Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 9

Beberapa orang pelajar perempuan sedang menyapu sampah ketika Athira tiba di kelas pada pagi itu. Athira melihat ke tempat duduknya. Kelihatan teman baiknya, Fatin sedang termenung di meja. Athira tersenyum lalu mendapatkan Fatin.

“Selamat pagi,” sapa Athira.

Fatin tersentak lalu berpaling. Minah ni rupanya.

“Termenung jauh nampak. Ingat buah hati ke?” Athira sengaja mengusik.

“Buah hati mana? Aku ni manalah ada buah hati. Bukan macam orang tu,” ujar Fatin penuh makna.

“Habis tu yang makan kat food court semalam siapa? Bukan buah hati ke? Sampai orang lalu pun tak perasan,” Athira tersengih.

“Kau ada pergi Megamall ke semalam?” Fatin berdebar-debar. Takut rahsianya terbongkar. Habislah kalau Tya nampak aku. “Pukul berapa?”

“Petang. Dalam pukul lima macam tu.”

Pukul lima? Fatin mula gabra. Jangan-jangan Tya nampak aku dengan Shamsul semalam!

“Bukan main mesra lagi kau dengan dia semalam. Ada apa-apa ke?” Athira semakin galak mengusik. Fatin pura-pura tidak mengerti.

“Apa yang kau cakap ni? Dengan siapa?”

“Buat-buat tak tahu pula. Mata aku ni belum rabun lagi tahu. Aku nampak kau dengan Shamsul semalam kat food court. Tak payahlah kau nak berahsia lagi,” Athira malas hendak berkias-kias lagi.

“Syy… Jangan cakap kuat-kuat,” Fatin memandang sekeliling kelas untuk memastikan tiada sesiapa yang mendengar perbualan mereka. “Kau nampak aku dengan Shamsul? Kat food court?” Fatin meminta kepastian.

Athira menggangguk.

“Kau dengan siapa masa tu?”

“Dengan Riz,” jawab Athira.

“Riz?” Fatin cemas. Kalau mamat tu tahu, mampus satu kelas ni tahu! Mulut dia tu mulut tempayan. Silap-silap satu tingkatan ni tahu.

“Kenapa? Kau takut orang lain tahu? Kalau betul apa salahnya? Shamsul tu pun boleh tahan juga,” ujar Athira.

“Kalau betul. Masalahnya apa yang kau orang nampak tu bukan seperti mana yang kau orang fikir. Kita orang tak ada apa-apalah,” terang Fatin. Dia tidak mahu Tya salah faham tentang hubungannya dengan Shamsul.

“Ala…, kau ni. Dengan aku pun nak berahsia,” Athira seakan berkecil hati.

“Betul, kita orang tak ada apa-apa. Lagipun dia ada cakap dengan aku yang dia suka kat seorang budak perempuan ni tapi sayangnya budak perempuan tu dah ada balak,”
Fatin cuba memancing reaksi Athira.

“Kau dah ada balak ke? Aku tak tahu pun,” Athira masih mengusik Fatin. Fatin geram melihat Athira tak henti-henti mengusiknya dengan Shamsul.

“Dia suka kaulah,” ujar Fatin. “Dia minta tolong aku sebab nak ngorat kau.”

“Yalah, Fatin. Kau ingat aku percaya?”

“Aku tak tipulah. Betul, dia suka kau,” Fatin meyakinkan Athira.

“Kalau dia suka aku, kenapa dia tak cakap sendiri dengan aku? Lagipun takkan dia tak tahu yang aku ni dah ada balak?”

“Sebab dia tahu kau dah ada balaklah sebab tu dia tak berani nak cakap kat kau,” Fatin sungguh-sungguh meraih kepercayaan Athira.

“Sudahlah Fatin. Aku tak percaya.”

“Takkan aku nak tipu kau? Aku ni kan kawan kau.”

Sedang mereka berbual-bual, Azrizal, Shafik, dan Iqbal muncul menghampiri meja mereka berdua.

“Hai, Fatin hari ni nak dating kat mana pula?” soal Shafik bernada sindiran.

“Takkan kat food court lagi?” Iqbal pula menyampuk.

“Lain kali, kalau nak dating carilah tempat yang tersorok sikit kalau tak nak orang tahu. Ini Megamall…” Azrizal pura-pura mengingat nama tempat itu. “Apa nama tempat tu?”

“Food court!!” Azrizal, Shafik dan Iqbal bersuara hampir serentak lalu ketawa.

Fatin bertambah geram dan sakit hati mendengar tawa mereka. Menyampah!

“Dahlah! Kau orang ni,” Athira cuba meredakan keadaan. “Tu cikgu datang.”

Azrizal, Shafik dan Iqbal serta pelajar-pelajar lain kembali ke tempat duduk masing-masing apabila Puan Tan muncul. Selepas mengucapkan selamat, Puan Tan menuntut kerja rumah yang diberinya semalam.

“Kerja rumah?” Shafik cuba mengingat lalu bertanya kepada Azrizal yang duduk di sebelahnya. “Cikgu ada bagi kerja ke semalam?”

Azrizal menjungkit bahu. Dia sendiri tidak pasti.

“Entah. Cikgu, kerja rumah yang mana?”

“Kerja apalagi, matematiklah. Takkan kerja BM pula?”

“Matematik? Owh… kerja algebra tu ke?” Baru dia teringat. Azrizal mencari bukunya di dalam beg. Alamak! Mana pula buku aku? Aku tak bawa ke?

“Semua letak buku atas meja. Saya nak semak,” arah Puan Tan.

“Chap, kau ada nampak buku aku tak?” Azrizal bertanya kepada Shafik sambil tangannya masih menyeluk-nyeluk begnya mencari buku latihan matematik.

“Mana aku tahu. Kau pernah bawa buku ke?”

“Azrizal, Shafik, mana kerja rumah kamu berdua?” Puan Tan sudah terpacak di hadapan mereka.

“Buku saya tertinggal kat rumahlah, cikgu,” ujar Azrizal selamba.

“Tertinggal kat rumah? Ada siapa yang nak belajar kat rumah kamu tu, Azrizal? Anak kucing?” Setelah mengenali Azrizal beberapa minggu itu, dia masak benar dengan perangainya. Sering memberi alasan jika ditanya tentang kerja rumah. Tapi semalas-malas Azrizal pun, markahnya dalam ujian bulanan tidak pernah kurang daripada lima puluh peratus. Jika dia rajin membuat latihan pasti prestasinya dapat ditingkatkan lagi.

“Tak, cikgu,” jawab Azrizal.

“Habis tu, kenapa kamu tinggalkan kat rumah?” soal Puan Tan lagi. Dahlah tak buat kerja rumah. Pandai menjawab pula tu.

“Bukan saya sengaja tinggalkan, cikgu. Saya tertinggal, ter…” Azrizal menekankan kata ‘ter’ bagi meraih kemaafan guru matematik itu. Memang dia tak ingat langsung tentang kerja rumah itu. Pulang dari sekolah, dia makan dan mandi kemudian menghilang ke rumah Shafik. Main play station. Apabila malam, baru pulang ke rumah. Balik rumah saja dah penat. Terus tidur.

“Ada saja alasan kamu. Macam mana kamu nak masuk U nanti kalau buku sebuah tu pun kamu tak boleh bawa? Berat sangat ke beg kamu tu?” Puan Tan tidak puas hati dengan jawapan itu.

“Kita orang masuklah U.N.I.C, cikgu,” Azrizal melawak. Nasib baik Puan Tan bukan orang yang cepat melenting. Kalau tidak dah lama Azrizal kena penampar.

“U.N.I.C? U mana tu? U baru ke? Saya tak pernah dengar pun,” ujar Puan Tan tanpa sedar dirinya dipermainkan.

“Apalah cikgu ni. U.N.I.C. pun cikgu tak tahu ke? U.N.I.C. tu kumpulan nasyidlah, cikgu,” terang Azrizal.

“Ha, ha, ha… Riz buat lawak. Ha, ha, ha… kelakarnya,” Shafik buat-buat ketawa.

“Kumpulan nasyid? Kamu ingat senang ke nak masuk U.N.I.C tu? Kalau dia orang nak ambil ahli baru pun dia orang takkan pilih orang macam kamu tahu! Ada hati nak masuk U.N.I.C,” ujar Puan Tan. Mungkin sebab sikap lembutnya, Azrizal berani bergurau dengannya. Nak marah dia tak pandai. Tapi mujurlah Azrizal tidak pernah berkurang ajar dengannya. Dia tahu Azrizal tidak jahat seperti yang digembar-gemburkan. Cuma dia agak sedikit nakal. “Dah, pukul berapa dah ni? Kamu ni menghabiskan masa saya saja. Siapa tak siap atau tak bawa buku, saya akan denda.”

“Denda apa, cikgu?” tanya Shafik. Boleh pula main pilih denda. Kalau Cik Mazleen jangan haraplah.

“Mulai hari ini, siapa yang tak siap kerja cikgu akan suruh dia duduk kat koridor luar tu dan siapkan kerja yang tak siap tu,” tegas Puan Tan.

“Saya siap, cikgu. Cuma tak bawa saja,” ujar Azrizal.

“Kalau tak bawa serupa dengan tak siap. Kamu tak ada bukti yang menunjukkan kamu siap kerja.”

“Takkan cikgu tak percaya cakap saya?”

“Zaman sekarang, orang dah tak main cakap pakai mulut saja. Kena ada bukti yang sah. Baru orang nak percaya.”

“Ala…cikgu,” Azrizal dan Shafik menagih simpati. Takkan nak duduk kat koridor? Malulah kalau pelajar lain nampak? Kalau awek tengok, jatuhlah saham aku!

“Sekarang, siapa yang tak siap kerja sila bawa buku ke koridor dan siapkan. Selagi tak siap, kamu tak boleh masuk kelas. Yang tak bawa buku pun sama.”

Dengan langkah yang berat, Azrizal, Shafik dan beberapa orang pelajar lain yang tidak menyiapkan kerja rumah mereka melangkah ke koridor dengan buku masing-masing.

“Dahlah, Ball. Tak payahlah kau nak berlakon,” ujar Azrizal kepada Iqbal yang masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

“Aku bawa buku,” Iqbal menunjuk buku latihan kerja matematiknya dengan bangga.

“Kerja kau siap ke?” tanya Shafik. Dia tidak percaya Iqbal sempat menyiapkan kerja rumahnya kerana sepanjang petang semalam mereka bertandang ke rumahnya bermain play station. Mana ada masa nak buat kerja rumah?

Puan Tan datang ke meja Iqbal lalu menyelak ke muka surat yang sepatutnya dibuat latihan. Putih bersih seperti baru dibeli. Sah-sah budak ni tak pernah buka buku ni!

“Iqbal!” Puan Tan mengarahkan Iqbal menyertai yang lain-lain di koridor. Iqbal akur.
Puan Tan meneruskan sesi pembelajaran itu dengan subtopik ‘Algebra’ yang berikutnya.

Lima belas minit yang pertama, kelas itu tenang saja. Semua pelajar memberikan sepenuh perhatian kepadanya.

Namun, suasana aman itu tidak lama apabila mereka diganggu dengan bunyi gelak tawa di koridor. Di koridor, Azrizal, Shafik dan Iqbal rancak bersembang dan bergelak ketawa seolah-olah ada cerita lucu antara mereka. Pelajar lain yang turut didenda menyiapkan kerja rumah di koridor itu juga menyertai perbualan mereka bertiga.

“Amboi, amboi! Seronoknya kamu semua bercerita. Kerja dah siap ke?”
Azrizal, Shafik, Iqbal dan yang lain-lain terdiam apabila melihat Puan Tan berdiri di hadapan mereka.

“Kalau kamu tak siap kerja sampai habis masa saya nanti, saya akan gandakan kerja rumah kamu.”

Mendengarkan amaran Puan Tan itu, mereka terus tunduk, berpura-pura menyiapkan kerja rumah tadi. Dahlah kerja rumah semalam tak siap, nak tambah lagi?

Puan Tan kembali meneruskan pembelajaran yang tergendala tadi. Apalah nak jadi dengan budak-budak ni? Tak takut ke nak ambil SPM nanti?

Dua masa pelajaran matematik telah berlalu. Kini kelas itu diambil alih oleh Cik Mazleen bagi mengajar subjek bahasa Melayu. Azrizal, Shafik, Iqbal dan pelajar-pelajar yang berada di koridor tadi menarik nafas lega kerana Puan Tan terlupa untuk menyemak kerja mereka memandangkan guru itu terpaksa bergegas ke kelas tingkatan tiga yang terletak di bangunan lain.

“Semua berdiri. Siapa dapat jawab soalan saya baru boleh duduk,” ujar Cik Mazleen. Terdengar rungutan beberapa suara. “Berdiri semua…”

Dengan rasa malas, mereka bangkit. Soalan apalah yang Cik Mazleen nak tanya? Otak mereka baru saja habis diperah bagi memahami formula matematik moden yang diajar oleh Puan Tan sebentar tadi dan kini otak mereka terpaksa dikerah lagi untuk berfikir tentang novel sastera.

“Soalan pertama. Apakah tema yang dipaparkan dalam novel Seteguh Karang hasil tulisan Tuan Faridah Syed Abdullah ini?” Cik Mazleen menanyakan soalan itu tanpa menghiraukan suara-suara rungutan pelajar-pelajar itu. Sengaja dia berbuat begitu agar mereka sentiasa bersedia ketika di dalam kelasnya.

Beberapa orang pelajar mengangkat tangan mahu menjawab soalan itu. Cik Mazleen memilih seorang pelajar perempuan yang duduk di hadapannya.

“Ketabahan dan kesabaran menghadapi dugaan dan cabaran hidup,” jawab pelajar perempuan itu dengan yakin.

“Baik, duduk.”

Pelajar perempuan itu tersenyum bangga kerana menjadi orang pertama yang dapat duduk.

“Baik, soalan kedua. Apakah persoalan-persoalan yang terkandung dalam novel ini?”

“Kasih sayang dalam keluarga,” jawab seorang pelajar perempuan yang duduk di bahagian belakang kelas.

Cik Mazleen menggangguk tanda bersetuju dengan jawapan itu. Pelajar perempuan itu melabuhkan punggungnya ke kerusi. Gembira.

“Persoalan lain yang ada dalam novel ni?”

Soalan itu dijawab oleh seorang pelajar lelaki pula.

“Tanggungjawab kepada kerja dan keluarga.”

“Lagi?” Cik Mazleen terus menyoal mengenai novel sastera yang dipilih sebagai novel kajian bagi pelajar-pelajar tingkatan lima untuk zon pantai timur itu. Begitulah keadaannya sepanjang satu jam kelas itu berjalan. Para pelajar berlumba-lumba untuk menjawab soalan yang diajukan bagi membolehkan mereka duduk sehinggalah…

“Kamu bertiga ni apa cerita? Nak terus berdiri sampai habis waktu ke?”

Azrizal, Shafik dan Iqbal memandang sekeliling kelas. Hanya mereka bertiga yang masih belum duduk. Buat malu saja.

“Ala…cikgu, takkan tak ada talian hayat?” ujar Azrizal.

“Kamu ingat ini rancangan Who Want to be A Millionaire ke? Dalam dewan peperiksaan nanti pun bukannya boleh pakai talian hayat,” tegas Cik Mazleen.

Seperti biasa, Azrizal, Shafik dan Iqbal gagal menjawab soalannya. Pasti mereka tidak mengulangkaji pelajaran di rumah. Sudahlah tak tumpu perhatian di dalam kelas, di rumah pula tak buat ulangkaji. Macam mana nak dapat markah yang bagus dalam peperiksaan nanti?

“Baik, saya bagi kamu peluang terakhir,” Cik Mazleen membelek contoh-contoh soalan yang terdapat di kertas di tangannya. “Siapakah nama watak utama dalam novel ini?” Kalau tak dapat jawab, tak tahulah.

Azrizal menggaru-garu kepala. Shafik berkerut. Iqbal segera mengangkat tangan bagi menjawab soalan itu.

“Ayuni,” Iqbal menjawab dengan yakin namun jawapannya itu disambut dengan gelak tawa pelajar-pelajar lain. Cik Mazleen hanya menggeleng.

“Alia,” celah Shafik pula.

“Bukanlah. Aishah,” Azrizal menyampuk. Kelas itu semakin gamat dengan deraian tawa yang semakin kuat.

“Pandai-pandai kamu saja bagi nama,” Cik Mazleen kecewa dengan sikap main-main mereka bertiga. “Memandangkan kamu bertiga tidak dapat menjawab soalan yang semudah ini, kamu bertiga saya denda berdiri sehingga waktu rehat.”

Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berpandangan. Denda lagi?

Tiada ulasan: