aja.
“Yang biasa lepak dengan dia tu ke?”
“Yalah agaknya. Kau kenal Dimas ke?”
“Tak adalah kenal sangat. Setakat kenal-kenal macam tu aja. Dia kan senior kita,” balas Farra. Memanglah aku kenal dia. Dia aja yang tak kenal aku. Siapalah yang tak kenal dengan cowok Jodja tu? Pelajar popularlah katakan. Sampai Tasya pun tergila-gilakan dia.
“Jadi, maknanya kau sorang ajalah pompuan?”
“Biasanya macam tulah. Kenapa, Far?”
Boleh pula dia tanya aku kenapa? Sorang perempuan dengan lima lelaki. Tak takut ke? Farra cuba menyusun kata.
“Hani, aku gembira tengok kau sekarang. Selalu tersenyum, ceria, dan mula bergaul dengan orang lain. Tapi sebagai kawan, aku cuma nak ingatkan kau.”
“Apa?” Hani menantikan kata-kata seterusnya daripada Farra. Dari tadi Farra asyik menyoalnya seolah-olah dia telah melakukan suatu kesalahan yang besar.
“Hani, aku bukan nak masuk campur urusan peribadi kau. Cuma aku nak ingatkan kau, pandai-pandailah bawa diri. Bukan apa. Kadang-kadang aku tengok kau sorang aja perempuan dalam kumpulan dia orang. Lagipun dia orang tu kan bukan orang sini. Kau tahu-tahu ajalah tanggapan orang kita pada orang luar lebih-lebih lagi orang seberang. Kau faham kan maksud aku?” terang Farra.
Hani mengerti. Masa mula-mula kawan dengan Dimas dulu pun dia berasa janggal dengan kerana dia seorang saja perempuan dalam kumpulan itu. Tapi lama-kelamaan dia sudah tidak kisah akan apa yang orang nak kata.
Yang penting, aku tahu apa yang aku buat dan aku masih tahu batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lagipun kita orang selalu jumpa kat tempat awam. Jadi, tak timbul soal khalwat atau yang sama waktu dengannya.
“Aku faham, Far. Jangan risaulah. Aku masih tahu apa yang betul dan apa yang salah. Anyway, thank you for your concern. Aku pergi dulu ya,” Hani mencapai beg selempangnya dan mengorak langkah.
“Jangan balik lambat sangat tahu. Kalau ada apa-apa, telefon aku,” Farra sempat berpesan sebelum Hani hilang dari pandangan matanya.
“Ok!”
***
“Dim, aku nak masuk sini kejap,” ujar Hani lalu melangkah masuk ke dalam sebuah kedai buku. Matanya tidak lepas daripada buku-buku yang tersusun rapi di atas rak-rak kedai tersebut.
Dimas hanya memerhatikan perlakuan Hani. Memang dia telah sedia maklum akan minat gadis itu sejak dari dulu. Suka membaca novel. Dimas turut membelek buku-buku di situ.
“Ada buku yang dicari?” soal Dimas apabila Hani menghampirinya beberapa minit kemudian.
“Ni,” Hani menunjuk beg plastik di tangannya. “Jom.”
“Kamu beli buku apa?” tanya Dimas setelah mereka keluar dari kedai buku itu.
“Adalah.”
“Lho…kok beli buku juga mahu berahsia?”
Hani cuma tersengih.
“Haa…jangan-jangan kamu beli buku…” Dimas sengaja menggantung ayatnya.
“Apa?”
“Kamu beli buku #%@?” Dimas berbisik ke telinga Hani.
“Hish!” Hani memukul lengan Dimas.
“Adoi!” Dimas menggosok-gosok lengannya yang dipukul oleh Hani tadi. “Kok ganas banget?”
“Rasakan!” ujar Hani geram. Takkan aku nak beli buku-buku macam tu?
“Ok, sorry. Aku cuma bercanda. Habis, kenapa kamu berahsia dengan aku?”
“Sebab aku punya sukalah nak bagi tahu ke tak.”
“Tapi Hani, kamu tidak rasa rugi beli buku hanya untuk sekali baca?”
“Siapa kata baca sekali aja? Kalau buku tu aku suka, baca banyak kali pun tak bosan tahu,” ujar Hani. Memang dia gemar membaca buku terutama novel. Membaca novel membolehkannya lari seketika dari realiti kehidupannya. Menyelami perjalanan hidup orang lain membuatkannya lupa akan kisah hidupnya yang tiada serinya.
Hani sedar yang dia tidak dapat melalui kehidupan ini seorang diri. Dia juga memerlukan sahabat sebagai teman meniti hari. Ternyata kehadiran Dimas di dalam hidupnya dapat mengisi kekosongan yang dirasainya.
“Aku beli buku sebab aku suka membaca. Macam kau juga. Beli CD sebab kau suka dengar muzik kan?”
“Ya, ya. Kamu menang,” Dimas sudah malas hendak berdebat. Ternyata gadis di hadapannya itu bukan sembarangan. Mungkin dari zahirnya, Hani nampak pendiam namun siapa sangka Hani bijak berkata-kata apabila diajak berdebat.
“Dim, kau ingat tak kau pernah tanya aku pasal impian?” Dimas mengangguk. “Kalau aku cakap impian aku nak jadi penulis novel bestseller kau percaya?”
“Oh ya? Bagus. Sudah berapa banyak karya yang kamu yang ada? Pernah kirim ke syarikat penerbitan? Boleh aku baca?” soal Dimas. Tidak pernah dia menyangka Hani mempunyai bakat dalam penulisan. Mungkin benar juga apa yang dikatakan oleh pensyarahnya. Orang yang hebat menulis itu ada dua kategori. Satu, orang yang sangat banyak bercakap dan yang kedua orang yang sangat pendiam.
“Belum siap lagi. Nanti dah siap, aku bagi kau baca ya,” ujar Hani. “Tapi kau yakin ke aku boleh tulis buku?”
“Pastilah aku yakin dengan kamu. Apa kamu sendiri tidak yakin dengan diri kamu sendiri?”
“Tak adalah. Selalunya kan orang lain pandang rendah kat aku. Kau tahu ajalah aku ni kan tak bercampur dengan orang. Suka buat hal sendiri,” luah Hani.
Sebenarnya Hani berasa diperkecilkan oleh kawan-kawannya. Apabila membuat tugasan kumpulan, dia selalu diberikan tugas-tugas yang mudah seperti mencari bahan, menaip ataupun menyunting kembali assignment mereka sedangkan dia nak sangat buat lebih daripada itu.
Aku datang sini untuk belajar bukan jadi kerani. Tapi dia orang tak pernah bagi peluang kat aku untuk membuktikan kebolehan aku. Adakah kerana aku ni pendiam dan kurang bercampur dengan orang, maka dia orang anggap aku tak tahu apa-apa?
“Hani, setiap manusia itu kan dicipta oleh Allah dengan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Mungkin orang lain belum menyedari kebolehan kamu. Tapi sebelum itu kamu sendiri harus yakin dengan diri kamu dan aku akan tetap selalu menyokong kamu,” kata Dimas. Dia mahu Hani tahu bahawa dia akan selalu ada buat dirinya.
“Betul ke?”
“Betullah.”
“Terima kasih.”
“Oya, Han. Ngomong-ngomong jadi tak kamu nonton konsert dengan kita hujung minggu ni?”
Please say yes. Dimas benar-benar berharap Hani akan pergi bersama mereka. Kalau Hani tak ada, dia akan berasa kekurangan sesuatu.
“Aku memang suka lagu-lagu dia orang tapi kalau nak pergi konsert dia orang, aku tak berapa minatlah,” ujar Hani jujur.
“Tapi Han, tiketnya sudah dibeli.”
“Salah kau sendiri. Aku tak cakap pun nak tengok. Kau juallah tiket tu kat orang lain. Tak pun, kau ajaklah siapa-siapa yang betul-betul minat nak tengok konsert tu,” Hani berterus-terang.
Selama ini, aku dah puas mengalah. Terpaksa memenuhi permintaan orang lain walaupun hati sendiri merana. Sampai bila aku harus mengorbankan perasaan sendiri demi orang lain sedangkan dia orang pun tidak pernah memikirkan perasaan aku?
Dimas diam. Jawapan Hani benar-benar mengecewakan hatinya.
“Dim, aku minta maaf. Aku betul-betul tak minat.”
“Tak apalah,” Dimas cuba menyembunyikan rasa kecewanya dan cuba berlagak biasa. “Makan yuk?”
“Nak makan kat mana?”
“Kat mulut!”
Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang memerhatikan segala gerak-geri dan tindak-tanduk mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan